Wednesday, December 21, 2011

SAKI-BAKI CUTI SEKOLAH

Saya mengambil cuti beberapa hari kerana kasihankan anak yang belum dibawa berjalan makan angin sepanjang cuti sekolah ini. Ketika anak-anak orang lain dibawa cuti ke tempat-tempat percutian yang menarik oleh ibu bapa mereka, anak saya cuma di tinggalkan di tadikanya sahaja. Dia menjadi amat sedih apabila mendengar cerita kawan-kawan yang pulang daripada bercuti.





























Cuti yang saya ambil untuk membawanya berjalan-jalan saya manfaatkan seadanya. Saya hanya mampu membawanya ke tempat yang dekat-dekat sahaja kerana kekangan kerja. Itu pun dia sudah cukup gembira. Saya tidak boleh mengambil cuti panjang sekali gus kerana kerja akan tertunggak. Maka cuti saya yang beberapa hari itu saya bahagi-bahagikan kepada beberapa segmen.


Cuti itu juga kononnya saya hendak langsaikan beberapa urusan peribadi yang telah sekian lama tertangguh. Namun, tidak sempat juga. Ini termaksuklah hendak servis kereta. Juga tidak sempat.


Walaupun sekadar membawa anak ke tempat 'biasa-biasa' saja, itu sudah menceriakannya. Membawanya bermain layang-layang di taman berhampiran bersama sepupu-sepupunya. Membawanya menonton Happy Feet. Membawanya ke Planetarium, sudah cukup untuk melonjak 'roh keriangan' kanak-kanak yang wajib ditunaikan oleh ibu bapa.


Insya-Allah kalau ada rezeki dan dilapangkan waktu, kita ke tempat yang jauh sikit ya Ammar Hadi. Mungkin tahun depan boleh cuba hotel En. Abunyer pula di Langkawi.


Saya masih ada satu sesi cuti lagi dan saya masih berhutang satu lagi aktiviti dengannya ... hendak ke Taman Burung pula.





Kepada ibu bapa yang masih belum membawa anak-anak ke mana-mana dan tidak punya kelapangan waktu yang banyak, suka saya sarankan, bawalah anak anda ke Planetarium. Banyak maklumat berguna yang boleh dipelajari mereka. Tayangan dokumentari di dalam 'teater kubah' tentunya menarik minat anak-anak.


Saya cukup terkejut dengan harga tiketnya yang masih mengekalkan harga yang sama ketika saya ke sana 15 tahun dahulu. Tiketnya sangat murah dan amat berbaloi. Untuk saya dan anak cuma RM6.00!

Dari situ juga, boleh berjalan kaki melalui jejantas untuk ke Muzium Negara. Namun saya tidak memilih ke Muzium Negara kerana ia kurang interaktif, belum sesuai untuk anak yang berusia enam tahun. Sesuatu yang interaktif lebih baik kerana anak boleh mencuba banyak perkara.

Jika masih ada sisa tenaga pada hari yang sama, anda boleh juga membawa anak ke Taman Orkid, Muzium Kesenian Islam, Taman Rama-rama yang juga berhampiran (namun perlu berkenderaan).

Manfaatkanlah baki cuti sekolah untuk membahagiakan anak-anak!

Wednesday, December 7, 2011

YANG MUNGKAR, YANG FASAD DAN YANG BATIL

Semalam ketika saya berhenti di lampu isyarat menunggu lampu hijau menyala berhampiran Sungai Penchala-Mutiara Damansara saya memandang cermin pandang belakang. Sebuah VW Beetle merah menghampir di belakang.

Apabila kereta itu berhenti di belakang kereta saya, dapat dilihat jelas gelagat pemandu dan penumpang di sebelahnya. Ayoyo! Berkucupan dan berpelukan mesra. Ceh! Tak reti malu. Walaupun di dalam kereta, orang boleh nampak hendaknya pula kalau cahaya matahari cukup terang.

Kebetulan, lama pula lampu merah itu.

Saya perhatikan lagi gelagat tak senonoh pasangan yang sedang khusyuk memadu asmara itu ... saya tiba-tiba jadi loya!

Laa haw lawalaaa ... astaghfirullah ... lailahaillallah ... saya berisitighfar dan mengucap panjang.

Kalau dilihat roman muka, mereka itu Melayu totok. Itu tidak pelik, kerana ramai pasangan remaja sekarang bercouple terang-terangan tanpa segan-silu.

Kalau laki-bini pun, apa nak diherankan sangat bercanda di tempat terbuka pada zaman serba cyber ini.

Tapi pasangan di dalam VW itu lesbian! Dua-duanya perempuan Melayu. Itu yang menyebabkan saya loya. Yang memandu berambut panjang, yang duduk di sebelahnya rambut pendek sedikit.

Selepas berkucupan, si rambut panjang mengusap-usap rambut pasangannya. Saya tidak sanggup lagi melihat dan menambahkan dosa mata.

Euuuuw!

"Ya Allah, ngapa lambat pulak lampu tu nak hijau? Jauhkan aku daripada maksiat di belakang keretaku ini."

Itulah pertama kali saya melihat lesbian beraksi.

Remaja hari ini semakin lama semakin berani bermaksiat. Semakin hari semakin banyak pula yang melakukannya. Semakin galak!

"Ya Allah! Engkau peliharalah zuriat dan keturunanku daripada segala kemungkaran, kefasadan dan kebatilan di dunia ini. Amin amin ya Rabbal Alamin."

p.s. Tidak sabar rasanya untuk menyaksikan PAS melebarkan pemerintahannya di Malaysia ini. Pasti gejala maksiat dapat dibendung dengan baik!

Wednesday, November 30, 2011

BUKTI

Baru-baru ini saya melihat sebuah iklan kamera di akhbar Metro. Fotokem membuat tawaran yang agak istimewa. Banyak jenama kamera terkenal diutarakan pada iklan itu.

Saya perhatikan ciri setiap model kamera dan saya menjadi bingung seketika kerana tidak pernah jumpa kamera yang ada ciri istimewa itu ... ada ciri BUKTI!

Mengapa saya bingung?

Inilah cirinya:




    • Kejutan bukti


    • Cuaca bukti


    • Air bukti

    Kemudian saya tergelak sendirian kerana baru dapat menangkap maknanya. Rupa-rupanya ia diterjemah secara langsung (secara harfiah) daripada perkataan Inggeris.



    • Shock proof = kalis kejutan / gegaran

    • Weather proof = kalis cuaca


    • Water proof = kalis air

    Kah kah kah!


    'Proof' dalam bahasa Inggeris membawa maksud bukti/evidence dan juga kalis/proof !


    Barangkali penterjemah tidak akan tersalah terjemah kalau dalam bahasa Inggerisnya ditulis begini: water resistant.

    Friday, November 25, 2011

    4 JAM IMAM SYAFI'I UNTUK RENUNGAN

    Imam asy-Syafi'i tidur cuma EMPAT jam.

    Kemudian tahajud selama EMPAT jam.

    EMPAT jam lagi diperuntukkan untuk mengarang kitab.


    Dua belas jam, (separuh hari) padat digunakan untuk jalan Allah.

    Pun, beliau masih berasa tidak layak untuk masuk syurga.


    Dua belas jam kita bagaimana?


    Ada yang tidur 12 jam!


    Ada yang tidur enam jam, enam jam tonton TV dan ber-Internet atau lepak dan makan! Memang langsung tidak layak untuk masuk syurga, sebaliknya lebih dekat dengan neraka!


    Renung-renungkan.

    Monday, November 21, 2011

    BELUM PULANG LAGI

    Suami saya berangkat ke Hanoi sehari sebelum Hari Raya Korban baru-baru. Dalam jadual program yang diatur, sepatutnya 10 hari sahaja rangka lawatan merentas Vietnam, Laos, Kemboja dan Amphawa (pinggir Bangkok). Dan sehingga kini belum pulang-pulang lagi, menyebabkan risau bertandang.

    Pada 16hb saya menerima panggilannya memberitahu dia akan pulang pada 19hb November. Rupa-rupanya dia telah sampai ke Amphawa bersama-sama rombongan akademik dari US. Kebetulan pula saya tengah memandu menyebabkan saya tidak dapat bercakap lama dengan suami, maka telefon saya serahkan kepada anak untuk bercakap. Entah apa yang dibualkan oleh dua beranak itu.

    Tiba di rumah, saya mendapat SMS daripada suami memberitahu, telefon bimbitnya telah jatuh ke dalam air, dan dia terpaksa meminjam telefon daripada kawan. Telefonnya telah dihantar ke pusat servis Nokia di Bangkok.

    19 hb November, saya menerima lagi SMS daripada suami, kali ini bukan lagi nombor Maxis di sini, tetapi nombor prabayar Thailand kerana lebih menjimatkan berbanding menggunakan khidmat roaming Maxis.

    Khabar SMS itu tidak memberangsangkan kerana jadual pulang beralih lagi. Penerbangan terpaksa ditunda kerana banjir telah menghalang laluan dari Amphawa ke lapangan terbang. Katanya pihak Universiti Chulalongkorn (CU) akan uruskan semula penerbangan ke Kuala Lumpur.

    Saya menjadi pelik, macam mana suami saya dan rombongan akademik lain itu boleh sampai ke Amphawa dari Bangkok kalau banjir telah menghalang laluan. Lalu saya mendapat jawapan SMS yang agak panjang untuk menjelaskan keadaan, barangkali dia memahami kebimbangan kami di sini:



    Water travel from north & north of Bangkok. Ayuthia got hit first. Centre of Bangkok is protected by canal's dykes while east & west of Bangkok're under. We went to Amphawa before dykes were broken or overflowed. Waiting for CU's arrangement. In order to go to airport we've to pass Bangkok. Amphawa's south east of Bangkok & airport's south west of Bangkok.

