Friday, December 5, 2014

BUAH KERANJI OH BUAH KERANJI


Ini buah keranji. Buah keranji dari Sarawak pemberian Puan Zuraidah sejabatan! Terima kasih. Dah habis makan pun. Sedap dan manis. Isinya hitam. Terima kasih.

Buah keranji ni ada macam-macam jenis. Kalau di negeri saya di Kelantan banyak dijual di dalam pasar. Tapi buahnya kecil-kecil dan isinya warna jingga. Kulit sama warna, hitam seperti keranji Sarawak ini. Rasanya masam-masam manis. Nipis saja isinya. Sekadar dikemam-kemam saja.

Pernah suatu ketika ketika usia saya sekitar empat tahun barang kali. Saya mengutip buah keranji yang banyak bertaburan di tepi jalan. Saya kutip satu per satu hingga penuh segenggam. Lalu saya bawa kepada emak dan tunjuk kepadanya.

Yikes! Wakakakakaaaaa, rupa-rupanya bukan buah keranji yang saya kutip, tapi tahi kambing! Kwang, kwang. Sampai sekarang ini, kalau ada buah keranji di rumah sama ada orang beri atau beli ketika pulang ke Kelantan, emak saya akan ungkit semula kisah ini! Diceritakan pula kepada cucu-cucunya! Aduhhh!

Pantun popular buah keranji:

SORONG PAPAN TARIK PAPAN
BUAH KERANJI DALAM PERAHU
SURUH MAKAN SAYA MAKAN
SURUH MENGAJI SAYA TAK MAHU

Tuesday, December 2, 2014

MACHANG DI HATIKU


Tiada yang lebih seronok dan mengujakan selain dapat berjalan-jalan makan angin dan melupakan seketika hal ehwal kerja di pejabat.

Walaupun telah lama berlalu, saya masih mahu abadikannya di sini percutian di kampung pada 16 September lalu (cuti umum Hari Malaysia).

Sudah lama tidak berkereta pulang ke kampung. Cuma saya, emak dan anak. Kami tiga beranak saja. Sudah bertahun-tahun jugalah saya tidak memandu sendiri pulang ke kampung.

Alhamdulillah, di luar musim perayaan, jalan raya agak tenang dan kurang memenatkan.

Terubat rindu pada nenda yang sudah sekian lama saya tidak berpeluang menjenguknya. Puas juga dapat ke sana ke mari ke mana sahaja hendak pergi kerana bawa pulang kenderaan sendiri (err ... pinjam kereta adik sebenarnya).

Yang selalu diharapkan anak saya kalau pulang ke kampung ialah ke Hutan Lipur Bukit Bakar. Mandi sungai. Pernah agak lama juga saya tidak layan permintaannya untuk mandi-manda di situ setelah ada laporan tentang ada pengunjung terkena kencing tikus.

Seterusnya yang wajib pergi dan tidak ketinggalan ialah ke pekan Machang sendiri. Wah, ada benda menarik kali ini. Street Art di Lorong Cek Mek Molek. Tahniah kepada adik-adik pelajar yang mengubah wajah lorong tersebut yang dahulunya berlumut dan tidak selera orang hendak lalu di situ.

Dan yang paling teruja kalau balik kampung, kami pastikan menempuh hari Isnin, kerana tak mahu ketinggalan Pasar Isnin yang memenuhi segenap jalan raya di pekan Machang. Macam-macam ada. Bagi yang kaki shopping, inilah masanya. Dari barang-barang antik, kain baju, buah-buahan, sayur kampung dan sayur tak kampung, semuanya ada. Saya pula selalu menunggu peluang ini untuk membeli makanan yang sukar ditemui di negeri lain!

Pasar Isnin sehingga tengah hari. Namun kemeriahan pekan Machang akan berterusan hingga malam kerana akan disambung oleh pasar malam pula.

Yang bagusnya, apabila azan berkumandang, penjual akan meninggalkan barang jualan masing-masing untuk menyahut seruan-Nya di Masjid Sultan Yahya Petra di seberang jalan!

Tumpang duduk sejenak di anak tangga untuk makan!
Sempat juga kali ini merakam gambar Masjid Sultan Yahya Petra di pekan Machang yang memenangi anugerah Johan Masjid Daerah terbaik peringkat kebangsaan 2014. Tahniah kepada pihak pengurusan masjid! Kami tumpang bangga!

