Thursday, December 6, 2012

Tuesday, December 4, 2012

MENJELANG PESTA BUKU & NASIB INDUSTRI PENERBITAN BUKU

Saya kira kebanyakan penerbit buku kini semakin sibuk dengan persiapan untuk berdepan dengan dua pesta buku yang penting tahun hadapan.

Pesta Buku Kuala Lumpur bakal berlangsung pada 30 Januari 2013 di PWTC. Penerbit-penerbit mensasarkan penggunakan kupon buku 1 Malaysia pada kali ini.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 26 April hingga 5 Mei 2013 sudah tentunya juga di PWTC adalah yang ditunggu-tunggu. Bagi kami di Galeri Ilmu Media Group (GIMG), PBAKL bukan  untuk mencari keuntungan semata-mata. Sebaliknya ia menjadi medan untuk penjenamaan dan menyebarkan ilmu.

Dalam persiapan menerbitkan buku, perbincangan dengan penulis, merekrut tenaga freelance mula kami giatkan baik dalam perekaan mahupun editorial. Maka saya pula semakin kelelahan. Justeru, semakin kerap singgah keazaman mahu 'pencen' awal.

Baru-baru ini, Pengarah Urusan GIMG telah ke London untuk penggambaran dokumentari Kembara Buku. Pada suatu ketika dahulu di sebatang jalan (lupa saya nama jalannya) terdapat kira-kira 40 buah kedai buku. Kini hanya tinggal belasan kedai buku yang masih bertahan.

Gudang buku Cambridge iaitu antara penerbit tertua dan terbesar di dunia, kini sedang meroboh dan melupuskan gudang-gudang penyimpanan buku mereka. Daripada ratusan judul buku yang diterbitkan sebulan kini hanya sebahagian sahaja diterbitkan dalam bentuk buku fizikal, selebihnya diterbitkan dalam bentuk e-book.

Perkampungan buku pertama di England dulu gah dengan pelbagai buku, kini operasi perniagaannya hidup segan mati tak mahu. Pendek kata, industri penerbitan buku secara amnya sedang tenat dilanda badai digital.
Begitulah penangan digital terhadap penerbitan buku dan dalam kehidupan kita hari ini.

Apa pun, bagi pencinta ilmu dan ulat buku, pastikan anda ke kedua-dua pesta buku ini. Dalam era serba-serbi digital ini, jangan kita pinggirkan buku dalam bentuk fizikal yang sedia ada. Dari segi kesihatan mata pun, membaca buku tradisional adalah lebih baik daripada membaca e-book.

Majulah industri buku untuk agama dan negara. Amin.

Bersama Chef Adu Amran yang datang ke pejabat bagi membincangkan 
buku masakan beliau bersama GIMG. 
Beliau seorang yang telus dan berfikiran terbuka 
serta senang dibawa berbincang. 
Saya suka berurusan dengan penulis yang seperti ini.

Tuesday, November 20, 2012

MEMANDU KE PERLIS

Hujung minggu lalu saya ke Perlis. Itulah pemanduan terjauh saya sejak berbelas tahun dahulu. Kali terakhir memandu jauh sewaktu pulang ke Kelantan. Waktu itu saya belum berkahwin.

Kali ini memandu jauh ke Perlis untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara di sana. Dalam usia yang sudah masuk '40 karat' ni terasa sangat cepat letih. Itu pun bergilir memandu dengan adik.

Dari segi jalannya, tidaklah mencabar sebagaimana memandu balik ke Kelantan kerana ada lebuh raya. R&R pula ada di sepanjang jalan. Jika memandu ke Kelantan, saya angkat tangan surrender awal-awal lagi, takkan memandu balik.

Bagaimanapun dek kerana musim hujan dan hujannya juga lebat, terasa juga tercabar memandu ke utara tanah air. Apabila hujan mencurah turun dengan lebat, berserahlah kepada Tuhan agar perjalanan selamat. Hendaknya pula apabila sudah malam. Mata pun semakinlah kurang nampak.

Lega sungguh sebaik tiba di hotel di Kangar. Enak sungguh menikmati bekalan yang Emak sediakan. Dan tidak sangka pula rupa-rupanya ramai juga saudara-mara yang turut menginap di hotel yang sama untuk menghadiri majlis perkahwinan berkenaan keesokan hari.

Sudah lama saya tidak ke Perlis. Agak saya sudah 10 tahun. Itu pun kerana mengikut rombongan kahwin abang yang berkahwin dengan empat pupu, (waris sebelah Perlis). Selepas itu saya tidak pernah ke utara lagi hinggalah hujung minggu lalu.

Esoknya, kami ke majlis kahwin itu di Kampung Santan. Oh, sungguh enak masakannya terutama gulai lemak ikan kering ... memang berbaloi memandu jauh!

Sayangnya tidak banyak gambar dirakam kerana tidak bersedia dengan kamera.

Ini saja foto yang terakam bersama anak saudara. Puas hati makanan ala kampung yang sungguh sedap.

Datang ke Perlis tergesa-gesa. Pakaian pun tidak ada spare, sekadar cukup-cukup untuk hadir kenduri dan terus pulang ke KL.

Teringin benar merakam gambar berlatarbelakangkan sawah padi, apa boleh buat hujan!

Friday, November 2, 2012

TAK KENAL PUN!

Semalam saya menerima SMS. Ia berupa undangan ke majlis perkahwinan. Bunyinya:

Assalamualaikum wbt. Saya J***m abd rahman dan R***** s*****g @ mohd n**** ... dgn penuh kesyukuran kehadrat Allah, kami mempersilakan tuan puan sekeluarga ke majlis perkahwinan puteri kami, Noor******* M*******h bt ... n M**s**d b H**** di dewan ... Batu caves selangor pada ... 2012 dari jam 12.00 hingga 4.00 petang..kalau boleh send alamt unt kami pos kad jemputan. Semoga dgn kehadiran tuan puan akan menyerikan lagi majlis kami dn diberkati Allah..insyaAllah.t ksh

Saya tidak mengenali nama yang diberi. Seingat saya tidak ada kenalan saya yang namanya seperti itu. Lalu saya teringat, mungkin juga ia murid Ayah kerana Ayah pernah meminta saya menghantar mesej kepada murid-muridnya.

Setelah diselidik, Ayah juga tidak mengenalinya. Bukan muridnya.

Lalu saya membuat kesimpulan, barangkali si pengirim SMS itu sudah tersalah nombor. Kasihan!

Kesimpulannya: Hati-hati apabila berSMS, pastikan nombornya betul sebelum menekan kekunci 'send'.
 

Thursday, October 25, 2012

SALAM AIDILADHA

Alhamdulillah. Esok seluruh umat Islam akan menyambut Aidiladha. Sekolah-sekolah pula hari ini telah mula bercuti untuk sambutan ini. Bagi yang bekerja ada yang mengambil cuti ekstra. Yang pasti, esok cuti umum sempena Hari Raya Korban ini. Satu kelegaan bagi mereka yang bekerja. Dapatlah berehat sejenak daripada kerja yang sangat menekan jiwa.

Hilang seketika beban stres bekerja saban hari. Demikian juga saya. Sudah berbulan-bulan rumah 'tidak sepertinya' kerana kepenatan untuk mengemas sebaik pulang ke rumah daripada pejabat.

Jumaat, Sabtu, Ahad; cuti tiga hari berjujukan. Tentunya ramai yang mengambil peluang pulang ke kampung untuk menyambut hari raya. Tidak pula bagi saya sekeluarga. Kami tidak pernah pulang ke Kelantan walaupun tentunya meriah sambutannya di sana.

Apa pun, di mana saja kita berada banyak-banyakkanlah berdoa ketika ini kerana ia termasuk dalam tempoh yang sangat makbul doanya.

Bagi yang sedang dan akan bermusafir balik ke tanah kelahiran, juga sangat makbul doanya.

Berdoalah, berdoalah setiap masa dan jangan berhenti kerana ia tanda ingatan kita kepada-Nya serta berharap pada-Nya. Insya-Allah, Dia juga akan sentiasa dekat dengan kita khasnya di akhirat nanti di mana kita sangat mengharapkan rahmat daripada-Nya.

SALAM AIDILADHA, MAAF ZAHIR DAN BATIN UNTUK SELURUH UMAT ISLAM.

Wednesday, October 17, 2012

DOA KITA ATAU DOA SIAPA YANG ALLAH KABULKAN SELAMA INI?



Saya telah diforwardkan satu e-mel. Tidak pasti sumbernya daripada mana. Namun ia cukup menyentuh hati. Semoga pencerita asal diberkati Allah sentiasa.
 
Sila baca dan fikirkanlah.E-melnya berbunyi begini:


DARIPADA SEORANG HAMBA ALLAH UTK RENUNGAN BERSAMA.

Semoga bermanfaat untuk kita semua dan sebar-sebarkanlah.
 
