Monday, February 28, 2011

SUATU HARI DI DEPAN 7-ELEVEN

"Isk, kenapa tak boleh buka pulak ni," saya merungut sendirian cuba membuka pintu kereta dengan kunci. Sudah lama saya tidak gunakan kunci autonya. Kunci secara manual.

Kemudian saya cuba pula membuka dari pintu sebelah. Manalah tau kot-kot pintu yang ini 'jam'. Tapi, gagal juga. Kunci masuk separuh sahaja. Tidak lama kemudian, penggeranya bunyi, bingit sekali. Tetiba, penggeranya senyap seperti ada yang menekan punat kunci auto. Lama saya memerhati kereta. Mencari punca dan macam mana penggeranya boleh mati sendiri.

"Laaa, bukan kereta aku rupanya ..." Kwang ... kwang. Isk, malunya aku.

Di penjuru kedai, seorang tomboy Cina berkemeja hitam mengangkat tangan sambil tersengih kepada saya kelucuan. Saya membalas lambaiannya, baru ternampak kereta sendiri dan berjalan ke tempat yang betul. Saya menepuk dahi dan menuding jari ke arah kereta saya kepada tomboy itu sebagai isyarat menyatakan maaf dan menyatakan tersalah kereta. Bertambah lebar sengihnya.

Mujur dia sengih, bukan marah.

Warna kereta sama, nama sama, keadaan di dalam kereta pun sama. Di tempat penumpang sebelah pemandu saya letakkan beg hitam saya. Dia pun, ada beg hitam di sebelah. Mahunya tak tertukar.

Ini bukan kali pertama saya tertukar kereta, tapi tidaklah sampai sempat saya menjolok anak kunci ke pintu. Saya terkadang tidak peka di mana petak saya memarkirkan kereta. Asal letak betul, dan terus cabut. Dan saya juga tidak pernah memeriksa nombor pendaftaran sama ada milik saya atau sebaliknya. Asal betul jenis dan warna saja.

Nampaknya saya perlu tukar warna kereta memandangkan warna sekarang dan jenisnya pula banyak kedapatan di sana sini.

Friday, February 25, 2011

YANG TERBAIK

"Ammar Hadi dah lancar Qiraati 2," lapor cikgu Tadika Hasanah kepada saya petang semalam. Alhamdulillah. Itu kelebihan kalau menghantar anak ke tadika yang menekankan pengajian Islam. Cuma di rumah, kita perlu gilap saja lagi, tidak boleh biarkan begitu sahaja dan membiarkan anak-anak di tangan cikgu semata-mata. Kita juga wajib mainkan peranannya.

Sudah banyak doa, surah lazim dan bacaan lain yang dihafalnya. Malah melebihi hafalan saya sendiri. Cuma Ammar agak pelat sebutannya. Tadika Hasanah menekankan aspek kepimpinan pada anak-anak di situ. Bagi yang lelaki, dilatih menjadi imam. Alhamdulillah.

Cuma yang sedikit menggusarkan apabila cikgu memberitahu, "Matematik dia agak lemah. Kalau ajar dalam bahasa Inggeris dia boleh buat. Mudah faham, bagus. Sebab sekarang ni kita dah tukar balik ke bahasa Melayu. Mengira satu sampai sepuluh dalam Melayu dia tak berapa lancar."

Aduh. Ini semua salah kerajaan dan Kementerian Pendidikan. Dulu sibuk tukar ke bahasa Inggeris. Yang menjadi mangsa adalah anak-anak ini. Baik dikekalkan sahaja pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu sejak dulu lagi. Tidak payah ke bahasa Inggeris. Negara maju seperti Jepun tidak pernah mengajar subjek itu dalam bahasa Inggeris, tetapi mereka tetap maju jauh ke depan.

Apa pun, saya berharap Ammar dapat menguasai Matematik dalam bahasa Melayu ini selewat-lewatnya akhir tahun ini, kerana tahun hadapan akan melangkah ke tahun satu yang suasana pembelajarannya jauh berbeza. Tidak lagi santai-santai seperti di prasekolah.

Cuma saya masih tercari-cari sekolah yang sesuai. Mungkin ke sekolah intergrasi swasta yang menekankan pendidikan agama di sebelah petangnya--perlu ada kesinambungan daripada ilmu agama yang telah dikutip di tadika.

