Monday, January 31, 2011

TENGKORAK

"Mak, kenapa kita ada tengkorak?" itu soalan pertama yang diajukan anak saya semasa dalam perjalanan pulang dari tadika petang tadi.

"Sebab Allah letak otak kat dalam tengkorak?"

"Kenapa Allah letak otak dalam tengkorak?"

"Sebab otak tu lembik, kalau letak dalam tengkorak baru otak selamat. Tak rosak. Lagi satu, kalau tak ada tengkorak, kepala kita pun tak ada lah."

"Kenapa kepala kita ada tengkorak?"

"Sebab, Allah nak letak mata, nak letak hidung, telinga, mulut. Ammar rasa cantik tak kalau mata duduknya di punggung?"

"Mestilah tak cantik. Kalau duduk mesti mata sakit ... hahahaa ... "

"Kalau mulut kat lutut?"

"Tak cantik."

"Kalau letak hidung kat kaki?"

"Tak cantik jugak."

"Memang tak cantik pun. Kalau hidung di kaki, tak boleh nafas lagipun, sebab hidung kena pijak dengan kaki."

"Ha ... ha ... apalah Mak ni."

"Sekarang Ammar dah faham kenapa kita ada tengkorak? Kenapa kepala kita tinggi tak duduk di kaki?"

"Dah."

"Bijak tak Allah?"

"Bijak."

Friday, January 28, 2011

BAHANA 1 MALAYSIA

Pengaruh gagasan 1 Malaysia yang disebarluaskan kepada rakyat, nyata berjaya mengubah paradigma masyarakat.


"Salam satu Malaysia."


"Restoran 1 Malaysia" dan entah apa-apa lagi.


Setiap hari entah berapa kali media massa kita menyebarluaskan gagasan ini, bagi memastikan ia melekat di minda orang ramai.


Berjaya sungguh gagasan 1 Malaysia cetusan PM yang diadaptasi daripada 1 Israel ini (walaupun pihak berkenaan menyangkalnya).


Mengapa saya katakan berjaya? Kerana ia berjaya merosakkan persepsi anak saya sendiri.


Setiap hari di dalam kereta dalam perjalanan pulang dari tadikanya dia akan bertanya.


"Mak, tu bendera satu Malaysia," ujarnya menunjuk ke arah satu papan iklan.


"Bukan, tu Jalur Gemilang, bendera Malaysia. Jangan sebut satu, tak betul tu," saya membetulkannya.


"Mak kita ni orang Satu Malaysia, kan?"


"Tak kita ni orang Malaysia, bangsa Melayu."


"Salahlah Mak, kita orang Satu Malaysia."


Aduh! Tak hairan saya jika satu hari nanti, Melayu akan hapus di muka bumi ini. Sebab bertukar jadi bangsa 1 Malaysia.


"Mak, agama kita satu Malaysia, kan?" pernah juga soalan ini keluar dari mulutnya.


"Allahu akbar ... Ya, Allah jangan Kau pesongkan akidah anakku." Cepat-cepat saya panjatkan doa kepada-Nya.


"Ammar, dengar sini. Kita orang Islam, agama kita Islam, Allah Tuhan kita, Nabi Muhammad, Nabi kita. Tak ada agama Satu Malaysia. Kita orang Melayu, tak ada orang Satu Malaysia." Saya cuba jelaskan.


"Kita orang apa?" soal saya.


"Arab," jawabnya.


Aik ... dari mana pula datangnya Arab tu saya tak pasti.


"Melayulah."


"Melayu," jawabnya mengulangi kata-kata saya.


"Agama kita agama apa?"


"Islam."


"Ulang lagi, cakap kuat sikit, agama kita apa?"


"ISLAM," pekiknya.


"Bagus. Orang Islam yang baik aje boleh masuk syurga. Orang Satu Malaysia tak boleh."


"Ooo."


