Friday, October 30, 2009

DIA KAWAN SAYA

Ayah saya tamat pengajiannya di UK pada tahun 1984 dan membawa kami pulang ke tanah air. Kami kemudiannya bermastautin di Shah Alam. Agak lama juga.

Saya meneruskan persekolahan di SM Shah Alam (yang kemudiannya dinamakan SM Sultan Abdul Aziz Shah) di Tingkatan 2P1.

Di sekolah ini, ada seorang pelajar yang cukup terkenal dan popular. Saya yang ketika itu berpangkat ‘budak baru’ lagi jahil, tidak mengetahui latar belakangnya. Teman-teman lain berasa pelik kerana saya tidak mengenalinya. Yalah, tinggal di perantauan, mana mungkin saya mengetahui perkembangan semasa di tanah air. Dulu-dulu, bukan ada Internet yang memudahkan maklumat tersebar.

Cuma saya kehairanan melihat pelajar ini sering menerima surat yang banyak dari seluruh negara. “Betullah famous mamat ini gamaknya,” komen saya.

Setiap hari apabila menunggu bas setelah tamat sekolah, saya lihat ayahnya datang menjemput dengan motosikal. Pelajar popular ini akan membonceng di belakang motosikal itu. “Oh, ayah dia polis,” detik hati saya tatkala melihat ayahnya beruniform polis.

Hanya subjek Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Agama Islam sahaja yang saya agak-agak boleh skor waktu itu. Maklumlah, antara silibus di UK dan di Malaysia jauh menyimpang. Saya terkial-kial mempelajari Sejarah, Sains, Geografi, Matematik, Perdagangan dan Perakaunan. Kerana susah hendak faham subjek-subjek ini, saya akhirnya jadi seorang yang agak pemalas! Pernah beberapa kali kad laporan saya bertanda merah untuk subjek-subjek ini khasnya Matematik (kwang3).

Maka pada tahun berikutnya apabila melangkah ke tingkatan tiga, saya turun kelas ke 3P2. Kali ini saya sekelas dengan pelajar popular itu. Ini memberi saya peluang untuk mengenalinya dengan lebih dekat. Barulah saya tahu siapa dia sebenarnya. Dan baru saya tahu mengapa apabila tiba konsert dan talent time sekolah, dia wajib membuat persembahan.

Saya juga pernah membelek-belek surat daripada peminatnya yang tiba di sekolah.

“Awak tengok surat ni. Tak ada alamat pun, ada nama awak seketul je, pun sampai gak ye ...” Saya takjub, cekap juga perkhidmatan pos Malaysia atau budak ini memang ‘famous’ betul dan semua orang mengenalinya!

Dia sekadar tersenyum, agaknya sudah biasa menerima surat-surat sedemikian.

Tiba 1 April (April Fool) ...

Saya tidak pernah ‘melayan’ tarikh ini dengan perbuatan yang mengarut. Tetapi pelajar-pelajar lain suka meraikannya dengan mengenakan ‘practical joke’ kepada cikgu dan rakan.

Pagi-pagi lagi sebelum kelas bermula, pelajar popular ini membawa sebotol ‘Liquid Paper’ ke hadapan kelas. Bersamanya ada beberapa batang kapur tulis berwarna-warni. Kemudian dia mengecat kesemua kapur itu dengan Liquid Paper. Wah, semua kapur warna bertukar jadi kapur putih.

Kelas pertama pagi itu ialah kelas Agama Islam. Ya, Ustaz ialah cikgu pertama yang tertipu dengan kapur-kapur itu. Ustaz rasa pelik semua kapur putih yang digunakan untuk menulis di papan hitam mengeluarkan warna merah, hijau, biru, kuning. Kami sekelas terkekek menahan tawa.

Tiba Ramadan ...

Kali ini ada pelajar-pelajar lelaki membawa mercun baling. Bahan larangan ini dibawa secara sorok-sorok. Antara yang turut serta memeriahkan acara membaling mercun ialah pelajar popular ini.

Akhirnya acara membaling mercun sampai ke pengetahuan Guru Disiplin. Waktu tertangkap, mercun masih ada di dalam kocek seluar. Bagaimanapun, pelajar popular ini sempat menyelamatkan diri. Rakan-rakan lain mendapat rotan.