Kepada ibu bapa yang baru mencongak menghantar anak ke tadika, saya sarankan, pilihlah tadika aliran Islam. Dalam kesibukan kita hari ini, kita tidak mampu mengajar sendiri hal-hal agama, apatah lagi kita sendiri pun tidak berpendidikan agama yang tinggi. Sama seperti kita memilih makanan antara yang halal, haram dan syubhah. Kita mahukan yang halalan toyyiban. Itulah yang terbaik. Lainlah kalau kita mampu dan benar-benar dapat komited mendidik sendiri anak-anak dengan disiplin Islamiah. Saya percaya, tidak ramai dapat melakukannya!

Monday, February 21, 2011

MEJA SAYA DI PEJABAT

Semakin Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 (PBAKL) menghampiri, semakin berserabut meja kerja saya. Hampir-hampir saja tiada ruang untuk bekerja.


Sesungguhnya saya cuma mengemas meja kerja saya di pejabat cuma setahun sekali iaitu selepas berakhirnya PBAKL. Galei terakhir tiap-tiap judul buku hanya dibuang setelah buku selesai dicetak. Mana-mana yang tertera ayat al-Quran pula tidak boleh dibuang sembarangan. Perlu disimpan sebelum dibuang dengan cara terhormat.



Sejak dulu hingga kini saya tidak pandai dan tidak selesa bekerja dalam suasana yang kemas dan teratur seperti orang lain. Saya tidak tergolong dalam kalangan orang yang suka berkemas dan saya juga tidak suka orang tolong kemaskan barang keperluan kerja saya. Biarkan saja ia bersepah begitu. Jika diberi sepuluh meja sekalipun, kesemuanya akan jadi bersepah dan tidak akan mencukupi.


Tabiat ini barangkali mengalir dalam darah. Ayah saya juga begini. Sejak dulu hingga kini, bilik studinya tidak pernah kemas.

Macam-macam ada di atas meja saya selain bahan kerja. Dari botol kicap tajaan baki daripada program-program yang dianjurkan, roti, tumbler air dan macam-macam benda lagi semua berkumpul di atas meja.




Entah bila kicap ni nak dibawa balik. Semua staf dapat kicap ni. Tajaan Tamin.































Gambar-gambar ini dirakam sebulan yang lalu. Hari ini berganda-ganda lagi kebersepahannya.

Monday, February 14, 2011

APA NAK JADI?

Dua hari lepas anak saudara saya yang di tingkatan satu ada bercerita tentang kawan-kawannya di sekolah.

"Ustazah tanya dalam kelas, 'Siapa tahu bila Hari Valentine?' Semua jawab 14 Februari. Bila ustazah tanya, 'Bila Maulidur Rasul?' Semua orang diam tak tahu jawab. Teruk betul."

"Habis ustazah cakap apa?" saya menyoalnya.

"Ustazah kata, 'Oh, kalau Hari Valentine tau bila, kalau hari jadi boyfriend pulak simpan lagi tarikh dalam handphone, kalau hari jadi Nabi, semua tak tau ... '," ceritanya.

Sebelumnya si kakak yang di tingkatan dua juga bercerita. Beberapa hari sebelum menjelma Hari Valentine, murid-murid di sekolahnya sudah sibuk menjual 'merchandise' Valentine. Sibuk meraikannya.

Pernah juga dia memberitahu, ada seorang kawannya yang langsung tidak tahu apa-apa tentang Islam. Islam pada nama sahaja dek ibu bapa yang tidak pernah mengajarkannya tentang Islam. Ibu bapa yang sentiasa sibuk mencari harta dunia dan jarang sekali berada di rumah.

Apabila anak saudara saya ini ke surau untuk bersolat, si kawan ini mengikutnya. Si kawan ini tidak tahu solat itu apa. Apabila orang rukuk, dia rukuk, apabila orang sujud, dia pun sujud tanpa mengerti kenapa orang Islam wajib bersolat. Dia hanya meniru pergerakan.

Menurut cerita anak saudara saya, kawannya itu ada menunjukkan minat untuk mengenali Islam. Mudah-mudahan begitulah hendaknya.

Ayah saya pula bercerita, dia pernah menyoal seseorang, tahukah apa itu Israk Mikraj? Jawab orang itu, "Israk Mikraj itu ialah satu peperangan." Maka saya terfikir, berapa ramaikah sebenarnya umat Islam yang jahil tentang kembara Rasul Mulia ke Sidratul Muntaha ini. Dan saya menjawab sendiri, "Tentu ramai."

Aduh. Amat menyedihkan sekali. Apa nak jadi umat Islam hari ini?

Semakin hari semakin jahil. Semakin hari semakin menyimpang jauh dari landasan agama.