Hasil kreativiti anak-anak muda. Terbaik!













Wajib ke Hutan Lipur Bukit Bakar jika cuaca elok.

Tahniah Masjid Sultan Yahya Petra!
Beginilah sibuknya Pasar Isnin.

Ini buah yang 'rare' jarang dijumpai zaman ini. Apa namanya pun saya dah lupa. Boleh ditemui di Pasar Isnin.

Barang tembaga antik pun ada!

Tak kira panas atau hujan, tetap dikunjung orang ramai.


Aneka juadah menyelerakan.

Minyak wangi bermacam aroma!

Kain ela corak up-to-date!

Tuesday, November 18, 2014

BIRU MATA HITAMMU!

Apa nak jadi orang Melayu kita, saya pun tak tahulah. Ghairah sungguh nak bertukar penampilan menjadi bangsa lain. Nak kulit putih cerah, nak rambut perang atau blonde, paling tidak pun coklat. Maka bermacam produk kosmetik, kecantikan dan dandanan diri terjual di pasaran, nasiblah kalau terkena barang tiruan.

Terkini, anak mata pun nak ditukarkan warna - kelabu asap, biru, hijau. Maka mereka gila membeli dan memakai kanta lekap pula. Nak kanta lekap untuk menjadikan anak mata kelihatan besar seperti yang dipakai selebriti Korea pun ada. Penyakit ini amat menular di kalangan orang perempuan!

Yang menakutkan lagi, khabarnya kanta lekap murahan ada dijual kepada murid-murid sekolah. Aduh.

Pelik benar melihat rupa orang kita cuba menjadi bangsa lain, macam tak kena. Kalau dah Melayu totok tu, Melayu totoklah namanya. Hiaslah macam mana sekalipun, memang nampak 'tak sudah'. Rupa asli itu sudah sangat cantik dan sempurna, buat apalah ditokok tambah lagi. Bukan Melayu saja ... asalkan orang Malaysia saja kelihatan aneh apabila bergaya di luar fitrah kejadian. Lainlah kalau ada kecacatan zahir yang mengharuskan diberi rawatan.

Aduhhh! Tak bolehkah bersyukur dengan kesempurnaan tubuh badan yang Allah telah anugerahkan?

Berbalik kepada memakai kanta lekap yang berwarna-warni, ia diharamkan atas sebab tabarruj (berhias menampakkan kecantikan dan merangsang syahwat lelaki - lebih kurang begitu maksudnya), kecuali bagi isteri untuk bercantik-cantik di hadapan suaminya!

Jika mahu merawat rabun - pakailah kanta lekap biasa yang tiada warna!

Bersyukurlah dengan apa yang telah Allah kurniakan kepada kita. Wallahua'lam.

Untuk penjelasan lanjut tentang hukumnya boleh baca: sini.


Wednesday, September 10, 2014

PERASAN 'AHLI AKADEMIK'

Seorang junior yang kini bertugas sebagai pensyarah di sebuah IPT di Selangor memberitahu, dia ditegur oleh seorang pensyarah kanan apabila perasan dirinya 'ahli akademik' a.k.a academician semasa mereka duduk2 sembang.

Saya mahu tergelak mendengar ceritanya.

Katanya senior yang bertaraf prof madya memberitahu, kalau setakat pensyarah biasa yang cuma memegang sijil sarjana/master ... tak usahlah mengaku ahli akademik. Malah, jika ada PhD sekalipun kalau hanya mahu pangkat 'doktor' dan tambah gaji, belum cukup syarat untuk jadi ahli akademik!

Setakat ada sarjana, ada bersepah kat luar sana hatta atendan pam minyak sekarang pun ada master, kata senior itu!

Betullah apa yang dikatakan itu. Saya setuju.

Bukan senang untuk diri menjadi ahli akademik...kena banyak buat penyelidikan, banyak menyumbang kepada pembangunan sistem pengajian dan ilmu, banyak menulis ratusan/ribuan jurnal, banyak membentang kertas kerja di dalam dan di luar negara, banyak memberi ilmu tanpa mengharapkan sebarang balasan ... barulah layak dipanggil ahli akademik.