Bercakap fasal doa
saya teringat satu kisah yang sangat-sangat memberikan kesan dalam kehidupan saya. Guru-guru saya di sekolah, semenjak sekolah rendah, sangat menerapkan doa. Jadi, saya sudah dibiasakan dengan Solat Hajat, Solat Dhuha, Qiamullail, waktu-waktu doa yang mustajab seperti ketika hujan dan sebagainya agar saya rajin berdoa, dan agar doa saya makbul. Jadi, apabila Allah anugerahkan saya kejayaan, saya sentiasa rasa, itu sebab saya doa dengan bersungguh-sungguh. Namun satu cerita mengubah persepsi saya.

Cerita yang saya dengar itu begini:


Kisah berkenaan seorang abang dan seorang adik.


Kedua-duanya adalah anak yatim lagi miskin. Mereka tinggal di rumah pusaka tinggalan ibu bapa mereka. Kedua ibu bapa mereka adalah hamba ALLAH yang soleh. Kedua-dua anak dididik untuk bergantung harap dengan Allah SWT.

Si abang, saban hari berdoa agar ALLAH mengubah nasib hidupnya. Dia meminta kepada ALLAH agar dipertemukan dengan isteri yang cantik lagi kaya. Dia meminta kepada ALLAH agar dirinya kaya-raya.

Si adik pula, seorang yang buta huruf. Tidak seperti abangnya, dia membaca doa pun dengan melihat kertas. Sebelum bapanya mati, dia pernah meminta bapanya menulis sesuatu di atas kertas, dan kertas itu sering dipegangnya setiap kali berdoa.

Akhirnya, Allah mempertemukan seorang perempuan yang cantik lagi kaya dengan si abang. Perempuan itu jatuh hati kepadanya, lantas berkahwin. Si Abang seperti mendapat durian runtuh dan kehidupannya terus berubah. Dia keluar dari rumah pusaka, dan meninggalkan adiknya.

Si Abang akhirnya kaya-raya, malah terus kaya apabila dia memasuki medan bisnes. Dia sudah mula alpa pada ALLAH, melewat-lewatkan solat, jarang membaca Al-Quran, tapi tidak pernah lalai untuk meminta kekayaan daripada ALLAH. Kalau masuk dalam bab perniagaan, kekayaan dunia, maka berbondong-bondong doanya kepada ALLAH. Dan ajaibnya, Allah beri apa yang dia minta. Si abang rasa dirinya istimewa.

Si adik pula, hidupnya tidak berubah. Dia masih seorang sederhana, dengan kelemahannya sebagai seorang buta huruf, dia hannya mendapat kerjaya sederhana, terus menjaga rumah pusaka. Si adik, juga rajin berdoa. Si abang tahu, si adik rajin berdoa. Tapi Si Abang melihat, hidup adiknya tidak berubah-ubah. Lantas satu hari, ketika Si Abang menziarahi adiknya, Si Abang berkata dengan sombong:

“Kau kena berdoa kuat lagi. Tengok aku, berdoa je ALLAH makbulkan. Kau ni tak cukup hampir dengan Allah ni. Berdoa pun masih tengok-tengok kertas. Tak cukup hebat.”Si Adik tersenyum sahaja. Suka abangnya menegur kerana padanya, teguran abang amat bermakna.

Si Adik terus hidup sederhana, di dalam rumah pusaka, dengan doa melihat kertas saban hari, dan kehidupannya tetap tidak berubah. Tidak menjadi kaya seperti abang.Satu hari, Si Adik meninggal dunia. Ketika Si Abang mengemas-kemas rumah pusaka, dia berjumpa satu kertas. Kertas itu adalah kertas yang adiknya sering pegang ketika berdoa.

Si Abang menangis teresak-esak apabila membaca kertas kecil itu.

Kertas itu tertulis: “ Ya Allah, makbulkanlah segala doa abang aku”

Masya-ALLAH…

Si Abang mula membandingkan dirinya dengan adiknya. Adiknya kekal taat kepada ALLAH dan tidak meringan-ringankan urusannya dengan ALLAH SWT. Adiknya, sedikit pun tidak meminta dunia kepada ALLAH, malah tidak meminta apa-apa untuk dirinya. Tetapi adiknya meminta agar segala doa Si Abang dimakbulkan. Si Abang, tidak pernah sedikit pun mendoakan Si Adik.

Si Abang mula nampak, rupanya, bukan doa dia yang makbul. Tetapi doa adiknya telah diterima oleh ALLAH SWT, lantas segala doanya menjadi makbul.

Cerita ini meruntun hati saya, dan buat saya sentiasa berfikir panjang.

Kadang-kadang kita, apabila Allah realisasikan hajat kita, kita suka mengimbau usaha-usaha kita.

"Aku buat beginilah yang jadi begini."

"Doa aku makbul seh!"

"Aku ni memang Allah sayang. Tengok, semua benda Allah bagi. Aku minta je pun."

Tanpa sedar kita bongkak. Takabbur.

Sedangkan, kita tak tahu, mungkin yang makbul itu adalah doa ibu bapa kita, doa adik beradik kita, doa sahabat-sahabat kita. Bukannya doa kita.

Cerita itu sangat menyentuh hati saya.

Membuatkan setiap kali saya berdoa, saya tidak lupa mendoakan ibu bapa saya, guru-guru saya, keluarga saya, adik-beradik saya, sahabat-sahabat karib saya, yang teramat akrab saya sebutkan namanya agar lebih merasai bahawa saya memerlukan mereka mendoakan saya juga. Kita ini banyak dosa. Banyak hijab.

Mungkin doa orang lain yang lebih bersih hatinya, lebih suci jiwanya yang makbul, menyebabkan rahmat Allah tumpah pada diri kita. Sebab itu jangan berlagak. Jangan tinggi diri. Jangan rasa doa kitalah yang makbul. Pulangkan semuanya kepada Allah. Doa itu sebahagian daripada usaha sahaja sebenarnya.

Dan jangan rasa segan nak minta orang lain doakan kita…

Semoga bermanfaat note ini.

Sebarkan jika anda rasa ada manfaatnya.

Semoga Allah redha dengan kita.
Jazzakumullahu khairanjaza’…

Thursday, October 4, 2012

TIKET DEWASA LEBIH MURAH

Rasa-rasanya di Malaysia ini atau boleh jadi juga di dunia, tempat yang tiket kanak-kanaknya lebih mahal daripada tiket orang dewasa adalah di KidZania.

Kira-kira seminggu sebelum raya dulu, saya berpeluang membawa anak ke KidZania di mana ia sememangnya dunia untuk kanak-kanak dan orang dewasa hanya jadi pemerhati.

 Menunggu giliran untuk belajar menyediakan burger di Marrybrown.

  Ada langkah-langkah standard dalam penyediaan burger.

Lebih 90 aktiviti dan kerjaya untuk diterokai kanak-kanak, namun dalam satu hari tidak memungkinkan mereka menjelajah dan mencubanya satu persatu. Perlu datang lagi (mmm ... kena bayar tiket lagilah tu).

Biarpun mahal, aktiviti yang disediakan amat berbaloi dengan harga tiketnya. Cuma yang tidak menyelesakan anak-anak kita, mereka perlu beratur panjang untuk mendapat giliran lebih-lebih bahagian 'hot spot'.
 Mencuba impian menjadi juruterbang. Tempat Air Asia ini adalah 'hot spot'. 
Queuenya 'mengular' panjang.

   Belajar mengendalikan program berita siaran langsung di konti Media Prima.
 
 Sayangnya, ketika ke sana saya terlupa membawa kamera. Lagipun agak sukar untuk merakam gambar kerana ibu bapa tidak boleh memasuki tempat aktiviti. Hanya boleh menunggu dan mengintai. Maka hanya kamera pada telefon sahajalah digunakan. Namun jurufoto KidZania kelihatan ke sana ke mari merakam foto kanak-kanak. Dan ketika check out nanti bolehlah membelinya jika berminat. Oh tentunya duit lagi perlu dikeluarkan.



  Jadi pakar bedah pula - Bersiap sedia untuk melakukan pembedahan.

Jika kanak-kanak cukup riang dan teruja dengan tempat gempak begini, seperti ibu bapa lain yang menunggu anak-anak mereka, tempat ini bukan untuk orang dewasa ... amat membosankan kerana tidak tahu nak buat apa, hanya duduk dan menunggu. Itu pun kalau ada tempat duduk disediakan. Ada tempat tidak disediakan tempat duduk.

Bagi ibu bapa yang mahu membawa anak ke KidZania, suka saya sarankan, bawalah buku untuk dibaca bagi mengisi masa lapang yang berjam-jam itu. Bagaimanapun, kalau saya ... saya tidak mampu membaca lama kerana cahayanya agak suram dan mudah meletihkan mata.

