Thursday, August 27, 2009

ALLAH POWER ...

Jam 10.15 malam tadi di rumah Mak Ayah ...

Saya sedang menuju ke kereta untuk memasukkan barang anak untuk pulang ke rumah selepas berbuka puasa di situ.

“Aaaaa … sejuk, bestnya,” spontan keluar dari mulut saya sambil menghirup udara nyaman malam itu sejurus selepas hujan renyai dan petir setelah sebelah siangnya agak panas.

“Aaaaa … sejuknya. Sedapnyaaaa …” ajuk anak saya yang mengekori dari belakang. “Aaaa … sejuknya, terima kasih Allah bagi sejuk,” katanya lagi.

Saya terkesima mendengarnya. Ucapan anak kecil itu lebih baik daripada ucapan emaknya. Dia mensyukuri nikmat Allah yang sering dilupakan oleh kita yang bergelar dewasa.

“Allah powerkan Mak?”
“A’a. Allah power sangat. Allah paling power sekali, tak benda lain lebih power daripada Allah.”

“Allah, tolong buat bunga,” pintanya. Saya ketawa.
“Eh … tu tengok dalam pasu bunga Atok, banyak bunga Allah dah buat,” jawab saya sambil menunjuk pasu bunga kertas emak (walaupun tidak nampak kerana kelam malam).

Di dalam kereta pula, “Terima kasih Allah, bagi hujan.” Syahdu hati mendengarnya.

“Kalau terima kasih pada Allah, cakap Alhamdulillah.”
Ahamilaaah,” jawabnya, masih pelat. Tidak mengapalah Ammar, sesungguhnya Allah tetap memahaminya walaupun lidahmu masih telor.

“Allah baikkan Mak?”
“Baik sangat-sangat.”


“Allah, datanglah sini ...”
“Allah dah ada kat sini. Allah power sangat, sebab tu kita tak nampak,” jawab saya ketandusan jawapan. Anak seusia itu mahukan segalanya hadir dalam bentuk fizikal. Bagaimana mahu menerangkannya?

“Kalau nak tengok Allah, kat akhirat nanti boleh jumpa. Tapi, kalau nak Allah bagi hadiah best, kena buat baik dulu. Allah sayang tau kalau kita buat baik. Cakap yang elok-elok, dengar cakap Mak, dengar cakap cikgu baru boleh masuk syurga, tempat paling banyak hadiah …” jelas saya entah dia faham atau tidak.

“Emm …” angguknya melayan kehadiran kantuk. Mujur juga … jika tidak, disoalnya nanti apa itu akhirat, apa itu syurga. Tergeliat lidah mahu menjawabnya.


Sepanjang perjalanan pulang malam tadi, topik saya dan anak berkisarkan Allah. Syukur saya panjatkan kepada-Nya, anak saya semakin bercambah ilmu tauhidnya. Dan menjadi tanggungjawab ibu bapa menyuburkannya.

Friday, August 21, 2009

CERITA PISANG

Sewaktu pejabat di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dulu, jika hari Jumaat saya suka ke Restoran Jasima sebab ada pisang percuma. Makanlah berapa biji pun, pelayan kedai makan mamak tak kisah. Kalau beli makanan bungkus, pisang dimasukkan sekali ke dalam pakej makanan itu. Kalau minta, kekadang hampir 3, 4 biji diberinya. Pisangnya pula, bukan calang-calang pisang. Pisang berangan. Besar saiznya.

Ya, hari Jumaat mamak-mamak restoran memang pemurah. Mereka menghadiahkan pisang untuk merebut pahala sedekah ekstra pada hari Jumaat.

Apabila pejabat kami pindah ke ceruk Seksyen 8 di Kota Damansara, saya dan rakan-rakan kerap juga makan di restoran Citra Aroma (restoran Melayu). Kekadangnya pula ke medan selera di Seksyen 7 (yang tak berapa meriah kerana hanya sebuah dua gerai yang beroperasi), tapi harga makanan agak berpatutan berbanding tempat lain.