    Daripada keterangan itu, saya dapat gambaran keadaan Bangkok masih lagi digenangi air bah yang maha banyak walaupun sedang menyurut. Belum ada tanda-tanda yang sahih bila dapat pulang ke Kuala Lumpur.

    Aduhai ... anak dah mula bertanya kenapa Papa lama sangat pergi kerja. Sudah dua hari demam. Hari ini saya bekerja maka saya terpaksa menghantarnya ke rumah Emak. Saya tidak hantar ke tadika kerana khuatir dengan keadaan Ammar yang barangkali demam kerana teringatkan ayahnya (belum pernah ditinggalkan selama itu). Konvokesyennya pun Papa tak dapat datang.

    Sabar sajalah Ammar oi, doakan moga semuanya selamat. Saya juga bersyukur kerana tidak perlu tinggal di Amphawa kerana mengikut perancangan asal hampir tujuh tahun dulu, saya sepatutnya berhijrah ke Amphawa mengikut suami kerana beliau banyak berurusan dengan CU. Alhamdulillah, mujur tak jadi ... !

    Monday, November 14, 2011

    SEKITAR MAJLIS KONVOKESYEN TADIKA HASANAH

    Semalam Ahad, 13 November 2011, telah berlangsunglah MAJLIS KONVOKESYEN TADIKA HASANAH bagi sesi 2011. Majlis telah diadakan di Auditorium, Arkib Negara.

    Saya, Emak dan tentunya Ammar Hadi berpagi-pagian lagi ke Arkib Negara. Memang menjadi kelaziman saya kalau hendak ke mana-mana, mesti awal bagi mengelak perkara-perkara yang tidak diingini.

    Alhamdulillah, mudah berjumpa lokasinya malah menjadi orang pertama tiba. Pintu auditorium pun belum lagi dibuka. Hanya kelihatan urusetia berlegar di luar.

    Seronok melihat anak-anak pelbagai ragam. Cuma agak ralat melihat sesetengah hadirin yang sememangnya bermentaliti Malaysia (Malaysia totok lebih tepat).

    Surat pengesahan kehadiran yang sudah lama diedarkan oleh guru-guru di unit tadika masing-masing jelas memberitahu bahawa ruang auditorium adalah terhad. Dan ibu bapa diminta isi hanya dua nama untuk hadir dek kerana ruang yang terhad. Tetapi semalam ada yang datang segerombolan keluarga hingga auditorium melimpah-ruah.

    Saya juga ralat melihat ada seorang ibu yang datang ke majlis itu tanpa memakai tudung, baju pula hanya t-shirt lengan pendek sendat dan jeans. Satu-satunya ibu yang tidak bertudung. Sedangkan anak yang bakal menerima skrol (malah antara anak yang cemerlang) pada hari itu datang dengan pakaian formal dan cantik bertudung.

    Paling tidak pun, kalau sudah tahu menghantar anak 'mengaji' di tadika Islam, apa salahnya berpakaian sopan untuk hari berkenaan kalaupun tidak mahu bertudung. Maka semalam saya mengenakan baju kurung 'manik dan labuci' kerana mahu meraikan anak. Bagi saya konvokesyen tadika anak sama pentingnya dengan konvokesyen penerimaan anugerah ijazah kedoktoran.

    Ayah saya apabila menghadiri konvokesyen anak-anak, tidak pernah sekalipun berpakaian biasa. Ayah akan mengenakan suit lengkap bertali leher. Cuma kebelakangan ini kerana sudah lanjut usia tidak sesuai lagi berpakaian demikian, Ayah memakai agak kasual namun masih lagi dalam kategori rasmi dan kemas.

    Bagi saya biarpun hanya majlis konvokesyen taraf tadika, ibu bapa sewajarnya berpakaian kemas (malah dinyatakan di dalam surat kehadiran supaya ibu bapa berpakaian kemas).

    Apa pun, majlis tetap meriah. Dan pada saat itulah saya rasa patut ada kamera yang lebih canggih untuk merakam peristiwa bersejarah anak. Kamera sedia ada kurang sesuai untuk kegunaan di dalam dewan seperti itu. Dan saya pula memang kerap menggunakan kamera dalam kehidupan seharian. Insya-Allah, akan beli juga nanti, yang lama boleh beri pada Ammar kerana nampaknya dia juga mula meminati fotografi!



    Thursday, November 10, 2011

    AIDILADHA 1432

    Raya Korban tahun ini merupakan kali kedua saya menyambutnya tanpa suami kerana sehari sebelum Aidiladha menjelma, dia telah berangkat ke Laos dan seterusnya ke Kemboja selama 10 hari di bawah program dan tajaan UNESCO sebagai 'visiting lecturer' mewakili Universiti Chulalongkorn.
    Dua tahun lepas pun hal yang sama berlaku.
    Sepatutnya beliau bertolak pada 1 November tetapi terpaksa ditunda ke 5 November akibat Qantas Airline yang mogok.
    Apa yang menyedihkan, sebelumnya dia telah berjanji untuk menghadiri majlis 'konvokesyen' Ammar Hadi yang akan berlangsung pada Ahad ini 13 November. Namun, akhirnya janji terpaksa dimungkiri atas tuntutan kerja.
    Nampaknya, terpaksalah 'Atok' Ammar menggantikan tempatnya di majlis konvokesyen yang akan diadakan di Auditorium Arkib Negara!
    Kasihan anakku!
    Teringat pada kata-kata anak saya sewaktu memberitahu ayahnya, "Nanti Papa pergi konvokesyen Ammar tau."



    Harapnya, Ammar tidak berkecil hati ketika kawan-kawannya yang lain datang bersama ibu dan ayah masing-masing.
    Maka pada petang 5 November, saya dan Ammar terus ke rumah Mak Ayah tidur di sana untuk menyambut Aidiladha esoknya.
    Pagi raya, kami bersolat sunat Aidiladha di Masjid UIA, PJ (Masjid Al Malik Faisal).
    Tahun ini Emak korban seekor lembu dengan kesemua tujuh bahagian diniatkan ke atas nama keenam-enam anak dan suaminya. Dan adik saya menambah sendiri satu bahagian lagi menjadikan kesemuanya lapan bahagian.
    Korban dilaksanakan di Masjid Hidayah, Sg. Pencala. Terima kasih kepada sahabat saya Pn Hajah Jalilah (Editor Q&A) yang menjadi wakil dan menguruskan korban tersebut.
    Awalnya kami hendak pergi sendiri menyaksikan korban kerana itu lebih afdal, di samping membawa anak-anak melihat lembu dikorbankan. Tetapi dek kerana banyak masalah (ada yang sakit gout, ada yang belum sampai) terpaksalah membawa anak-anak ke Masjid Makmuriah berdekatan rumah Mak untuk melihat acara korban.
    Zuhurnya saya mendapat SMS daripada Pn Jalilah, memberitahu daging korban sudah boleh diambil. "Bawa besen tau," pesan beliau.
    Maka berangkatlah kami ke masjid Sg. Pencala untuk mengambil daging korban.
    Nasib baiklah adik saya menambah satu bahagian korban lagi, dapatlah Mak merasa daging korban kerana korban Mak yang diniatkan ke atas nama anak-anak dan Ayah adalah nazar Emak. Sembelihan kerana membayar nazar, tidak boleh dijamah oleh orang yang bernazar itu. Diharamkan ke atasnya makan daging nazarnya.
    Setelah dibahagi-bahagikan daging korban kepada orang yang patut, yang bakinya digoreng, disinggang dan dibuat sup. Sebaik sup dan singgang sejuk, segala lemak kolesterol yang menjadi beku dibuang.
    Dua hari berturut-turut makan daging korban. Enaknya. Isi dalam tulang 'gear box' bagi budak-budak aje. Orang tua dah tak sesuai memakannya. Jangan cari penyakit!

    Thursday, November 3, 2011

    MENANGANI SALAH FAHAM AGAMA DALAM BERAMAL

    Tidak sabar rasanya menunggu kelahiran majalah baru terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd.

    Q&A itulah nama majalah tersebut. Jika ditanya, mengapa tidak sabar? Bagi saya, kerana para kolumnis/penulisnya terdiri daripada para ulama dan pendakwah hebat lagi tersohor di tanah air kita.

    Sidang editorial Q&A di Jabatan Penerbitan kini sedang bertungkus-lumus dan bekerja keras bagi memastikan penerbitannya berjalan lancar dan menjadi realiti, insya-Allah.

    Q&A diterbitkan bagi menangani salah faham agama dalam beramal. Pelbagai fahaman dan amalan songsang dalam beragama kini semakin menular di Malaysia ini: Syiah, Wahabi, dan bermacam ajaran sesat.

    Ajaran-ajaran ini semakin hari semakin menyesatkan umat Islam di negara ini. Jika tidak ditangani dan dibendung, tidak mustahil umat Islam Malaysia yang bertaklidkan Ahl al-Sunnah Wa al-Jamaa'ah bakal terancam (tepatnya sedang terancam kini).

    Maka itulah, lahirnya majalah Q&A ini yang insya-Allah akan terbit sedikit masa lagi.

    Teringat pada kisah yang Ayah saya ceritakan. Pada suatu hari seorang hamba Allah berdialog dan mencabar Ayah saya. Hamba Allah ini mentalitinya nampak cenderung ke arah fahaman Wahabi. Dia mempersoalkan tentang banyaknya amalan umat Islam hari ini yang bidaah, tidak disuruh oleh Allah dan Nabi SAW. Itu ini bidaah.

    "Bidaah," katanya. "Tak ada dalam al-Quran," ujarnya lagi. Menurutnya banyak zikir dan doa termasuk yang ada dalam al-Ma'thurat itu adalah bidaah dan tidak wajar kita amalkan. Baginya, apa yang tidak diajar dan diperintah oleh Allah melalui al-Quran semuanya adalah bidaah.

