Tuesday, March 30, 2010

YANG PALING AKU BENCI DI PWTC

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ke-29 melabuhkan tirainya pada Ahad lalu. Tahun ini memang ‘happening’.

Memang amat memenatkan, tetapi rasa gembira tetap ada.

Apa pun, ada satu perkara yang paling aku benci. Dah tiga tahun berturut-turut kami berkampung 10 hari di PWTC. Memang aku benci sungguh tentang satu perkara ini.

Jamban!

Minta maaflah kali ini bahasa aku agak kasar. Bahasa tulisan pun agak ‘pasar’. Dan membahasakan diri pertama ini dengan ‘aku’. Dan tandas atau bilik air aku gunakan istilah ‘jamban’ instead of tandas. Ini kira dah geramlah ni.

Sejak sekian lama dibina, ‘kecanggihan’ jambannya tak berubah-ubah sejak dulu. Teknologi dan tamadun orang UMNO gamaknya, dah bangunan pun diorang yang punya. Tak syariah compliant langsung.

Satu-satunya jamban yang memenuhi keperluan orang Islam ada di surau. Itu pun ada dua sahaja. Empat termasuk jamban di surau lelaki. Ada hose memudahkan orang Islam membersih diri. Itu pun, menjelang tengah hari air di lantai tandas surau ini berladung, bertakung dan bergenang ... sungguh menjijikkan dan menggelikan! Bak kata seorang teman, “Engko boleh berenang dalam air tu.”

Sudahlah begitu, pintu jamban surau ni pun dah reput dan seakan mahu tercabut. Bukan pintu jamban aje, pintu surau pun serupa. Dah tak hidraulik. Tempat letak kasut pun dah uzur.

Hellooooo....Pak Jib (PM kita ni) tak nak ambik tau ke masalah ni demi keselesaan rakyat jelata. Mana pergi 1 Malaysia tu, rakyat diutamakan, pencapaian didahulukan. PWTC tu kan ke you all yang punya! Masalah nampak remeh tapi besar impaknya pada orang ramai.

Tak hairanlah apabila seorang teman yang juga wartawan, apabila berlangsung perhimpunan UMNO, katanya ada makcik-makcik dari kampung yang tak reti guna jamban. Malah katanya ada yang ‘membuang’ di lantai....ohhhh tu dia!

Selain jamban surau, jamban-jamban lain .... fuh jangan dikenang. Kalau nak cuci diri tekan punat di dinding dan air memancut dari saluran mangkuk jamban. Kalau nasib baik, air tu kena direct ke sasaran. Tapi kebanyakannya tak kena sasaran sebab saluran air tu dah senget, bengkok, kemek yang menyebabkan alirannya tak berapa padu dan lari.

Sapalah bikin jamban tu? Sapa punya idealah ‘cerdik’ benar? Apa, korang ingat punggung tiap orang tu free saiz ke macam baju? Ssemua sama saiznya?

Beberapa kali ketika di dalam jamban, saya dengar orang menyumpah-nyumpah tandas bangunan UMNO ni. Satu ketika lain, terdengar orang menjerit di bilik jamban selang beberapa pintu, ooooh rupanya dia tersalah tekan punat. Hendak tekan pam tertekan punat di dinding. Lalu air memancut dari saluran mangkuk tandas dan terkena pakaiannya. Kalau aku sendiri yang kena, pun aku akan menyumpah-nyumpah seperti itu.

Lagi satu, saya tak dapat bayangkan kalau ada mak-mak yang hendak membasuh berak kencing anak...macam mana ye? Kena bawa gayung atau botol air mineral sendirilah agaknya untuk tadah air. Memang menyeksakan.

Tu pasal kekadang aku sanggup lari ke seberang jalan bayar 20 sen masuk jamban Hentian Putra daripada menyeksa diri di jamban PWTC.

Aku yakin datuk-datuk, datin-datin dan sekalian VIP UMNO pun tak selesa dengan jamban ini. Ngaku je la!

Tak taulah kalau korang beristinjak dengan kertas tisu yang disediakan tu.

Hellooo, kita ni orang ISLAM, kita ni orang ME-LA-YU! Sampai bila nak guna jamban macam tu? Dalam hal ni, kita tak boleh nak '1 Malaysiakan'. Orang bukan Islam bolehlah guna tisu, tapi orang Melayu lebih-lebih lagi orang Islam guna air. Air yang ada tu, tak sesuai walapun air mutlak sebab pancutannya kena ke lain. Kekadang tak memancut pun.