  Modelling pun ada. Belajar catwalk. Kerjaya ini tidak popular.
Maka tidak perlu tunggu lama, malah perlu dicari kanak-kanak
untuk menyertainya.

Berkunjung ke suraunya ... alahai, congak saya luasnya lebih kurang 5 x 6 kaki sahaja. Muat dalam maksimum tiga orang sahaja. Namun, saya faham mengapa surau dibuat sedemikian kecil ... kerana tidak ramai orang berasa berdosa meninggalkan kefarduan solat lima waktu itu. Aduhai ... tempat yang asyik melaghakan. Namun inilah saatnya bagi kita untuk mentarbiahkan anak tentang kepentingan solat, dalam apa jua keadaan pun. Ajak dan suruhlah mereka solat. Kita tidak melarang mereka berseronok asalkan tiang agama dijaga rapi. Biarlah umat Islam lain tidak memberatkannya, kita jangan jadi seperti mereka. Ingat-ingatkan selalu anak-anak akan solat agar mereka mentaati waktu solat dan sentiasa berasa diawasi Allah..


 Di kilang komputer Dell, belajar memasang komponen komputer.

Waktu berkunjung ke surau KidZania, tidak ada seorang pun 'manusia' bersolat. Allahu Akbar! Aduhai umat Islam! Maka saya tidak hairan mengapa suraunya sempit. Barangkali sudah dijangkakan ketika membinanya, tidak ada orang mahu memuliakannya.


Apa pun, KidZania adalah tempat yang selamat untuk kanak-kanak. Anak-anak kita bebas ke sana sini tanpa kita perlu selalu mengawasi kerana tag elektronik di tangan memastikan hanya penjaga mereka sahaja berhak membawa keluar anaknya.

Khabarnya, usahawan Mexico yang mencetuskan ilham KidZania ini (Xavier Lopez Ancona) sudah jadi multi-billionaire hasil mengeksport francais bandar tema kanak-kanak ini merentas dunia.

Sasaran Ammar Hadi seterusnya ... Legoland (entah bila hendak sampai ... jauh sangat).

Wednesday, September 26, 2012

TIDAK CUKUP 20 MINIT

"Ammar beli apa kat kantin hari ni?" saya bertanya.
"Satu ringgit Ammar beli keropok lekor, satu ringgit Ammar beli nuget."
"Habis ke makan banyak-banyak?"
"Tak habis."
"Dah tu kenapa beli sampai habis duit? Tak makan pulak tu. Kan membazir?"
"Ammar dah lapar sangat. Ammar belilah."
"Habis, kenapa tak makan semua kalau dah lapar sangat."
"Laaa Mak ni, Ammar tak sempatlah Mak. Loceng bunyi cepat sangat."
"Ooo ... yang tak habis tu letak kat mana?"
"Ammar buanglah."

Aduh, memang membazir.

Dari zaman saya bersekolah rendah hingga kini, waktu yang diperuntukkan untuk murid-murid rehat hanyalah 20 minit ... suatu tempoh yang amat tidak munasabah untuk murid-murid makan bagi mengalas perut sepanjang waktu persekolahan sebelum pulang ke rumah untuk makan.

Tempoh itu tidak pernah berubah sejak berdekad-dekad yang lalu bagi kebanyakan sekolah.

Dengan mengambil kira waktu murid perlu beratur panjang untuk membeli, membasuh tangan, mencari tempat duduk untuk makan dan mula makan, ia suatu tempoh yang sememangnya tidak cukup.

Saya dulu juga begitu. Tidak pernah sempat makan habis semasa rehat melainkan jika membawa bekal sendiri. Tetapi sesekali mahu juga tukar selera membeli makanan di kantin. Anak saya pun begitu juga, sesekali mahu membeli di kantin, berselang dengan bekal.

Itu belum dikira lagi jika murid membeli mihun sup yang panas, perlu menunggu sejuk sedikit untuk dimakan. Juga murid yang jenis memang makan lambat. Mengunyah perlahan-lahan. Jauh sekali jika mahu mempraktikkan cara sunnah, cara makan Nabi SAW yang mengunyah hingga 40 kali setiap suapan.

Tempoh 20 minit itu menjadikan setiap murid terpaksa makan dengan gelojoh kerana takut tidak sempat makan sebelum loceng berbunyi. Maka berteraburlah makanan di meja makan dan mencomotkan pakaian sekolah.

Teringat zaman awal belasan tahun saya, bersekolah di England. Waktu rehat diperuntukkan dua kali. Rehat pertama selama 15 minit. Rehat kedua selama sejam. Kita dapat makan dengan selesa. Waktu persekolahan hingga jam tiga suku petang membolehkan waktu rehat diaplikasikan demikian.

Pun begitu, walau waktu persekolahan di Malaysia tidak sepanjang di UK, ia bukan alasan untuk memendekkan waktu rehat. Waktu rehat perlu dilanjutkan sedikit bagi membolehkan murid-murid makan dengan selesa. Paling tidak pun 35 minit!

Wednesday, September 12, 2012

ELAK MUSIM CUTI RAYA

Hari raya kedua baru-baru ini saya telah mengikut rombongan pernikahan anak saudara sebelah suami ke Terengganu. Ia suatu pengalaman yang menyerikkan bagi kami khasnya suami saya yang terpaksa memandu. Ini kerana kesesakan trafik yang melampau di Kelantan.

Masuk ke sempadan Terengganu, jalan raya boleh dikatakan lapang. Barangkali tidak ramai anak Terengganu yang merantau mencari rezeki di negeri orang. Ini amat berbeza dengan anak Kelantan. Mereka bertebaran di mana-mana. Justeru, tiket pengangkutan awam yang paling banyak dan paling laris dijual dan terjual saban tahun adalah yang menghala ke Negeri Serambi Makkah itu. Itu belum dikira warga Kelantan yang memandu sendiri untuk pulang ke kampung. Justeru, apabila pulang ke tanah kelahiran untuk menyambut Idilfitri, kesesakan trafik tidak dapat menampung pergerakan kenderaan di jalan raya.

"Lepas ni siapa buat majlis kahwin musim raya, minta maaflah, tak nak pergi dah, walaupun anak sendiri. Serik," rungut suami saya. Apatah lagi, kereta milik ibunya yang dipandu itu, turut membawa tuannya yang sudah uzur. Kasihan mentua saya itu menempuh perjalanan yang amat meletihkan. Apatah lagi dia mengalami bermacam masalah kesihatan. Hampir setiap setengah jam suami saya perlu berhenti di stesen minyak untuk membolehkan emaknya ke bilik air.

Mujurlah penginapan homestay yang menempatkan kami untuk keluarga berkumpul, letaknya di tepi pantai yang sangat bersih dan cantik. Tidak seperti kebanyakan pantai lain yang sampah-sarap bertaburan, pemandangan pantai ini menyamankan. Redalah juga 'panas hati' setelah menempuh perjalanan yang menyesakkan dada dan menguji iman, apatah lagi syaitan laknatullah serta nafsu sudah bebas selepas sebulan terbelenggu, mula meliar semula.

Anak-anak yang dibawa, termasuk anak saya tentunya riang ria dapat bermain pantai di pesisiran pantai Terengganu. Namun, panas hati kembali apabila esoknya sekali lagi terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas untuk pulang semula ke Kota Bharu. Perjalanan dua jam menjadi lima jam!

Ya, kebanyakan masyarakat kita begitulah, mahu tunggu semua adik-beradik dan kaum kerabat berkumpul barulah majlis kahwin akan diadakan. Dan waktu rayalah waktu paling baik untuk mengadakannya kerana semua keluarga berkumpul pulang bercuti menyambut raya. Waktu ini dimanfaatkan untuk tujuan walimah.

Jika tidak dibuat begitu, nanti ada pula adik-beradik dan ahli keluarga lain muncung dan bermasam muka. Dan dalam waktu yang sama, kerana mahu menjaga hati mereka ini, kita tidak sedar tetamu lain juga mengata-ngata di belakang, merungut akan kepayahan menempuh kesesakan trafik, khasnya bagi yang memandu, mereka yang uzur, mereka yang tua dan mereka yang mempunyai anak-anak kecil yang cepat rimas di dalam kereta. Kalau yang tua pun rimas apatah lagi yang kecil.

Begitu fahaman kebanyakan kita tanpa memikirkan soal kepayahan majoriti tetamu yang hendak menghadirinya.

Keluarga di sebelah saya pula, seingat saya apabila hendak mengadakan majlis perkahwinan, tidak pernah mengadakannya pada musim raya kerana faktor-faktor sedemikian. Kami lebih memikirkan kemudahan tetamu yang jauh, memudahkan mereka datang. Jika mengambil kira kemudahan tetamu, biarpun bukan tarikh raya, insya-Allah, mereka akan datang dalam keadaan tenang tanpa mengungkit-ungkit masalah jalan raya sesak yang menyerabutkan kepala.

