Monday, April 25, 2011

BERDOSA JIKA BOROS DALAM MAJLIS PERKAHWINAN

Saya petik artikel di bawah daripada akhbar HARAKAH, 21-24 JAMADILAWAL 1432/25-28 APRIL 2011.

RIYADH: Anggota Badan Tertinggi Agama Diraja Arab Saudi, Syeikh Abdullah bin Sulaiman al-Muni' berkata pemborosan dalam penyediaan majlis perkahwinan yang tidak berkaitan dengannya seperti persandingan dan seumpamanya adalah berdosa, sama ada dilakukan pihak keluarga mempelai perempuan ataupun lelaki.

Beliau yang juga penasihat agama diraja negara itu menyifatkan pemborosan adalah satu amalan yang amat tidak berkaitan dengan ajaran agama Islam yang sudah menjadi perkara biasa (trend) masyarakat umat Islam hari ini akibat kedangkalan mereka tidak mahu bersolat jemaah serta duduk dalam majlis ilmu.

Tegas beliau lagi, kalau masa lalu majlis perkahwinan dilakukan secara ala kadar dan sederhana bentuknya dengan menjaga adab-adab yang diajarkan oleh agama, akan tetapi kecenderungan hari ini sudah berubah kerana masing-masing mahu bersaing ketika menganjurkan majlis tersebut tanpa mengambil kira lagi soal halal dan haram.

Beliau mewakili segenap anggota badan tertinggi agama diraja menyeru semua para wali agar meletakkan rasa takwa kepada Allah SWT lebih dalam hati mereka, dalam erti kata cemas dan takut bila mana Allah turunkan bala ketika sedang berlangsungnya majlis perkahwinan dengan tidak sempat memohon keampunan daripada-Nya. Sedangkan Nabi telah memberi tunjuk ajar bahawa perkahwinan yang paling diberkati Allah ialah yang paling sederhana.

Begitu juga dengan harga mahal pada mas kahwin yang dianggap sebagai melampau serta wang perbelanjaan yang ditanggung oleh pengantin lelaki atau keluarganya yang kadang-kadang tidak mampu diadakan oleh pihak lelaki, tetapi kerana mahu kahwin juga terpaksalah menanggung beban yang akhirnya boleh memporak-perandakan pasangan yang baru berkahwin. Ia bukan sahaja tidak sesuai dilakukan, malah sebagai salah satu perkara bidaah yang tidak diajar oleh Rasulullah SAW. Begitu juga tindakan ibu bapa perempuan yang meletakkan jumlah mas kahwin yang tinggi boleh menyebabkan ramai anak teruna terpaksa membatalkan hasrat untuk berkahwin kerana tidak mampu untuk menghimpunkan jumlah yang tinggi.

Syeikh Abdullah menempelak sesetengah para bapa yang beria-ia mengadakan majlis yang agak mewah dan boros, sedangkan anak-anak mereka tidak mahu majlis seumpama itu kerana tahu bahawa ia bukanlah majlis yang baik yang diberkati Allah setelah mereka belajar hukum berkenaan ketika belajar di universiti.

Sekali lagi badan agama tersebut mengingatkan para bapa yang mempunyai anak-anak gadis agar tidak meletakkan harga mas kahwin yang tinggi seolah-olah mahu menjual anak masing-masing, malah kehidupan alam rumah tangga anak-anak mereka tidak mendapat keberkatan daripada Allah SWT.-Rayiq.com

Tuesday, April 19, 2011

PESTA BUKU ANTARABANGSA 2011

Kehangatan Pesta Buku Antarabangsa 2011, semakin terasa. Pesta yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan penerbit tanah air, kini kembali dan akan berlangsung selama 10 hari bertempat di PWTC.


PBAKL 2011 akan berlangsung dari 22 April hingga 1 Mei 2011. Maka penerbit-penerbit yang menyertainya akan berkampung di PWTC sepanjang tempoh itu.


Bagi kami di Galeri Ilmu Sdn. Bhd., suasana sibuk makin ketara. Masing-masing sibuk melunaskan tugas yang terpikul di bahu. Ada yang terpaksa kerja overtime hingga kesihatan pun terjejas.


Kerja-kerja 'last minute' sentiasa ada. Itu fitrah dunia penerbitan yang tidak boleh kita elakkan.


Baru sebentar tadi saya menerima panggilan daripada Ustaz Zul Ramli penulis buku U-Turn ke Jalan Lurus, bertanyakan khabar buku terbarunya R&R di Lebuh Raya Kehidupan yang kami sasarkan untuk berada di rak PBAKL nanti.


Buku beliau itu masih dalam proses cetak. Harapan kami, kalau tidak sempat ada pada hari pertama pun, sekurang-kurangnya pada separuh hari-hari berikutnya, buku ini sempat ada di PBAKL.


"Ustaz, untuk buku ustaz seterusnya, ustaz jangan last minute ya ... " ujar saya. Ustaz ketawa di hujung talian.