    Sebagaimana yang kita maklum dan faham, bidaah itu ada yang elok dan tidak elok. Yang elok itu dinamakan bidaah hasanah. Harus kita amalkan. Bidaah yang nyata salah, hendaklah ditinggalkan.

    Lalu Ayah saya menjawab dengan pertanyaan kepada hamba Allah ini, "Kamu kalau demam, macam mana nak buat?"

    Jawab hamba Allah ini, "Saya makan Panadol."

    Jawab Ayah saya, "Pasal apa makan Panadol? Bukankah di dalam al-Quran Allah tidak menyuruh kita makan Panadol bila sakit? Tidak bidaahkah?"

    Kantoilah hamba Allah ini, lalu terdiam.

    Pengajarannya, kalau ilmu agama cetek jangan mencabar orang yang lebih berpengetahuan. Dan kalau ilmu kita juga cetek, jangan cuba-cuba menyahut provokasi orang berfahaman songsang seperti si Wahabi ini, kerana berkemungkinan kita akan kalah berhujah dengannya. Malah jawapan kita mungkin menjadi bahan ketawanya dan boleh dimanipulasikan olehnya. Biarlah alim ulama saja yang menjawabnya. Pun demikian, dari semasa ke semasa hendaklah kita tingkatkan ilmu agama kita dan beramal sungguh-sungguh, agar suatu masa nanti, kita juga mampu berhujah dengan golongan ini.

    Maka, dapatkan majalah Q&A apabila dipasarkan nanti untuk memperkasakan ilmu di dada.











    Barisan panel penulis Q&A.


    Monday, October 31, 2011

    CERITA BANJIR


    Semalam kami adik-beradik sekeluarga berkumpul di rumah Mak Ayah untuk majlis jamuan kecil keluarga. Jamuan ditaja oleh kakak saya.


    Riuh-rendahlah rumah orang tua saya dengan anak cucu.


    Hujan yang sangat lebat tidak menjejaskan suasana cucu-cucu yang dengan cerianya bermain membuat sepah.


    Menjelang senja, selepas hujan lebat, Ayah saya selesai mengajar di Akademi Pengajian Islam, UM. Adik saya menjemputnya balik dari UM. Sebelumnya saya yang menghantarnya ke UM.


    Setiba Ayah ke rumah, dia terus naik tingkat tiga. Sejurus kemudian dia bergegas turun semula ke tingkat bawah.


    "Cepat, cari kain lap, banjir di tingkat tiga dah masuk sampai ke bilik."


    Maka bergotong-royonglah pula kami mencedok dan menolak air banjir di tingkat tiga. Rumah orang lain kalau hujan lebat akan banjir di aras bawah dahulu. Tapi rumah Ayah saya air hujan masuk ikut balkoni,biarpun kawasan rumah bukanlah kawasan yang dilanda banjir.


    Agak teruk juga air masuk hingga ke paras buku lali.


    Yang paling seronok tentulah cucu-cucu Mak Ayah.


















    Menyentuh tentang banjir, semalam adik saya bercerita tentang kenalannya dari Thailand. Kenalannya itu memberitahu kisah di sebalik banjir besar yang sedang melanda Bangkok sekarang.



    Katanya ia adalah bala daripada Allah kepada hamba-Nya yang bercakap angkuh.


    Kisahnya ketika kempen pilihan raya tidak lama dahulu, Yingluck Shinawatra bercakap sungguh angkuh ketika berkempen di selatan Thai yang penduduknya terdiri daripada penduduk Islam.


    Shinawatra dalam kempennya berjanji untuk membantu umat Islam di selatan Thai. Katanya tidak ada orang lain yang boleh membantu melainkankan dia. Antara kata-katanya yang angkuh kepada umat Islam Thai, "Tuhan kamu pun tidak boleh membantu kamu."


    Khabarnya selepas dilanda banjir besar itu, Perdana Menteri Shinawatra meminta maaf kepada umat Islam di selatan Thai terhadap kenyataan angkuhnya itu. Sekarang tiada siapa yang boleh membantu mengatasi banjir besar itu. Maka jawab penduduk Islam selatan Thai, "Buat apa minta maaf dengan kami, minta maaflah kepada Allah."


    Pengajarannya, jagalah lidah. Jangan terlajak kata hingga mengundang murka Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa di atas segala makhluk ciptaan-Nya.

    Thursday, October 27, 2011

    KESAN ZIKIR

    "Ustaz, semakin banyak saya berzikir mengingati Allah, semakin banyak pula ujian menimpa. Macam mana ya ustaz? Bukankah dengan zikrullah hati semakin tenang, Allah semakin sayang?" Ayah saya pernah diajukan soalan sedemikian.

    "Itulah kesannya. Semakin banyak kita mengingati Allah dengan zikir, semakin banyak ujian. Ujian itu menunjukkan perhatian yang Allah beri kepada kita kesan daripada zikir yang kita buat." Lebih kurang begitu jawapan yang Ayah berikan.

    Kemudian Ayah memberi analogi, "Apabila kita demam kita telan Panadol, makan ubat. Apabila ubat tu sudah menampakkan kesan, kita jadi kebah, segar dan sakit-sakit mula kurang. Begitu jugalah kesan zikrullah. Ujian-ujian yang datang itulah kesannya. Cara Allah begitu, semakin Dia sayang, semakin banyak ujian yang dia beri. Itu cara Dia untuk mengangkat darjat kita ke tahap yang lebih tinggi ... ."

    Saya mendengar penjelasan dan anologi itu penuh khusyuk. Jika kita berzikir, tapi ujian tak seberapa, ertinya zikir kita itu belum menampakkan kesannya. Kita belum mendapat perhatian daripada-Nya. Barangkali hanya lidah yang berzikir, tapi hati kita tetap kering kerana tiada keikhlasan ketika berzikir. Itu rumusan yang saya buat!

    Zikir, tidak susah untuk dilakukan, tapi amat payah untuk kita jadikan amalan harian yang tegar dek kerana diri diselimuti noda dosa yang tidak berkesudahan.

    Aduhai ...

    Monday, October 24, 2011

    KALAU MENGHANTAR E-MEL ... .

    Sejak akhir-akhir ini, saya menerima banyak e-mel daripada penulis dan mereka yang mahu menulis. Ada yang menghantar proposal dan bertanyakan itu dan ini. Saya perlu melayannya setiap satu. Terkadang ada e-mel yang saya terlepas pandang.

    Sejak itu juga, saya dapati waktu bekerja saya di pejabat banyak juga diperuntukkan untuk membaca dan membalas e-mel mereka ini menyebabkan kerja semasa saya menjadi agak kelam-kabut dan lintang-pukang serta terbantut dan tersasar daripada tarikh siap.

    Satu nasihat saya kepada mereka yang mahu menghantar e-mel, tulislah ringkas-ringkas dan terus kepada maksud. Tidak perlu kepada bahasa-bahasa bunga dan berbasa-basi yang mengambil masa untuk saya baca dan mencari tujuan sebenar e-mel dihantar.

    Teruskan kepada persoalan dan kemusykilan. Saya amat menghargainya.


    KEEP IT SHORT & STRAIGHT TO THE POINT!

    Monday, October 17, 2011

    LAIN YANG DITEMPAH, LAIN YANG DAPAT

    Sejak Pn. Zie pencen daripada menerima tempahan jahitan baju, saya mengalami masalah besar hendak menempah baju.

    Saya cuba-cuba juga hantar ke kedai yang menerima tempahan yang ada di sekitar pejabat ni, tapi semua perkhidmatannya tidak memuaskan hati.

    Suatu ketika saya menghantar tempahan baju Melayu anak saya. Setelah siap, pinggang seluarnya sangat ketat. Maka terpaksalah saya menghantar semula kepada tukang jahit itu.

    Pada hari dijanjikan siap, maka saya pun pergi ke kedainya untuk mengambil seluar tersebut. Tapi pak cik tukang jahit itu tidak ada, hanya pekerja Bangladeshnya saja yang ada dan tidak memahami pertanyaan kita.

    "Boss not here. Come back tomorrow," katanya.

    Esoknya saya pergi lagi, perkara sama berulang, "Boss not here, come back tomorrow."

    "Itu aje agaknya yang dia tau cakap." Komen saya yang dah mula 'angin'.

    Saya berulang alik ke kedai tukang jahit itu tidak kurang sebanyak enam kali baru berjaya menemui pak cik itu. Tapi malangnya ubah suai seluar anak saya tidak siap lagi. Kali ketujuh saya pergi barulah dapat seluar itu.

    Saya mencari pula tempat lain. Kali ini untuk menjahit sepasang baju kurung sutera batik.

    "Ikut sebijik macam baju contoh ni ya. Tak mahu span bahu. Poket tu jangan lupa sebelah kanan." Saya amat pantang baju kurung tanpa poket.

    Pada hari Sabtu ketika saya hendak masuk ke kereta untuk menghadiri kenduri kahwin Adawiyah, staf pejabat, saya menerima SMS, "Baju dah siap."

    Sepulang dari kenduri, saya singgah untuk mengambil baju saya.

    Terkejut badak saya dibuatnya. "Lain yang aku tempah, lain yang aku dapat," saya mengomel. Daripada harga RM40 menjadi RM80.

    Apa tidaknya. Ditambahnya manik dan labuci yang saya tidak suruh. Span bahu setebal setengah inci turut diletaknya. Tiba di rumah baru saya perasan, baju saya tiada poket.

    Mentang-mentang kain jenis mahal, disangkanya saya mahukan manik-manik dan labuci. Hendak dibuka semuanya, akan merosakkan kain pula.

    Sekarang baju itu tidaklah dapat saya campakkan ke dalam mesin basuh. Kalau hendak cuci terpaksalah basuh berasingan atau dihantar dobi untuk dry cleaning.