Kalau ada adik-beradik yang tidak dapat bersama pun, tidak mengapalah. Namun, hingga kini tidak ada adik-beradik dan keluarga terdekat yang tidak dapat hadir walaupun bukan musim raya.

Jika ada di kalangan anda yang bercadang mengadakan majlis perkahwinan ketika cuti raya, fikir-fikirkanlah!

Thursday, August 9, 2012

KERUGIAN BESAR

Setiap kali Ramadhan saya tidak pernah terlepas daripada menghadiri kuliah Ramadhan di pejabat yang disampaikan oleh ustaz-ustaz berkaliber. Saya suka majlis ilmu sebegini. Malangnya tahun ini sekali pun saya tidak berpeluang mengikutinya.

Ini kerana ketika majlis ilmu berlangsung, saya terpaksa berkejar mengambil anak di sekolah. Untuk mengelakkan jalan sesak dan sampai tepat waktunya di sekolah, saya terpaksa keluar awal. Kemudian setelah selesai urusan ambil anak, saya terpaksa berkejar semula ke pejabat.

Sampai di pejabat, tentunya kuliah sudah tamat. 

Inilah pertama kali saya tidak dapat menghadirkan diri di majlis ilmu itu. Terasa sangat ruginya tidak dapat menadah ilmu di surau pejabat.

Apa pun, mudah-mudahan ulang alik mengambil anak di sekolah juga dinilai oleh-Nya.

Friday, August 3, 2012

KALAU MASIH ADA REZEKI

Pada 1 Ramadhan lalu, saya menghantar suami ke Subang Airport. Apabila sampai di rumah saya tercari-cari telefon bimbit. Puas mencari tidak juga berjumpa. Dalam kereta juga saya selongkar, juga tiada.

Lalu saya teringat, kebarangkalian besar sudah tercicir di airport. Telefon itu tidaklah canggih mana, tapi dek kerana ia pemberian suami dan banyak gambar yang dirakam yang saya kira bernilai 'sentimental', maka saya berasa agak ralat juga.

Yang paling bermakna, gambar majlis 'konvo' Ammar Hadi di Tadika Hasanah dan gambar orientasinya di sekolah pada awal tahun ini semasa naik Tahun Satu. Kesemuanya masih ada dalam telefon dan saya belum berkesempatan memindahkannya ke komputer.

"Alahai! Kena pergi baliklah cari di airport." Saya mengeluh.

Sebelum kembali ke Subang Airport, saya dirikan Solat Sunat Dhuha. Dalam doa saya panjatkan doa, "Ya Allah kalau masih ada rezeki, Engkau pulangkanlah ia semula kepadaku. Jika ia telah diambil orang, mudah-mudahan dia orang yang baik-baik dan memulangkannya semula kepadaku ... ."

Kemudian saya memandu semula ke Subang Airport bersama anak. Kereta di parkir di tepi jalan dan kami dua beranak menyusuri langkah-langkah yang dilalui sebelumnya.

"Mak, Ammar rasa handphone Mak dah tak ada la. Mesti orang dah curi," komen anak saya.

"Iisy, janganlah cakap macam tu. Doalah tak hilang. Hari ni kita puasa, doa orang puasa mesti Allah dengar. Banyak gambar Ammar dalam tu. Sayang."

"Ya Allah ya Tuhanku, janganlah bagi handphone Mak Ammar hilang. Kesian Mak Ammar," doa tulusnya.

"Dik, tadi saya turunkan suami saya kat sini, rasanya handphone saya dah cicir. Ada nampak tak?" saya bertanya kepada dua orang pengawal di situ.

"Kat mana akak cicir?"

"Dekat-dekat sinilah, dah lebih sejam. Lebih kurang pukul 9.30 tadi." Mereka turut menyusuri kaki lima membantu mencari telefon saya.

"Tak ada lah kak. Cuba akak tanya di kaunter pertanyaan kat dalam. Selalunya apa-apa barang yang orang tercicir diserahkan kat situ."

Maka saya menuju ke kaunter pertanyaan, lalu bertanya kepada petugas di situ.

"Setakat ni belum ada orang serah barang-barang hilang lagi hari ni. Tapi selalunya barang hilang kita simpanlah."

Agak kecewa saya mendengar jawapan wanita itu.

"Macam ni," sambungnya, "puan tinggalkan nombor yang boleh kami contact. Kalau ada orang jumpa dan hantar ke sini, nanti kami telefon puan."

Saya menyerahkan nombor telefon rumah Emak.

"Telefon jenis apa ye?" soalnya lagi.

"Nokia C3 01, panjang warna silver."

"Oh, entah-entah macam saya punya ni tak?" katanya lagi lalu mengeluarkan telefon bimbitnya dari laci kaunter. "Tapi saya punya ni dah buruk, lama sangat dah. Buat contact anak-anak ... ."

Ya memang buruk sangat telefonnya, warna gelap.

"Panjang lebih kurang macam tu lah, tapi model lain. Tak apalah, kalau ada rezeki, adalah, kalau tak ada redha sajalah," kata saya.

"Ya lah. Kalau ada, insya-Allah, kami bagitahu nanti."

Ketika meninggalkan kaunter dan keluar dari bangunan airport saya masih belum puas hati. Masih yakin dapat ditemui.

"Haaa tu dialah Ammar. Alhamdulillah, syukur jumpa," seru saya tiba-tiba apabila terpandang satu objek di atas tar tepi kaki lima."

"Betul ke kak. Mana?" tanya 'adik guard' tadi.

"Betul ke Mak. Ammar rasa bukan, Ammar tak nampak pun."

"Ya betul, tuuuu ... kat sana tu," panjang tangan saya menunjuk ke arah objek itu. Pengawal dan anak saya terkebil-kebil kerana mereka tidak nampak. Ketika itu van MAS yang parkir di situ berlalu pergi, dan saya terus meluru ke arah objek dan mengutipnya.

"Ni haaa, kan betul. Alhamdulillah." Saya tersenyum lebar. Pengawal itu turut tersenyum barangkali takjub kerana saya berjumpa semula dengan telefon itu. Sedangkan dia yang mencarinya di situ tidak nampak.

Telefon saya berada di bawah van MAS tadi di tepi tayar belakang. Terlangkup di situ, bahagian belakang warna perak di atas dan skrin menghadap tar, menyebabkan ia hampir sama dengan warna tar lalu sukar dilihat.

Sedikit berlekuk-lekuk kecil di bahagian kekunci dan bercalar, barangkali sudah berkali-kali telah digelek tayar kenderaan sepanjang ia jatuh di situ. Bagaimanapun skrin tidak terjejas lantaran ada screen protector. Fungsi touch juga okey. Screen protector sedikit bercalar dan terkopek. Tak mengapa, boleh ganti baru. 
Yang penting ia masih berfungsi dengan baik dan saya dapat semula.

Alhamdulillah. Syukur yang tidak terkira saya panjatkan kepada Allah kerana mengembalikannya semula berkat bulan Ramadhan yang mulia, berkat doa di waktu dhuha dan berkat tulus sang anak. Amin

.

Tuesday, July 24, 2012

APABILA ANAK BERSUARA

Baru-baru ini saya tergelak sendirian sewaktu mendengar Sinar Pagi. Topik pagi itu ialah "Terlepas Cakap."

Seorang pemanggil menceritakan bagaimana dia telah membawa anaknya berusia enam tahun ke majlis kahwin kawannya.

Sebulan kemudian, dia sekali lagi membawa anaknya itu ke majlis kahwin kawan yang sama. Ya betul, kawannya itu telah memadukan isteri pertama yang dikahwininya sebulan dahulu. Isteri yang kedua yang baru dikahwinnya ini tidak mengetahuinya.

Tiba-tiba anak berusia enam tahun itu bersuara bertanya pengantin lelaki, "Eh, uncle baru ni dah kahwinkan? Tapi dengan orang lain ... ."

Pengantin perempuan memandang suaminya. Cepat-cepat si bapa menarik tangan anaknya pergi dari situ. Khuatir kalau-kalau anaknya akan bersuara lebih panjang. Harapnya tidaklah berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini.

Begitulah anak-anak, jiwa mereka suci, hati mereka mulus, tidak pandai menipu. Mereka bercakap daripada apa yang diperhatikan. Bait-bait patah perkataan lahir daripada hati. Maka kita yang tua janganlah mengajar anak menipu.

Ceritanya lagi, isteri-isterinya itu seorang di Johor dan seorang lagi di Terengganu. Bagaimanapun, sepandai-pandai tupai melompat, akhir tembelang pecah juga. Kawannya itu kantoi apabila isteri-isterinya tahu mereka dimadukan. Rahsia, kalau disorok macam mana pun kalau Allah mahu mendedahkannya, akan terdedah juga.


Tuesday, July 17, 2012

KASIHAN ANAKKU!