Pada suatu Jumaat (saya terlupa sama ada di medan selera atau di Citra Aroma) kami makan di situ (juga disediakan pisang). Kerana telah menjadi habit makan ‘pisang percuma hari Jumaat’ di restoran mamak sejak dulu, maka saya tidak ketinggalan ‘menelan’ sebiji pisang emas yang disediakan di tempat baru ni.

Selesai makan dan bayar ...

“Su, pisang tadi empat posen, tapi tak apalah saya dah bayarkan,” ujar rakan saya.
“Hah ... empat posen ... ” terkejut badak saya, “ ... kedai mamak free je, pisang besar pulak tu. Ini pisang mas kecik je ...” Pisangnya lebih kurang saiz ibu jari saja.

Dalam hati saya terbit rasa tidak puas hati dan menyumpah-nyumpah ... kedekut punya Melayu!

Pada Jumaat lain, saya ke TTDI kerana ada urusan bank. Hajat hati hendak ke Jasima, tetapi terasa malas pula hendak berjalan ke situ. Maka saya ke Restoran Dapur Mas kerana bersebelahan Maybank saja. Saya membeli makanan dan membayarnya. Semasa hendak keluar saya mencapai sebiji pisang berangan yang sangat besar dan masukkan ke dalam bungkusan makanan.

“Eh...pisang ni free ke? Ke kena bayar?”
Aduh, itulah kalau dah jadi tabiat makan pisang percuma di restoran mamak, semua pisang hari Jumaat saya sangkakan percuma. "Nak patah balik ... malasnya, nak parking pun 'bercinta' betul," omel saya.
Saya tidak ke TTDI semula memandangkan waktu semakin suntuk untuk pulang ke pejabat semula. Sebaliknya saya singgah di rumah Mak Ayah untuk solat Zuhur.

“Nah, pisang ... takut nak makan, takut tak halal ...siapa nak makan, makanlah,” beritahu saya pada Emak.
Bakpo pulok?” soal Mak. Maka saya ceritakan halnya.
“Makan dulu, nanti pergi bayar kemudian,” jawab Ayah (kerana pisang tak boleh disimpan lama sebagaimana barang lain).

Selama tiga minggu selepas makan pisang itu, saya tidak senang duduk, takut mati tak bayar harga pisang yang dimakan. Hendak ke TTDI lagi, bukan senang.

“Ya Allah, jangan Engkau matikan aku tanpa sempat bayar hutang pisang ni,” doa saya tiap waktu.

Sehinggalah suatu hari dada mencucuk sakit. “Sakit jantung ke aku ni? Janganlah aku mati sakit jantung. Anak aku kecik lagi. Siapa nak jaga dia ya Allah.” Itu antara doa saya.

Seminggu dada rasa mencucuk. Maka, pada suatu hari Rabu, saya ke Poliklinik Yazmeen & Mahanum di TTDI juga.

“Tekanan darah normal,” kata Doktor Mahanum.
“Habis, yang dada mencucuk tu apa?” soal saya, maklum akan usia di ambang 40, apa pun boleh jadi. Kesihatan pun tidak seperti dulu.
“Kalau jantung biasanya dia tak datang tiba-tiba masa duduk-duduk di kerusi, masa relaks. Kalau buat kerja berat atau naik tangga ke, itu baru sakit jantung. Ini stres banyak, efek pada otot ...” jelas doktor.

Fuh! Lega rasanya. Dan-dan itu juga sakit hilang. Benarlah kata orang, sebahagian sakit itu 60% daripadanya adalah mainan psikologi.

Kemudian saya teringatkan pisang saya. “Alang-alang dah ke sini, baik aku bayar pisang tu.”

Keluar dari klinik, saya terus ke Restoran Dapur Mas.

“Dik, ada satu Jumaat tu saya lupa bayar pisang sebiji, berapa ya?” soal saya, sempat pula memerhati ‘adik cashier’ tu. ‘Comelnya budak perempuan ni,’ komen saya dalam hati. Apa tidaknya, rambut perang, mata coklat (walaupun saya sangsi keaslian perang dan coklatnya itu).