Sampai mati pun saya tak akan maafkan Gagasan 1 MAlaysia yang telah memalitkan pemikiran anak saya dengan agama selain Islam.

Monday, January 24, 2011

MANUSIA BIASA BERJIWA HAMBA YANG LUAR BIASA

Kisah benar di bawah ini telah die-melkan oleh kawan baik saya Norintan. Sangat terharu membaca kisah ini. Saya kongsikan untuk tatapan anda sekalian dan bandingkan dengan kita.
Di tahap mana 'jiwa hamba' kita jika dibandingkan dengan insan istimewa di bawah ini.
Andai dia seorang Muslim, saya pasti, syurga memang miliknya. Biarpun dia tidak tergolong dalam umat Muhammad SAW, setidak-tidaknya pasti ada ganjaran baik daripada-Nya
untuk insan luar biasa ini.
Bacalah, dan ambil pengajaran.


SUPER VIRTUOUS BAI FANG LI ... THE POWER OF GIVING
(Kisah ini juga boleh diikuti dalam banyak blog lain)

Bai Fang Li, died 93 years old, lived in poverty. Yet, he donated an aggregate sum of RMB 350,000 to universities and schools in Tianjin to help 300 poor children in need.

For almost twenty years, he paddled his tricycle earning Yuan by Yuan to save up for his donations. His lunch was two buns and plain water. Luxury to him was the sauce he put into the water. Dinner was a piece of meat or an egg.

What he wore was what he picked from the dump. Any extra piece was luxury.

He paddled 365 days a year every year, in the snow and in the soaring heat of 50 degrees C. He started at 6 in the morning and finished at 7 or 8 at night.

“It’s alright I suffer,” he said, “But let the poor kids go to school.”

90 years old, he arranged his last saving of RMB500 neatly in a box and handed to Yao Hua School, saying, “I cannot paddle any more. I am not able to donate any more. This shall be my last …”

All teachers in the School wept …

The last image people had of him was his photo inscribed, “A special Love for a special you.” (last photo shown)


Pictures showing the students from Yao Hua School paying tributes to their benefactor.

Friday, January 21, 2011

ANAK ITIK

Pada suatu pagi anak saya yang baru selesai mandi dan sedang bersiap-siap hendak ke sekolah, mengeluarkan bunyi itik.

Tidak pasti pula saya bagaimana hendak dieja bunyi itu, tapi biarlah saya pinjam ejaan bahasa Inggeris.

"Quack, quack ... " bunyi itik dari mulutnya sepanjang menuruni tangga.

"Quack, quack ..."

"Aik, bunyi itik ke?" soal saya

"Anak itiklah Mak."

"Ooo ... baru belajar kat sekolah ke?"

"Tak, kat ofis Mak lah."

"Dengar kat mana?"

"Alah, kan kawan Mak tu selalu buat bunyi tu."

"Ooo ... tau ... tau."

Rasa-rasanya saya tahu siapa yang suka buat bunyi itik tu. Pagi-pagi selalu bunyi itik. (Ehem ehem ...)

Walaupun hanya sekali-sekala datang menyibuk di ofis, terpengaruh juga dia dengan persekitarannya. Itu cuma sedikit, kanak-kanak memang cepat dan mudah terpengaruh dengan persekitaran melalui pemerhatian. Apatah lagi kalau membiarkannya menonton rancangan TV yang bukan-bukan, dan apatah lagi kalau dia berada di luar sana yang lebih luas pengaruhnya. Kalau terpengaruh dengan perkara yang elok-elok tidak mengapa. Kalau yang tidak elok bagaimana? Maka hendaklah sentiasa dipantau anak-anak. Semakin dewasa semakin susah nak dipantau!

Semoga anak-anak kita sentiasa dalam jagaan-Nya dan sentiasa berada di jalan yang lurus. Ameen!