"Mak, cikgu panggil. Cikgu nak jumpa," kata Ammar menarik tangan saya supaya masuk ke kelas. Ketika itu saya berada di luar kelas menunggu waktu sekolah tamat.

Lalu saya melangkah masuk ke kelas Tahun Satu itu.

Melihat saya masuk ke kelas, Guru Kelas, Pn. R, terus bangun mendapatkan saya. Di tangannya ada kertas-kertas soalan - kertas ujian Bahasa Malaysia murid-murid Tahun Satu.

"Puan, saya nak minta tolong ajarkan Ammar di rumah. Nampaknya dia masih tak dapat nak susun ayat dengan betul. Yang pendek-pendek dia boleh buat lagi. Kalau yang ayat panjang, memang masih berterabur," jelas Pn. R sambil menunjukkan hasil jawapan anak saya bagi kertas ujian yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran.

"Ooo, teruk ni. Lemah sangat ke anak saya ni?"

"Nak kata lemah tu tidaklah sebab dia masih boleh dibantu. Dia boleh buat kalau kita fokus ajar dia."

"Anak saya ke yang paling lemah? Budak-budak lain macam mana?" soal saya. Risau juga kalau-kalau anak sayalah yang paling lemah dalam pelajaran.

"Tidaklah, ada lagi yang lebih lemah. Yang ni saya kena ajar sendiri secara berdepan." Lega saya mendengarnya.

"Kertas tu boleh saya bawa balik ke? Nak buat contoh apa yang nak diajar di rumah."

"Oh, ini tak boleh buat balik. Ini sulit. Ini kertas ujian kementerian. Ini rekod peribadi murid yang kita akan hantar ke kementerian. Puan boleh buat sendiri contoh ayat. Alah, yang ringkas-ringkas saja. Bagi dia cekap. Sebab lepas ni akan ada lagi ujian macam ni. Jadi, kita harap dia boleh baiki lagilah keputusan ujian."

Sejak sistem pelajaran baru diperkenalkan, bukan sahaja murid dan ibu bapa menjadi lintang-pukang, para guru lebih-lebih lagi. Dulu KBSR kini KSSR. Bukan sahaja akademik dinilai, tapi serba-serbi dinilai. Patutlah kekadang ada hari murid-murid lambat keluar kelas walaupun tempoh belajar sudah tamat. Saya lihat guru masih di kelas memanggil murid-murid yang bermasalah seorang demi seorang ke hadapan untuk memastikan mereka faham.

Saya juga melihat silibus mata pelajaran semakin sukar berbanding zaman saya dulu-dulu. Matematik Tahun Satu menyamai Ilmu Hisab ketika saya darjah dua atau tiga. Bahasa Malaysianya juga agak tinggi. Kalau zaman saya dulu, darjah satu baru hendak mengenali A, B, C ... a-ayam, b-batu, c-cawan. Kini Tahun Satu diminta menyusun 'jumbled up sentences'.

Kasihan sungguh! Saya sebagai seorang emak rasa bersalah dan berhutang waktu dengan anak. Waktu yang ada amat terhad untuk memberi tumpuan kepada pelajarannya kerana sebahagian besar waktu saya bekerja. Sepatutnya seorang ibu wajib memberi perhatian terhadap perkembangan anak baik dari segi sahsiah atau akademiknya.

Apa tidaknya, tiba di rumah sudah senja. Banyak mana lagi waktu yang tinggal untuk mengajarnya. Selepas Isyak anak sudah mengantuk.

Ya, Allah ... Engkau tunjukkanlah jalannya agar dapat aku memberi tumpuan kepada anak yang satu ini.

Akhir-akhir ini juga, kerap singgah di fikiran saya untuk berhenti kerja (pencen awal) supaya kebajikan anak terjaga. Saya juga kekadang ada masanya berasa muak dengan kerja yang semakin menekan diri. Mesyuarat dan mesyuarat, juga kerenah pelbagai orang. Cuma yang menghalang saya tidak mengambil keputusan itu adalah kerana 'menjaga periuk nasi'. Walaupun suami masih boleh menampung, kita perlu berjaga-jaga kerana kita tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku pada hari-hari mendatang (perlu ada back-up).

Apa pun, saya sememangnya ada perancangan untuk bersara awal! Pengakuan ikhlas: SAYA SUDAH PENAT BEKERJA!

Sesungguhnya tempat seorang perempuan yang bergelar isteri dan ibu adalah di rumah.

Thursday, July 12, 2012

IKLAN YANG SENTIASA MENIPU

Kalau ditanya iklan apa di media massa yang paling menipu, saya akan jawab, "Iklan sabun basuh pakaian."
Sejak anak saya naik Tahun 1 dan mula memakai pakaian sekolah putih, saya mula lebih prihatin dalam soal mencuci pakaian. Jika sebelum ini saya tidak kisahkan sangat sabun apa yang saya gunakan, tidak berkira dengan jenama, malah suami saya hanya membeli sabun basuh cap Tesco sahaja. Asalkan hilang kotor dan bau.

Namun, dengan pakaian putih, walaupun bau sudah hilang, dan kotor pada hakikatnya sudah tiada, kesannya masih lagi tidak hilang. Degil sungguh. Sejak itu saya mula mencari sabun yang benar-benar boleh menghilangkan kesan degil. Daripada yang murah hingga yang paling mahal jenamanya ...  tapi semuanya tidak berkesan.

Kalau dilihat pada iklan dan keterangan di bungkusan ... ewah bukan main lagi.

Lebih putih daripada putih.
Tidak perlu merendam.
Tidak perlu disental.
Dan macam-macam slogan lagi.

Hampeh! Pembohong besar! Ia hanyalah gimik untuk melariskan jualan.

Kerana tidak perlu menyental dan tidak perlu merendam seperti yang dikatakan sedikit pun tidak berkesan, maka saya rendam dan sental pula. Juga tidak berkesan.

Sekali lagi .... Penipu hangit!

Maka saya gunakan peluntur. Dari jenama Clorox hinggalah entah apa-apa jenama lagi. Namun, kesan degil masih tidak mahu hilang sepenuhnya. Yang hilang adalah warna pada tag nama anak. Saya cuba pula peluntur yang tidak melunturkan warna termasuklah oxygen bleach ... tidak juga berkesan.

Semburan, pre-wash atau pre-laundry juga gagal!

Sudahnya saya tidak lagi peduli pada jenama-jenama tersohor yang menipu ini. Saya kembali kepada jenama biasa dan jauh lebih murah. Kesannya serupa sahaja! Buat apa beli yang mahal kalau hasilnya tiada beza pun. Elakkan pembaziran!

Tuesday, July 3, 2012

MEREKA KAYA MEREKA BERWANG MEREKA HARTAWAN!

Baru-baru ini, adik saya bercerita tentang seorang kenalannya. Kenalan itu katanya, sangat kedekut (bakhil). Kalau ada apa-apa program yang hendak dianjurkan, dia amat berkira dan susah hendak keluarkan duit.

"Tapi dia ni kaya. Sangat kaya," cerita adik saya. Daripada pakaian hinggalah kereta semuanya cabuk!
"Lampu kereta Waja dia dah tampal-tampal selotape, punya kedekut nak tukar lampu baru," cerita adik saya lagi. Kalau lampu baru pun dia amat kedekut nak keluarkan duit apatah lagi kalau hendak tukar kereta baru. Walhal dia lebih daripada mampu untuk menukar kereta buruk kepada kereta yang mewah.

Kemudian adik ipar pula membuka cerita. Di tempat kerjanya ada pasangan suami isteri berpangkat 'Dr' bertaraf jutawan.

"Ooo samalah dengan Dr kat tempat kerja tu. Laki bini memang kaya 'giler'. Dia pernah ugut Tabung Haji kalau tak bagi dia pergi cepat ke Makkah, dia nak keluar semua simpanan dua juta ringgit di Tabung Haji. Tak nak simpan dah di Tabung Haji. Akhirnya dapatlah dia pergi sebab Tabung Haji takut dia keluarkan semua duit yang dua juta tu."

"Yang pelik tu, dia mampu pergi pakej kalau nak cepat. Tapi sebab dia cermat dan berkira, dia nak pergi juga ikut yang muassasah. Dapat pulak tu bila buat ugutan," ujar adik ipar.

"Kereta dia pun macam tulah, bertampal-tampal selotape," sambungnya lagi.

Itu kereta, gajet-gajet yang menjadi kegilaan orang sekarang pun mereka tak pandang. Kalau ada telefon bimbit pun, sekadar model yang biasa-biasa saja, selagi tidak rosak, selagi itu tidak berganti baru.


Saya percaya, kalaulah mereka ini tidak kedekut dan suka membuat amal kebajikan dengan harta kekayaan mereka, barangkali kekayaan mereka tentulah lebih berganda-ganda lagi sebagaimana janji Allah. Kalau tidak pun dengan material, Allah akan gantikan dalam bentuk rezeki yang lain.

