Thursday, February 13, 2014

BERSYUKUR SAAT DIUJI

Pinjam judul buku Prof MKI, Bersyukur Saat Diuji ... .

SARAPAN dikatakan sajian yang paling penting dalam sehari supaya kita bertenaga untuk memulakan aktiviti harian.

Bagaimanapun ada waktunya kita tidak tahu hendak bersarapan apa. Itulah tandanya orang yang tidak mensyukuri nikmat. Daripada sekian banyak pilihan makanan yang Tuhan beri, sampai tidak tahu hendak makan apa. Astaghfirullah! Ampunkan hamba-Mu ini ya Allah.

Kita sentiasa melihat penduduk dunia di negara yang bermusibah --kurus kering tiada makanan. Maka kita akan kata, "Kasihan. Itulah ujian Allah untuk mereka."

Walhal kita tidak sedar, kita di Malaysia ini juga diuji. Kita diuji dengan terlalu banyak nikmat termasuklah nikmat pelbagai jenis makanan melimpah-ruah. Biar harga naik macam mana pun, kita tetap ada makanan untuk dimakan!

Setiap kali menyuap makanan ke mulut, berapa kerapkah kita mengucapkan syukur kepada Maha Pemberi Nikmat? Setidak-tidaknya dengan sepatah ringkas ucapan "alhamdulillah".

Kita makan dan makan hinggalah orang Malaysia tersenarai dalam kalangan negara utama yang mengalami obesiti di rantau ini.

Allahu Akbar!

Tika di Palestin dan Habsyah setiap masa ada kanak-kanak mati kebuluran, tika di Syria difatwakan halal kucing dan anjing untuk ditelan bagi kelangsungan hidup, kita di sini masih belum sedar dan belum mahu mengambil iktibar!

Sedarlah kita sedang diuji dengan kemewahan makanan!

Dari dulu hingga kini, tetap setia dengan roti ini sebab ia benar bagai dikata "Sungguh enak dimakan begitu sahaja."

Cuma kerak roti, namun tetap sedap, nikmat & mewah. Alhamdulillah, terima kasih Allah atas limpah kurnia-Mu. Jadikanlah aku sebagai hamba-Mu yang bersyukur. Aamiin!


Friday, February 7, 2014

MENGHAYATI RIADAH SUNNAH

Sesekali jalan-jalan makan angin amat berbaloi lebih-lebih lagi jika diselitkan sedikit dengan penghayatan sunnah Nabi SAW.

Memanah dan menunggang kuda adalah kategori sukan sunnah Nabi SAW ...(walaupun dalam erti kata sebenar kami tidak 'menunggang'nya kerana tidak pandai ... ditarik talinya oleh si tuan penjaga kuda heee2).

Pengalaman dikutip dalam kabus tebal lagi dingin Bukit Fraser! Kuda pun kuda lumba yang sudah pencen dari arena perlumbaan. Ia dibawa ke sini untuk tunggangan pengunjung.

Memanah pula tidaklah mudah untuk tepat mengenai sasaran. Banyak yang 'tersasar'. Bagaimanapun kanak-kanak tidak dibenarkan memanah, sebaliknya boleh cuba menyumpit!