Monday, January 17, 2011

MELAHIRKAN ANAK-ANAK YANG KELIRU

Ketika menghantar anak ke Tadika Hasanah setiap pagi, kekadang saya memerhati ibu bapa lain yang datang.

Saya kerap bertembung dengan ibu bapa kepada hafiz muda negara, Adik Muhammad (naib juara AQ tahun lalu). Mereka menghantar anak bongsunya di situ juga sebagaimana Muhammad dulu. Tenang hati saya melihat pasangan ini. Jernih wajah pasangan suami isteri ini tumpah kepada anak-anak mereka. Putih bersih wajah anak-anak.

Datang pula pasangan suami-isteri lain, menghantar anak. Allah! Pening saya.

Si ibu, kekadang datang bertudung. Kekadang tidak. Kekadang bertudung, tapi berlengan pendek.

Datang lagi pasangan lain. Si bapa bert-shirt lengan pendek, berseluar sontot, sampai ke paras lutut, kalau duduk, pasti terdedah aurat itu. Segala bulu-bulu betis yang menggelikan terdedah untuk tontonan umum. Di leher pula kelihatan kelibat seutas rantai. Si ibu pula, berbaju lengan pendek, rambut terurai labuh. Sedangkan anak-anak yang dihantar kemas beruniform dan berpakaian mengikut syariat.

Kita mahukan anak-anak yang soleh dan solehah. Tetapi di rumah apabila pulang, teladan dan akhlak yang ditonjolkan ibu bapa 360 darjah berbeza. Di sekolah, anak-anak diajar tentang aurat, di luar sekolah, lain pula didikan yang diterimanya.

Saya kira, tentu anak-anak ini jadi keliru. Di sekolah, guru ajar lain, pulang dari sekolah, lain pula, teladan yang diperlihatkan. Yang mana satu perlu si anak ikut?

Barangkali mereka menyangka, kewajipan menutup aurat hanyalah di sekolah, sebaliknya di luar sekolah boleh mendedah aurat sesuka hati.

Apa pun, saya tetap berdoa agar anak-anak ini tidak keliru. Mudah-mudahan ajaran guru melekat ke jiwa mereka yang masih bersih dan suci itu. Harapan saya juga, mereka mampu pula menegur dan menjadi teladan kepada ibu bapa mereka.

Thursday, January 13, 2011

Kisah Penunggang Motosikal

Pagi ini dalam perjalanan ke tempat kerja, ada dua insiden yang melibatkan dua penunggang motosikal yang hendak saya kongsikan.

Di sebatang jalan, sebuah motosikal dari sebelah kanan saya yang baru menuruni jejantas tiba-tiba terhoyong-hayang. Seorang budak sekolah membonceng di belakang. Saya kira dia sedang tergesa-gesa hendak menghantar anaknya ke sekolah.

Saya nyaris terlanggarnya yang tiba-tiba terhoyong-hayang. Rupa-rupanya tayar belakang motosikal itu pancit. Tapi dia tidak berhenti dan meneruskan perjalanan dengan mengambil risiko memandu dengan perlahan walaupun terhoyong-hayang.

Sekali-sekala dia membenam kaki kanan ke jalan untuk memberi lonjakan kepada motosikalnya. Biar apa pun usahanya itu, dia tetap pelahan dan terhoyong-hayang menyebabkan kenderaan dari belakang yang sudah berderetan panjang itu terpaksa berhati-hati apabila hendak memotongnya

Tindakannya itu amat berbahaya. Saya kira dia perlu mengejar waktu masuk sekolah si anak yang hanya tinggal beberapa minit sedangkan perjalanan untuk tiba di sekolah lebih kurang setengah kilometer. Alang-alang sudah lambat, elok sahaja berhenti di bahu jalan dan cari ikhtiar untuk menghantar si anak ke sekolah. Jelaskan secara baik kepada guru, mengapa anaknya lambat.