“ ‘Cerdik’ betul, simpan mercun dalam poket. Kalau meletup macam mana? Kamu nak ‘anu’ kamu meletup sama?” herdik Cikgu Disiplin. Masing-masing menggeleng kepala.

Masa terus berlalu ...

Naik tingkatan empat, saya di aliran Sastera. Dia di aliran Sains.

Kemudian tingkatan lima ... SPM. Selepas keluar keputusan SPM, ada rakan-rakan berjaya ke IPTA dan ada yang meneruskan pengajian ke tingkatan enam bawah. Antara yang meneruskan pengajian ke tingkatan enam bawah ialah saya dan dia.

Kamilah ‘batch’ pertama tingkatan enam bawah. Sebelum ini sekolah ini hanya ada tingkatan lima sahaja.

Sekali lagi saya sekelas dengan pelajar popular ini. Tidak lama kemudian, ada beberapa lagi rakan yang mendapat tawaran ke tempat lain. Saya juga tidak habis pengajian di tingkatan enam bawah di sekolah itu. Ayah memindahkan saya ke Sekolah Menengah Sultan Abdul Samad di PJ. Ini disebabkan waktu itu kami telah berpindah rumah ke kuarters UM. Sekolah baru ini lebih hampir dengan rumah kami. Lima minit sebelum loceng berbunyi barulah saya keluar dari rumah untuk ke sekolah.

Jika sebelumnya di Shah Alam, pagi-pagi buta Ayah terpaksa menghantar saya ke sekolah dan kekadang lewat petang barulah datang menjemput.

Kawan-kawan lama di Shah Alam terpaksa saya tinggalkan. Kawan saya yang popular itu juga tidak tamat tingkatan enam bawah. Khabarnya dia mendapat tempat untuk berkhidmat di langit biru menjadi pramugara!

Agaknya jika hari ini kami bertemu, dia sudah tidak mengenali saya, lebih-lebih lagi dia kini semakin popular. Siapalah saya ... saya hanyalah kawan sekelasnya yang biasa-biasa saja. Tetapi jika disebut nama Mr. Danny, guru Bahasa Inggeris kami atau Pn. Bariah, guru Perdagangan dan Prinsip Akaun, dan peristiwa-peristiwa zaman persekolahan, barangkali dia masih mengingatinya.

Di sekolah, kami mengenalinya sebagai Shahrul (kami sebut ‘Sharol’), tetapi masyarakat umum mengenalinya sebagai penyanyi lelaki popular dan terbaik untuk beberapa tahun: ANUAR ZAIN (SHAHRUL ANUAR bin ZAIN).





sumber imej: www.anuarzain.com.my

Wednesday, October 28, 2009

PENCEGAH KANSER DAN STROK

Petikan kuliah Ustaz Abdullah Mahmood pada Ramadhan 2008 di pejabat Galeri Ilmu Sdn. Berhad:

BERKENAAN KANSER & ANGIN AHMAR (Strok)

Menurut Ustaz kedua-dua penyakit ini ialah bawaan jin dan syaitan. “Mengapa orang perempuan banyak menghidap kanser rahim dan kanser payudara?” soal beliau. Ustaz Abdullah kemudian menjawab soalannya sendiri, “Sebab orang perempuan mengalami haid dan nifas.”

Penjelasan Ustaz, sewaktu perempuan mengalami haid dan nifas ialah waktu perempuan dalam keadaan ‘tidak suci’, maka mudahlah didampingi jin dan syaitan. Paling bahaya jika didampingi jin yang bawa penyakit. Antara tempat kesukaan jin dan syaitan apabila mendampingi manusia ialah bahagian-bahagian sulit.

“Dah bertahun-tahun saya kaji tentang penyakit kanser. Cari ubat dan puncanya, tapi jawapan saintifik tidak menjawab persoalan yang bermain dalam kepala saya. Jawapan saintifik yang mengatakan faktor makanan dan faktor-faktor lain yang dikatakan punca kanser hanyalah faktor kecil. Saya buat istikharah selama 40 malam dan munajat kepada Allah mohon ditunjukkan punca kanser. Kemudian saya buka kitab hadis. Nah, saya jumpa jawapannya,” cerita Ustaz Abdullah yang banyak merawat penyakit dengan al-Quran amnya dan ayat-ayat syifa khasnya.