    "Satu kerjalah pulak, kena tambah kos untuk 'maintainance'," bebel saya. Entah bila saya nak pakai baju sedemikian. Sudahlah tak ada poket. Bagi saya poket pada pakaian saya amat kritikal perlunya.

    Mujur jugalah kain itu percuma, pemberian kakak ipar yang keluarganya merupakan pengusaha batik. Kalau hendak beli memang saya tak beli kain mahal-mahal.

    Sekarang saya cuma hantar tempahan baju kurung kepada biras adik saya. Kualiti jahit setanding Pn. Zie, cuma masalahnya, lambat betul hendak siap. Kekadang hampir empat bulan. Tapi itu lebih baik daripada tersilap jahit.

    Susah hendak cari tukang jahit secekap Pn. Zie. Dulu saya pernah menghantar pada Pn. Zie enam pasang sekali gus (baju saya, baju emak, baju kakak dan anak-anaknya). Lebih kurang dua minggu sudah siap tanpa sebarang komplen daripada kami.

    Baju Melayu nikah adik dan abang saya semua Pn. Zie yang jahit. Baju kurung poket berzip Emak saya yang dipakai buat pergi umrah pun Pn. Zie juga yang jahit. Emak saya sekarang pun puas fikir nak hantar tempahan bajunya pada siapa. Kain pasang saya yang dihadiahkan orang penuh dua laci ... kat mana nak ditempah? Sebahagian besarnya pun telah saya hadiahkan kembali pada orang.

    Sabar je laaaa ... .


    OH MANIK OH LABUCI ... kuang kuang ...

    Wednesday, October 12, 2011

    ANTARA BAJU KURUNG DAN SELUAR

    Saya pernah ditanya oleh seorang kawan, "Engkau kalau nak ke mana-mana pakai seluar atau baju kurung?"

    "Tengok keadaan dan tempatlah," jawab saya.

    Zaman dulu sehingga awal kemasukan saya ke kampus, saya lebih gemar berbaju kurung. Lama-kelamaan apabila sering perlu berkejar ke sana ke mari dan perlu sentiasa bergerak pantas, saya kerap mengenakan seluar.

    Antara memakai baju kurung dan seluar ada pro dan kontranya.

    Yang paling ketara sekali kelebihan baju kurung atau skirt labuh adalah apabila masuk ke tandas. Ia lebih praktikal kerana kain diangkat naik dari bawah ke atas. Sebaliknya jika berseluar ia perlu diturunkan dari atas ke bawah. Jika tidak berhati-hati dan lantai pula basah, silap hari bulan, kaki seluar basah terkena air di lantai. Lebih-lebih lagi jika seluar kita itu diperbuat daripada material yang licin, mudah sangat ia melorot ke bawah. Terkadang menimbulkan waswas apabila hendak solat ... bersih ke tidak?

    Itu antara jawapan saya kepada rakan itu.

    "Habis tu orang lelaki macam mana ek hari-hari pakai seluar pergi kerja? Nak duduk atas 'toilet' kena buka seluar ... ." Mula menerawang jauh fikiran sahabat saya itu, entah apa yang dibayangkan di dalam kepalanya.

    "Alaaa ... majoritinya kencing berdiri, percayalah. Tak susah mana nak buka seluar kalau setakat kencing berdiri." Itu jawapan saya.

    Jika tidak kerana majoriti lelaki kencing berdiri, masakan disediakan mangkuk-mangkuk tandas untuk kencing berdiri di dinding ruang terbuka tandas awam? Bagi sesiapa yang tiada perasaan malu dan tidak kisah kalau tidak bersuci selepas membuang air kecil, silakanlah ...!

    Tolak ke tepi bagi lelaki bukan Islam, lelaki Islam pun ramai yang kencing berdiri sengaja mengundang laknat Allah. Tidak hairanlah antara sebab seseorang itu mendapat seksa kubur adalah apabila terlekat najis pada dirinya.

    Risiko untuk percikan kencing terkena pada pakaian amat tinggi apabila kencing berdiri. Maka itu tiap kali anak saya hendak membuang air kecil, saya berpesan supaya dia duduk bukan berdiri. Terkadang terpaksa meninggikan suara apabila dia terlupa.

    Bagi anda yang perempuan, bagaimana? Memilih seluar atau baju kurung?

    Monday, October 10, 2011

    SARAPAN HARI INI

    Saya amat jarang bersarapan di luar. Selalunya saya membawa bekal. Kalau beli pun, saya akan bawa balik makan di pejabat kerana itu lebih menjimatkan masa.

    Bagaimanapun pagi ini saya menukar angin. Saya memilih KFC untuk bersarapan kerana di situ ada ATM bagi memudahkan saya mengeluarkan wang. Suasananya pun lebih nyaman.

    Kebetulan pada pagi ini, di KFC itu ada 'show' daripada kakitangannya, ditonton oleh sebarisan pihak 'management' restoran segera itu.

    Persembahan yang saya kira bertemakan 1 Malaysia dan berkonsepkan 'happy hour'. Dipersembahkan oleh staf remaja, barangkali sebagai latihan untuk persembahan peringkat kebangsaan bagi seluruh cawangannya, wallahua'lam ... itu saya kurang pasti.

    Menu KFC telah diakui dan disahkan halal oleh JAKIM, malah itulah yang menjadi kebanggaan restoran berkenaan di peringkat antarabangsa sekalipun. Pun demikian, apabila saya menyaksikan persembahan tadi, saya jadi jelik. Menunya memang halal, namun dari segi pergaulan dan pakaiannya tidaklah halal.

    Ber'high five' lelaki perempuan dengan selambanya, bertudung tapi berlengan pendek dan sebagainya.

    Malas saya hendak memikirkannya.

    Alangkah baiknya kalau ada RFC dekat-dekat sini yang nyata 100 peratus halal dari segi makanan, pakaian, pergaulan dan akhlak di kalangan kakitangannya. Ini kerana 'induk' kepada RFC dan rangkaian perniagaannya di bawah payung HPA merupakan orang yang benar-benar memahami dan melaksanakan Islam.

    Friday, October 7, 2011

    NIKMAT RASA

    Antara nikmat Tuhan kepada kita yang jarang kita syukuri ialah nikmat rasa. Termenung sebentar saya memikirkan andainya Tuhan tidak memberikan 'rasa' kepada kita.

    • Kalau kita tidak diberi rasa kenyang, kita mungkin akan makan hingga muntah dan pecah perut.
    • Kalau kita tidak diberi rasa lapar pula, kita mungkin tidak akan makan kerana kita tidak menyedari kita sedang lapar dan kebuluran ... sedar-sedar dah terkulai dek lemah dan malnutrisi.
    • Kalau kita tidak diberi rasa sakit, barangkali kita tidak tahu pun ada penyakit sedang bersarang dalam tubuh hingga kita anggap tidak perlu berjumpa doktor.
    • Kalau kita tidak diberi rasa mengantuk barangkali kita tidak akan tidur sepanjang hayat untuk merehatkan minda dan setiap anggota dan organ tubuh.
    • Kalau kita tidak diberi rasa untuk membuang air barangkali tubuh kita berlumuran dengan najis dan kencing, perlu pula pakai lampin.
    • Kalau kita tidak diberi rasa takut, mungkin kita berani melanggar segala perintah yang dikenakan undang-undang baik undang-undang Allah, mahupun undang-undang manusia.
    • Kalau kita tidak diberi rasa berani, barangkali kita akan jadi katak bawah tempurung takut hendak ke mana-mana dan membuat sebarang pekerjaan.
    • Kalau kita tidak diberi rasa kasih dan sayang, barangkali kita akan menjadi orang yang tidak berperasaan dan zalim.

    Terlalu banyak nikmat rasa untuk disenaraikan. Panjatkanlah rasa syukur kita kepada Allah Taala yang memberi segala rasa nikmat itu!

    Monday, October 3, 2011

    TAKZIAH & TAHNIAH

    TAKZIAH

    Takziah diucapkan kepada keluarga dan sanak-saudara terdekat sepupu saya, Allahyarham Farid yang meninggal dunia pada Isnin lalu. Semoga sabar menempuh dugaan dan sama-sama kita doakan rohnya ditempatkan bersama orang-orang beriman.

    Allahyarham koma sekian lama ekoran pembedahan jantung 'by-pass' kali kedua. Sebelum ini Allahyarham pernah menjalani pembedahan serupa. Tapi sudah lama dulu!

    Hanya adik saya pulang berziarah pada hari kematian.

    Sepupu saya ini penyokong tegar PAS. Menurut cerita adik saya, beliau telah berwasiat andainya mati, beliau mahu Ustaz Pi, YB PAS Daerah Kemuning untuk mengimamkan solat jenazahnya. Ustaz Pi juga sepupu saya.

    Cerita adik saya lagi, ketika hendak dikebumikan, kelihatan pula pemuda-pemuda UMNO turut membantu. Ini kerana isteri kepada Allahyarham adalah anak saudara kepada Tan Sri Anuar Musa.

    Rumusan yang saya buat daripada cerita pemergian Allahyarham ini adalah kolaborasi antara PAS dan UMNO dapat dilaksanakan hanya pada sebuah kematian!


    TAHNIAH!

    Tahniah saya ucapkan kepada sepupu saya, Dr Nur Samihah binti Abdullah Sudin. Majlis perkahwinannya pada Sabtu baru lalu. Hanya Emak dan adik saya bersama isteri dan anaknya dapat pulang. Kami yang tidak dapat pulang hanya mengirimkan hadiah.

    Khabarnya majlis perkahwinan itu cukup meriah. Sungguh ramai jemputan. Berbuah-buah bas datang membawa jemputan. Maklum sahaja ayahnya Dr Abdullah Sudin yang kami panggil 'Ayah Din' itu merupakan tokoh akademik yang tidak asing lagi dan cukup dikenali. Maka ramailah kenalan yang datang.