Sabar ajelah WN! Kalau betul awak nak jadi ahli akademik, usahalah sungguh-sungguh! Jangan setakat bagi lecture di bilik kuliah dan tanda kertas periksa student saja. Kaut ilmu sebanyak mungkin untuk diri sendiri dulu, lepas tu tebarkan kepada dunia (bukan hanya pelajar di dewan kuliah)!

Wednesday, June 25, 2014

ADAKAH DINAMAKAN DERHAKA JIKA ...

Topik menarik di Radio Ikim pagi tadi: Adakah meninggalkan orang tua kita di rumah orang tua atau pusat jagaan dianggap derhaka kepada kedua ibu bapa?

Pusat jagaan hari ini pula pelbagai. Ada yang daycare, ada yang pusat jagaan sepenuhnya dan macam-macam lagi ada. Bagi saja duit, semua beres.

Ada yang mengatakan derhaka ada yang mengatakan tidak. Ini permainan pro dan kontra. Bagi saya kita ikut situasi dan keperluan.

Orang selalu kata seorang ibu boleh jaga 10 anak. Sepuluh orang anak tidak boleh jaga seorang ibu.

Baru-baru ini ketika membeli nasi lemak di sebuah gerai, saya mendengar perbualan mak cik nasi lemak dengan seorang lelaki berkopiah dan berkain pelikat. Kedua-duanya sudah berusia.

Pak cik: Sekarang duduk sorang-sorang, sunyi anak-anak tak ada. Masing-masing ada tanggungjawab sendiri.

Mak cik nasi lemak: Betul. Tapi saya ada emak. Sekarang dok jaga dialah.

Pak cik: Yalah, tak boleh nak salahkan anak-anak. Mereka pun sibuk. Takkan asyik nak layan kita saja. Bukannya derhaka. Sibuk dengan kerja. Nak jaga anak-anak lagi. Sekali sekala mereka telefon, tanya khabar. Duit pun ada bagi. Itu bukan derhaka. Orang selalu kata derhaka. Saya kata tak. Tak derhaka namanya tu. Kita paham susah mereka tu. Zaman sekarang tak macam dulu.

(Saya tabik spring pada pak cik ni ... toing ... toing ... toing 1,000X, payah nak cari orang tua yang memahami begini).

Mak cik nasi lemak: Betul. Betul. Saya ni dok jaga emak. Ya Allah, bukan senang jaga orang tua. Jaga orang tua tak mudah macam jaga budak. Kalau budak kencing berak senang kita nak angkat dia nak cuci, nak mandikan. Tapi orang tua, tak terdaya kita nak ngangkatnya. Bahu saya sampai sakit. Maklum, tak daya nak ngangkatnya, nak makainya ... . Tak ada orang lain nak tolong. Orang yang hantar mak bapa ke rumah orang tua tu, saya tak salahkan mereka. Saya tau susahnya nak jaga orang tua.

Pak cik: Betul. Betullah tu. Kita nanti pun, kalau perlu tak usah merungut kalau anak hantar ke sana. Mereka mahu yang terbaik untuk kita. Itu bukan derhaka namanya (diulang lagi kata-kata itu).

Kemudian di radio Ikim pagi tadi ada yang memberi respons begini: Menghantar orang tua ke pusat jagaan orang tua tidak semestinya derhaka. Sama keadaannya kita menghantar anak-anak kecil yang kita hantar ke pusat jagaan (day care) semasa keluarga bekerja, adakah itu dinamakan zalim dan derhaka kepada anak-anak?

Kesimpulannya: Andai ditakdirkan kita panjang umur dan sempat menikmati usia emas, cuba-cubalah kita rasional dan bermentaliti seperti pak cik itu. Belum tentu jika kita jaga sendiri orang tua keadaannya lebih terurus atau lebih baik. Entah-entah di pusat jagaan lebih baik. Entah-entah di rumah sendiri, orang tua terabai. Bagaimanapun, kita tidak mendoakan keadaan seperti itu akan berlaku kepada kita.