Hadis yang dimaksudkan oleh Ustaz Abdullah dalam kitab itu ialah:

Daripada Aisyah r.ha: “Nabi SAW akan mencuci anggota sulitnya apabila hendak tidur.”

“Itulah jawapannya kepada penyakit kanser. Yang dimaksudkan hadis itu ialah bersuci dan BERWUDUK sebelum tidur. Orang perempuan pun walau dalam keadaan hadas besar wajiblah berwuduk sebelum tidur kerana jin, syaitan dan iblis tidak akan ganggu. Jika tidak berwuduk, alat sulit kita itu akan jadi tempat kesukaannya,” jelas Ustaz Abdullah.

Perempuan dalam haid dan nifas mudah didekati jin dan syaitan kerana berhari-hari tidak boleh solat dan baca Quran, tapi berwuduk tidak menjadi halangan untuk dilakukan. Wuduk inilah satu-satunya senjata orang perempuan untuk melawan jin, di samping mengamalkan zikir-zikir lain.
“Disarankan kepada semua orang khasnya orang perempuan agar membiasakan diri dalam keadaan wuduk. Insya-Allah tidak akan diserang kanser,” Ustaz Abdullah penuh yakin.

Monday, October 19, 2009

DAH BANYAK KALI SAYA TIPU!

Apabila melihat anak kecil khasnya yang masih bayi dan yang masih peringkat toddler saya akan berkata, ‘Alaaaa comelnya,’ kerana setiap bonda yang melahirkannya akan berasa senang mendengar orang memuji anaknya ‘comel’. Tak payah orang lain, saya sendiri pun suka apabila orang memuji anak saya begitu. Bangga!

Comel anak yang sebenarnya

Ada anak yang pada pandangan kita dan pandangan orang lain sangat comel. Tak kiralah anak siapa. Kita berasa geram melihatnya dan rasa nak peluk seperti teddy bear. Ertinya apabila kita rasa seseorang anak itu comel, dan orang lain juga mengatakannya comel, makna anak itu benar-benar comellah. Contohnya anak orang putih atau anak orang Arab … memang comel betul! Lebih-lebih lagi yang mata bundar berwarna selain hitam!

Sama juga apabila orang putih melihat anak orang Asia, mereka geram melihatnya. Semasa adik saya lahir di England dulu, dia sering menerima pujian daripada orang putih, “Oh, he’s gorgeous,” walhal kulitnya agak gelap... maka ketika itu saya pun penuh bangga menolak adik di atas pram dan kemudian di atas stroller (walaupun bukan saya melahirkannya, perasaan bangga itu tetap ada).

Ada anak pada pandangan kita sangat comel, tetapi tidak pada pandangan orang lain. Saya pernah lihat anak seseorang yang comel, tapi rakan saya berkata, ‘Hmmm, biasa je. Tak comel manalah, heh!”


Ada pula anak yang pada pandangan orang comel, tapi pada pandangan saya pula agak biasa.

Ada anak yang pada pandangan saya tidaklah comel dan pada pandangan orang lain juga tidak comel. Memang tak comellah tu.

Maka saya kerap menipu dan berbohong kepada ibu anak itu, ‘Alaaa comelnya’ walhal anaknya itu tak comel pun, tetapi niat saya ikhlas mahu menyenangkan hati seorang ibu.

Kalau nak diikutkan, dah banyak kali saya menipu dengan kata-kata itu (dosa ke kalau menipu macam tu?)

Sama juga apabila orang mengatakan anak saya comel dahulu, maka dalam hati saya berkata, “Ikhlas ke tak ikhlas kata-kata orang ni?” (Sebab diri sendiri kekadang ikhlas di mulut, tetapi tidak di hati). Apa pun saya suka mendengarnya, tidak kiralah orang itu ikhlas atau tidak apabila mengatakan ‘comel’ pada anak saya.

Teringat sewaktu saya menjaga anak di hospital dahulu. Ketika itu anak saya sudah agak sihat dan mula merayau-rayau ke sana mari. Usianya waktu itu setahun lebih. Sewaktu dia berhenti berlari di koridor wad dan merenung ke luar dinding kaca, entah dari mana tiba-tiba muncul tiga remaja perempuan berlari-lari ke arah anak saya. Sedar-sedar anak saya sudah berada dalam dukungannya. Bukan tidak ada kanak-kanak lain di situ.