    Khabarnya juga, emak saudara saya (ibu pengantin) sudah 'bertaubat' untuk mengadakan majlis besar-besaran sedemikian pada masa-masa akan datang kerana terlalu penat menguruskannya dan melayan tetamu. Itu belum dikira para doktor dari hospital rakan sekerja pengantin!
    (Waduh hebat majlis awak Mihah!)

    Sabar sahajalah ya, mudah-mudahan hayat perkahwinan berkekalan berkat kehadiran tetamu yang ramai hingga melimpah-ruah ke jalan raya (khabarnya).


    TAHNIAH LAGI

    Tahniah juga saya ucapkan kepada kakak saya Husna, yang pada hari ini merupakan hari bersejarah baginya kerana pada pagi ini bakal menerima skrol Ijazah Kedoktorannya dalam bidang Undang-undang dari Universiti Malaya.

    Anak sulungnya sejak semalam lagi 'muncung' kerana terpaksa bangun pagi untuk menghadiri majlis graduasi itu dan perlu berada di DTC (Dewan Tunku Canselor) selama berjam-jam sepanjang tempoh majlis berlangsung.

    Anak kedua juga tidak kurang muncung kerana badannya sakit-sakit ekoran bermain hoki di sekolah. Kata doktor ada tisu terkoyak, sebab itu tangan tak boleh diangkat.

    "Macam manalah Adik nak duduk dalam dewan tu lama-lama," lebih kurang begitu komennya semalam.

    Tak apalah Dik, telan ubat dulu sebelum pergi! Katanya doktor beri lima jenis ubat ... aduh banyak betul!

    Friday, September 23, 2011

    HARI INI

    "Ting tong ... ting tong ... " penggera jam telefon bimbit. Saya terjaga daripada tidur. Buntang terus mata, hilang terus kantuk yang lazimnya setiap hari apabila terjaga masih terpisat-pisat lagi. Tetapi hari ini sebaliknya.

    Saya melihat jam, "SUBHANALLAH, ASTAGHFIRULLAH." Agaknya sudah berapa lama jam telefon saya menjerit, tetapi saya tidak terjaga kerana tidur mati.

    Jam sudah tujuh pagi. Saya menghala pandangan ke tingkap. Sudah terang di luar. Kelam-kabut mengejutkan anak. Suami saya pun saya sudah tak kisah di mana. Terkadang lepas Subuh baru dia pulang daripada kerja.

    Lintang-pukang, "Subuh gajah aku hari ini, ampun ya Allah, tak sengaja." Selalunya paling lewat saya akan bangun jam lima pagi.

    Saki-baki darah rendah ada lagi dua hari lepas ada lagi ... . Tengah hari semalam, juga saya terlupa menjemput anak saudara di sekolah, kasihan. Sudahnya dia berjalan kaki pulang dalam cuaca panas terik. Lupa itu ini pun berkait dengan darah rendah juga gamaknya.

    Saya tiba di pejabat lewat daripada hari-hari biasa. Paling lewat pun jam 7.50 pasti sampai. Hari ini finger print attendance saya jam 8.05 pagi. Waktu masuk pejabat saya jam lapan pagi. Lima minit lambat. Uwaaaaaa .... :(

    Thursday, September 22, 2011

    KU SANGKA GASTRIK RUPANYA DARAH RENDAH

    Pagi semalam saya bangun dengan rasa pening pusing-pusing. Saya buat tak tahu saja. Bila nak berdiri dan berjalan, macam terhoyong-hayang.

    Saya tahankan dan berdoa semoga selamat memandu untuk menghantar anak ke tadika.

    Selesai menghantar anak, "Nak pergi klinik ke tidak? Nak pergi klinik ke tidak?" saya dalam dilema dan teragak-agak. Lalu saya putuskan untuk terus ke pejabat kerana baru teringat, jam 9 pagi ada bengkel pengucapan awam yang diwajibkan saya hadir. Kalau ke klinik dulu, nanti orang kata cuba mengelat dan mengelak pula.

    Sampai di pejabat, makin lama makin berpinau. Ketika duduk di dalam bengkel, apa yang disampaikan pun saya tidak mampu fokus, masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Tengkuk berpeluh-peluh dan terasa loya.

    "Macam gastrik aje," saya bermonolog kerana saya pernah dulu dua tiga kali juga kena gastrik. Simptomnya lebih kurang begitu.

    Ketika bengkel berhenti untuk rehat 15 minit, saya tidak mampu tunggu lagi, berpesan kepada seorang teman, kalau orang cari saya dalam bengkel itu, maklumkan saya ke klinik.

    Maka saya terus ke klinik, memandu dengan penuh waspada.

    "Darah rendah ni," kata doktor selepas memeriksa tekanan darah dengan bacaan tekanan 65.

    Saya dibekalkan ubat pening dan loya, diberi MC separuh hari dan disuruh pulang dan tidur.

    Saya pulang ke pejabat untuk mengambil barang-barang peribadi, menutup komputer dan menyerahkan MC dan tidak meneruskan kehadiran di bengkel itu.

    Ketika memandu pulang, "Allah, mengapa pula aircond ni?" Aircond kereta pula buat hal. Tiba-tiba saja hilang sejuk, angin pun tak keluar. Habis gas agaknya.

    Terasa seperti berada dalam sauna. Buka tingkap pun tak terasa. Bahangnya meruwap. Saya hampir pitam, sudahlah kepala sedang pening berpusing-pusing.

    Saya tidak jadi pulang ke rumah sendiri, sudahnya saya ke rumah Emak yang lebih dekat.

    Tiba di rumah Emak, saya tidur dan terjaga jam lima petang. Subhanallah. Empat jam tidur. Four solid hours!

    Alhamdulillah, tidur yang mujarab, terasa segar sedikit. Saya bergegas bersiap untuk ambil anak.

    Saya kerap juga pening-pening begitu khasnya kalau tidak cukup tidur dan rehat mudahlah terjadi tekanan darah rendah. Cuma tidaklah seteruk semalam. Dua tiga hari lepas saya memang tak cukup rehat dan tidur lewat kerana 'mengerjakan' rumah yang sudah tidak sepertinya itu. Malam semalam pula selepas mengemas, teringat pula teks ucapan yang patutnya disediakan untuk praktis dalam bengkel belum dibuat. Maka saya paksa diri stay up hingga lewat malam memikirkan teks ucapan tersebut.

    Sudahnya, terjadilah peristiwa yang tak disengajakan dan tak diingini.

    Dulu pernah sekali saya kena darah rendah yang serupa teruknya, seminggu menjaga anak di hospital. Sebaik anak keluar wad, saya pula yang terhoyong-hayang pening.

    Sewaktu di kampus dulu, saya hanya mendapat B+ untuk subjek English Literature kerana hanya menyerahkan satu jawapan daripada dua assignment yang diberi. Semuanya gara-gara saya tidak mampu berjaga malam untuk menyiapkannya. Sempat siap satu sahaja kerana saya sudah pening. Kopi atau apa sahaja petua untuk berjaga malam tidak mujarab bagi saya. Ubatnya cuma tidur.

    Di pejabat, kalau mula terasa pening-pening saya akan tidur sekejap di meja kerja. Kalau rasa agak berat, barulah ke klinik, orang tak perasan pun ketiadaan saya seketika.

    Apa pun, mujur juga bukan gastrik, kalau gastrik takut pula berkait dengan penyakit-penyakit gastro yang lain.

    Hari ini, saya terpaksa juga menguzurkan diri dari menghadiri bengkel hari kedua, untuk membetulkan aircond kereta. Maklumlah kalau hujan lebat dan panas, macam mana hendak memandu? Tidak mungkin memandu dengan membuka tingkap, mengundang bahaya, apalagi jika penumpangnya anak kita.

    Monday, September 19, 2011

    DUA MAJLIS PERKAHWINAN

    Seperti kebanyakan orang lain sepanjang Syawal ini jadual hujung minggu padat terisi dengan agenda rumah terbuka dan undangan kahwin.

    Semalam saya sempat menghadiri dua buah majlis perkahwinan. Yang pertama di Bukit Damansara yang kebanyakan jemputan terdiri daripada orang kelas atasan. Majlis kedua pula adalah golongan yang berlawanan dengan majlis pertama.

    Majlis pertama

    Majlis diadakan di Dewan Komuniti Bukit Antarabangsa Kuala Lumpur. Waktunya dari jam 12 tengah hari hingga jam tiga petang. Lazimnya majlis perkahwinan yang saya hadiri hingga jam 4.30 petang.

    Barangkali masa yang diperuntukkan tidak panjang yakin hingga jam tiga, maka jemputan agak padat di dalam dewan. Sehingga ada yang tercangak-cangak berdiri memegang pinggan berisi nasi, mencari meja untuk menikmati hidangan yang disajikan secara bufet.

    Biarpun majoriti terdiri daripada kelas atasan, ada segelintir yang mentalitinya agak rendah. Jemputan yang telah lama selesai makan masih lagi duduk-duduk, bersantai dan sembang-sembang di meja tanpa memikirkan jemputan yang baru tiba hendak duduk dan makan. Mereka ini terdiri daripada anak-anak muda yang tiada rasa prihatin.

    Paling dikesalkan ada jemputan yang terdiri daripada mereka yang kepayahan anak kecil, dibiarkan sahaja, tidak sensitif dengan para ibu yang amat susah mendukung anak jika tidak ada tempat duduk.

    Sehinggalah, pengumuman dibuat melalui pembesar suara agak mereka yang telah selesai makan, diminta beri laluan pula untuk hadirin yang baru sampai. Antara hadirin yang baru tiba adalah kami sekeluarga. Ayah saya duduk menyelit di antara anak-anak muda bujang yang langsung tidak peka, langsung tidak prihatin!