Kalau kita ditakdirkan umur kita panjang dan ketika itu kita uzur sudah tiada upaya lagi, berdoalah sepanjang masa agar anak kita diberi kemampuan oleh-Nya untuk menjaga kita sebaiknya. Dan  jangan lupa mendoakan diri kita dan memohon ke hadrat Allah SWT, serta pasangkan niat awal-awal, "Ya Allah, kalau Engkau takdirkan aku panjang usia dan tua, janganlah usia panjangku itu menyusahkan anak-anakku untuk menjagaku. Engkau mudahkanlah laluanku sepanjang hayat dan Engkau mudahkanlah juga laluan anak-anakku untuk menjagaku ... aameen."


Tuesday, May 20, 2014

TIP MEMBELI COKLAT DI LANGKAWI

Jalan-jalan ke Langkawi baru-baru ini memang saya sasarkan untuk beli coklat. Tidak periuk belanga atau Toto seperti sesetengah pengunjung lain!

Kalau ke sana belilah coklat. Untuk tahu coklat terbaik, cari yang dari negara pengeluar yang terkenal dengan coklat yang terbaik: Antaranya:

1. Belgium
2. Switzerland
3. Italy
4. France
5. Spain
6. Mexico
7. Germany

Belgium misalnya terkenal dengan 'fine chocolate' yang hampir kesemuanya handmade.

Nak tahu coklat yang sedap?

Yang cepat cair & alah kepada suhu! Itu yang terbaik, masuk mulut terus cair. Pegang beberapa saat terus lembik & mencair!

Tak semestinya tak ada tanda halal bererti ia haram dimakan, namun haruslah diteliti ramuannya ketika membeli!

Go for Belgian/Guylian Chocolate ... (so cheap in Langkawi). (Saya beli berkotak-kotak).


Tesco: RM30+/box. Langkawi: Only RM9.90, RM12.90/box. Same box, same brand, same weight not the same price ... laaalalaaa!

Belgian and Guylian Chocolate anyone?
Guylian: Certified halal by EuroHalal Office!



Thursday, May 15, 2014

REZEKI SELEPAS SUBUH

Hari terakhir di Langkawi, selepas sarapan di hotel, kami bertiga (saya, adik dan anak) terus keluar meninjau kedai-kedai berdepan dengan hotel penginapan.

Menunggu kedai-kedai sekitar pekan Kuah dibuka.
Suasana masih lengang dan belum ada kedai yang dibuka. Hajat di hati mahu menambah beberapa belian coklat lagi.


Memang hari masih terlalu awal. Kami duduk dan mundar-mandir, malas untuk pulang ke bilik, nanti kena turun semula.

Berjalan sana-sini. Bazar sederet juga belum dibuka. Tidak lama kemudian kami lihat ada satu kedai dari deret ini sedang dibuka.

Satu-satunya gerai yang memulakan perniagaan seawal jam 8.15 pagi. Yang di kiri kanan masih bertutup litup.
Kami sambung menyusuri kaki-kaki lima kedai pula. Bertembung dengan seorang ibu muda sedang mendukung anak dari arah bertentangan. Tergesa-gesa lagaknya, tidaklah kami tahu dia hendak ke mana.

Jam baru sekitar 8.15 pagi.

Kerana masih belum ada kedai lain yang beroperasi, maka langkah kaki, kami aturkan ke kedai kecil bazar yang satu-satunya baru dibuka tadi. Bergantungan pakaian jualannya. Sebaik tiba di kedai itu, kami belek-belek T-shirt yang digantung. Tiada tuan kedai.

T-shirt Muslimah cantik-cantik dan berkualiti pada harga rendah. Sangat berbaloi!
Seketika kemudian, kelihatan tuan kedai berlarian anak kembali ke kedai apabila melihat kami, (pelanggan sudah datang!)


Rupa-rupanya tuan kedai itu wanita muda yang mendukung anak tadi. Tadi dia tergesa-gesa untuk membeli sarapan. Sekarang dia tergesa-gesa pula sambil mendukung anak untuk melayan pelanggan.


Apabila ditanya, harga-harga baju yang dijual, dia menjawab "Sebab pelanggan pertama, awal datang, kita bagi murah-murah sudahlah."

Masya-Allah, harga diturunkan sebegitu rendah! Kualiti baju pula bagus. Tidak dapat harga sebegini untuk t-shirt Muslimah.