Friday, February 11, 2011

MENARIK REZEKI

Untuk mendapat rezeki yang luas, jangan tidur selepas Subuh. Begitu pesan Rasul Mulia SAW kepada umatnya. Sungguh benar, ajaran Baginda. Hinggakan jika kita perhatikan, kawanan unggas di sekeliling kita (melainkan burung hantu) berpagian-pagian lagi keluar mencari makan. Mereka hanya pulang apabila senja berlabuh.

Jika beburung pun taat akan perintah Rasul dan Tuhannya, apatah lagi kita yang bergelar manusia. Tapi banyak di kalangan kita, selepas solat Subuh kembali ke katil memeluk bantal pada cuti hujung minggu.

Kebenaran di sebalik ajaran Nabi SAW ini hampir setiap hari saya lihat dengan mata sendiri.

Hari Jumaat, saya panggil hari nasi lemak kerana hanya hari ini saya membenarkan anak membli nasi lemak untuk bekalan ke tadika. Dahulu, hampir setiap hari dia mahu membawa nasi lemak ke tadika. Kini saya hadkan hari Jumaat sahaja, kerana yuran tadika meliputi sekali kos makan minum. Rugilah jika membeli nasi lemak setiap pagi.

Apa yang mahu saya ceritakan ialah bagaimana pasangan suami isteri yang saya kerap ke gerainya untuk membeli nasi lemak mengamalkan ajaran Nabi SAW ini. Nasi lemaknya sangat laku. Pengunjung tidak putus-putus datang membeli juadah pagi. Walhal, rasa nasi lemaknya biasa sahaja. Lebih kurang saja.

Yang menjadi perhatian saya ialah, mak cik ini dan suaminya pagi-pagi lagi telah turun berniaga, seusai Subuh ketika kenderaan belum banyak di jalan raya dan ketika perniagaan makanan lain masih belum beroperasi (melainkan restoran mamak 24 jam).

Labanya di pagi hari sungguh lumayan, kerana waktu itu orang ramai sibuk mahu ke tempat kerja masing-masing. Kerana gerai nasi lemak lain belum beroperasi, maka mahu tak mahu, mereka beli nasi lemak mak cik ini sebagai sarapan untuk dibawa ke pejabat.

Tika gerai lain baru mahu mengembangkan payungnya, mak cik ini hampir tamat berniaga. Nasi lemaknya hampir habis. Sedangkan orang lain baru hendak mengatur dan menyusun gerai. Pabila hari semakin tinggi, orang ramai mahu pula makan tengah hari, mereka lebih suka memilih untuk makan di restoran atau membeli sajian yang lebih sesuai untuk makan tengah hari, bukan nasi lemak.

Justeru, bersungguh-sungguhlah mencari rezeki di pagi hari. Kita yang bukan berniaga nasi lemak ini pun seharusnya mengamalkan apa yang disunahkan. Biarpun kita bekerja di pejabat berhawa dingin dan tidak nampak wang masuk di depan mata, percayalah, rezeki melimpah masuk di pagi hari. Terkadang rezeki yang datang bukan dalam bentuk material/fizikal, tetapi mungkin dalam bentuk lain yang tidak kita sangka-sangka.

Pada hujung minggu juga demikian, walaupun tidak bekerja pada hari itu, tidak seharusnya anda tidur selepas Subuh. Mungkin rezeki kita yang diberikan Tuhan pada waktu itu dalam bentuk kesihatan yang baik, atau minda yang cerdas berbanding orang yang tidur selepas Subuh.

Baginda SAW telah memberikan petua murah rezeki ini, sama-samalah kita mengamalkannya. Perindahkan ia dengan solat dhuha (yang ini pun saya sendiri belum dapat hendak konsisten mengamalkannya. Moga Allah beri kekuatan).

Allahu a'lam.

Tuesday, February 8, 2011

KHASIAT SURAH YASIN

Pulang ke kampung semasa cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini menyegarkan semula roh yang lama terperuk di kota hutan batu mencakar langit yang menyesakkan. Di kampung, perjalanan hidup jauh lebih perlahan, amat sesuai untuk mengecas semula jiwa yang lesu.

Sesuatu yang amat memberi pengajaran apabila mendengar kisah Mek Yam, jiran nenek saya.

Ketika itu saya duduk di tangga rumah nenek, memantau anak dan sepupunya bermain dan berkejaran di pekarangan rumah. Kelihatan Mek Yam terkedek-kedek memasuki laman rumah.
Kebetulan emak saudara ada bersama dan dia memulakan bicara dengan Mek Yam yang kini sudah duduk di anak tangga bersama saya.