    Saya dan anak pula terpaksa duduk di meja bersebelahan setelah sekian lama berdiri menunggu tempat kosong. Adik saya dan dua orang anaknya juga terpaksa mencelah di antara anak-anak muda itu.

    Alahai anak muda, langsung tidak cakna!

    Kami makan sekadarnya, untuk memberi laluan kepada orang lain pula dan pulang dalam cuaca hujan lebat dengan membawa pulang buah tangan yang menjadi trend terkini bagi golongan elit: Hand made chocolate.


    Majlis kedua

    Jam 3.30 petang saya bersama Emak ke majlis kahwin anak jiran. Kali ini orang lain tidak ikut serta kerana sudah kepenatan dan ada yang tidak sihat. Walaupun kepenatan, saya gagahkan diri pergi juga untuk membawa Emak yang keseorangan.

    Majlis diadakan di gerai minum ibu pengantin lelaki. Dia merupakan seorang ibu tunggal yang mengusahakan gerai minuman di medan selera tidak jauh dari rumah. Di situlah diadakan majlis perkahwinan anaknya.

    Waktu jemputan hingga jam lima petang menjadikan ia lebih fleksibel, jemputan tidak terkocoh-kocoh.

    Suasana agak 'koboi' dan santai. Yang membezakan majlis kelas atasan dengan kelas bawahan adalah juga mentalitinya.

    Asap rokok berkepul-kepul tanpa menghiraukan hadirin lain. Lagu-lagu yang dimainkan juga lagu 'kelas bawahan'. Ada pula nyanyian ala karaoke yang saya kira disampaikan oleh rakan pengantin ... tersangatlah sumbang, amat bingit hingga sakit telinga! Tidak sedap langsung dan memang syok sendiri!

    "Dia rasa suara dia sedap sangatlah tu," komen anak jiran yang juga hadir dan duduk di meja bersebelahan kami.

    Alahai! Alangkah baik kalau dipasangkan nasyid yang sedap-sedap!

    Saya dan Emak pulang dengan telinga yang masing berdesing dalam hujan merintik dengan membawa buah tangan: Muffin coklat berjenama Gardenia dan sebiji jeli.

    Tuesday, September 13, 2011

    KISAH DUA MAK CIK DI HARI RAYA

    Kisah Mak Cik Yang Keseorangan

    Anak saudara saya yang paling tua bercerita tentang kisah dia beraya di kampung ayahnya baru-baru ini. Anak saudara saya ini membahasakan dirinya 'Kakak'.

    Kakak memberitahu, dia telah pergi beraya ke rumah seorang mak cik di kampung itu.

    "Kesian mak cik tu, tak ada siapa yang datang beraya ke rumahnya. Dia raya sorang-sorang je," cerita Kakak.

    "Habis tu, Kakak tak pergi ke?" kami yang mendengarnya menyampuk.

    "Pergi, Kakak dengan Adik pergi tiap-tiap tahun."

    "Dia tak ada anak ke?"

    "Ada enam orang. Sorang pun tak pernah balik."

    Rupa-rupanya mak cik itu sudah sekian lama beraya sendirian. Kesian sungguh kami mendengarnya.

    "Tiap-tiap tahun mak cik tu masak nasi dagang. Sedap nasi dagang dia. Kita orang kalau pergi raya kat rumah dia buat macam rumah sendiri. Kalau nak air, pergi je ambil sendiri kat dapur dia," cerita anak saudara saya itu lagi.

    "Kakak tanya mak cik tu, 'Anak mak cik tak balik ke?' Dia jawab 'tak'."

    Malangnya nasib mak cik tu. Saban tahun sediakan juadah istimewa menanti anak-anak pulang. Mengapalah seorang pun tidak sudi menjenguk seorang ibu yang telah tua?

    "Kakak sejak darjah tiga lagi pergi raya rumah dia, tapi sekali pun anak dia tak pernah balik," cerita Kakak yang kini sudah di tingkatan dua.

    Aduhai, mengapa demikian?


    Kisah Mak Cik Rock

    Kakak menggelarkan wanita tua ini 'Mak Cik Rock'.

    Pada hari raya lalu Mak Cik Rock telah datang ke rumah nenek Kakak (emak ayah Kakak yakni emak abang ipar saya).

    Sambil bercerita, Kakak terkekek ketawa mengenangkan kisah Mak Cik Rock ini.

    "Mak Cik Rock ni, kira macam dah nenek la, dah tua. Memang rock gila," Kakak memulakan ceritanya. Belum apa-apa lagi Kakak dah tergelak.

    Kata Kakak, Mak Cik Rock datang naik motor dan merupakan seorang perokok yang tegar. Mak Cik Rock datang kerana hendak membaiki motosikal. Ini disebabkan adik kepada abang ipar saya itu pandai membaiki motosikal.

    Ketika Kakak melihat ke dalam raga motosikal Mak Cik Rock, ternampaklah makanan anjing dalam tin.

    "Musykil Kakak, macam mana boleh ada makanan anjing," kata Kakak. Ketawa lagi.

    Lama Mak Cik Rock menunggu, tapi orang yang ditunggu untuk membaiki motosikal tidak pulang-pulang lagi. Pergi beraya agaknya. Maka dia pun meminta diri untuk pulang.

    "Tak apalah, ambo balik dululah, nak bagi anjing makan, dah lapar tu," ujar Mak Cik Rock. Kakak tambah keliru. Atau Kakak tersalah dengar?

    Selepas Mak Cik Rock balik, Kakak membontoti neneknya ke dapur untuk bertanya dan mendapat kepastian. Kakak memanggil neneknya 'Mek'.

    "Mek, mak cik tu bela anjing ke?"

    "Ada sepuluh ekor, buat jaga rumah kononnya," jawab Mek berbisik perlahan, barangkali dia tidak menyenangi wanita yang membela najis mughallazah itu.

    Terkedu Kakak, buntang mata memikirkan ada orang Islam di kampung neneknya membela anjing! Barangkali Mak Cik Rock itu tidak pernah berusaha mendalami Islam.

    Macam-macam ragam manusia kalau hendak diceritakan. Terkadang tidak terjangkau dek fikiran cetek kita, mengapa sebahagiannya berkelakuan begitu dan begini.

    Friday, August 26, 2011

    KISAH VIP

    Anekdot 1

    Kawan sekerja adik saya telah berkahwin dengan anak seorang VIP. Sebagai hadiah perkahwinan, dia telah menerima sebuah jam tangan daripada mentuanya. Maka dipakailah jam itu tanpa dikisahnya nilai dan jenama jam tersebut. Dipakainya hingga bercalar-balar.

    Setelah sekian lama, kuasa bateri pun habis, lalu disimpannya jam itu. Suatu hari, dibawanya jam itu kedai untuk menukar bateri.

    "Jam ni kalau mahu jual berapa laku?" dia bertanya kepada orang kedai, saja sembang-sembang kosong, tanpa berniat hendak menjual jam pemberian mentua itu.

    Setelah diteliti jam itu, orang kedai itu memberi jawapan yang mengejutkan.

    "Dua belas ribu masih laku lagi," jawab si pekedai.

    Terkedu kawan adik saya itu. Barulah dia tahu nilai jam itu, maklum mentuanya VIP.

    Jam itu berjenama OMEGA SEAMASTER!

    Pengajaran: HARGAILAH PEMBERIAN ORANG KEPADA KITA TIDAK KIRA SAMA ADA IA MAHAL ATAU MURAH!


    Anekdot 2

    Ketika merancang majlis resepsi perkahwinan anak dan menantu, mentua yang VIP ini bertanya kepada sahabat adik saya itu, "Ada tak mana-mana VIP nak dijemput?" Bangga nadanya!

    Yalah, mentua pun VIP, maka setiap segi majlis perlu diatur secara teratur. Maklumlah sebahagian besar jemputan mentuanya pun tentulah VIP lagi kenamaan. Meja-meja hidangan VIP perlu diasingkan dari meja-meja marhaen. Meja khas VIP mesti disediakan supaya tidak kelam-kabut nanti. Nanti malu tuan rumah!

    Melihat mentuanya yang mementingkan VIP ini, si menantu menjawab, "Ada, tapi seorang je." Saja nak mengenakan mentuanya.

    "Siapa?"

    Maka diberilah nama VIP yang seorang itu kepada mentuanya. VIP itu adalah sahabat baik, teman sepengajian sewaktu di London dahulu.

    Terkedu bapa mentuanya. Kelam-kabut jadinya kerana dia terpaksa menyusun semula majlis resepsi anak perempuannya itu kerana menantunya mengundang bukan lagi VIP, tapi VVIP.

    Meja-meja VIP yang telah siap dalam pelan perancangan terpaksa ditolak ketepi untuk memberi laluan kepada meja VVIP yang seorang itu. Walhal VVIP itu tidak kisah pun kalau mejanya diletakkan bersama tetamu marhaen!

    Rupa-rupanya jemputan menantunya itu seorang putera raja yang sudi mencemar duli ke majlis tersebut. Bukan saja putera raja, tetapi statusnya putera mahkota!

    Kini putera mahkota itu telah pun menjadi Sultan di sebuah negeri dan sangat dikagumi dan disenangi rakyat jelata kerana sifat tawaduknya. Seorang sultan yang jika sekali pandang, penampilannya tidak banyak beza daripada rakyat jelata apabila baginda turun ke padang meninjau keadaan rakyatnya.

    Pengajaran: Sebagai hamba Allah, tidak perlulah kita berbangga-bangga diri. Allah tidak memandang kepada taraf dan pangkat seseorang, tetapi pada takwa yang dipakai oleh hamba-hamba-Nya.

    Friday, August 19, 2011

    "BARANGKALI SAYA SUDAH MURTAD ... ."