Adik ipar saya juga pernah bercerita tentang kenalannya yang lain. Juga pasangan suami isteri. Namun, mereka ini bukan daripada kalangan kedekut. Baik orangnya. Pagi-pagi membonceng motosikal kapcai pergi kerja. Kekadang berkereta.

"Alaa kereta Proton Saga first generation tu je, dia orang tak pernah tukar sejak pertama kali beli," kata adik ipar.

Suatu hari, adik ipar saya berziarah ke rumah pasangan ini. "Mak aiii, besar betul rumah dia. Mewah. Laman pun luas. Macam tak caya je kalau tengok cara hidup dia orang selama ni. Biasa je. Macam tak kena kereta buruk dia parking kat rumah besar macam tu."

Saya membayangkan berapa ramaikah di kalangan masyarakat kita, yang nampak sahaja pandu kereta buruk, berpakaian selekeh, tapi sebenarnya mereka adalah hartawan yang berselindung di sebalik kesederhanaan.


Saya memerhati hati pula rakan-rakan di sepejabat ini. Ya, pendapatan di sini tidaklah banyak mana, sekadar cukup makan. Tapi, penampilan kekadang mengalahkan orang yang bergaji besar. Telefon bimbit model terkini, pakaian baru sering bertukar ganti. Ada yang hampir setiap bulan datang dengan pakaian baru. Ahh, nafsu manusia sentiasa buas. Mahu segala bentuk kemewahan walhal tidaklah mampu mana.

Pernah juga saya memerhati dan juga daripada pembacaan penyelidikan yang dijalankan oleh  pihak tertentu. Golongan yang gilakan gajet-gajet canggih dan sering menukarnya kebanyakannya terdiri daripada golongan yang berpendapat sederhana dan ke bawah. Mereka yang berpendapatan tinggi pula tidaklah terlalu cenderung untuk memilikinya. Ini kerana golongan berpendapatan sederhana ini lebih sukakan hiburan dan banyak masa terluang melayan hal-hal yang tidak berfaedah di telefon bimbit. Sedangkan mereka berpendapatan tinggi, sentiasa sibuk untuk memajukan diri, tiada masa untuk bersenang-lenang menghabiskan masa tidak tentu hala.

Teringat ketika saya mendapatkan rawatan daripada seorang doktor pakar di sebuah pusat perubatan. Terkejut saya melihat telefon bimbitnya ... alahai, telefonnya model yang sudah pupus 'Nokia butterfly'.

Ketika saya membaca pruf buku tulisan Hajah Rohani Datuk Mohd Shahir, Bijak Mengurus Wang saya membuat kesimpulan, bahawa dengan pendapatan sederhana, kita sebenarnya mampu hidup lebih selesa jika bijak berbelanja. Tidak menghabiskan kepada perkara yang tidak perlu seperti telefon bimbit yang tidak berpenghujung inovasinya. Nafsu pula, jika tidak dididik akan sentiasa mahu dan mahu kepada yang tidak perlu itu. Demikian juga pakaian yang lebih daripada cukup dan pastinya akan dihisab kemudian hari.

Ke mana hilangnya sifat qanaah?

Sifat kaya Allah adalah "Allah tidak memerlukan apa-apa kerana sudah memiliki segala-galanya." Begitu juga kita, apabila telah cukup dan memiliki segala keperluan, tidak perlulah lagi kepada benda-benda lain. Misalnya, jika sudah ada pakaian, tidak perlu setiap bulan membeli yang baru. Jika sudah ada telefon bimbit, tidaklah perlu lagi bertukar kepada yang lebih sofistikated selagi tidak rosak.

Islam tidak menghalang kita kaya, malah menggalakkannya. Tapi adakah kebanyakan kita berusaha mencari kekayaan itu? Jawapannya tidak, kerana dapat sahaja gaji, hujung bulan kita sudah kembali miskin kerana membayar hutang itu ini dan berhabisan berbelanja kepada perkara yang tidak perlu.

Sekadar memetik kata-kata Hajah Rohani daripada bukunya Bijak Mengurus Wang:
"... kita ini asyik hendak membeli, berbelanja, menghambur-hamburkan duit dan harta yang dititipkan Allah SWT kepada kita ini, kaya atau tidak? Jauh sekali, bukan? Semakin bertambah kemampuan kewangan kita, semakin bertambah pula kemahuan kita. Jangan sampai ada orang yang kalau boleh mahukan semua barangan terkini yang diiklankan. Lebih-lebih lagi telefon bimbit, memang susah hendak dapat yang terkini. Baru sahaja beli yang baru, sudah keluar model yang terkini!"




Thursday, June 14, 2012

CUTI SEKOLAH

Anak-anak yang dibawa bercuti tiap kali cuti persekolahan memang beruntung. Ibu bapa mengambil cuti kerja untuk membawa keluarga makan angin. Paling tidak pun balik kampung menziarahi atok dan opah.

"Mak, jom balik kampung nak? Ammar dah rindu sangat dengan Tok Nye. Boleh main sungai," kata Ammar.

Aduh! Kasihan sungguh anak saya itu. Dia antara anak yang tidak pernah berpeluang bercuti ke mana-mana. Tiap kali cuti sekolah, ketika itulah saya 'dilanda' kerja yang mustahak. Tidak memungkin saya mengambil cuti. Ayahnya juga begitu.

Dia tidak meminta ke tempat-tempat percutian yang 'fancy'. Sekadar balik kampung, atau ke padang main layang-layang sudah memadai untuk riang ria.

Alahai, banyak sungguh dosa kami suami isteri kepada anak yang seorang ini. Tuntutan naluri anak tidak dapat kami penuhi, sebagaimana ibu bapa lain.

Ketika cuti sekolah baru-baru ini, saya menghantar SMS kepada suami yang ketika itu berada di Bangkok. Apabila pulang nanti, tolong rancang untuk bawa anak jalan-jalan sempena cuti sekolah. Malangnya tuntutan kerja menyebabkan pemergiannya ke Bangkok berlanjutan hingga habis cuti sekolah.

Mahu tidak mahu, kerana tidak mahu mengecewakan anak. Saya mengambil cuti, dan meninggalkan kerja mustahak yang belum siap. Saya serahkan baki kerja yang belum siap kepada bos. Mujur saya mempunyai bos yang baik hati. Cuti diluluskan. Terima kasih.

Cuti tiga hari yang tidak seberapa, saya gunakan untuk menggembirakan anak.

Tengok Madagascar 3 (3D) salah satu agenda. Ketika tiba di 1U, terserempak pula dengan kawan lama anak saya semasa di Tadika Hasanah bersama ibunya. Oh rupa-rupanya nasib anak-anak kami serupa. Ibu kepada kawan anak saya itu mengambil cuti hari itu kerana kasihankan anak-anak yang tidak sempat dibawa bercuti. Melompat kegembiraan anaknya apabila tahu Mama mereka cuti dan membawa mereka bermain di 1U.

Saya juga turut membawa Ammar dan anak-anak saudara (yang baru pulang bercuti di kampung) ke tempat rekreasi Nur Laman Bestari di Ulu Yam untuk mandi sungai. Terloncat-loncat keseronokan apabila anak saya tahu dapat mandi sungai. Saya juga lapang kepala apabila ke sini ... berasa lebih tenang apabila dekat dengan alam semula jadi ciptaan Tuhan. Airnya dingin jernih, udara nyaman dan pepohonan yang hijau.

Menjelang tengah hari dan apabila pengunjung semakin ramai, kami berangkat pulang.


Anak-anak sebenarnya tidak meminta yang lebih-lebih. Mereka hanya mahu bersama keluarga dan mencipta kenangan bersama. Seboleh mungkin, kita sebagai orang tua, cubalah memenuhi tuntuan dan hak mereka. Waktu inilah kasih sayang perlu kita tumpahkan sepenuhnya, apabila anak-anak besar kita tidak berpeluang lagi untuk melakukannya lantaran anak-anak pun tentunya sudah ada keluarga sendiri dan kita pula sudah tua tidak berkudrat lagi untuk ke sana ke mari kalaupun belum kembali ke alam baqa.

Tuesday, June 5, 2012

NILAI SEBATANG GIGI

"Mak Ammar rasa dah tak tahan dah sakit gigi goyang ni. Susah nak makan," adu anak saya. Giginya sedikit pun tidak rongak. Sekadar bergoyang kerana gigi kacip kekal sudah mula tumbuh. Jadi gigi susu itu perlu dicabut bagi memberi ruang kepada gigi baru untuk tumbuh sempurna.

Dua batang perlu dicabut.

"Dah tak nak tunggu Papa balik ke?" Ayahnya sehingga ke hari ini (hampir sebulan) berkhidmat di Universiti Chulalongkorn.

"Tak nak. Dah sakit sangat."

Sebelum ini dia mahu ayahnya mengikut sekali.

