Thursday, December 30, 2010

TERIMA KASIH

Saya bukan peminat bola sepak sejati, pun demikian tahniah diucapkan kepada skuad bola sepak negara di atas kemenangan malam tadi dengan agregat 4-2.

Terima kasih diucapkan kerana dengan kemenangan itu, kami rakyat Malaysia telah mendapat cuti umum. Bagi kami, bukan mudah hendak bercuti melainkan cuti umum. Cuti yang diperuntukkan syarikat, masih banyak berbaki lantaran kerja yang tiada noktah. Hanya cuti umum saja yang mampu meredakan ketegangan kerja.

Kerana jahilnya saya dengan hal ehwal bola sepak, baru semalam saya tahu, penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat yang beraksi cemerlang merupakan anak jati Kelantan, negeri kelahiranku yang tercinta ... heee heee. Saya rasa, Tok Guru juga bangga dengan anda!

Tahniah, terima kasih. Terima kasih juga pada PM yang mengisytiharkan cuti esok. Tidak ketinggalan jurulatih, Rajagobal, tahniah.

Monday, December 27, 2010

TAK FAHAM

Bootham un kanavil varum,
Pei un talayai vaarum,
Kutti chatan satam podum,
Jin yeti parkum,
Katheri kalai surandum,
Mohini unakku muttam tarum ...
So enjoy it n Gud Nite ...
Kata-kata SMS di atas saya terima semalam 26 Disember, jam 1.12 pagi. Tidak tahulah saya apa maksudnya melainkan ayat pada baris terakhir. Mungkin juga ucap selamat untuk Krismas.
Saya percaya anda juga kerap menerima SMS yang tersalah kirim oleh si pengirim. Cuma saya terpanggil untuk merakamnya di sini kerana inilah pertama kali saya menerima SMS yang tersalah kirim dalam bahasa Tamil.
Bahasa Cina dan Indonesia kerap singgah di telefon bimbit saya. Tidak terkira yang berbau 'scam'. Saya pasti anda juga mengalaminya!
Sesiapa yang faham Tamil, bolehlah tolong terjemahkan. Jika maknanya 'xxx' tidak payahlah diterjemahkan, simpanlah untuk kefahaman anda saja. Saya tak teringin untuk tahu!

Tuesday, December 21, 2010

TERSEPIT DI CELAH DILEMA

SEORANG IBU dapat menjaga 10 orang anak, tetapi 10 orang anak tidak mampu menjaga seorang ibu atau bapa. Sesungguhnya benar akan hal ini.

Baru-baru ini saya sekeluarga tergesa-gesa pulang ke KB, kerana keadaan Abah (bapa mentua) semakin uzur akibat strok. Rasa berdosa amat tebal terpikul di bahu, kerana kami tidak dapat tinggal lebih lama di sana. Kebajikan Abah diuruskan oleh Ma (mak mentua) dan cucunya yang sedang sarat mengandung.

Tidak dapat saya bayangkan bagaimana Ma hendak uruskan Abah apabila cucunya itu bersalin kelak.

Ma yang sudah lanjut usia dan juga sudah sangat uzur dengan pelbagai penyakit terpaksa kami tinggalkan dengan berat hati dan tanpa rela kerana tuntutan kerja di ibu kota. Ma melepaskan kami pulang ke KL dengan juraian air mata, mengundang sebak di hati.

Tuntutan kerja – mencari rezeki dan menjaga periuk nasi meletakkan kami tersepit! Bukan saya dan suami sahaja, tetapi saya percaya ramai di kalangan kita hari ini mengalami dilema yang sama.

Tiada niat di hati untuk menderhaka, tiada niat untuk mendahulukan kerjaya dan membelakangkan orang tua, tiada niat untuk mengejar kebendaan, tiada niat untuk tidak menjenguk orang tua lebih lama, tiada niat untuk tidak pulang berziarah lebih kerap. Namun, hakikat kerja dan sifat tugas manusia hari ini jauh berbeza daripada zaman dulu.

Keadaan sudah berubah, suasana hari ini tidak sama seperti setengah abad yang lampau. Anak cucu dan sekalian keturunan nenek moyang bertebaran di muka bumi Tuhan mencari nafkah jauh daripada ibu bapa, menyukarkan mereka untuk kembali menjenguk orang tua yang semakin uzur dimamah usia.

Kemajuan sesebuah negara dan masyarakat telah meragut sebahagian besar hak ibu bapa yang sewajibnya ditunaikan oleh setiap anak. Kesibukan kerja pula merampas hampir 24 jam masa sehari si anak untuk menunaikan kewajipannya terhadap orang tua. Kerja pada zaman ini sukar ditinggalkan jika hendak mengekal kelangsungan hidup biarpun rezeki itu sememangnya datang daripada-Nya.

Menjaga orang tua pula tidak seperti menjaga anak. Menjaga anak boleh di tangan-tangankan, boleh ditinggi-tinggikan suara. Tidak demikian kalau menjaga orang tua, memerlukan sabar yang tinggi. Jika tidak nanti, jatuh derhaka.

Mengenangkan keadaan ini, dan memikirkan keadaan mentua sekarang, saya terfikirkan bagaimana pula keadaan saya andainya dilanjutkan usia seperti mereka ... adakah nanti sesiapa yang mahu menjaga saya pada usia sedemikian?

