Thursday, March 31, 2011

TAK RETI BASA (1)

Saya kekadang transit di rumah Mak Ayah sebelum balik ke rumah. Malam tadi saya singgah lagi di rumah Mak Ayah. Selepas Maghrib saya dan anak ke restoran berdekatan membeli roti nan dan roti canai.


Restoran itu sering dikunjungi pelbagai bangsa, Arab, Afrika, Jepun dan macam-macam. Sesuatu yang sangat saya tidak suka di restoran ini ialah udaranya sangat tidak menyihatkan. Bukan asap rokok sahaja yang berkepul-kepul, tetapi juga asap shisha.


Di sebuah meja, sekumpulan anak muda Cina sedang bergilir-gilir menghisapnya. Di satu sudut pula kelihatan, seorang wanita muda dengan penuh nikmat dan selamba sedang menghisapnya sambil membelek-belek majalah.


Ketika menunggu makanan saya dibungkus, sejumlah besar shisha diangkut keluar oleh pekerja restoran itu untuk disediakan kepada pelanggan. Kalau tidak kerana dekatnya restoran ini dengan rumah Mak Ayah, tidaklah saya ke situ.


Aduh! Bila agaknya kerajaan hendak mengikut kerajaan negeri Kelantan yang mengharamkan shisha ini, walhal telah diketahui umum bahaya shisha ini berkali-kali ganda lebih bahaya daripada rokok.


Teringat saya ketika menggalas tugas di Arab Saudi bersama krew penggambaran Salam Timur Tengah dulu. Kembara kami menjelajah Tanah Arab itu diiringi dua orang pegawai dari Kementerian Penerangan Arab.


Hari-hari yang kami lalui amat menyeksakan kerana saban hari sepanjang kami berada di Arab Saudi, kami terpaksa menyedut asap hookah atau shisha ini yang dilepaskan oleh dua orang pegawai Arab ini. Hampir pengsan kelemasan dibuatnya (mujur tak mati).


Apa tidaknya, sepanjang bertugas, ke sana ke mari kami menaiki bas tajaan berhawa dingin. Dua orang pegawai yang mengiringi kami itu, asal saja naik ke dalam bas, mulalah menyedut shisha ini. Berkepul-kepul asapnya. Ingatkan hanya di restoran sahaja benda ini disedut, rupa-rupanya dibawa naik hingga ke dalam kenderaan.


Sungguh tak reti basa!

Monday, March 28, 2011

BISMILLAH (PERKONGSIAN)

"Sebelum tidur tu baca bismillahirrahmanirrahim dua puluh satu kali," pesan Ayah apabila dia menjenguk kami adik-beradik sebelum terlelap. Itu pesan Ayah berpuluh tahun dahulu.

Seingat saya, saya belum lagi menjejak kaki ke sekolah rendah, lima enam tahun mungkin usia saya ketika itu. Maka mulut saya terkumat-kamit membaca kalimah suci itu dengan menggerakkan jari tangan untuk mengira agar cukup 21 kali, tidak kurang tidak terlebih. Amalan membaca bimillah 21 kali itu saya amalkan hingga kini.

Pada sesi kuliah agama ayah dua hari lalu pun, Ayah saya mengingatkan murid-muridnya akan hal ini. Ayah juga berpesan agar diajarkan pula pada orang lain khasnya kepada anak-anak kita.

"Tak susah nak diamalkan oleh anak-anak kita," kata Ayah. "Sangat besar fadilat baca bismillah dua puluh satu kali sebelum tidur ini," katanya.

"Amalan ini menyelamatkan kita daripada empat perkara," sambung Ayah lagi. Kesemua muridnya pada malam itu khusyuk mendengar, saya sekadar memasang telinga kerana pada waktu yang sama mata terarah ke TV menanti pengumuman juara Akademi al-Quran kelima. Lebih-lebih lagi suara TV diperlahankan bagi menghormati sesi kelas agama Ayah yang berlangsung di ruang tamu.

"Membaca bismillah dua puluh satu kali ini memelihara kita daripada gangguan syaitan, menyelamatkan rumah kita daripada kebakaran, mengelakkan kita mati mengejut dan yang keempat menghindarkan kita daripada bencana-bencana lain," ujar Ayah.

Ya, itulah hikmah membaca bismillahirrahmanirrahim 21 kali sebelum melelapkan mata pada malam hari. Sila sampaikan kepada kawan-kawan, dan ajarkan kepada ahli keluarga kita, khasnya anak-anak kita kerana ia amat mudah untuk diamalkan sekalipun anak-anak masih kecil.

Wednesday, March 23, 2011

SAKIT MATA oiiii!