Rugi pulak aku tak bawak kamera ambik gambar-gambar bukti untuk dimuatkan kat sini.

Thursday, March 18, 2010

BUKU-BUKU PILIHAN DI KLIBF 2010

Jika ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC yang bermula esok Jumaat 19-28 Mac ini. Jangan lupa singgah di gerai Galeri Ilmu. Booth kami bernombor:

B-01 di ruang legar.



Insya-Allah, diskaun menarik menanti pengunjung! Buku-buku baru terbitan Galeri Ilmu semuanya menarik. Suka saya syorkan buku-buku kegemaran dan menjadi pilihan saya.



NOVEL AWAL REMAJA





Entah kenapa saya rasa jalan cerita PUTU MAYAM SATU! ini terlalu 'cute'. Ceritanya menarik dan mudah dihadam kanak-kanak di peringkat sekolah rendah.



NOVEL REMAJA





Amat sesuai untuk bacaan remaja peringkat menengah. Sesuai dengan jiwa remaja yang sering dilanda konflik diri.






NOVEL DEWASA




Oooo yeah DINGIN SALJU INDIANA & PERINDU PELANGI merupakan dua novel terbaik pada pandangan saya. The best among the best.




BUKU DEWASA (UMUM, MOTIVASI, AGAMA)


Saya cukup syahdu membaca memoir Pak Nora ini. Pengalamannya, suka dukanya menjadi sebahagian latar hidup beliau di Kuala Lumpur--cukup menginsafkan.







Lagi karya Ustaz Cinta (Hasrizal Abdul Jamil/Saifulislam.com). Antara MURABBI CINTA (ATN 3), saya lebih menyukai SECANGKIR TEH PENGUBAT LETIH. Suka dukanya sepanjang menghuni bumi Turki benar-benar membuka mata pembaca.


100 KISAH KEHIDUPAN merupakan Chicken Soup For The Soul versi Melayu. Himpunan kisah-kisah benar yang menyentuh, membelai dan menjernihkan jiwa. Sesiapa yang tidak suka bacaan berat, maka 100 KISAH KEHIDUPAN ini amat sesuai untuk anda. Ia bacaan santai namun sarat dengan pengajaran.

Sunday, March 14, 2010

DI SEBALIK TABIR MENJELANG KLIBF 2010

"Ustaz Hasrizal dah promot 'Murabbi Cinta' kat blog dia. Bukunya tak siap lagi. Ya Allah, tertekannya aku ... " ujar Nasri rakan sekerja di Jabatan Buku, Khamis lalu. Jelas, dia cukup stres kerana 'Murabbi Cinta' merupakan manuskrip terakhir tiba di Jabatan Buku.



Sebelum itu saya sudah diberikan sebahagian kandungan buku tersebut untuk disunting. Sebahagian lagi belum tiba ke tangan editor daripada penulis. Saban hari Nasri mengejar 'Ustaz Cinta' itu untuk bertanyakan progres. Dan Ustaz pula merupakan antara orang yang paling sibuk di dunia. 'Keberadaannya' di serata Malaysia dan di luar Malaysia.



Dalam kesibukan kerja sendiri saya mencari celah juga untuk menyunting 'Murrabi Cinta'. Justeru, saya mohon maaf kepada Ustaz Hasrizal andai masih terdapat 'typo error' dan sebagainya, kerana kami tidak punya waktu secukupnya untuk menyemak detail manuskrip itu. Waktu terlalu suntuk.



Secara peribadi saya merasakan kebarangkalian untuk buku ini ada di booth Galeri Ilmu pada hari pertama Pesta Buku 'tidak dijamin' (mungkin masih dalam proses cetak). Para peminat Saifulislam.com barangkali akan menanyakannya pada hari itu.



Betul, untuk memproses buku bukan kerja mudah.


Sungguh untuk memproses manuskrip hingga menjadi buku bukan kerja mudah. Perlu disemak berkali-kali bagi menjaga piawai. Sangat-sangat tidak digalakkan menghantar manuskrip menjelang saat akhir Pesta Buku kerana ‘waktu selesa’ untuk menyemaknya bukan lagi tinggal nyawa-nyawa ikan, bahkan sudah separa nazak! Justeru untuk menyemak kesilapan hampir pasti tiada.


Jika Nasri tertekan dengan Murabbi Cinta, saya cukup tertekan dengan buku kanak-kanak Siri Mari Berfikir yang terdiri daripada lima buah judul. Biarpun siri ini siap lebih awal daripada Murabbi Cinta, Mari Berfikir amat rumit untuk disiapkan.