Sesungguhnya inilah tanda akhir zaman, anak tanpa sedar menderhaka dalam tidak sedar dan tanpa niat! Ampunkan kami Ma, Abah. Ampunkan kami ya Allah!

Tuesday, December 14, 2010

KEMUNCAK SAKIT TENGKUK ... SAYA MASIH MUDA RUPANYA!

"Sy ke klinik dlu, tgkuk skt sgt" demikian SMS saya hantar kepada bos memaklum kelewatan saya ke pejabat hari ini.

Ketika memandu pun, cermin sisi kereta, saya pandang dengan hujung mata, sakit hendak palingkan kepala.

Sudah lama saya sakit tengkuk dan bahu. Sejak bertahun dulu. Cuma saya tahankan aje. Sesekali apabila sakitnya sampai kemuncak seperti hari ini, barulah saya berjumpa doktor.

Kalau ke rumah emak, anak saudara sulung akan saya suruh picit dan urut. Hanya tangan dia saja yang sedap kalau mengurut.

Seusai menghantar anak ke tadika, saya terus ke klinik berdekatan. Poliklinik Yazmeen & Mahanum berdekatan pejabat lama dulu. Saya senang mendapat rawatan di situ kerana doktornya perempuan.

Namun saya perlu menunggu jam 9 untuk ia memulakan operasi.

Sementara menunggu, saya ke bank, ambil kesempatan itu kerana tidak mahu mengambil masa bekerja pada hari-hari lain untuk urusan bank.

Selesai urusan di bank, saya terus ke klinik. Apabila nama dipanggil, saya sedikit kaget kerana biasanya Doktor Mahanum yang merawat. Kali ini doktornya agak berumur sekitar 60-an agaknya (mujur perempuan). Mesra!

"Sakit apa?" soalnya sambil meneliti rekod sakit saya sebelum ini.

"Tengkuk, bahu semua dah keras. Sakit sangat."

"Eh, kerap ni," responsnya kerana rekod sebelum ini juga sakit yang sama. "Tau puncanya apa?"

"Tak tau ... ."

"Hmmm, tak bagus kalau selalu ambil pain killer. You are still young. Muda sangat lagi. Berapa umur?"

"Dah banyak ... empat dekad."

"Muda lagilah. You know, when I went to England for my sabbatical, I was forty then. You know what they said? They said, 'Hey, you are still a baby' " ujar doktor itu, bahasa Melayu dan Inggeris bercampur-aduk.

Saya cuma menyengih.

"Sakit tengkuk dan bahu banyak sebab. Ada salah tidur malam tadi?"

"Tak, sebab dah lama. Ke sebab menghadap komputer lama sangat?"

"Tak dalah, sebab kalau duduk depan komputer, tak ada benda yang tekan muscle kita. Banyak orang dok depan komputer tak sakit pun."

"Oh."

"Angkat benda berat ada?"

"Tak da."

"Beg tu ha ... beg pun boleh jadi punca sebab hari-hari tersangkut di bahu. Satu lagi ramai orang tak tau, bra strap, tali bra pun boleh menekan otot."

Saya menge'oooo' dalam hati ... tak tau pun, sekarang baru tahu.

"Ada makan supplement?"

"Kadang-kadang je."

"Orang perempuan elok ambil kalsium. I'll give you calcium just in case it is related to osteoporosis. Lepas tu I bagi you jel analgesic, Volteren untuk tahan sakit, then Norgesic same like Panadol but it relaxes your muscles while you sleep, makan ni satu kali sahaja masa nak tidur malam, sebab you akan rasa mengantuk."

"Kalau urut boleh hilang ke?" saya menyoal kerana sudah banyak orang sarankan saya mendapatkan khidmat urut (tak termasuk tangan anak saudara).

"Well, it helps, bolehlah kalau nak cuba ... tapi kalau luka, patah, jangan berani-berani urut, bahaya sebab ada pendarahan di dalam."

"Sepanjang hayat tak pernah pergi urut."

"I pun tak suka urut sebab it's addictive. Nanti you nak lagi, nak lagi. Tapi adik-beradik I suka berurut."

Panjang pula cerita doktor itu. Sehingga selesai, saya terlupa bertanyakan namanya.

Ketika memasuki kereta saya cuba fikir-fikirkan punca sakit ... barangkali benar berpunca daripada beg. Kerana bahagian paling sakit sebelah kiri - saya menyangkut beg di sebelah bahu kiri, bertahun-tahun kini semakin terasa sakitnya.

Beg saya agak besar dan berat tidak seperti beg tangan orang lain. Beg saya tiada alat mekap, sebaliknya segala macam benda ada. Duit syiling yang banyak, sebotol air dan makanan juga hampir sentiasa ada untuk bekalan anak dalam perjalanan. Waktu pulang dia sentiasa lapar dan haus, apalagi kalau tersangkut dalam sesak lalu lintas. Saya tidak suka meninggalkan bekalan itu di dalam kereta kerana bahang panas matahari merosakkan air dan makanan. Jadi saya lebih senang menyumbatnya di dalam beg dan membawanya ke mana sahaja.

Terkadang pakaian spare anak pun terbawa sekali kalau terlupa meninggalkannya di dalam kereta.

Ahh ... rupa-rupanya selama ini ada 'benda berat' tanpa sedar saya pikul setiap hari. Ketika doktor bertanya, saya tidak terfikirkannya, lalu dengan senang hati saya menjawab 'tak da'.