Rambut digayakan ala-ala artis Korea, ada juga yang warna berkarat. Perasan handsome agaknya. Tapi apa yang dia tidak perasan ialah mukanya Melayu totok, berkerutu dengan jerawat pula tu, hidung penyek, kulit gelap.

Terkadang bersidai di kaki lima bersama rokok terkepit di antara jari. Bergurau senda dan melawak tanpa ada isi.

Cis, rimas mata memandang.

Itu yang jantinanya 'XY'.

Bagi yang 'XX' pula:

Bertudung, tapi berlengan pendek.

Bertudung, tapi kontot tudungnya sontot pula bajunya.

Bertudung, berlengan panjang tapi sendat pula hingga nampak susuk tubuh. Tudung tu, trend aja agaknya.

Jika berkumpul dengan rakan-rakan sebaya, mengilai mengalahkan pontianak.


Kedua-dua jantina ini apabila bercampur, bertepuk tampar tanpa ada rasa berdosa.

Adoi ... sakit mata aku nih tiap-tiap hari nampak makhluk ini berkeliaran. Keluar sahaja pintu ofis, inilah yang pertama dilihat. Sama juga setiap pagi ketika sampai ke pejabat.

Tidak kiralah penduduk setempat atau budak-budak kolej berdekatan tempat aku bekerja ni. Beginilah gayanya.

Malang sungguh!

Friday, March 18, 2011

YANG SEDAP!

Makanan segera seperti burger memanglah sedap. Itu tidak dinafikan. Maka, saya tidak menyalahkan kanak-kanak dan remaja kita apabila mereka gemar sangat akan makanan ini. Orang dewasa seperti saya pun suka, apatah lagi orang-orang muda. Cuma saya tidaklah memakannya selalu, juga saya sedar akan mudaratnya.


Apa pun, makanan segera seperti burger ini ada kelebihannya walaupun dikategorikan sebagai makanan yang tidak menyihatkan. Kelebihannya tentulah bukan dari sudut kesihatan, tetapi dari sudut 'mudah'nya. Hendak menyediakannya pun mudah. Hendak disuap ke mulut pun mudah. Kalau malas nak sediakan sendiri, kita 'pandu lalu' saja. Dan rasanya pun memang sedap.


Dalam keadaan kecemasan atau tergesa-gesa pun masih boleh dimakan. Jika tidak sempat basuh tangan, pegang sahaja dengan pembungkusnya dan terus suap ke mulut. Sangat praktikal.

Ini semua tidak ada dalam masakan asli orang kita. Nasi dan mi mana boleh suap guna pembungkus, paling tidak pun kena cari sudu. Nak masak pun, paling tidak, kena juga menumis. Kalau ada rencah segera pun bahan mentah lain perlu juga dicampak masuk ke dalam kuali atau belanga.

Untuk beli nasi goreng atau mi goreng pun kena hentikan dulu kereta di tepi restoran kemudian masuk ke premisnya dan buat pesanan. Tak ada khidmat pandu lalu. Cuma sekarang ada di beberapa kawasan, menyediakan khidmat penghantaran.

Itulah sebabnya, apabila dah jemu makanan asli orang kita, sesekali saya singgah di KFC ... di rumah pula, kalau dah mati kutu tak tahu hendak masak apa ... dail saja 1-300-88-2525 atau jika mahu lebih jimat, dail sahaja 1-300-880-241 dan dapatkan hidangan segera anda itu "2 for the price of 1".

Yahoo .... yok, makan!

Thursday, March 17, 2011

MUNGKIN SAYA DAH JADI KAYA KOT ...

Suatu ketika tidak lama dulu, rumah saya sering dimasuki tikus. Pelbagai jenis perangkap dan racun digunakan. Ada yang kena, ada yang terlepas. Yang terlepas ini memang licik, perangkap dapat dielaknya.

Suatu hari, perangkap gam yang saya letak berhampiran mesin basuh kelihatan bergerak-gerak.

"Kena juga engkau akhirnya ya," saya menghampirinya. "Yikes! Nate gapodio pulok ni ... ."

Bukannya tikus yang kena, tapi binatang lain. Nak dikatakan mengkarung tidak juga, nak dikatakan biawak, jauh sekali, yang pasti ia spesies reptilia.

Lalu, saya membungkus perangkap dan mangsanya itu dengan surat khabar lama dan terus membuangnya sebelum anak saya nampak, akan dicucuk-cucuknya nanti sebagaimana dia pernah mencucuk tikus dengan lidi. Lagipun aspek hygiene perlu diutamakan.

Pada suatu hari saya membelek majalah Mastika di rumah ayah. Laaaa, binatang inilah yang kena perangkap gam itu. Sebijik gambarnya. Cicak tokek rupanya, yang menjadi kegilaan masyarakat kita hari ini mencarinya. Tidaklah saya tahu.