Memproses buku kanak-kanak jauh lebih susah berbanding buku dewasa. Hanya 24 halaman dan nampak sangat mudah, tetapi hakikatnya buku kanak-kanak sangat rumit untuk dizahirkan, lebih-lebih lagi jika terdapat banyak gambar dan ilustrasi.


Berbulan-bulan saya meneroka dan mengembara ke alam siber mencari imej yang sesuai dan perlu. Perlu pula meneliti satu persatu syarat royalti dan hak cipta. Untuk membeli imej pula menelan belanja beratus-ratus dolar Amerika. Maka mahu tidak mahu saya terpaksa mencarinya di laman web public domain.


Kemudian, terpaksa pula bergelut dengan kerenah artis freelance. Dari sehari ke sehari, dari seminggu ke seminggu, akhirnya dari sebulan ke sebulan saya menunggu ilustrasi yang tak kunjung siap. Hinggakan lima buku ini mengambil masa setahun untuk disiapkan, walhal sebaik berakhirnya Pesta Buku 2009 tahun lalu saya terus menyerahkan ke DTP untuk proses perekaan.


Untuk mencari artis lain pula agak payah kerana ada beberapa ilustrasi telah siap. Jika dicari artis lain, nanti stroke lukisannya tidak selaras, menjadikan buku itu kelihatan janggal.


Saya sebenarnya sudah serik untuk menguruskan buku kanak-kanak.


Saya juga agak stres sewaktu membawa pulang senaskhah galei untuk disemak. Bahagian-bahagian yang telah saya tandakan dengan label kuning 'stick on note' untuk pembetulan, telah dibuang oleh anak. Menyukarkan saya mengesan bahagian-bahagian yang perlu dibetulkan. Maka saya terpaksa menyemak galei itu semula dari awal. Mengulang baca entah untuk kali ke berapa!

Jika editor-editor buku tertekan dengan deadline yang menghimpit, saya rasakan para artis grafik di Jabatan Khidmat Media (a.k.a DTP) lebih jauh tertekan kerana merekalah yang memegang baton terakhir untuk menyiapkan segala-galanya sebelum material buku dihantar kepada pencetak.


Mereka bukan sahaja perlu menyiapkan kerja-kerja perekaan buku, tetapi juga dua majalah, di samping kerja-kerja dari luar. Bermalam-malam tidak tidur. Kerja-kerja dibawa pulang ke rumah untuk disiapkan. Berhari-hari kerja lebih masa di luar waktu pejabat. Korbankan waktu rehat.


Satu-satunya artis grafik perempuan Che Su (a.k.a Ju), rasa saya tentu lebih terbeban. Di rumah bukan sahaja perlu menyiapkan kerja pejabat, malah sebagai ibu dan isteri dia perlu juga menyiapkan kerja rumah (memasak dan sebagainya).


Masing-masing keletihan, jika diperiksa darah barangkali ada yang tekanannya meningkat dek berdepan stres.


Apa pun saya mengharapkan KLIBF 2010 ini akan berlangsung dengan baik. Baik kami sebagai penerbit, mahupun para penulis sendiri, doa-doakan, dan bersolat hajatlah banyak-banyak agar booth Galeri Ilmu Sdn. Bhd. mendapat sambutan dan kami dapat memberikan yang terbaik untuk pengunjung.


Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada semua yang ada di DTP yang bertungkus-lumus menyiapkan buku-buku terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. Semoga Allah Taala memberikan pulangan yang setimpal untuk anda. Amin!


Juga terima kasih diucapkan kepada Nasri kerana sudi mengambil alih tugas saya untuk memantau kerja-kerja akhir buku Rumahku Ofisku sewaktu saya pulang ke KB Jumaat lalu untuk urusan keluarga.


Kepada semua penulis, saya mohon maaf bagi pihak Jabatan Buku dan Jabatan Khidmat Media jika ada kekurangan (saya yakin ada) di dalam buku anda kerana faktor masa yang tidak mengizinkan, juga di atas kelemahan diri sebagai manusia yang serba kekurangan. Moga tidak serik untuk menulis buku lagi untuk Galeri Ilmu.


Segala yang baik itu datang daripada Allah Taala dan segala kelemahan itu datang daripada kami. Wallahu’alam.

Thursday, March 4, 2010

AKHIRNYA SEMUA MATI

Saya baru menerima e-mel daripada adik yang 'memforwardkan' karangan. Barangkali ditulis oleh seorang budak sekolah. Memang lucu. Khayalan ceritanya tidak ubah seperti anak saya yang memang kuat berimaginasi. Bezanya, anak saya belum pandai meluahkan ceritanya dalam bentuk penulisan. Cuma pandai menyampainya dalam celoteh yang pelat.