"Berapa hari masuk hospital hari tu?" emak saudara saya menyoalnya.

"Sembilan hari. Empat hari koma," jawab Mek Yam.

Mek Yam dimasukkan hospital kerana darah tinggi. Menurut ceritanya, dia baru selesai memberi makan ayam peliharaannya. Selesai memberi ayam makan, Mek Yam pula menyediakan nasi untuk dirinya sendiri. Baru hendak menuang kicap ke pinggan nasi dirasakannya dunia berpusing-pusing dan gelap. Sempat dia memanggil seseorang meminta tolong.

Rupa-rupanya sudah beberapa hari dia tidak makan ubat darah tinggi.

"Habis bekalan ubat," ujar Mek Yam.

"Ubat darah tinggi, kalau dah mula makan, tak boleh putus. Kena makan berterusan. Bekalan kena sentiasa ada," sampuk emak saudara saya. Saya mengiyakan.

Ketika Mek Yam koma, dia seperti sudah tiada harapan sembuh. Tunggu masa sahaja. Kaum keluarga jauh dekat pun bergegas pulang. Anak cucu sibuk membacakan Yasin di sisinya.

Sewaktu komanya, Mek Yam dapat mendengarnya. Sebelum ini dirasakan semuanya gelap-gelita. Dirasakan sudah mahu mati.

Ketika Yasin dibacakan inilah Mek Yam dapat melihat ada cahaya datang.

"Terang sungguh. Sejuk ... ."

Seseorang meniupkan bacaan Yasin ke telinganya dan mengajarnya mengucap syahadah. Saat inilah Mek Yam melihat cahaya terang-benderang, yang gelap terangkat naik.

Belum sampai lagi rupanya ajal Mek Yam. Berkat bacaan Yasin, dia sedar daripada koma.

Sesungguhnya Yasin merupakan jantung al-Quran. Kalam Allah yang penuh dengan khasiat roh. Kelebihannya tiada tandingan. Yasin sepatutnya bukan hanya dibaca ketika seseorang jatuh sakit atau mati, tetapi untuk orang yang masih segar-bugar dan sesiapa sahaja. Yasin, pengubat rohani dan jasmani. Petua untuk mendapat hidup yang diberkati-Nya.

Wednesday, February 2, 2011

WAU JADI KELIP-KELIP

Isnin 31 Januari 2011
"Cik kena call dari semasa ke semasa, tanya perkembangan. Kami pun belum pasti keadaannya macam mana," ujar ejen KTMB di talian hotlinenya.

Itu jawapan saya terima apabila mendapat maklumat banjir telah menjejaskan perjalanan kereta api.


Selasa 1 Februari 2011
Hotline KTMB tidak dapat dihubungi.
Saya mengambil inisiatif dan alternatif melihat laman sesawang KTMB.
Allah! Jadual perjalanan semua disusun semula. Perjalanan ke Pantai Timur perlu menaiki bas dari Sentral dan mengambil kereta api di Stesen Mentakab. Itu yang diwartakan.

Adik ipar dan anak-anaknya yang sudah merancang naik kereta api bersama kami, memutuskan untuk membatalkan saja hasratnya. Tak jadi balik kampung.

Selasa 2 Februari 2011
Saya dan keluarga sepatutnya menaiki kereta api malam ini. Sejak semalam memikirkan, bagaimana agaknya menaiki bas dan ke Stesen Mentakab.

Tergerak hati untuk bertanyakan lagi bagi memastikan keadaan sebenarnya.

"Maaf Cik, semua perjalanan dibatalkan. Cik boleh refund tiket atau tukar tarikh perjalanan. Tapi semua perjalanan tu selepas cuti sekolah (Raya Cina). Itu pun sudah penuh."

Aduh. Mati akal. Mengenangkan anak sudah lama menantikan saat ini. Sejak sebulan lalu dia bertanyakan lambat lagikah hendak naik tren.

Lantas saya menelefon adik. Kebetulan dia sedang memandu ke Subang Airport. Membeli tiket penerbangan, ganti tiket kereta apinya.

Dipendekkan cerita, saya pun menumpangnya membeli tiket kapal terbang yang akan berlepas pada hari ini juga (hari sama dengan tiket kereta api yang telah dibeli). Mujur masih ada tiket last minute.

Aduhai. Daripada EKSPRES SENANDUNG WAU jadi sang kelip-kelip FIREFLY.