Daripada harga yang telah diturunkan, kami bertanya lagi kalau-kalau boleh diturunkan lagi.

Subhanallah. Apa yang dijawab tuan kedai muda ini, "Bolehlah, tak pa, awal pagi kita bagi harga turun."

Kalau diminta lagi, saya yakin dia sanggup memberinya. Tapi sebagai pelanggan, kita juga perlu ada rasa 'minta diskaun pun berpada-padalah'.

Maka beberapa helai t-shirt dirembat untuk dibawa pulang sebagai oleh-oleh kepada anak-anak saudara nanti.

Sifir perniagaan wanita ini mudah saja, dia percaya kepada REZEKI SELEPAS SUBUH. REZEKI AWAL PAGI.

Katanya selepas solat Subuh, dia terus membuka kedai dan memulakan operasi perniagaan.
Rangkaian kedai Haji Ismail paling awal pun mula urusniaga jam 9.30 pagi.

Sementara menunggu kedai dibuka, singgah di kedai kopi untuk hilang dahaga akibat bahang walaupun masih awal pagi. (walhal baru bersarapan di hotel).
Percayalah, rezeki awal pagi memang luas, sebagaimana burung-burung keluar dari sarangnya mencari rezeki pada awal pagi. Paling tidak, rezeki awal pagi, kita dapat menikmati jalan raya yang masih lengang dan parkir kereta yang masih kosong dan masih banyak pilihan.

Bagi wanita ini, rezeki awal paginya adalah kami sebagai pelanggan pertamanya. Allah gerakkan kami untuk ke gerai kecilnya untuk membeli-belah! Dan rezeki juga untuk kami, dapat membeli baju pada harga murah! Allahu Akbar!

Saya doakan wanita muda ini dimurahkan rezeki sepanjang hidupnya kerana berpegang dengan sunnah! Aamin.

Renung-renungkan!





Monday, April 14, 2014

KUIH BAKAR SI AMMAR

"Mak jom gi taman," Ammar mengajak saya petang semalam.

"Semalam dah pergi, minggu depan pulaklah," jawab saya.

"Alah. Ammar bosan ni. Kalau tak nak pergi, kita buat keklah Mak."

Saya mengeluh, terlalu letih sebenarnya setelah setengah hari menyental dapur. Dapur baru dibersihkan, diajak buat kek pula.

Begitulah anak saya ini. Namun, saya akur. Lebih baik beraktiviti daripada membiarkannya menghabiskan masa di hadapan TV. Tidak mengapalah walaupun dapur akan berkecah!

"Kalau kita buat kuih boleh tak? Tak cukup bahan ni."

Saya menyelongkar bahan-bahan membuat kek. Ada bahan yang sudah tamat tempoh. Perlu improvise apa yang ada saja.

"Kuih apa?"

"Kuih bakar."

 "Bolehlah."


Santan ada lagi, telur tinggal tiga butir. Tepung ada saki-baki juga, ngam-ngam. Bijan masih banyak dalam peti. Dan saya keluar memetik beberapa helai pandan di laman rumah yang sudah bertukar menjadi semak-samun kerana terlalu subur.

Lalu Ammar dengan khusyuk menggunting pandan, dan mengisarnya. Kemudian menapis dan memerahnya. Saya kategorikan kuih ini, kuih orang malas, segala bahan hanya perlu dikisar, namun tetap sedap!

Malas hendak menggunakan oven (yang pada kebanyakan masa sentiasa berselimut), saya hanya menggunakan pembakar kek cawan aje.

Ammar galak menabur bijan sehinggalah lengannya terkena panas pembakar itu, lalu terus berhenti. Maka sayalah juga yang kena selesaikan semuanya seperti biasa.

Maka jadilah kuih bakar ala akok kerana tidak membakarnya dalam satu acuan besar sekali gus.

Dapatlah dua dozen. "Banyak sangat ni Ammar, kena hantar ke rumah Atok."

Maka separuh dihantar ke rumah Atok dan Sidi yang cuma empat kilometer jaraknya.

"Sedap kuih Ammar, tapi Atok tak boleh makan banyak sangat--lemak," komen Mak saya yang ada darah tinggi dan kencing manis disebabkan faktor usia! "Kejap lagi Sidi balik, Sidi makan."