"Mak tunggu Papa balik tau. Ammar takut sangat cabut gigi ni."

Dua minggu dia menunggu, ayahnya tunda tarikh balik menjadi tiga minggu kerana kerja belum siap. Dari tiga minggu dilanjut tarikh hingga sebulan, tak balik-balik menyebabkan jadual hidup dan kerja saya menjadi sedikit lintang-pukang kerana semua perkara perlu saya uruskan sendirian, khasnya soal anak.

Akhirnya Ammar sudah tidak tahan lagi dengan keadaan giginya.

Saya membawanya ke sebuah klinik gigi yang tidak jauh dari rumah Emak.

Melangkah masuk sahaja, sudah dapat diagak, tempatnya eksklusif.

"Selamat pagi," ucap penyambut tetamu.

Saya sekadar mengangguk dan senyum.

"Nak cabut gigi goyang anak saya. First timer."

"Lambat sikit ya puan. Sebab dah ada patient yang datang untuk appointment."

"Okey."

Lalu dia mengeluarkan senarai harga rawatan yang di'laminate' seperti senarai menu di restoran.

"Puan harga cabut sebatang gigi kanak-kanak antara enam puluh lima ringgit ke seratus dua puluh ringgit, ya."

Barangkali dia perlu menyebutnya agar saya tidak terkejut. Sebelumnya saya lihat ada pesakit bertanyakannya di mana ada ATM untuk dia mengeluarkan duit bagi membayar kos rawatan.

"Okey," jawab saya lagi. Tapi ini pula monolog saya dalam hati, 'Mak aiii, mahal gila. Itu gigi yang dah goyang, tak payah mana pun nak cabut. Gigi kacip aje pulak tu.'

Agaknya yang bernilai RM120 sebatang itu adalah gigi geraham!

Di bilik rawatan, Ammar meronta-ronta. Meraung-raung. Doktor pun diterajangnya.

'Ek eleh,' bisik hati saya. 'Hilang habis macho.'

"Okey, okey sikit saja. Doktor letak ubat saja, lepas tu boleh balik rumah," kata doktor Cina wanita yang merawat. Tangannya pantas mencabut gigi. Saya pun tidak sedar bila dia mencabutnya. Memang cekap.

"Mari sini, dekat sini," kata doktor lagi sebaik selesai mencabut gigi. Ammar masih menangis.

"Nah, doktor mau bagi hadiah. Tengok sini pilih mana satu suka." Anak saya tidak peduli kerana melayan tangisnya.

"Okey, doktor bagi Ironman la," kata doktor itu menghulurkan sticker Ironman. Dalam lacinya penuh dengan bermacam sticker bagi memujuk pesakit 'bermasalah' seperti anak saya.

Di kaunter bayaran, pembantu doktor keluar menghulurkan dua batang gigi yang dicabut untuk dibuat kenangan.

"Puan, cabut dua batang gigi, semunya seratus tiga puluh ringgit," kata penyambut tetamu tadi.

"Visa, boleh?"

"Visa boleh," jawabnya senyum.

Lalu saya hulurkan kad debit kepadanya.

Alahai, mahal sungguh rawatan gigi.

Dua orang anak saudara pernah mencabut gigi di tempat yang sama beberapa tahun sudah. Ketika itu nilai cabut sebatang gigi kanak-kanak RM50. Hari ni sudah naik RM15 menjadi RM65 sebatang.

Teringat saya sewaktu  melanjut pelajaran Sarjana di UM dahulu. Saya manfaatkan sungguh-sugguh rawatan gigi percuma bagi para pelajar. Saya tidak jemu mendapat rawatan di Fakulti Pergigian. Dari mencuci hinggalah menampal. Apabila saya mencongak kosnya jika dibuat di klinik swasta, nilai keseluruhannya mencecah empat angka.

Kepada pelajar-pelajar IPTA di luar sana, rugilah jika anda tidak mendapatkan rawatan gigi secara percuma yang disediakan pihak universiti. Rebutlah peluang yang ada sebelum anda melangkah ke alam pekerjaan yang serba-serbi mahal!

Tuesday, May 29, 2012

PENAT

Penat melunaskan kerja-kerja Pesta Buku sudah berlalu. Dua minggu lepas saya penat pula berulang-alik menjemput anak pulang dari sekolah. Selalunya saya bergilir hari dengan suami menjemput anak dari sekolah. Tetapi kerana suami saya tidak berada di dalam negara waktu ini, maka dua minggu lalu saya terpaksa melakukannya seorang diri berkejar di celah waktu kerja menjemput anak dari sekolah dan menghantarnya ke rumah neneknya.

Mujurlah minggu ini sudah mula cuti sekolah, tidaklah saya terkejar-kejar. Namun saya terpaksa membawa anak ke tempat kerja kerana neneknya pula balik kampung. Hendak dihantar ke tadikanya dulu, dia tidak mahu. Apa boleh buat. Terpaksalah membawanya sekali ke pejabat.

Di pejabat, sesekali saya perlu mencarinya di sekitar pejabat kalau-kalau mengganggu orang bekerja. Menjelang tengah hari tadi saya berjumpa anak saya sedang lepak-lepak di bilik Pengarah Urusan. Alahai. Dahulu pernah Pengarah Urusan main kejar-kejar dengan anak saya kerana dia melarikan tin biskut Tuan Pengarah dan menyorokkannya.

Saya membawa bekalan buku dan mainan dari rumah untuk melekakannya di pejabat, tetapi sekejap sahaja dia melayannya.

Rakan-rakan sepejabat pula ada yang rajin melayannya (termasuk Pengarah Urusan). Itulah sebabnya anak saya makin naik tocang.

Walaupun perangai anak kekadang membuatkan saya berasa malu, apa boleh buat. Itulah namanya kanak-kanak yang belum mumaiyiz, belum kenal baik buruk akan tindakannya.

Bagi ibu bapa yang punyai anak yang belum bersekolah atau masih berada di tadika, bolehlah dikatakan masih 'lapang' walaupun sebenarnya tidak. Apabila anak mula melangkah ke alam sekolah rendah, percayalah, hidup anda akan jadi bertambah lintang-pukang.

Melihat keadaan rumah dan anak yang tidak terurus sempurna, hasrat untuk jadi suri rumah sepenuh masa semakin kerap singgah di fikiran. Kekadang saya berasa sungguh penat bekerja dan ada juga berasa bosan. Mahu tinggal saja di rumah uruskan rumah tangga.

Entah ke mana perginya tuan punya mainan ini!

Tuesday, May 15, 2012

EMAK SAYA TAK SUKA 'HARI IBU'

Dalam sibuk kita meraikan Hari Ibu, emak saya adalah antara segelintir ibu yang tidak suka menyambutnya. Jadi dia tidak ambil kisah sangat akan Hari Ibu yang dianggap istimewa bagi kebanyakan wanita yang sudah bergelar ibu dan juga bagi anak-anak yang meraikannya bersama ibu masing-masing.

Bagaimanapun, kami adik-beradik ada juga berkongsi belikan hadiah untuk Emak.

Pernah juga Emak mendapat tokoh 'Ibu Mithali' yang dianjurkan oleh masjid berdekatan rumahnya. Entah siapa yang mencalonkannya. Emak tetap pergi menerima hadiah, tetapi tidaklah teruja mana pun.

Baru-baru ini ketika sebuah stesen TV menyiarkan kisah derita ibu yang terlalu rindukan anak yang sudah sekian lama tidak pulang, Emak sedikit cuak menontonnya.

Memang benar anak tidak boleh sedikit pun menyakitkan hati ibu, tidak boleh derhaka kepada orang tua. Itu tidak dinafikan. Bagaimanapun, Emak saya mempunyai pandangan berbeza.

Kata Emak, "Jangan diungkit kebaikan kita (ibu) menjaga anak-anak. Jangan ungkit susah payah membela dan membesarkan anak. Sebab itu sudah menjadi tanggungjawab, amanah yang wajib dipikul. Tidak mengapa kalau anak tidak menghargainya. Tanggungjawab ibu tidak berkesudahan selagi ada hayat. Adalah menjadi tugas ibu untuk mendoakan, memaafkan dan mengampunkan anak-anak walaupun anak tidak datang meminta maaf. Kalau ada anak yang tidak menjadi seperti yang diharapkan, maafkan sahaja. Jangan ditambah lagi dosa anak kepada kita hanya kerana mereka tidak menghargai kita. Halalkan semua."

Oh! Sungguh mendalam kata-kata Emak walaupun diucapkannya secara bersahaja ketika memberi komen kisah ibu tua yang sedang disiarkan di TV.

Saya memasang telinga, menghargainya dan akan cuba menjadikannya azimat. Yang pasti, saya tidak mampu menjadi sebaik Emak dalam membesarkan anak (malah dalam semua hal rumah tangga). Entah berapa kali sepanjang hidup ini saya menyakitkan hatinya dengan perangai-perangai yang tidak elok khasnya ketika di alam remaja.