“Kak, pisang freeeee ...” jawabnya senyum lebar.
“A’a. Jumaat pisang free,” sampuk yang lain pula, senyum kambing.
“Oh, ya ke ... ingatkan kena bayar ... terima kasihlah,” jawab saya. Andaiku tahu awal-awal lagi, tidaklah rungsingnya sampai mencucuk dada!
"Mesti diorang kata aku ni tak pernah makan di restoran hari Jumaat," bisik hati saya semasa melangkah keluar sambil tersengih-sengih. Lega, satu beban jiwa terangkat!

HARI INI HARI JUMAAT. PISANG PERCUMA DI DAPUR MAS DAN DI RESTORAN MAMAK dapatkanya sebelum habis.

HARI INI HARI JUMAAT, baru sebentar tadi terima SMS daripada adik suruh singgah makan tengah hari di rumah Mak Ayah ... ada nasi kandar dibeli di PJ Old Town. Siapa belanja ... Mak ke Ayah?

Tuesday, August 18, 2009

H1N1, CIKGU DAN SEKOLAH

Semalam saya menerima surat daripada pentadbiran Pusat Pendidikan Hasanah, sekolah anak saya.

Surat berkenaan memberitahu tindakan dan langkah-langkah penjagaan yang dicadangkan Tadika Hasanah dalam menangani wabak selesema babi. Pihak tadika mencadangkan ibu bapa mengambil langkah pencegahan wabak ini seperti berikut:

1. Menggalakkan anak-anak memakai mask sewaktu ke tadika
2. Memastikan tahap kesihatan anak-anak dalam keadaan baik
3. Melarang anak-anak hadir ke tadika jika demam dan selesema atau batuk
4. Mengelakkan anak-anak ke tempat berisiko tinggi H1N1
5. Mengadakan solat hajat bersama-sama.

Di pihak Tadika Hasanah pula langkah pencegahan seperti berikut:

1. Memastikan keadaan persekitaran Tadika pada tahap sentiasa bersih
2. Semua guru akan lebih sensitif kepada kesihatan kanak-kanak
3. Memberi taklimat mencegah H1N1 pada kanak-kanak
4. Mempamerkan maklumat berkaitan H1N1 di tadika/taska
5. Mengadakan solat hajat bersama kanak-kanak.

Menurut surat itu, langkah penjagaan oleh Pusat Pendidikan Hasanah ini akan berterusan sehingga wabak ini beransur pulih dan lenyap.

Maka sejak semalam apabila pulang ke rumah, anak saya kerap mahu basuh tangan. Itulah penangan cikgu, suruhan cikgu mudah dilakukan. Jika ibu bapa yang suruh, macam dengar tak dengar saja akan suruhan itu.

Saya paling terharu apabila anak-anak di tadika ini sudah didedahkan dengan solat hajat. Bersolat bersama-sama cikgu. Doa mohon perlindungan dan kesejahteraan juga turut diajar. Jika di rumah, kalau diajak solat, acuh tak acuh sahaja lagaknya. Saya berterima kasih amat kepada cikgu sekaliannya.

Ertinya, amat perlu kanak-kanak seusia itu dipasakkan didikan tauhid seawal usia untuk memohon bantuan dan perlindungan daripada Allah SWT (kerana ujian hidup manusia tidak mengenal usia, waktu dan tempat).

Antara emak dan cikgu skilnya berlainan. Seorang cikgu mampu memberi didikan formal yang baik kepada muridnya. Seorang ibu dan bapa pada kebanyakan masa, tiada kebolehan itu … sebab itulah di dunia ini adanya intitusi yang bernama ‘sekolah’. Ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah untuk menerima didikan yang tidak mampu mereka berikan.

Apa pun, saya seru di sini, sama-samalah kita tunaikan solat hajat demi kesejahteraan manusia sejagat lebih-lebih lagi untuk diri dan keluarga kita. Bagi kita yang sudah dewasa, tidak perlulah menunggu ‘arahan cikgu’ atau menunggu seruan solat hajat di masjid. Lakukanlah apabila ada kelapangan!