Rupa-rupanya harga seekor cicak tokek boleh mencecah puluhan ribu ringgit malah yang cukup dewasa (sebesar biawak) mencecah angka juta, lebih mahal daripada harga emas.

Cicak ini dikatakan boleh digunakan untuk penawar HIV/AIDS dan menguatkan tenaga batin lelaki. "Ceh ... macam dah tak ada ubat lain kat dunia ni," rungut saya ketika membacanya.

Dek kerana khuatir akan pupus kerana menjadi buruan manusia, khabarnya cicak tokek akan diisytihar sebagai haiwan terpelihara.

Hui ... kalaulah saya tahu nilainya, rasanya tidaklah selamba saya membuangnya. Tentu dah kaya-raya. Hasil jualannya akan saya beli beberapa keping dinar emas untuk simpanan hari tua (dah tua pun).

Eh, tunggu ... itu cuma bayangan di minda sahaja. Kembali ke alam nyata .... saya sekali-kali tidak akan menjualnya jikalaupun pada waktu itu saya tahu nilainya. Ini kerana sebagai orang Islam kita dianjurkan membunuh cicak!

Monday, March 14, 2011

JENTIKAN KEDUA

Saya kira bencana yang melanda di negara Matahari Terbit dua tiga hari lepas merupakan jentikan kedua Allah Taala, selepas Dia menjentik Aceh pada 2004. Selang tempoh 2004 ke 2011, ada beberapa siri jentikan kecil di sana sini daripada-Nya.

Mengapa saya mengatakan 'jentik'? Kerana Allah baru menjentik, belum lagi dengan kuasa-Nya yang Maha Kuat. Jepun, antara negara paling maju tamadunnya, ranap sekelip mata. Ditambah buruk lagi dengan bencana buatan sendiri dengan membina loji nuklear.

Pun begitu, manusia hanya insaf seketika dan selepas itu kembali alpa, walhal Allah menjentik itu dengan tujuan supaya manusia kembali merujuk kepada-Nya. Ini termasuklah diri saya sendiri yang serba hina.

"Jangan dimaki setiap bencana yang datang," itu tazkirah yang ayah saya lontarkan sewaktu menonton berita bencana di Jepun. "Bencana yang datang itu hanya menurut perintah daripada Tuhan."

Saya perhatikan, penduduk Jepun lebih tenang menghadapi bencana ini berbanding mereka di Aceh dahulu, walhal penduduk Jepun tiada agama yang khusus, manakala penduduk Aceh majoritinya orang Islam. Malah tempias tsunami 2004 turut mengena pantai kita, itu pun ada yang merungut dan tidak melihatnya dari sudut 'bencana itu datang kerana mematuhi perintah Allah, Maha Pencipta."

Andainya tragedi itu berlaku di negara kita, mungkin saya juga menjadi seperti orang di Aceh kerana iman saya tersangat lemah. Mampukah saya menerimanya sebagai ketentuan daripada-Nya dengan redha?

Thursday, March 10, 2011

YANG MENYERABUTKAN MATA DI PEJABAT

Di pejabat saya, benda yang saya paling menyampah tengok adalah kasut dan sandal staf yang bergelimpangan. Kerana pejabat kami mengamalkan 'kaki ayam' maka kasut atau sandal ditanggalkan di pintu masuk jabatan masing-masing.

Yang menghairankan, jumlah kasut dan sandal melebihi jumlah staf yang bekerja di pejabat. Ini bermakna ada staf mempunyai lebih daripada sepasang kasut atau sandal walaupun sedar dirinya hanya mempunyai sepasang kaki.

Saya boleh terima keadaan itu jika manusia mempunyai lebih sepasang kaki seperti kucing, lembu, kambing, lipan dan seumpamanya.

Lebih menyakitkan hati apabila tiba di aras satu, laluan ke jabatan saya ada masanya terpaksa meredah kasut dan sandal yang bergelimpangan. Terkadang menyebabkan orang yang lalu-lalang hampir saja terjatuh. Menambah buruk keadaan lagi, apabila menerima ramai tetamu tetapi ini kes terpencil.

Kalau jenis yang cantik tak apa juga, tapi yang dah buruk dan haus, berbau pula, tak usahlah ditayang-tayang. Kalau ada dua pasang atau lebih di pejabat, pilihlah yang cantik sedikit.

Saya tak faham, mengapa perlu ada lebih daripada sepasang perlu disimpan di pejabat. Jika mahu sangat ada lebih sepasang di pejabat, simpanlah di ruang kerja sendiri. Di bawah meja mungkin. Keluarkan hanya apabila mahu menggunanya. Jangan disemakkan di laluan ramai. Atau bagi yang ada kenderaan sendiri, simpan saja di dalam kenderaan masing-masing.