“Ya Allah comelnya … comelnya …” kata remaja itu sambil memeluk dan mencium pipi anak saya berkali-kali. “Kak, dukung jap,” pintanya. Anak saya meronta-ronta mahu melepaskan diri, tidak selesa dipeluk sedemikian rupa.

‘Eh eh budak-budak ni, muncul dari mana …’ bisik hati saya. Namun saya mengangguk dan tersenyum. ‘Jangan bawa lari anak aku dah le,’ hati saya berbisik lagi.

“Eee...gerammmmmnyaaaa,” katanya lagi.

‘Iya ke anak aku comel? Dahi jendul macam tu comel ke? Iyalah kot comel sebab tiba-tiba je budak ni muncul depan mata datang dukung … ingatkan aku je syok sendiri perasan anak aku comel …’ hati saya tidak berhenti kata-kata.

Apa pun apabila usia anak kita meningkat, bermula tiga tahun, comel fizikalnya semakin hilang. Seperti kita melihat anak ayam atau anak kucing. Semasa kecil, memang comel, bila dah besar kita kuis-kuis dengan kaki. Kalau ayam, kena sembelih lagi! Cuma pada anak sendiri tidak sanggup kita kuis dengan kaki kerana pada pandangan ibu dan ayah anak kita tetap comel sampai bila-bila sebab kasih sayang itu tidak akan hilang.

Anak kita walaupun tidak comel pada pandangan orang lain, pada pandangan kita sebagai emak, dia tetap comel (pandangan yang syok sendiri!)

Jadi kepada teman-teman, apabila saya memuji anak anda dengan perkataan ‘comel’ mungkin saya tidak ikhlas, minta maaf ya. Tetapi jika merujuk ‘comel’ pada fitrah si anak, kata-kata ‘comel’ yang terucap itu sememangnya ikhlas di mulut dan juga di hati saya. Sesungguhnya anak kecil itu fitrahnya suci! Itulah comel anak yang sebenarnya!

Wednesday, October 14, 2009

'DARI' ATAU 'DARIPADA'

Sudah banyak artikel dan buku yang telah saya sunting dan baca. Saya dapati masih banyak penulis yang masih keliru dengan penggunaan perkataan ‘dari’ dan ‘daripada’. Kekadang sebagai editor saya sepatutnya membetulkannya, tetapi perasaan malas kekadang menyinggah, maka saya biarkan saja begitu sebab kesalahan itu terlalu kerap saya jumpa di dalam teks—“asalkan pembaca faham apa yang dibaca dan maksudnya sampai, tidak mengapalah”—itu kesimpulan saya (ooo...editor tidak bertanggungjawab rupanya saya ni…hee!).

Apapun, jika anda seorang penulis setidak-tidaknya cubalah untuk mempraktikkan penggunaan ‘dari’ dan ‘daripada’ dengan betul. Aplikasikannya dalam penulisan anda setiap masa, lama-lama anda akan terbiasa dengannya. Yang penting, apabila selesai menulis, baca dahulu dan buatlah ‘self editing’ terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada editor (ringan sikit beban editor!)

Mari kita lihat perbezaan ‘dari’ dan ‘daripada’ (mengikut Kamus Dewan)

dari
1. sendi kata yang menerangkan atau menyatakan tempat mula bergerak (bertolak, muncul, jatuh, dll): saya berlepas dari Ipoh pagi tadi; dari mana hendak ke mana?; dia terjun dari tingkat lima bangunan itu;

2. sendi kata yang menerangkan atau menyatakan permulaan sesuatu jangka waktu: dari sekarang kita tidak boleh main-main lagi: dari kecil lagi; dari sehari ke sehari; dari dahulu hingga sekarang;

3. sendi kata yang menyatakan (menunjukkan) titik permulaan sesuatu jarak yang diukur: kampung itu terletak kira-kira dua puluh kilometer dari bandar;

4. sendi kata yang menerangkan (menyatakan) titik atau pusat tumpuan permulaan sesuatu kegiatan (pergerakan dll): pasukan itu melancarkan serangan dari kawasan pergunungan; usaha membina pengetahuan tentang bahasa perlu dimulakan dari peringkat sekolah rendah lagi;