Monday, August 10, 2009

PETUA HINDAR SELESEMA BABI (H1N1)

Syukur saya panjat kepada Allah taala kerana menganugerahkan saya seorang ustaz sebagai ayah!
Ayah saya memang banyak doa dan zikir untuk amalan harian (cuma kami anak-anak ni kekadang terlupa nak mengamalkannya). Tapi anak-anak murid yang berguru dengannya sering mencari ayah tidak mengira waktu untuk mendapat panduan daripadanya.
Memandangkan wabak Selesema Babi semakin kritikal, maka Sabtu lalu Ayah telah memberi satu lagi bacaan ringkas untuk kami, anak-anaknya.
"Hebahkan pada kawan-kawan," beritahu ayah.
Maka di sini saya perturunkan apa yang telah diamanatkan oleh Ayah.
Bacaannya ringkas sahaja:

"Salaamun qaulanmirrabir rahiim."
(Yaasin: 58)
(Sejahtera! Sebagai ucapan
daripada Tuhan Yang Penyayang)
"Baca setiap hari sebanyak 28 kali. Seelok-eloknya selepas Subuh," kata Ayah.
Selamat beramal dengannya! Mudah-mudahan kita sama-sama terhindar daripada penyakit yang berbahaya ini.

Tuesday, August 4, 2009

PETAKA APAKAH INI?

Beberapa minggu sudah kakak saya dan anaknya dimasukkan ke wad di Hospital Pakar Damansara. Dua beranak ini diserang demam denggi. Kakak saya yang agak teruk kerana dihidapi denggi berdarah.

Maka yang paling sibuk, tentulah Emak, yang belum hilang penat kerana menjaga emaknya yang uzur (nenek kami) di KB. Kasihan Emak!

Begitu juga adik lelaki bongsu yang baru melangsungkan pernikahan beberapa bulan sudah, juga menjadi amat sibuk. Memandangkan dia belum lagi bekerja, maka dialah yang menjadi pemandu Emak dan Ayah ke sana ke mari. Kemudian berkejar pula menghantar dan menjemput isteri pulang bekerja.

Kebetulan isterinya juga sedang mengalami 'alahan pembawa budak' yang amat teruk, maka dia juga dimasukkan ke wad di Hospital Perdana KB, hospital sama dengan nenek, sewaktu mereka menziarahi nenek.

Tidak berakhir di situ ... setelah pulang ke KL, sekali lagi adik ipar saya itu dimasukkan ke wad di Bangi.

Maka adik saya berulang alik Bangi dan PJ, lawat isteri dan menghantar Emak dan Ayah ke Hospital Damansara untuk melawat anak dan cucu yang dijangkiti denggi.

Ahad lalu, adik saya ini pula diserang denggi. Maka dia pula yang dimasukkan ke Hospital Damansara.

Alahai, 'drebar' Emak dan Ayah dah sakit! Emak dan Ayah sudah lama 'pencen' memandu seiring dengan usia yang semakin lanjut. Maka, pada anak lelaki bongsu inilah disandarkan pertolongan untuk memandu kereta membawa mereka ke mana-mana. Malah saya sendiri juga kerap meminta tolong adik saya ini menjemput anak dari tadika jika saya tidak berkesempatan.

Mujur juga abangnya yang di Kajang kebetulan datang ke rumah Emak dan Ayah, maka dialah yang menghantarnya ke hospital.

Lepas seorang, seorang masuk keluar hospital. Petaka apakah ini?

Anehnya, abangnya yang di Kajang itu, entah bagaimana pada hari itu tiba-tiba terasa benar hendak ke rumah Emak Ayah. Pasti! Semua itu sudah tertulis sejak azali. Tuhan telah teliti merencananya. Dihadirkan dalam hatinya 'rasa' yang amat sangat hendak ke rumah Emak Ayah agar dia dapat membawa adiknya ke hospital.


Kepada adik saya NASIF SIDQUEE (atau digelar 'Ayah Tih' oleh anak-anak saudaranya), didoakan cepat sembuh dan sempat ber'konvo' untuk menerima sarjana di Dewan Tunku Canselor nanti. Insya-Allah! Ameen!
Moga Ayah Tih cepat sembuh!