"Bukan apa ustaz, kalau last minute, macam ni lah jadinya. Kita tak sempat nak semak betul-betul ... kita kena ada tempoh yang selesa untuk semak," tambah saya lagi. Ustaz ketawa lagi, barangkali terasa saya memerlinya.


Buku R&R Di Lebuh Raya ini, agak tebal. Itu yang kami khuatirkan kerana semakin tebal buku, semakin lama masa diambil untuk mencetaknya.


"Nanti ustaz datang ye ke Pesta Buku."


"Datang macam mana kalau buku tak ada."


"Tu la ustaz, lain kali tak boleh last minute.


Ustaz gelak.


"Tak ada buku pun, ustaz kena datang. Tunjuk muka bagitau 'buku, coming soon," saya berseloroh. "Ustaz kena doalah sama-sama, moga buku ustaz sempat siap. Mana-mana yang dah siap tu, kita terus angkut ke Pesta Buku."


Hanya tinggal tiga hari lagi sebelum PBAKL bermula. Masih ada satu, dua buku berbaki yang masih dalam proses pembaikan isi kandungan. Mudah-mudahan sempatlah berada di rak PBAKL, setidak-tidaknya pun pada hari-hari akhir pun sudah kira berbaloi.


Mudah-mudahan PBAKL 2011 berjalan lancar.


Seorang lagi penulis kami (penulis buku Labbaikallah, Tuan Haji Zainal Haji Bujang sehari dua lepas menghantar SMS kepada saya bertanyakan khabar. Beliau ketika itu berada di Tanah Suci. Saya segera merembat peluang itu dan membalas SMS beliau, "Tuan Haji tolong doakan PBAKL nanti berjalan lancar. Doa orang musafir apatah lagi di Tanah Suci sangat makbul."



"Insya-Allah. Akan saya doakan," balas beliau. Alhamdulillah.


Bagi anda yang bercadang ke PBAKL, sudi-sudikan diri singgah ke booth Galeri Ilmu Sdn. Bhd. Diskaun menarik menanti anda. Booth kami kali ini tidak sukar dicari. Lokasinya betul-betul di pintu masuk sisi, tidak jauh dari pintu masuk utama.

Friday, April 15, 2011

TAK RETI BASA (2)

Saya kadangkala singgah di rumah Mak Ayah sebelum pulang ke rumah. Selalunya pada hari Jumaat apabila keadaan trafik lebih sesak. Jadi saya transit dulu di situ, menunggu kesesakan trafik reda.

Yang mahu saya ceritakan adalah sikap jiran tetangga di sekitar rumah orang tua saya. Sikap mereka memarkirkan kereta sering menyakitkan hati. Letak kereta sesuka hati sehingga menyukarkan kita untuk keluar masuk. Termasuklah tetamu mereka yang meletak kereta sesuka hati.

Ada masanya pada malam hari, terpaksa kita bunyikan hon agar tuan punya kereta yang entah berada di rumah jiran yang mana satu supaya keluar mengalihkan kereta. Kalau dah tahu kawasan rumah sempit, letaklah kereta di tempat yang tidak mengganggu orang lain, biarlah jauh sikit asal tidak menyusahkan orang lain. Kemudian berjalan kakilah masuk. Tapi kalau dah dasar pemalas tu ... kalau boleh kereta pun nak di parkirkan hingga ke dalam rumah.

Sebelum bina rumah dulu, tidak difikirkan kawasan meletak kereta. Yang mereka tahu, bina rumah sepenuh-penuh tanah tanpa mengambil kira ruang meletak kereta. Apabila hendak memusing kereta hingga terpaksa masuk ke rumah kita pula. Apa ke jadah? Ayah saya ketika membina rumahnya itu, awal-awal lagi telah memikirkan ruang tempat letak kereta agar tidak menyusahkan jiran tetangga. Ayah saya fikirannya sentiasa terkehadapan.

Beberapa minggu sudah, murid-murid Ayah saya datang untuk menghadiri kelas agama di rumah, mereka juga memarkirkan kereta sesuka hati. Maka dengan segera saya menegur, "Jangan letak kereta di situ, nanti susah orang nak keluar masuk." Lalu mereka menyusun semula kedudukan kereta masing-masing. Dan minggu-minggu seterusnya, mereka sudah faham dan tidak perlu ditegur lagi.

Tingkah laku hingga menyusahkan orang lain apatah lagi jiran tetangga adalah suatu dosa. Mentaliti dangkal lagi bodoh.

Sunday, April 10, 2011

MUJUR TAK PENGSAN

Sabtu, 9 April.


Seperti biasa, hujung minggu saya ke taman permainan membawa anak bermain dan saya pula berjalan dan kekadang berlari di atas trek di sekelilingnya. Cumanya pada Sabtu baru ini, saya lewat setengah jam ke taman itu. Biasanya jam 7.30 pagi saya dan anak sudah berada di taman itu. Saya suka berpagi-pagian kerana waktu itu taman masih kosong dan tiada pengunjung lain.

Kelewatan saya pada hari itu kerana terlebih dahulu menghantar anak saudara ke sekolah (sekolah ganti). Jadi saya agak lewat ke taman.