5. sendi nama yang menyatakan (menunjukkan) tempat asal seseorang (sesuatu barang dll): dia berasal dari Medan; surat dari London; dia mengangkat air dari perigi ke dapur.

daripada
1. sendi kata yang menyatakan atau menunjukkan orang yang memberi (mengirim dsb): dia menerima sepucuk surat daripada ayahnya; hadiah daripada seorang sahabat yang karib;

2. sendi kata yang menyatakan (menunjukkan) sumber atau punca sesuatu itu diperoleh dsb: petikan daripada karya Usman Awang; air daripada telaga itu berkuman; diterjemahkan daripada bahasa Arab;

3. sendi nama yang menyatakan (menunjukkan) bahan dsb yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu; jambangan bunga itu diperbuat daripada tembikar; barang-barang daripada getah;

4. sendi kata yang menyatakan atau menunjukkan orang (negara, unsur, barang, dll) yang terlibat dalam sesuatu pengasingan (pemisahan, perbezaan, perbandingan, dll): Selat Melaka memisahkan Semenanjung Malaysia daripada Sumatera; reka bentuk yang dikemukakan terkemudian ini lebih menarik daripada yang disediakan dahulu;
5. sendi kata yang digunakan sewaktu menyatakan sesuatu perubahan (perkembangan dsb): harga daging telah naik daripada RM8.00 sekilo menjadi RM9.50 sekilo; bilangan pelajar yang telah lulus merosot daripada 68% tahun lalu menjadi 66% tahun ini;

6. sendi kata yang digunakan sebelum menyatakan atau menyebutkan unsur (akibat dll) yang hendak dielakkan (dicegah, dihindar, dsb): mempertahankan diri daripada serangan musuh; menjauhkan diri daripada bahaya; langkah-langkah untuk mengelakkan hal-hal demikian daripada berlaku lagi;

7. sendi kata yang menyatakan (menunjukkan) punca atau asas dsb sesuatu tindakan (kesimpulan dll): daripada apa yang saya dengar, pemandu lori itu yang patut dipersalahkan; masjid itu dibina daripada desakan penduduk di kawasan itu;

8. sendi kata yang memperkaitkan atau memperhubungkan sesuatu atau sesuatu bahagian dengan sesuatu keseluruhan atau jumlah dsb: satu daripada sebab-sebab; hanya tiga orang daripada sejumlah 40 orang pelajar telah gagal dalam peperiksaan itu; sepertiga daripada keuntungan yang diperoleh dijadikan modal.

Sehingga ini, adakah anda masih keliru? Masih tidak boleh ingat? Mmm, jika begitu cubalah ingat petua daripada pensyarah Bahasa Melayu saya sewaktu di ITM dahulu:

Katanya, “Jika melibatkan ‘waktu/masa’ dan ‘tempat/kawasan’, maka pada kebanyakan masa, hendaklah kita gunakan ‘dari’. Jika yang selain itu, yakni selain waktu dan masa, gunakan ‘daripada’.”
Sama-sama kita mengamalkannya!

Sunday, October 11, 2009

PASCA 1 SYAWAL 1430

Isnin, 2 Syawal 1430 (21 September 2009)

Kami berhimpit-himpit di dalam kereta Ayah untuk pulang ke kampung. Saya dan anak terpaksa menumpang kerana suami tidak mahu pulang beraya kali ini. Emak pula sudah dua tahun pulang ke kampung pada hari raya kedua bagi mengelakkan kesesakan di jalan raya. Adik dan keluarganya juga pulang ke Kelantan tahun ini. Kami bertolak pada hari yang sama, cuma berlainan masa.

Jalan pulang dari KL ke Kelantan tidak semudah lebuh raya utara-selatan yang boleh dikatakan tidak mencabar. Malah untuk ke Terengganu pun ada lebuh raya. Tetapi untuk ke Kelantan tidak begitu. Mujur kini sudah ada laluan alternatif melalui Cameron Highlands-Lojing-Gua Musang. Tol hanya RM19.00. Saya belum pernah melaluinya, tetapi khabarnya laluan ini cukup cantik. Cuma tidak digalakkan bermusafir waktu malam kerana kabus tebal.

