Wednesday, March 21, 2012

PUCUK MENGKUDU ENCIK MISLAN

Dua hari lepas rakan sepejabat, Encik Mislan membawa banyak pucuk mengkudu yang ditanam di rumahnya dan diedarkan kepada kawan-kawan.


"Puan makan tak pucuk mengkudu?" soalnya.


"Apa rasanya?"


"Kelat lemak-lemak sikit macam pucuk betik," sampuk Encik Yusof.


"Celur buat ulam makan dengan sambal belacan," ujar Encik Mislan.


Saya dapat dalam enam tangkai pucuk mengkudu.


Belum pernah saya merasanya.


"Buat kerabu okey ke?"


"Haa, buat kerabu memang sedap, pahit-pahit lemak," balas Encik Yusof.


Ada pula mencadangkan pucuk mengkudu dimasak lemak. Tapi saya cuba mengelakkan masakan berlemak. Lagipun beberapa hari lepas sudah buat ayam masak lemak.


Maka, semalam saya 'kerabukan' pucuk mengkudu Encik Mislan. Saya bukan peminat sambal belacan. Malah hendak buat sambal belacan pun saya tak tahu.


Kerabulah jadinya.


Ooo ... memang sedap! Kerabu, salad orang Melayu memang mudah nak dibuat.


Bagi yang tak tau nak buat kerabu, boleh cuba resipi emak saya (kerabu stail Kelantan):




  • Beberapa helai pucuk mengkudu (dicelur hingga lembut dan dihiris halus-halus)


  • Seekor ikan kembung (dibakar tawar, diambil isinya dan ditumbuk)


  • 10 biji lada hitam (ditumbuk halus)


  • 3-4 ulas bawang merah kecil (ditumbuk lumat)


  • Perahan jus limau nipis (secukup rasa)


  • Garam & gula secukup rasa


  • 3 sudu makan santan segar (lebihkan jika mahu kerabu yang lebih lembap - santan segar yang tidak melalui proses memasak, baik untuk kesihatan)


  • Kerisik (secukup rasa)


  • Optional: 2 biji cili api (lebihkan jika mahu pedas)

    Gaul semuanya. Sesuaikan rasanya. Biarkan seketika hingga semua bahan mesra. Jika rasa 'terkurang' tambahlah mana-mana bahan yang perlu di atas. Sejukkan di dalam peti. Hidang hanya apabila hendak dimakan. Pucuk mengkudu dikatakan baik untuk mereka yang ada darah tinggi, wallahu a'lam! Moga dimurahkan rezeki Encik Mislan dan dikurniakan kesihatan yang baik.
    Pucuk mengkudu boleh diganti dengan parutan timun (dibuang biji), kacang botor, pucuk paku, pucuk ubi dan seumpamanya.

Friday, March 9, 2012

MUJUR

'Mujur' - perkataan yang sering diungkapkan oleh kebanyakan orang Kelantan atau orang Pantai Timur umumnya.

Contohnya jika seseorang itu kemalangan dia akan berkata begini: "Mujur tak cedera."

Kalau cedera pula dia atau orang yang bercerita tentang kemalangan itu akan berkata, "Mujur tak teruk."

Kalau cedera teruk pula akan dikatakan begini, "Mujur tak mati."

Kalau mati pula, habislah ceritanya. Atau mungkin juga begini, "Alhamdulillah, mujur arwah sempat mengucap."

Ayah saya mengungkai erti 'mujur' itu dalam kehidupan manusia. Katanya, 'mujur' yang sering disebutkan itu adalah suatu bentuk doa. Doa yang dulu-dulu kita ucap, Allah makbulkan dalam bentuk 'mujur' pada ketika berlaku sesuatu keadaan. Contohnya dalam hal kemalangan tadi.

Maka jangan berat mulut untuk menyebut 'MUJUR' dalam kehidupan seharian kita. Kerana ia adalah doa. Kita tidak tahu dan tidak pasti bila kita akan memerlukannya.

Thursday, March 1, 2012

'WORK STATION' SAYA

'Work station' saya di pejabat cuma kelihatan kemas setahun sekali iaitu selepas berkhirnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Berakhirnya PBAKL, barulah saya mengemas dan menyusun meja saya.


Work station saya hanya berkeadaan kemas hanya untuk seminggu dua sahaja, kemudian secara beransur-ansur akan kembali kepada sedia kala.


"Saya tak tahu macam mana puan boleh kerja dengan meja macam ni," komen seorang artis grafik di pejabat ini.


Hakikatnya saya 'tidak mampu' bekerja dalam keadaan meja yang kemas tersusun. Terasa tidak puas dan seperti ada suatu kekurangan.


Menjelang PBAKL, keadaan meja kerja saya makin berserabut. Semakin dekat tarikhnya semakin menjadi-jadi tahap bersepahnya.


Inilah kemuncaknya ... .