Ketika saya sampai ke taman itu sudah ada mak-mak cik Cina sedang beriadah. Kemudian mereka duduk-duduk bergosip di bangku yang tersedia.Saya meninggalkan anak di tempat permai nan dan saya pula melakukan aktiviti riadah saya sambil mata mengawasi anak. Lazimnya saya melakukan 10 pusingan. Tetapi kali ini masuk pusingan kelima saya pening-pening lalat kerana terhidu bau colok yang amat menusuk hidung.


Ya Allah, kuat sungguh baunya memenuhi taman yang boleh dikatakan agak luas itu.




"Tak suka, tak suka, tak sukaaaa ... " saya membebel sendirian.


Di mana ada masyarakat Cina, di situlah dibinanya rumah kecil merah untuk tujuan penyembahan tuhan mereka. Di penjuruu taman itu ada dua rumah merah siap berpagar. Asap colok kelihatan keluar dari situ.


Hai nasib badan tinggal di kawasan perumahan yang majoritinya orang Cina. Anehnya, pihak bandar raya tidak pula melarang pembinaan sedemikian.


Saya meneruskan juga riadah saya hingga 10 pusingan. Tiap kali melewati rumah penyembahan merah itu saya terpaksa menahan nafas menyebabkan saya kelemasan. Mujur juga tak pengsan.


Aduh, lain kali tidak boleh lewat lagi. Saya perlu lebih awal seperti selalu sebelum colok dinyalakan atau lebih tepat sebelum berlakunya pencemaran udara.


Hampeh betul!

Wednesday, April 6, 2011

HARI RABU

Hari ini hari Rabu. Setiap hari Rabu di syarikat saya bertugas, ada sesi riadah selepas Asar. Memang baguslah untuk kesihatan. Malah diwajibkan pula staf mengikutinya. Maka ada staf yang datang ke pejabat siap dengan memakai pakaian riadah, atau membawa persalinan itu untuk dikenakan selepas selesai tugas di pejabat.


Bagaimanapun, saya terpaksa melanggar peraturan ini kerana ada komitmen lain yang lebih penting yang tidak memungkin saya untuk turut sama beriadah. Bukan sengaja atau suka-suka, tetapi terpaksa.


Saya terpaksa berkejaran menjemput anak di tadika sebelum jalan terlalu sesak. Jika terlewat, anak saya bukan sahaja meraung, bahkan jika terlambat mengambil anak, tentu caj overtime akan dikenakan oleh pihak tadika. Bayangkan jika setiap Rabu saya lewat, sebulan sudah berapa banyak overtime yang perlu saya bayar, jika setahun boleh mencecah ratusan ringgit. Jika syarikat yang menanggungnya, tidak mengapalah juga.


Kerana hal ini jugalah saya memilih waktu kerja dari jam lapan pagi hingga lima petang berbanding majoriti staf lain memilih waktu kerja jam sembilan pagi hingga enam petang, jadi mereka masih ada waktu untuk beriadah bermula selepas Asar hingga tamat waktu kerja pada jam enam petang.


Jadi saya merasakan, pihak syarikat tidak berhak mengganggu waktu peribadi saya selepas jam lima petang! Lagipun, bukannya saya tidak beriadah langsung, kerap juga saya melakukan brisk walk di taman permainan berhampiran rumah semasa membawa anak bermain. Malah mungkin juga senaman saya itu lebih daripada mereka yang mengikuti sesi riadah syarikat!

Monday, April 4, 2011

RIANG RIA YANG MELETIHKAN

Semalam, dari jam 9 pagi hingga lebih jam 1.30 petang saya membawa Ammar Hadi, adik dan anak-anak saudara ke Pusat Sains Negara di Bukit Kiara untuk melihat pameran dinosaur (akan berakhir 31 Mei 2011).










Sungguh memenatkan tetapi menyeronokkan. Bagaimanapun bagi anak-anak kecil yang tidak kuat semangat, tidak digalakkan melihat pameran dinosaur kerana ada di kalangan mereka menangis ketakutan. Bukan sahaja kerana saiz dinosaur yang besar dan bergerak-gerak, tetapi juga kerana bunyi ngauman raksasa itu membingitkan telinga.




Bagi anda yang belum pernah ke sana, eloklah ke sana. Bukan sahaja sebagai hiburan tetapi juga merupakan pusat yang penuh informasi dan aktiviti interaktif. Lebih menyeronokkan apabila anak-anak dapat mandi-manda di kolam cetek yang dikelilingi alat-alat ciptaan sains untuk mencedok air. Aktiviti yang pasti menyeronokkan untuk anak-anak!

Tiket pula jauh lebih murah berbanding tiket zoo. Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, percuma sahaja.


Jika hendak ke sana, eloklah berpagi-pagian sebelum matahari meninggi dan orang terlalu ramai. Bukan sahaja anak-anak akan terhibur, malah orang tua juga!


Biarpun letih mengawal budak-budak, saya yang sudah tua ini puas hati dapat menghiburkan mereka!