Tiba di Manek Urai, Ayah singgah membeli lemang. Lemang bukan juadah raya yang popular di Kelantan. Malah suatu ketika dahulu, lemang tidak wujud pun di negeri ini. Warga Kelantan tidak menyediakannya sebagai menu utama 1 Syawal. Tetapi kini, bagi yang berkeinginan lemang sudah ada dijual di bahu-bahu jalan di lokasi-lokasi tertentu. Selesai membeli lemang, kami terus ke rumah emak saudara (kakak Ayah) di Pemanok untuk makan lemang tersebut. Emak saudara mempelawa pula makan malam di rumahnya sebelum kami berangkat ke rumah nenek di Bukit Tiu.

Tiba di rumah nenek … wah, setiap sudut rumah ‘fully occupied’ kerana anak, cucu dan cicit pulang berhari raya.

Hari-hari berikutnya padat dengan undangan majlis pertunangan dan perkahwinan. Orang Kelantan memang suka memilih cuti raya untuk adakan majlis begini—mengambil peluang sementara saudara-mara jauh masih ada beraya di kampung.

Beginilah suasana apabila puasa tamat … ke sana ke mari, makan dan makan dan makan lagi tidak berkesudahan! Jalan-jalan raya pula jangan dikenang sesaknya akibat penggunaan yang maksimum setiap kali tiba hari raya. Tidak berganjak berjam-jam (penangan anak-anak Kelantan pulang dari perantauan).

Selasa, 3 Syawal
“Esok datang rumah Ma. Ma buat kuzi ni, lambat pun tak apa,” kata mak mentua saya di hujung talian telefon bimbit. Panggilan itu saya terima ketika majlis pertunangan anak sepupu sedang berlangsung di Machang. Saya tidak berjanji untuk datang esoknya kerana sedar keadaan diri yang tidak berkenderaan. Sekadar menumpang kereta orang!

Khamis, 5 Syawal
Hari ini baru saya berpeluang ke rumah mentua di KB. Itu pun kerana adik sudi menghantar ke sana selepas kami menghadiri majlis perkahwinan sepupu di Pasir Puteh. Kasihan pula kerana untuk pulang semula ke Machang, dia tersangkut dua jam dalam sesak jalan raya.

Aisyah & Ammar tumpang bergambar di atas pelamin.

Sabtu, 6 Syawal
Jika ke rumah mentua, saya dihantar oleh adik nombor satu, kini adik nombor dua bersama Emak pula datang menjemput saya dan anak di rumah mentua. Kebetulan adik saya itu hendak menghantar isterinya ke lapangan terbang untuk pulang ke KL.

Sedih pula hendak meninggalkan mentua yang semakin uzur khasnya ayah mentua … Abah sudah tidak kenal saya, kekadang ingat kekadang lupa! Untuk bangun dan berjalan pun terkial-kial.


Mak mentua (kiri) & Emak (kanan).

Di lapangan terbang …

“Ammar nak naik 'tapal tebang' (kapal terbang). Cepatlah Mak, tapal tebang tinggal Ammar nanti,” rayu anak saya semasa di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa. Air mata berlinangan. Puas memujuk. Hmmm, nantilah, suatu hari nanti insya-Allah!

Sempat bermain gelongsor di KFC lapangan terbang Pengkalan Chepa.

Sabtu dan Ahad. Suasana di rumah nenek semakin lengang. Anak cucu dan cicit secara beransur-ansur pulang ke destinasi masing-masing.

Isnin, 9 Syawal
Giliran kami pula untuk pulang. Selamat tinggal nenek! Setiap kali mendakap nenek yang telah lanjut usia (88) dan semakin uzur, hati tersayat pilu. Kerap kali dia menyebut tentang mati. Entahkan sempat bertemu lagi? Entahkan kami yang pergi dulu! Ya, Allah, Engkau peliharalah nenek kami. Rezekikan dan izinkan kami untuk ketemu dan mendakapnya lagi!


Nenda Zaharat

Ammar & moyang.



Emak cukup sedih setiap kali hendak meninggalkan bondanya.



Sepatutnya perjalanan pulang ke KL lancar, tidak lagi sesak kerana sebahagian besar anak rantau sudah pulang ke destinasi masing-masing, pun begitu perjalanan kami perlahan ekoran lori-lori balak berjujukan menyusuri jalan raya. Aduh!