    Kawan kepada adik ipar saya cukup berhati-hati apabila memilih teksi untuk dinaiki. Sebelum menaiki teksi dia pastikan pemandunya Islam/Melayu.

    Pada suatu hari, kerana tergesa-gesa mengejar waktu hendak ke mesyuarat, dia tidak punya pilihan. Mana-mana teksi yang datang dulu, dia terpaksa naik.

    Pun begitu, sikap waspadanya tetap ada.

    Pemandunya seorang India. Diteliti nama dan segala maklumat pemandu teksi itu.

    "Oh, itu nama saya sebelum Islam," jawab pemandu itu.

    Dia cukup lega mendengarnya. Alhamdulillah, Islam rupanya.

    Maka berlakulah sembang-sembang antara dia dengan si pemandu teksi.

    Rupa-rupanya pemandu teksi itu seorang yang well educated. Memiliki ijazah sarjana dari Amerika Syarikat.

    Biarpun memiliki ijazah tinggi, dia tidak betah bekerja di pejabat berhawa dingin. Tidak serasi duduk di bawah arahan orang, lantas dia memilih kerjaya sebagai pemandu teksi yang tidak terikat dengan sesiapa dan sebarang waktu.

    "Alhamdulillah dalam sebulan pendapatan saya mencapai lima ribu," ujar si pemandu teksi. Malah jumlah itu melebihi pendapatan sesetengah orang yang bekerja di pejabat berhawa dingin.

    Biarpun sekadar pemandu teksi, jika ada usaha gigih dan ada keyakinan, pasti rezeki ada di mana-mana.

    Menyentuh pengislamannya, pemandu teksi itu memberitahu dia memeluk Islam sewaktu di Amerika.

    "Kalau saya masuk Islam di Malaysia, barangkali saya sudah murtad," katanya.

    Kenyataannya itu tidak mengejutkan kerana ujian seorang muallaf lebih tinggi di negara Islam seperti Malaysia (kononnya negara Islam!). Apa tidaknya, kebajikan saudara baru kadang-kadang tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada badan-badan berwajib mahupun daripada masyarakat sendiri. Berbanding jika seseorang itu memeluk Kristian, missionary yang menjalankan tugas cukup efisien dan sangat menjaga kebajikan orang yang memeluk agama mereka. Malah cuba pula mempengaruhi orang Islam masuk Kristian.

    Sesuatu yang mengagumkan tentang si pemandu teksi ini, dia lebih suka mengambil penumpang bukan Islam. Mengapa?

    "Saya boleh berdakwah kepada penumpang saya. Tunjukkan keindahan Islam," jelasnya.

    Wah, rupa-rupanya dia bukan sembarangan pemandu teksi, dia juga seorang da'i.

    Memikirkannya, mungkin kerana keikhlasannya berdakwah ini, di kala para pemandu teksi lain mengeluh tentang pendapatan hasil memandu teksi yang tidak seberapa, lelaki India ini pula stabil pendapatannya. Barangkali Allah melebihkan rezeki kepada hamba yang berusaha memartabatkan Islam di mata bukan Islam.

    Monday, August 15, 2011

    ANTARA PUASA DAN SOLAT

    Saya tidak memaksa anak saya yang berumur enam tahun berpuasa. Saya dulu pun pada usia sembilan tahun masih berpuasa setengah hari!

    Namun, jika dia berkata mahu berpuasa, alhamdulillah, walaupun puasanya tanpa bangun sahur, atau kekadang sahurnya selepas waktu subuh. Apa-apa perincian tentang puasa akan diajar dan dipraktiskan secara beransur-ansur seiring dengan peningkatan usia.

    Saya tidak mahu berkeras.

    Pada peringkat usia ini, apa yang penting adalah saya mahu mantapkan solatnya dahulu. Ini kerana, solat adalah tiang agama.

    Jika mahu dibandingkan dengan puasa, apabila telah dewasa, ibadah puasa lebih mudah ditunaikan berbanding ibadah solat. Ini dapat kita lihat, apabila tiba sahaja Ramadan, rata-rata orang yang tidak pernah solat sepanjang hayat pun, dia akan berpuasa. Orang yang kekadang solat, kekadang tidak solat pun dia cukup rajin berpuasa Ramadan. Baginya, puasa lebih penting berbanding solat. Ajaran daripada mana yang dia dapat, saya tidak pasti!

    Cukup susah hendak solat, jangankan anak kecil, orang yang dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan agama pun sentiasa bermujahadah untuk menunaikan solat. Apatah lagi anak kecil. Jika tidak dimantapkan dari sekarang, apabila besar sukar untuk dilenturkan.

    Justeru, pada bulan Ramadan ini saya biarkan dulu bab puasa ini. Namun tetap berdoa agar kesedaran berpuasa dan kepentingan Ramadan itu tetap ada pada diri anak saya.

    Bagi ibu bapa yang berkeras mahukan anaknya berpuasa pada usia kecil, saya tiada hak untuk membantah kerana itu anak mereka. Namun suka saya ingatkan, jika seseorang anak kecil itu berpuasa, awasi keadaan dirinya. Awasi tanda-tanda dehydration atau gastrik. Jika ada tanda-tanda itu biarpun waktu berbuka puasa hanya beberapa minit lagi, janganlah dipaksa anak itu berpuasa. Izinkan anak berbuka puasa, kerana jika berlaku perkara yang tidak diingini kepada anak, ibu bapalah yang bertanggungjawab!

    Thursday, August 11, 2011

    TELEFON BIMBIT LAHIRKAN GENERASI BIADAB TERHADAP ALLAH

    "Sesiapa yang ada handphone, sila matikan kerana kita sekarang berada dalam majlis ilmu Allah. Sebarang gangguan, akan menghilangkan berkatnya," ujar ayah sebaik memulakan kuliah agamanya. Maka, semua hadirin mematikan telefon bimbit masing-masing. Bukan 'silent mode', tapi memang dimatikan.

    "Tiada panggilan yang lebih penting selain daripada panggilan Allah," demikian bunyi pesanan yang ditampal di dinding bersama gambar isyarat supaya dimatikan telefon bimbit tatkala melangkah masuk ke rumah Allah, sama ada musolla, surau atau masjid. Mendalam mesejnya, tetapi berapa ramai yang mematuhinya?

    Ayah saya mengkategorikan orang yang sentiasa berkepit dengan telefon bimbit yang tidak dimatikan di tempat-tempat sedemikian sebagai orang yang sangat biadab kepada Allah. Tidak menghormati majlis dan tempat-tempat mulia sedemikian.

    Merenung kembali kata-katanya itu, benarlah apa dimaksudkannya itu.

    Inilah sebabnya mengapa kebanyakan kita susah menerima ilmu yang disampaikan, biarlah beribu kuliah agama pun yang kita hadir dan dengar, perangai dan akhlak kita tetap begitu juga. Tiada peningkatan.

    Apa tidaknya, dalam halaqah ilmu yang kita duduk itu, sesekali kedengaran bunyi deringan telefon bimbit. Beraneka nada dering kedengaran, yang kekadang mengundang sindiran halus daripada ustaz-ustaz yang sedang menyampaikan kuliahnya.

    Bukan fokus si pemilik telefon itu saja yang terganggu dek deringan itu, bahkan seluruh hadirin hilang khusyuknya terhadap ilmu yang disampaikan. Deringan itu berbunyi hanya beberapa saat, namun ia telah memutuskan talian berkat!

    Panggilan dan SMS menjadi teman akrab walau di mana manusia hari ini berada. Malang sungguh! Bagi golongan muda yang sedang mabuk bercinta, berbalas-balas SMS menjadi perkara lumrah dan terbawa-bawa hingga ke majlis ilmu. Sungguh cuak melihatnya. Majlis semulia itu dicemari dengan jari-iemari menekan-nekan pad kekunci telefon bimbit. Itu belum lagi diambil kira 'melayan laman sosial' di telefon.

    Tidak perlu melihat jauh, di tempat saya bekerja ini pun (maaf, ini kisah membuka pekung), sebelum mula kerja, staf akan berkumpul untuk bacaan doa. Bacaan doa tidak sampai pun dua minit. Tapi ada juga yang sanggup menjawab panggilan telefon lantaran telefon tidak dimatikan. Cacat sudah majlis doa!

    Tidak bolehkah ditumpukah seketika untuk menghayati bait-bait doa yang dipanjatkan? Bukan lama pun, cuma beberapa saat. Walhal, doa dalam kehidupan seorang Muslim amatlah penting, bahkan menjadi senjata dan pelindung orang Mukmin! Penting sangatkah panggilan itu berbanding munajat kita kepada Yang Maha Kuasa?

    Itu baru majlis bacaan doa. Belum disingkap surau wanita yang rakan sekerja menggelarkan surau wanita ini 'pasar ikan'. Surau itu rumah Allah, tapi sentiasa dicemari dengan pelbagai bunyi daripada telefon bimbit dan dilatari pula suara sumbang dan gelak ketawa.

    Teringat saya kepada kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Amaluddin semasa di pejabat lama dahulu, apabila ada orang sedang solat, maka orang lain yang berada di situ hendaklah diam.

    Sebarang bunyi tentu akan mengganggu khusyuk orang yang sedang bersolat. Pun begitu, tidak semua surau wanita bising. Ketika saya berkunjung ke beberapa negara Arab, bahagian jemaah wanita di masjid tidaklah bising biarpun jemaahnya ramai. Mereka amat menghormati rumah Allah tanpa membuat bising. Maka kesimpulan yang saya dapat, akhlak wanita Islam Malaysia (orang Melayu khasnya) apabila memasuki rumah Allah sangatlah rendah! Sungguh biadab.

    Allahu akbar!

    Saya percaya 95 peratus SMS dan panggilan yang diterima saban hari terdiri daripada hal-hal yang remeh-temeh, bukan mustahak. Maka berusahalah untuk tidak melayan seketika telefon itu.