Apa pun saya perturunkan karangan murid itu di sini. Walaupun lucu, saya tetap tabik spring dengan karyanya. Mungkin markah daripada cikgu tidak seberapa, tetapi siapa tahu, dewasa kelak dia boleh menghasilkan karya-karya hebat seperti Dean Koontz atau Stephen King. Mereka ini mempunyai daya imaginasi yang tinggi.

Saya sendiri tidak mampu mencipta karya sedemikian.

Selamat membaca dan terhibur. Anda sendiri bolehlah menilainya.

Pagi itu pagi minggu. Cuaca cukup sejuk sehingga mencapai takat suhu beku. Sebab itu saya tidak mandi pagi sebab air kolah jadi air batu dan air paip tidak mahu keluar sebab beku di dalam batang paip.
Pagi itu saya bersarapan dengan keluarga di dalam unggun api kerana tidak tahan sejuk. Selepas itu emak saya mengajak saya menemaninya ke pasar. Tetapi saya tidak mahu. Selepas emak menikam perut saya berkali-kali dengan garfu barulah saya bersetuju untuk mengikutnya.
Kami berjalan sejauh 120 kilometer kerana pasar itu letaknya 128 kilometer dari rumah. Lagi 8 kilometer nak sampai pasar saya ternampak sebuah lori kontena meluru dengan laju dari arah belakang. Dia melanggar emak saya. Emak saya tercampak ke dalam gaung.
Dia menjerit “Adoi!”. Lepas itu emak saya naik semula dan mengejar lori tersebut. Saya pun turut berlari di belakang emak saya kerana takut emak saya melanggar lori itu pula. Pemandu lori itu nampak kami mengejarnya. Dia pun memecut lebih laju iaitu sama dengan kelajuan cahaya. Kami pula terpaksa mengejar dengan lebih laju iaitu sama dengan dua kali ganda kelajuan cahaya.
Emak saya dapat menerajang tayar depan lori itu. Lori itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan lalu bertembung dengan sebuah feri. Feri itu terbelah dua. Penumpang feri itu yang seramai 100 orang semuanya mati.
Pemandu feri itu sangat marah. Dia pun bertukar menjadi Ultraman dan memfire pemandu lori Pemandu lori menekan butang khas di dalam lori dia..lori itu bertukar menjadi robot Transformer. Mereka bergaduh di udara.
Emak saya tidak puas hati Dia pun terus menyewa sebuah helikopter di Genting Highlands dan terus ke tempat kemalangan. Dia melanggar pemandu feri yang telah bertukar menjadi Ultraman itu. Pemandu feri itu terkejut dan terus bertukar menjadi pemandu feri semula lalu terhempas ke jalanraya. Pemandu feri itu pecah.
Pemandu lori sangat takut melihat kejadian itu. Dia meminta maaf dari emak saya. Dia menghulurkan tangan ingin bersalam. Tetapi emak saya masih marah. Dia menyendengkan helikopternya dan mengerat tangan pemandu lori itu dengan kipas helikopter.
Pemandu lori itu menjerit “Adoi..!” dan jatuh ke bumi.
Emak saya menghantar helikopter itu ke Genting Highlands. Bila dia balik ke tempat kejadian, dia terus memukul pemandu lori itu dengan beg tangannya sambil memarahi pemandu lori itu di dalam bahasa Inggeris. Pemandu lori itu tidak dapat menjawab sebab emak saya cakap orang putih. Lalu pemandu lori itu mati.
Tidak lama kemudian kereta polis pun sampai. Dia membuat laporan ke ibu pejabatnya tentang kemalangan ngeri itu. Semua anggota polis di pejabat polis itu terperanjat lalu mati.
Orang ramai mengerumuni tempat kejadian kerana ingin mengetahui apa yang telah terjadi. Polis yang bertugas cuba menyuraikan orang ramai lalu dia menjerit menggunakan pembesar suara. Orang ramai terperanjat dan semuanya mati.
Selepas itu emak saya mengajak saya ke pasar untuk mengelak lebih ramai lagi yang akan mati.
Di pasar, emak saya menceritakan kejadian itu kepada penjual daging. Penjual daging dan peniaga-peniaga berhampiran yang mendengar cerita itu semuanya terkejut dan mati.
Saya dan emak saya terus berlari balik ke rumah. Kerana terlalu penat sebaik saja sampai di rumah kami pun mati. Itulah kemalangan yang paling ngeri yang pernah saya lihat sebelum saya mati.