Yang bergelimpangan di laluan ramai hingga menyusahkan orang lalu-lalang (melibatkan maslahat ramai), harus ingat dan semat di ingatan perbuatan anda berdosa! Juga kasihanilah pada Puan Amirah yang tugasnya mengemas pejabat, saban hari menyusun kasut busuk anda (lebih kurang perangai restoran yang berjiran dengan syarikat kami yang menempatkan meja dan kerusi di kaki lima hingga menyusahkan orang ramai lalu-lalang. Jika tidak dikawal nafsu jahat, mahu sahaja diterajang kerusi meja yang menyemak itu).

Saya sejak dulu hingga kini tidak pernah ada lebih daripada sepasang sandal di pejabat. Boleh saja saya survive tanpa menyimpan berpasang-pasang. Pakai saja yang praktikal sesuai untuk ke mana-mana. Malah saya tidak berkisah pun walau menyarung 'flip-flop' kerana saya pasti orang selalunya tidaklah memerhati sangat ke arah kaki kita, cuma lainlah kalau hendak ke majlis-majlis tertentu, barulah pakai yang sesuai.

Saya tabik spring kepada Syarikat Shamawar yang berjiran dengan syarikat kami. Indah sekali ruang legarnya. Jika tidak diperhatikan, kita tidak tahu pun di sebalik hiasan dalamannya ada rak kasut tersorok kemas. Jika tidak ditulis rak kasut, saya sendiri pun tidak tahu mereka menyimpan kasut di situ.

Rasanya pihak pengurusan patut mengehadkan jumlah kasut yang diboleh simpan oleh staf. Sebagai syarikat mengeluarkan produk Islam, imej syarikat perlu dijaga. Memang patut pun ada ustaz yang menegur baru-baru ini!

(Mahu saja saya rakam gambar kasut staf bergelimpangan bersama post ini, tapi cukuplah sebahagian sahaja kisah pekung di dada ini dikongsikan).

Tuesday, March 8, 2011

PELBAGAI KERENAH PENULIS

Sepanjang terlibat dalam pengurusan penerbitan buku, bermacam kerenah penulis saya temui. Saya senaraikannya menurut populariti:

1. Tidak patuh 'deadline'.
2. Menyepi diri tidak melayan sebarang SMS, e-emel mahupun panggilan telefon penerbit.
3. Bercakap lebih tapi penulisan buku tidak siap-siap.
4. Cerewet.
5. Syok sendiri tapi mutu penulisan hancur.

Ironinya apabila 'musim royalti' hendak dibayar, mereka muncul dengan selamba tanpa silu. Sebagai penerbit mahu tidak mahu, terpaksalah bersabar. Jika di Barat, seseorang penulis dengan kerenah-kerenah di atas, sudah lama tidak akan dilayan oleh penerbit dengan kata lain, "Lantak engkaulah, terbitlah sendiri baru kau tau susah senangnya terbit buku sendiri."

Dek kerana kita orang Timur yang kaya budi bahasa, kita terpaksa telan semua biarpun pahit dan terpaksa menanggung kerugian di sana sini.

Pun demikian, masih ada penulis yang berdisiplin dan ada 'kesedaran sivik'. Patuh deadline, patuh arahan editor, tidak kisah walaupun editor atau penyunting naskhah mencincang habis tulisannya, tidak berkira dengan design buku.

Ah ... saya pasti semua editor senang hati berurusan dengan penulis-penulis begini. Dan editor pula suka hati membimbing penulis ini untuk menghasilkan karya bermutu. Lazimnya mereka terdiri daripada penulis-penulis baru yang baru hendak mencuba nasib dalam bidang penulisan buku.

Tabik spring kepada penulis sebegini. Mereka tidak lupa kepada 'orang-orang' di belakang tabir yang bertungkus-lumus menyiapkan buku mereka hingga selesai terbit. Buah tangan tanpa dipinta tiba-tiba dihulurkan. Malah ada yang menghulurkan seringgit dua untuk beli pisang goreng ketika penat bekerja menyenggara penerbitan buku.

"Sibuk sangat, tak sempat nak menulis," itu alasan lazim lagi klise penulis yang sentiasa melanggar deadline yang diberi. Tetapi saya paling tabik spring kepada penulis yang memang saya tahu sibuk, tapi mampu menyiapkan tulisan mereka biarpun sedikit terbabas deadlinenya.

Penulis yang 'mesra penerbit dan mesra editor ini' sentiasa dalam doa kami. Agar tulisan mereka diberkati, agar mesej Islami daripada buku mereka tembus kepada masyarakat. Bukan keuntungan material semata-mata yang dicari, tetapi yang lebih mahal daripada itu, iaitu 'berkat dan rahmat' daripada Allah. Nasihat saya, kekalkan sikap ini!