    Setidak-tidaknya apabila berada di rumah Allah, atau di majlis-majlis ilmu silent modekan telefon anda. Jika mendapat panggilan atau SMS, beritahulah pemanggil atau penghantar SMS, "Saya akan hubungi kembali selepas selesai majlis ilmu ini."

    Alasan 'lupa nak offkan' atau 'lupa nak silentkan' sudah lapuk dan klise.

    Teringat kepada seorang pemanggil di Sinar Pagi, beliau meluahkan rasa tidak puas hati dan kecewa apabila terdengar deringan telefon jemaah ketika khutbah Jumaat sedang disampaikan. Komen Abang Jem (Salih Yaakob), "Matikanlah telefon tu, lepas tu tanam."

    Tika orang lain menjadikan telefon masing-masing bagaikan nyawa, saya tidak menjadikan telefon bimbit sebagai benda penting dalam hidup saya. Lantaran itu, saya kerap meninggalkan telefon saya di merata tempat. Maka apabila hilang atau terlupa bawa, saya tidak berasa gelisah sangat. Malah ketika anak-anak muda berlumba-lumba membeli telefon canggih model terkini, saya masih menggunakan telefon bimbit basic. Lampu skrinnya pun masih berwarna kuning. Lima, enam tahun sudah usianya.

    Ketahuilah, telefon bimbit anda itu, turut akan dipanggil menjadi saksi di mahkamah Allah nanti.

    Friday, August 5, 2011

    PENULIS YANG DISENANGI


    Saya cukup menyenangi penulis yang seorang ini, Haji Zainal Haji Bujang. Buku pertama beliau bersama Galeri Ilmu berjudul Labbaikallah dan terbaru "Selamat Pagi, Cikgu!" dan ada sebuah lagi manuskripnya sedang dalam proses penerbitan, juga berkaitan haji.

    Beliau sebenarnya sudah banyak menerbitkan buku berkaitan haji dan umrah, namun diterbitkan oleh penerbit lain.

    Mengapa saya menyenanginya?

    Kerana beliau adalah penulis yang paling tidak berkira. "Buatlah apa yang patut," beritahunya melalui khidmat pesanan ringkas, setiap kali beliau menyerahkan manuskrip baru. Baginya, manuskrip yang diserahkan pada penerbit adalah hak mutlak penerbit untuk 'membedah'nya kerana beliau yakin apa yang penerbit buat tentunya untuk kebaikan dua pihak (penulis dan penerbit).

    Beliau menulis juga bukan untuk mengumpul royalti bertimbun, bukan juga untuk mencari glamor tetapi untuk berdakwah. Saya kira, penulis beginilah yang dikategorikan sebagai da'i yang sebenarnya.

    Berbekalkan pengalaman luas sebagai seorang guru, bahasa tulisan Haji Zainal sangat baik. Sesekali menghantar SMS bertanyakan progres buku beliau, bahasanya cukup berlapik. Apabila tiba musim beliau membawa jemaah ke Tanah Suci, SMS tetap dikirim.

    "Kalau ada berita gembira tentang "Selamat Pagi, Cikgu!" tolonglah bagitau, dapat juga buat kenduri kesyukuran kat Mekah ni."

    Itu text message yang saya terima pada 31 Julai 2011.

    "Insya-Allah. Tn haji tolong juga doakan kami di sini ya," balas saya.

    Semalam 7 Ogos, saya mengirim SMS kepada Haji Zainal di Makkah.

    "Assalamualaikum Tn. Hj. Selamat Pagi, Cikgu! dah siap cetak. Harap maklum."

    Dalam perjalanan pulang ke rumah untuk berbuka puasa, saya menerima balasan SMS daripada Haji Zainal yang berbunyi:

    "ALLAHU AKBAR. SERONOKNYA. RASA NAK BALIK SEKARANG JUGA. KEBETULAN SAYA DEPAN KAABAH TIKA SMS PUAN DITERIMA. TERPANGGIL & TERSENTUH HATI KERDIL INI UNTUK MELAMPIAS SYUKUR KHUSUS UNTUK PUAN & GALERI ILMU YANG BEGITU CAKNA TERHADAP SAYA. SAYA BERDOA AGAR SELAMAT PAGI, CIKGU! & SELURUH WARGA GALERI ILMU SENTIASA DALAM LEMBAYUNG RAHMAT & REDHA ALLAH SWT. ALLAHU AKBAR."

    Saya menghantar jawapan balas kepada Haji Zainal: 'Amin, amin ya Rabbal 'alamin.'

    Allahu akbar. Begitu tulus doanya apatah lagi ia dipanjatkan di bumi yang paling berkat di muka bumi ini.

    Sewaktu Pesta Buku Antarabangsa 2011, April lalu, kebetulan beliau di Tanah Suci. Namun sekembalinya ke Malaysia dan belum lagi kendur penatnya, beliau terus SMS, "Apa yang saya boleh bantu untuk Pesta Buku?" Sungguh komited penulis ini.

    Ini kelebihan penulis-penulis yang sudah veteran. Wujudnya mereka sebagai penulis di penerbit, dapat meneutralkan perasaan geram para editor terhadap kerenah penulis-penulis yang baru setahun jagung, namun sudah mula menunjukkan ego melangit.

    Kepada penulis-penulis muda ini, belajarlah daripada mereka yang sudah veteran ini.

    Khusus doa saya buat Haji Zainal, moga beliau dikurniakan kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki dan dipanjangkan usia agar dapat terus menyumbang bakti dalam menegakkan syiar Islam melalui penulisannya. Amin.

    Wednesday, August 3, 2011

    DI SEBALIK TULISAN SYOK SENDIRI

    Awal penulisan saya di blog adalah untuk syok sendiri. Namun, lama-kelamaan, post saya dengan sendirinya menjadi lebih formal dan serius. Lebih berfokus untuk memberi teladan kepada pembaca biarpun masih dalam kategori 'syok sendiri'.

    Saya tidak kisah sama ada ada orang membacanya atau tidak. Dan saya juga tidak pasti setakat mana isi penulisan saya mampu mengubah orang lain. Walau bagaimanapun, apa yang disampaikan oleh adik saya tempoh hari, meyakinkan saya apa yang kita titipkan dalam penulisan dengan niat membawa orang lain ke arah kebaikan, akan ada pahalanya.

    Biarlah tulisan kita tidak sehebat penulis termasyhur, biarlah tulisan kita tidak ramai yang membacanya, biarlah tulisan kita tidak setanding dengan tulisan blogger-blogger selebriti asalkan kita menulis dengan niat menyampaikan dakwah dan fikrah Islam. Yakinlah impak kepada masyarakat memang ada walaupun lebih kecil daripada saiz atom.

    Adik saya pernah didatangi oleh rakan sepejabat. Rakan tersebut mengadu tentang masalah hidupnya, masalah rumah tangga, masalah anak yang entah bagaimana dimasukkan ke lokap. Adik saya sekadar mendengar. Hendak memberi nasihat dia bukanlah pakar motivasi.

    Saya pernah menulis tentang Rahsia 40 di blog saya yang tidak seberapa ini. Yang kerap membaca blog ini adalah adik-beradik. Adik saya teringatkan artikel saya itu, lalu menyarankan rakan sekerjanya itu melakukan apa yang saya tulis dalam artikel berkenaan, iaitu menunaikan solat Subuh di masjid selama 40 hari berturut-turut tanpa tertinggal satu pun takbir pertama.

    Pada mulanya rakannya itu agak skeptikal malah sinikal tentang saranan adik saya itu. Tidak yakin solat sedemikian mampu mengubah hidup seseorang. Kemudian rakannya itu dicabar oleh isteri sendiri. Isterinya mencabarnya dengan kata-kata, "Orang perempuan mengandung sembilan bulan lagikan boleh, inikan pula hanya empat puluh hari."

    Tercabar dengan kata-kata isterinya, dia pun melakukannya, iaitu bersolat Subuh berjemaah di masjid selama 40 hari berturut-turut.

    Kesannya memang ada. Dia dulu seorang perokok, kini sudah berhenti merokok, tiada lagi nafsu dan ketagih rokok. Rumah tangga bertambah baik. Anak-anak sudah mahu menjaga solat, tidak susah-susah nak ditegur lagi. Walaupun perubahan itu tidak berlaku mendadak, ia jelas nampak datang bertahap-tahap. Itu sudah cukup untuk membuktikan kekuasaan Allah. Selangkah kita mendekati-Nya, Dia pasti tidak mensia-siakan kita.

    Kini rakan adik saya itu yakin akan hikmah rahsia 40. Malah kini dia sudah istiqamah solat berjemaah di masjid kerana yakin bantuan Allah disalurkan melalui solat Subuh itu.

    Rahsia 40 ini saya peroleh daripada kuliah agama Ayah. Saya sampaikan pula dengan menjadikannya tulisan artikel di blog ini untuk dibaca oleh sesiapa sahaja dan untuk dijadikan teladan.

    Ilmu agama saya memang cetek, akademik saya juga tidak berlatar belakangkan agama, maka saya tidak layak menjadi da'i gred A ... gred D mungkin. Cuma saya dibesarkan dalam keluarga yang memberatkan agama dan bersandarkan Ayah yang merupakan seorang ustaz. Itu sahaja! Selebihnya saya kutip melalui pembacaan dan menghadiri serta mendengar kuliah-kuliah agama dari mana-mana.

    Jika ada kebaikan daripada penulisan saya ini, moga Dia catatkan pahalanya dan dirahmati kepada empunya sumber yang saya ambil dan juga mereka yang menyampaikannya daripada apa yang saya tulis. Itu saja yang termampu saya lakukan.

    Seruan saya kepada pemilik blog, tulislah sesuatu yang boleh mengubah manusia daripada kita merapu tak ketahuan!