Monday, March 1, 2010

CERITA MIHUN

Isnin lalu kerana kesilapan Emak yang memesan kuantiti mihun goreng pada seseorang, maka saya dapat menjamu mihun kepada seluruh warga pejabat. Dari pagi hingga petang makan mihun.

Di rumah, Emak mengagih-agihkan lagi mihun itu kepada jiran-jiran sekeliling. Setelah selesai mengagihkannya itu, masih ada lagi bakinya dalam sebekas ‘tupperware’ besar. Yang ini Emak simpan dalam peti sejuk.

“Alhamdulillah, selesai soal sarapan anak-anak pagi ni,” ujar Emak meniru cakap jiran depan rumah ketika Emak menghulur mihun kepadanya.

Cerita tetamu
Sebelah petangnya (menghampiri senja), Ayah menerima tetamu dua beranak (ibu dan anak). Si anak mengadu masalah rumah tangganya -- mengadu suaminya tergila-gilakan seorang selebriti. Selebriti itu lahir daripada sebuah rancangan realiti TV.

Tidak banyak yang dapat dilakukan oleh Ayah melainkan memberi air tawar seperti biasa.

Apabila azan Maghrib berkumandang, Ayah mohon diri untuk ke masjid. Tinggallah wanita itu bersama ibunya di rumah sementara menunggu seseorang datang menjemput. Sementara menunggu itu, Emaklah yang melayan mereka.

Tidak lama kemudian, apabila kenderaan mereka sampai, tetamu itu mohon diri sambil menghulurkan duit kepada Emak. Sudah tentu Emak menolak seperti Ayah juga. Ayah tidak pernah meminta apa-apa bayaran apabila orang datang kepadanya meminta bantuan. Apa-apa yang Ayah beri semuanya lillahi taala.

Puas Emak menolak, wanita itu tetap meninggalkan duit itu di tangan Emak sebelum berangkat.

Sebaik kedua-dua wanita itu hilang daripada pandangan mata, Emak memberitahu, “Orang itu beri duit sama nilainya dengan jumlah yang Emak bayar untuk mihun yang banyak tu.” Ya tak ya, pagi tadi Emak sudah keluarkan sejumlah wang untuk bayar kos mihun goreng.

“Tuhan ganti balik apabila kita memberi pada orang,” komen Emak lagi.

Betullah kata orang ‘what you give, you get back’. Itu janji Tuhan. Apabila kita memberi Allah pasti akan ganti balik. Malah, kadang-kadang berlipat kali ganda.

Ayah pula pernah menyebut kita tidak jatuh papa dengan memberi orang makan. Walaupun tidak kaya, insya-Allah makan pakai kita sentiasa cukup. Jangan kedekut untuk beri orang makan.

Bukan sekali dua Emak mendapat pengalaman sebegini. Sebagai isteri kepada seorang ustaz, Emak juga dapat tempiasnya. Anak-anak murid Ayah kerap memberi hadiah. Antaranya kain pelekat. Emak pula akan dapat kain batik sarung. Kerana stok banyak, kain pelekat dan batik sarung ini Emak hadiahkan pula kepada orang lain. Elok sahaja kain-kain itu dihadiahkan kepada orang, tidak lama kemudian, stok kain itu pasti akan berganti, dihadiahkan baru oleh orang lain pula. ‘Top up’ stok kain sentiasa ada tanpa perlu membeli!

Semalam (Ahad) genap seminggu usia mihun yang Emak simpan dalam peti. Semalam Emak keluarkan dari peti untuk makan beramai-ramai bersama anak cucu yang datang bertandang dan bermalam. Banyak sungguh mihun itu sehingga ada lagi bakinya. Adik ipar saya membawa pulang untuk diberi pula kepada abangnya yang berjiran dengannya.

Cerita Mokhtar
Ini pula cerita Mokhtar rakan sepejabat saya. Katanya sudahlah siangnya makan mihun di pejabat, balik rumah, isterinya juga goreng mihun untuk makan malam. Katanya, “Nak pengsan makan mihun. Tapi makan jugalah ...” (sebab tak ada pilihan). Dia membayangkan balik rumah dapat makan nasi ... kesian Mokhtar!

Emak ketawa apabila saya menceritakan kisah Mokhtar.

Menurut si penggoreng mihun itu, kuantiti mihun yang Emak pesan itu menyamai seratus bungkus jika dijual seperti nasi lemak dengan harga seringgit sebungkus!