Selasa, 10 Syawal
Hari ini baru berpeluang memulakan puasa enam.

Hari ini, Ammar liat untuk ke tadika akibat terlalu lama bercuti.

“Amboi Ammar! Orang lain cuti seminggu aje, dia sampai sepuluh hari,” sindir seorang cikgunya.
Hari ini juga saya menghantar adik bongsu pulang ke kampus USIM sambil menempah langsir baru pasca raya di Nilai Square. Orang lain langsir baru untuk hari raya, saya pula selepasnya. Itu pun kerana terpaksa …(langsir sedia ada sudah koyak). Tak perlu mahal, sekadar cukup untuk memenuhi fungsi!

Rabu, 11 Syawal
Selepas hantar anak ke tadika, saya berkejar pula ke PPUM dalam hujan lebat untuk membuat janjitemu baru untuk pemeriksaan kesihatan susulan anak. Janjitemu terdahulu tidak dipenuhi kerana saya terlepas pandang tarikhnya. Janjitemu baru 21/10 untuk ECHO, dan 27/10 untuk Klinik Kawasaki.

Hingga sekarang saya mencari jalan bagaimana hendak memujuk anak menjalani ECHO. Jika sebelum ini doktor memberi ubat tidur, sekarang tidak lagi kerana faktor usia. “Ya Allah, Engkau permudahkanlah pada hari itu. Semoga anakku Ammar mahu menjalani ECHO. Engkau jinakkanlah dia.”

Selesai urusan di PPUM, saya bergegas pula ke beberapa bank.

Menjelang tengah hari, saya sudah kepenatan.

Kemudian saya ke rumah Emak pula untuk mengguna mesin jahit. Suami minta pendekkan beberapa helai kemeja batiknya (orang dah suruh, terpaksalah buat). Misi untuk menjahit kesemua kemeja itu gagal kerana letih puasa dan kesuntukan waktu. Petangnya bergegas lagi untuk jemput anak di tadika dan pulang untuk masak.

Khamis, 9 Syawal
Hari ini masuk pejabat semula. Biarpun bercuti lama, masih banyak hal tidak sempat dilangsaikan. Saya juga terkilan kerana masih tidak sempat langsaikan urusan di Tabung Haji, Bank Islam dan KWSP!

Rumah juga seperti biasa bagaikan tongkang pecah! Konon mahu mengemas semasa bercuti. Apakan daya … tak terdaya!

Wednesday, October 7, 2009

‘IDILFITRI - 1 SYAWAL 1430

Ahad, 1 Syawal 1430 (20 September 2009)

Masuk raya kali ini sudah empat tahun saya tidak berpeluang menunaikan solat sunat ‘Idilfitri (‘Idiladha pun sama). Rindu benar rasanya. Namun, anak terpaksa diutamakan, tidak mungkin saya meninggalkannya seorang diri di rumah semata-mata untuk ke masjid. Untuk membawanya bersama ke masjid juga tidak mungkin kerana jemaah pasti akan terganggu. Cukuplah dengan beberapa pengalaman membawanya ke masjid.

Maka suami saya sendirian ke masjid dan saya bersama anak pula terus ke rumah Emak dan Ayah. Janji suami saya, dia akan menyusul ke rumah Emak apabila tengah hari.

Hingga ke petang, suami saya tidak juga muncul.

HARUN YAHYA AMINULLAH, AISYAH AINY & AMMAR HADI

Ammar Hadi mahu mengikut sepupunya Aisyah Ainy dan Harun Yahya Aminullah beraya. “Ammar nak gi raya jugak.” Itulah diulang-ulangnya sambil menangis hiba.

“Yalah. Jom Mak bawa jalan-jalan raya,” pujuk saya sambil mencapai kunci kereta.

“Raya tu apa?” soalnya semasa saya memandu di jalan-jalan yang sungguh lengang di sekitar LDP, Kelana Jaya, SS2 dan Kampung Tengku. Jika hari-hari biasa, jalan-jalan ini maha sibuk dan sesak.

“Raya tu kita gi jalan-jalanlah. Ni Ammar tengah rayalah ni. Mak bawa kereta di jalan RAYA. Jalan lebih besar nama dia lebuh RAYA. Kita sekarang tengah ronda-ronda atas jalan RAYA …” Sengaja saya menekankan perkataan ‘raya’.