Apabila saya tiba di suatu simpang empat di Kota Damansara pula, seorang penunggang motosikal sengaja memandu di atas garisan putih di celah-celah dua lorong. Tindakan bodohnya itu menyebabkan kenderaan di lorong kiri mahupun di lorong kanan sukar hendak menukar lorong kerana perlu mengelak daripada terlanggar penunggang ini.

Mengapa dia memandu secara demikian seolah-olah jalan itu dia yang punya, tidaklah saya tahu.

Macam-macam ragam pelik manusia yang jelik. Tidak berdisiplin dan sengaja menggadai nyawa dan mencari nahas!

Apa pun, untuk 'acara' menunggang motosikal secara paling bahaya, jika ada trofi kemenangan untuk jagoan motosikal, saya akan berikan kepada 'penghantar piza'. Lampu merah dilanggar, mencelah-celah dan berdesup laju di samping 'corner baring' adalah lumrah bagi mereka ini ... tujuannya satu, dia perlu menghantar piza ke destinasi tepat pada waktunya! Terfikir juga saya, berapa agaknya nilai insurans yang diambil oleh restoran piza untuk setiap penghantar piza mereka?

* Kisah saya ini, tidak berkaitan dengan mat rempit, kerana kita sedia maklum bagaimana perangai mereka. Tetapi boleh jadi juga penunggang yang saya ceritakan ini pada sebelah malamnya memang kerjanya merempit. Wallahua'lam.

Wednesday, January 12, 2011

MONSTERS INSIDE

Ahad lalu ketika kebanyakan daripada masyarakat Melayu (khasnya) tertumpu kepada AJL 2010 di TV3, saya pula memilih untuk menonton Astro saluran 556, saluran ANIMAL PLANET.

Saluran ini antara saluran kegemaran saya dan anak. Mujurlah Ammar Hadi sudah tidur ketika itu, jika tidak saya letih melayan pelbagai soalan yang 'mengerikan' untuk dijawab berkaitan setiap haiwan yang ditonton.

Malam itu saya dapat menonton dengan relaks kerana tiada gangguan. ANIMAL PLANET pada malam itu berjudul MONSTERS INSIDE. Sayangnya saya hanya mula menontonnya apabila ia sudah tersiar separuh jalan. Apa pun banyak maklumat yang saya perolehi.

Monsters Inside adalah berkenaan parasit yang wujud dalam tanah. Apabila memasuki tubuh manusia, seseorang itu akan jatuh sakit. Sakitnya amat serius malah jika tidak dirawat segera boleh membawa maut.

Seorang kanak-kanak perempuan yang dimasuki parasit ini jatuh sakit, lama dia ditahan di hospital sebelum sembuh sepenuhnya. Parasit ini masuk melalui air mandi dari perigi. Keluarga kanak-kanak itu tidak menggunakan air ini untuk makan minum, tetapi untuk mandi mereka tetap menggunakan air ini. Parasit ini memasuki sistem paip yang pecah di dalam tanah.

Seorang ahli bomba jatuh sakit setelah pulang daripada operasi memadam kebakaran hutan. Awalnya dia menganggap sakit biasa dan mengambil ubat yang biasa. Lama-kelamaan sakitnya bertambah teruk dan dimasukkan ke hospital. Sakitnya semakin kritikal. Rupa-rupanya parasit ini sudah menyerang otak. Parasit ini membiak dan memusnahkan otaknya secara total. Akhirnya anggota bomba yang penuh dedikasi ini mati. Pengebumiannya dilakukan penuh hormat daripada anggota lain.

Bagaimana parasit ini masuk ke otaknya? Semasa operasi memadam kebakaran hutan, abu yang berterbangan di udara yang kebetulan ada parasit itu, jatuh ke lubang telinga. Melalui jalan inilah parasit itu memasuki otak.

Seorang remaja, sering membantu ibunya berkebun. Apabila berkebun, tentulah seseorang itu tidak dapat lari daripada menyentuh tanah (menggali, mengorek, mencabut rumpai dan sebagainya).