Friday, April 11, 2014

DEMI KELANGSUNGAN HIDUP

Semalam sewaktu hampir sampai di pekarangan luar sekolah anak, iaitu kira-kira 30 meter dari tempat memarkir kereta di bahu jalan, saya terpandang seorang lelaki India pengutip barang-barang terbuang kitar semula sedang menolak basikalnya.

Terhuyung-hayang lagaknya. Kelihatan dia sedang berusaha keras cuba mengawal basikalnya daripada terbabas. Di atas basikalnya ada seperti kotak besar.

Tatkala saya memotongnya dan memarkir kereta, barulah saya nampak dengan jelas barang di atas basikalnya itu. Subhanallah. Ia sesuatu yang amat berat. Tidak tahulah saya dari mana dia mengutipnya dan bagaimana dia berjaya mengangkatnya ke atas basikal. Yang pasti ia sudah dibuang orang, lalu dikutipnya.

Rezekinya besar hari itu barangkali, menemui barang terbuang sedemikian dan mungkin agak tinggi nilainya berbanding barang-barang terbuang lain jika dijual ke tempat pelupusan barang kitar semula.

Demi menyambung kelangsungan hidup, orang sepertinya melakukan apa sahaja untuk mencari rezeki. Bagi lelaki India itu, dia mengerah sepenuh tenaga dan keringat mengutip barang sebesar dan seberat itu. Jika tiada orang sepertinya, persekitaran kita barangkali penuh sampah-sarap!

Barang berat di atas basikalnya itu ialah sebuah peti sejuk! Allahu Akbar, ia suatu pandangan yang jarang sekali kedapatan di negara ini. 







Wednesday, April 2, 2014

KOTAK HITAM WARNA OREN

Cita-cita pertama anak saya hendak jadi pilot atau angkasawan. Sekarang tidak lagi selepas tragedi MH370. Sekarang mahu jadi saintis pula.

"Mak kenapa kotak hitam tu warna oren? Tak hitam pun," tanyanya semasa melihat gambar kotak hitam di dalam akhbar.

"Dulu-dulu warnanya memang hitam. Tapi susah nak cari bila kapal terbang terhempas. Gelap sangat warnanya, dari jauh memang tak nampak," jelas saya.

"Habis, kenapa tak panggil kotak oren?"

"Orang malas nak tukar nama dia kot, sebab dah biasa panggil kotak hitam."

"Kata senang nampak warna oren. Sampai sekarang tak jumpa-jumpa pun!" komennya lagi.

"Manusia cuba yang terbaik, cuba itu dan ini. Buat itu dan ini. Tapi yang berkuasa mestilah Allah. Macam Ammar jugalah. Pemadam selalu hilang kat sekolah. Mak belikan yang warna terang pun sampai ke sudah tak jumpa-jumpa."

"Oh."

P/S Teringat saya kata-kata Sam 3+1, "Black belt colour biru, you!"

Monday, March 31, 2014

BILAKAN BERAKHIR ... uhuk ... uhuk ...


RIMAS!

Hari-hari lalu jalan sama. Memang ada jalan lain, tapi lebih jauh atau lalu ikut lebuh raya bertol.

Tak ada pilihan.

Entah bilalah agaknya pembinaan MRT ini akan berakhir.

Rimas!

Kiri kanan sepanjang bahu jalan dipasang tembok merah putih itu.

Jalan tiga lorong jadi dua lorong. Yang dua lorong, jadi selorong!

Traffic jam tak payah ceritalah pada waktu puncak. Tapi orang kata, "Biasa ler tu. Mana ada jalan yang tak jam." Adoi! Betullah tu. Tapi manusia ni tahap sabarnya turun naik!

Kalau hari panas terik, debu tak usah ceritalah. Tak guna basuh kereta. Kekadang saya biarkan saja kereta berdebu berhabuk berbulan-bulan.

Terkadang kasihan tengok budak-budak sekolah nak melintas di Jalan Surian sebelum terowong untuk ke sekolah di BU. Mereka menggadai nyawa. Saya terfikir, tak adakah jalan alternatif untuk mereka.
Debuuuuuuu!