“Oooo…jalan LAYA,” ujarnya.
“Jalan RRRRAYAlah, bukan jalan LLLAYA.”
“Jalan LLLaaaayaaa …” Masih telor lagi engkau anakku! Konsonan R, G dan K masih bermasalah.

Saya tidak memberi makna sebenar ‘raya’ kepadanya. Buat masa ini biarlah dia tahu raya sebagai ‘jalan raya’. Jika dia tahu erti raya sebenar nanti susah pula, takut-takut dia melalak mahu ikut Aisyah dan Harun beraya ke rumah emak saudara mereka.

Setelah tersesat jalan di Kampung Tengku, saya akhirnya berjumpa jalan keluar untuk ke SS2 semula dan pulang ke rumah.

“Laaa, Ammar … Papa ada kat rumah rupanya,” kata saya sebaik melihat kereta suami ada di perkarangan rumah. Saya sangkakan dari masjid dia terus ke pejabat sebab itu tak muncul-muncul di rumah Mak Ayah.

“Sakit kepala. Lupa makan ubat malam tadi,” ujarnya. Mmm… sememangnya dia ada darah tinggi. Kerja kuat kekadang terlupa makan ubat.

Selepas pulang dari masjid tadi dia terus makan ubat dan tidur. “Malam nilah pergi rumah Mak,” katanya lagi.

Malamnya, sekali lagi saya dan Ammar ke rumah Emak di Kayu Ara, kali ini naik kereta suami pula. Makan nasi dagang lagi!




Monday, October 5, 2009

PRA-'IDILFITRI

Jumaat, 28 Ramadhan 1430 (18 September 2009)

Hari ini kena bawa anak ke pejabat kerana Tadika Hasanah sudah mula bercuti untuk membolehkan cikgu-cikgunya balik beraya di kampung. Sebahagian warga Galeri Ilmu juga sudah bercuti. Yang tinggal beberapa orang sahaja. Lengang dan sunyi. Yang kedengaran cuma suara Ammar Hadi yang sesekali memecah sepi (memekik-mekik). Berlari sana sini bermain roket kertas, dan memanjat dan terjun meja (tanda sudah bosan).


Menjelang tengah hari …

“Mak nak mi.”
“Laa, mana ada mi, orang semua puasa.”
“Ammar kata nak mi.”
“Milo boleh?”

Dia mengangguk. Walaupun Milo bukan minuman kegemarannya, habis juga diminumnya. Maknanya sudah laparlah tu.

“Mak, nak mi.”
Mi lagi yang dipinta.

“Okeylah, jom kita pergi beli.”
Tiada pilihan, terpaksa beli mi segera.




“Eee, tak malu tak puasa … ?” lebih kurang begitu usik Pak Cik Abu tatkala melihat Ammar menghadap secawan mi segera yang masih panas berwap.
"Sedap?" Pak Cik Zuraimi pula menegur.
Terasa hati dengan usikan itu, Ammar masuk ke bawah meja, menyorok.









“Mak nak balik.”

“Kejap lagi, Mak ada kerja sikit lagi.”
“MAK NAK BALIKKKKK …MAK NAK BALIKKKKK …”
“Sabarlah, kejap je lagi.”

“MAK NAK BALIKKK …” jeritannya makin kuat.
“Jom, kita gi kedai dua ringgit nak? Mak nak beli pam bola. Bola Ammar dah banyak yang lembik.”
“Yey, yey…”

Bukan saja pam bola, cermin mata mainan dan handphone mainan juga diambilnya. Saya pula turut ‘merembat’ lampu hiasan ‘liplap’ untuk hiasan Jabatan Buku memandangkan jabatan kami sahaja yang masih ‘togel’. Jabatan-jabatan lain sudah cantik berhias untuk menyambut ‘Idilfitri.


Saki-baki kakitangan semakin berkurangan. Ada yang balik awal. Maka saya juga mengambil langkah sama lebih-lebih lagi anak sudah tidak boleh dikawal.


Ammar bukan sahaja membawa pulang mainan yang dibeli di kedai dua ringgit, tetapi juga duit raya awal daripada Acik Suriati dan Pak Cik Zuraimi.