Pada suatu hari, remaja perempuan ini terganggu deria penglihatannya. Awalnya dia merahsiakan masalah itu. Tetapi akhirnya dia tidak dapat mengelak lagi apabila keadaan mata semakin serius. Doktor yang memeriksa matanya terus menelefon doktor pakar. Mata remaja itu perlu segera dibedah. Parasit daripada tanah, hampir meragut penglihatannya!

Masalah kesihatan yang berpunca daripada parasit ini jarang berlaku. Pun begitu, sekali ia singgah dan menghuni tubuh kita, boleh membawa maut. Parasit ini ada di mana-mana tanah di dunia ini. Apabila tersentuh atau aktiviti kita melibatkan tanah, bersihkan segera kotoran sebersih-bersihnya. Jika jatuh sakit, segeralah dapatkan rawatan. Segala kemungkinan boleh berlaku.

Hmm antara ANIMAL PLANET dan AJL 2010, mana yang lebih berfaedah? Jika anda pelanggan Astro dan tetap memilih AJL 2010, ertinya anda lebih memuja hiburan daripada ilmu.

Monday, January 10, 2011

LELAKI BERJANGGUT

Petang tadi, ketika pulang kerja saya singgah di kedai Speedmart untuk membeli roti. Setelah keluar dari pasar raya itu, saya segera memasuki kereta. Belum sempat menghidupkan enjin, tingkap di sebelah penumpang diketuk seseorang.

Seorang lelaki tua berjanggut lebat sedang berkata sesuatu dalam bahasa yang tidak saya faham. Saya menurunkan tingkap sebanyak dua inci. Saya berhati-hati, mana tahu kalau dia bukan orang baik-baik.

"#$%@# mau makan," ujarnya. Bahasa Urdu mungkin.

Berbaju kelabu berjalur halus. Sudah kusam. Di tangan kanannya ada seutas tasbih.

"#$%@# mau makan," katanya lagi. Dua perkataan hujung itu saja yang saya faham.

Saya tidak pasti sama ada dia benar-benar terdesak atau sekadar lakonan sengaja mahu tagih simpati orang ramai.

Malas saya hendak memikirkannya, saya lantas menghulurkan sedikit wang. Memikirkan sudah lama saya tidak bersedekah, saya hulurkannya juga barang seringgit dua. Jika dia menipu, itu urusannya dengan Tuhan.

Sebaik saya menghulur duit itu melalui tingkap yang sedikit terbuka, dia berlalu pergi ke sebuah kereta lain. Perkara sama diulang kepada pemandu itu. Dalam sehari berapa ringgit agaknya pendapatan yang diraihnya.

"Mudahnya nak cari duit," saya mengomel, walaupun cuba bersangka baik. Tercalar sedikit jariahku hari ini kerana mengungkitnya! Aduh, susah mahu dibuang mazmumah diri yang sudah bersarang teguh!

Wednesday, January 5, 2011

Hamzah ...

Bar Gelintar Dewan Eja Pro pada komputer saya ini amat membantu kerja-kerja penyuntingan saya. Tidak lagi terkial-kial menyelak Kamus Dewan yang tebal itu. Untuk memastikan betul atau tidak ejaannya, klik saja pada Bar Gelintarnya. Sudah dua tahun saya menggunakannya. Amat bagus bagi sesiapa yang kerjanya bermain dengan bahasa setiap hari. Sangat membantu! Sesiapa yang berminat bolehlah membeli perisiannya.

Apa pun, bukan itu yang nak saya ceritakan.

Saya hendak mencari makna satu perkataan ini pada gelintar tersebut. Terlajak skrol saya, saya terhenti pada perkataan hamzah.

Wah, hebatnya. Nama hamzah pun boleh masuk dalam daftar kamus ini. Kenapa nama orang lain tak ada, mesti glamour habis tokoh ni. Itu fikir saya yang jumud ini (macam mana saya boleh jadi editor pun saya tak tau ... lembap!) Mesti nama ini special, fikir saya lagi.