Hanya doa dan amalan baik sahaja yang menjadi hadiah terbaik saya untuknya.

Wednesday, May 9, 2012

CORAT-CORET PESTA BUKU ANTARABANGSA 2012

Pesta Buku Antarabangsa 2012 baru sahaja berlalu. Alhamdulillah, sambutan pengunjung di booth Galeri Ilmu Sdn Bhd lebih baik berbanding tahun sudah.

Tahun ini kami berjiran dengan PTS dan kami saling sokong-menyokong mempromosi produk melalui PA system masing-masing.


CORETAN 1
Ada beberapa ketika, stok buku kami terputus bekalan.

"Kak, saya nak buku Prof. Kamil, kat mana ya. Tak nampak pulak?" tanya seorang pengunjung.

"Alamak, dah sold outlah dik," jawab saya.

Datang pula pengunjung yang lebih tua.
"Dik, buku Bersyukur Saat Diuji ada tak?"
"Minta maaf banyak-banyak kak, stok dah habis."
"Bila nak ada?"
"Saya tak berani nak jawab, kami pun sedang menunggu stok sampai ni."

Bertanya lagi pengunjung lain.
"Buku Prof Kamil yang mana satu ye?"
"Kalau kat sini Bersyukur Saat Diuji. Kalau judul-judul lain kat PTS, kat depan tu je," jawab saya sambil menuding jari hala ke susunan buku motivasi PTS yang hanya beberapa langkah dari gerai kami.
"Saya nak buku dia yang terbaru. Lupa pulak judulnya."
"Bersyukur Saat Diujilah tu. Tapi dah sold out."
Saya mengulangi jawapan yang sama. Entah berapa kali saya menjawabnya kepada pengunjung yang kecewa.

"Saya nak buku Bersyukur Saat Diuji," tiba-tiba ada suara menyapa di belakang saya.
"Maaflah puan, buku Prof Kamil dah habis."
"Ooo tak pa, tak pa. Tak da rezeki sayalah tu.
"Tu lah, ramai sangat dah tanya. Saya pun dah malu dengan Prof (walaupun Prof nun jauh di Madinah)."
"Eh ... tak pa. Kalau siapa yang baca blog dia takkan mengamuk. Hati jadi tenang."

Ya itu bagi pengunjung yang faham dan mengerti dengan 'ujian' sebagaimana yang Prof. Kamil nukilkan dalam tulisannya Bersyukur Saat Diuji.

Ada juga pengunjung yang tidak mengerti, "Habis tu, bila nak ada stok ni? Saya datang dari jauh semata-mata nak beli buku tu, tau tak?"

Ooo sabar sajalah.

CORETAN 2
"Mmmm dik, Galeri Ilmu ni buat buku apa ye?"

"Buku Islami. Motivasi ada, pengetahuan Islam ada. Kanak-kanak ada. Kalau yang ada kat sini, buku motivasi. Yang pasti semua halalan toyyiban," terang saya yang menjaga seksyen buku motivasi.

"Dulu saya suka baca buku Tuah Iskandar. Saya buat koleksi buku dia."

"Oh tu terbitan Karangkraf. Karangkraf kat dewan sebelah ni je kak. Boleh lalu pintu sana."

"Tak ... saya dah tak nak baca buku dia. Dah banyak sangat baca, saya rasa macam biasa je. Benda sama, dah tak ada kelainan. Dah bosanlah," katanya sambil membelek dan menyelak buku kami.

"Mmm, gitu! Kat sini kalau orang perempuan, banyak beli buku ni," kata saya sambil menyuakan buku Bukan Sekadar Resipi tulisan Puan Roza Roslan, isteri tercinta Prof Kamil.

"Tak naklah buku resipi, saya nak buku motivasi."

"Eh, ni bukan buku resipi, sebab tu judulnya Bukan Sekadar Resipi. Kalau akak tak ambil sekarang, kejap lagi habis stok. Saya pun tak pasti bila stok baru sampai." Saya tidak menipu akan hal ini! Stok memang terhad dan banyak orang datang membelinya.
Matanya melilau kepada pengunjung-pengunjung lain yang pasti mencapai dan membeli buku tersebut.

"Buku ni ada cerita, bukan resipi. Resipi tu hujung-hujung je, sampingan. Cerita dia memang best. Ada yang kena-mengena dengan kita.
"Ooo ye ke," komennya ringkas sambil membelek-belek buku Bukan Sekadar Resipi. "Ehh, jap tadi saya nampak ada resipi tosai. Saya suka makan tosai. Banyak kali dah cuba tapi tak jadi. Nak makan yang orang India buat, tak lalu pulak." Tangannya pantas menyelak-nyelak helaian buku itu mencari bab Tosai.

"Okeylah dik, saya ambil buku ni."

"Tak rugi kak beli. Insya-Allah.

"Mmm, dik, awak ni jurujual yang berkesan."

Saya sekadar menyengih. 'Aku bukan jurujual yang rasmi,' bisik saya dalam hati.

CORETAN 3
"Kak, kat Galeri Ilmu buku motivasi apa yang best?" soal seorang wanita muda sambil duduk bersila di hadapan rak buku-buku baru. "Aduh, penatnya. Saya duduk macam tak pa ya!"

"Kalau saya, semuanya best. Saya tak berani cakap. Kalau saya kata best, mungkin awak tak tak best."

"Betullah kak, dulu orang berebut-rebut beli buku La Tahzan. Saya pun beli juga. Tapi bila beli, saya tak boleh bacalah kak, berat sangat. Saya simpan je buku tu. Saya tak suka buku-buku berat. Kalau yang ada banyak ayat Quran, saya jadi pening.

"Kalau nak ringan, buku nilah," kata saya menunjukkan buku Hai, Darling!.

"Kak, ni sambungan I Love You Too! ke?"

"Ye."

"Yea, best ni. Tahun lepas saya beli. Saya baca habis. Saya suka sebab ringan ada kartun-kartun."

"Penulis dia ada kat sini kejap tadi. Entah mana pulak perginya."

"Eee syoknya. Saya nak tandatangan dia."

'Laaa mana pulak perginya Haji Bad ni, ada peminat nak tandatangan.' Mata saya melilau mencari kelibat si penulis. Sekelip mata hilang.

"Maaflah dik, entah ke mana dia pergi."

"Alaaa, kak carilah dia."

Puas saya mencari di sekitar gerai, tapi tak ada. Barangkali merayau ke gerai-gerai lain.

"Alaaaa," keluhnya lagi.

"Kak, buku ni pasal apa?" soalnya lagi. Di tangannya kini buku Berdua Lebih Baik.

"Pasal macam mana nak cari jodoh. Kalau rasa jodoh berat tak sampai-sampai, haaa elok sangat baca buku ni. Dia ajar macam mana nak dapat jodoh."

"Haaa ... akulah tu ... eh, kak, sayalah tu. Berat nak baca ke buku ni?"

"Sederhana. Tapi kalau hendak seribu daya ... kan?"

"Betul, betul, betul ... " katanya memimik Upin dan Ipin.

"Yang ni pulak buku apa?" Buku Berdua Lebih Baik diletak ke atas riba. Kini dia memegang buku Cinta Tiga Rasa.

"Ooo buku ni, pasal peranan wanita sebagai isteri, ibu dan hamba Allah. Tapi bahasanya santai. Ringan je, gaya bercerita," terang saya.

"Eh, semuanya macam best jek. Macam mana ni kak? Yang mana satu saya nak beli?"

"Beli semualah."

"Mana boleh, kak. Alaf 21 saya tak pergi lagi ni. Bawak duit ciput je."

"Macam nilah. Buku Hai, Darling! Definitely awak suka. Beli je. Satu lagi ambil Berdua Lebih Baik. Amalkan apa yang diajar. Lepas tu, bila dah bertemu jodoh, baru beli Cinta Tiga Rasa. Sebab dia kisah selepas berumah tangga. Okey ke gitu?"

"Oh, okey sangat."

Saya terasa geli hati. Macam-macam perangai dan gelagat pengunjung boleh disaksikan di Pesta Buku.
Akhirnya dia meletak kembali buku Cinta Tiga Rasa ke atas rak dengan hati yang berat.

Tiga coretan ini cuma sebahagian coretan yang variasi di Pesta Buku. Amat meriah. Memenatkan, tapi kami gembira.

Friday, April 20, 2012

TEPU

Alhamdulillah ... kerja-kerja perit dan renyah untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 telah berkahir, maka saya bercadang mencoret sesuatu di sini sebagai post terbaru.


Malangnya, jenuh berfikir tidak ada isu menarik hendak ditulis. Otak saya tepu dek memfokus kerja dalam tekanan. Oooh otak saya perlu recharge!


Huwaaaa!!!!


Sekian, terima kasih.