Lalu saya pun klik pada nama hamzah itu untuk mencari siapa dia hamzah ini, mungkin ada linknya dari enjin carian Internet. Laaa ... rupa-rupanya hamzah yang dimaksudkan ialah:

1. huruf ke-28 abjad Arab; 2. huruf ke-33 abjad Jawi

Isy, mengapalah tak terfikir dek saya. "Dah tua aku nih!" itu aje jawapannya.

Saturday, January 1, 2011

KERANA RIDSECT ... .

"Assalamualaikum warahmatullah."

"Assalamualaikum warahmatullah."

Saya memberi salam solat Asar sebentar tadi. Deria hidu saya menangkap bau semburan racun serangga Ridsect. Baunya amat menusuk. Jenama ini memang saya tidak gemar kerana baunya yang sangat kuat dan memeningkan. Tetapi suami saya suka jenama ini.

Tiba-tiba pintu bilik terbuka dan Ammar Hadi menerpa dengan senyum meleret.

"Mak, Ammar dah sembur semua dah. Semua semut dah mati."

"Astaghfirullah. Pergi basuh tangan sekarang. Sabun betul-betul."

"Ammar jumpa kat mana sembur tu?"

"Atas meja je."

Aduh. Siapa pula yang letak atas meja. Padahal benda yang berbahaya semua sudah saya letak di tempat tinggi. Kepada ahli rumah juga saya berpesan, jangan letak merata-rata nanti Ammar buat main.

"Ya Allah. Patutlah bau kuat betul. Ammar sembur kat mana?"

"Kat dapur," jawabnya selamba.

"Allahu akbar ... KAT DAPUR?" saya bergegas turun ke dapur.

"Tunjuk kat mana Ammar sembur."

"Situ, situ, situ, situ ... semua Ammar sembur."

Aduh. Saya menepuk dahi. Mujur sebahagian besar makanan ditutup.

"Ada lagi yang Ammar sembur?"

"Dalam peti."

"Ya Allah. Habislah." Pantas saya membuka peti. Lutut dah mula longlai.

"Tunjuk satu-satu apa yang Ammar sembur."

"Tu ... tu ... ." Telunjuknya satu persatu dihalakan ke makanan yang disembur.

Allah .... kena buanglah semuanya. Ayam yang telah saya potong dan bersihkan untuk dibuat mi kari malam ini, kena buang. Tembikai yang tinggal lagi sebelah kena buang. Beberapa makanan lain yang terdedah turut saya buang. Bau Ridsect di dalam peti jangan dikenang. Benda-benda lain yang tertutup rapat, saya biarkan. Lap sahaja permukaan luar. Harapnya tidak memudaratkan.

"Ammar, dengar sini. Banyak kali kan Mak cakap, sembur tu tak boleh main. Sebab apa?"

"Bahaya," jawabnya.

"Habis. Ammar dah tau bahaya kenapa buat juga?"

"Sebab ada semut."

"Dalam peti tak ada semut. Jangan sembur semut sebab dia binatang syurga. Biarkan aje. Kita boleh sembur lipas aje. Sidi marah tau sembur semut." (Sidi ialah gelaran datuknya).

"Jangan buat lagi. Kalau nampak sembur tu jangan buat main. Bagitau Mak, nanti Mak simpankan."

"Yalah, yalah." Jemu agaknya mendengar leteran saya.

"Sembur tu racun. Kalau kena makanan, bahaya kalau makan. Nanti sakit. Boleh mati."

"Mak, tu pun kena buang. Nanti kena Ammar, mati nanti," tangannya menunjuk ke arah basikalnya.

"Basikal tak apa. Boleh naik. Tak mati. Lap aje."

Aduh. Sambutan tahun baruku ...! Hampir setin Ridsect disembur.