Thursday, November 27, 2008

NOVEL MELAYU, NOVEL INGGERIS: Yang mana lebih menarik?

Beberapa kali saya cuba membaca, mengkhatam dan mengulati novel-novel Melayu. Kebanyakan pembacaan saya itu terbengkalai di tengah jalan. Kalau khatam pun, jangka masa yang saya ambil itu sangat lama, setahun, terkadang terlebih.


Jika diberi novel-novel Inggeris, saya boleh menghabiskannya dalam masa satu hari satu malam untuk novel setebal seinci. Dua hari untuk novel setebal dua inci yang kekadang saya sengaja lambatkan bacaan kerana takut cepat habis dan tiada stok baru untuk dibaca. (Ini saya lakukan semasa berstatus bujang, selepas kahwin, paling lama lima hari baru habis kerana ada komitmen lain).

Tiada niat walau sebesar kuman pun untuk merendah-rendahkan novel tempatan, atau mengagung-agungkan karya Barat – tidak, tidak sama sekali! Namun, saya belum mendapat ‘ummph’nya pada karya Melayu. Saya juga telah cuba membaca novel-novel popular Melayu yang disyorkan teman-teman, juga tidak berjaya menaikkan ‘ghairah’ saya untuk membacanya!

Antara genre fiksyen kegemaran saya ialah thriller dan suspens. Lalu saya cuba membaca karya Ramlee Awang Murshid. Tetap saya tidak temui kepuasan membacanya. Dua novelnya saya beli sudah hampir setahun, satu pun belum lagi saya mengkhatamnya, terhenti separuh jalan. Barangkali tiada keaslian dari segi idea... terpengaruh dengan penyampaian, gaya penulisan dan idea Sidney Sheldon. Saya sering juga membaca karya Sheldon, maka saya boleh membandingkannya.

Karya Sheldon lebih asli. Misalnya novel Rahsia Perindu karya Ramlee Awang Murshid (2005)(diulang cetak tiga kali) sangat mirip dengan novel karya Sheldon Tell Me Your Dreams (1998) dari segi ideanya. Maka saya dapat meneka rentak dan akhir Rahsia Perindu (baca lompat ke akhir, saya abaikan bahagian tengah...lompat kerana bosan dengan jalan ceritanya). Sedangkan Tell Me Your Dreams, berjaya menimbulkan suspens saya.

Apa pun, penulis yang tetap menjadi favourite saya ialah anak kelahiran Britain, Jeffrey Archer. Karyanya memang ada ‘kelas’ yang tersendiri.

Pertama kali saya membaca novel Jeffrey Archer, saya terus jatuh cinta pada karyanya. Terpukau dan terpaku. Menjadi ketagih untuk membacanya. Tidak sabar-sabar menunggu kelahiran karya terbarunya. Sementara menunggu kelahiran itu, saya mengulangi baca karya-karyanya yang terdahulu. Paling cepat lahirnya buah tangan Archer ialah dalam lingkungan dua tahun. Untuk research sahaja, beliau mengambil masa setahun. Barangkali itulah rahsianya. Research yang detail. Dan setahun pula untuk menulisnya.

Sumber imej: http://www.dailymail.co.uk/home/books/article-534029/What-book.html

Tempoh dua tahun itu merangkumi enam minggu untuk menyiapkan draf pertama. Kemudian berehat empat minggu, kemudian barulah melakukan draf kedua. Kemudian berehat empat minggu lagi. Berbelas-belas draf ditulis sebelum menjadi sebuah karya hebat.




Kane and Abel (Qabil dan Habil dalam Melayunya barangkali!), novel saga pertama Archer yang saya ulati berkali-kali. Pernah dijadikan mini series TV dilakonkan watak utamanya oleh Peter Strauss dan Sam Neill. Pernah ditayangkan di TV Malaysia, ketika itu saya masih remaja. Saya tidak melepaskan peluang menonton cerita yang pernah saya baca ini.



Sumber imej: http://enzo.drale.com/books/images/18136594.JPG

Setiap judul karya Archer, terjual dan diulang cetak berjuta-juta naskhah. Justeru, Lord Archer mendapat gelaran ‘self made millionaire’ hasil daripada tulisannya. Archer tergolong dalam penulis ‘mainstream’ sebaris dengan Jackie Collins, Mc Cullough dan James Michener. Mereka ini mempunyai daya imaginasi yang tinggi dalam berkarya.
Kesimpulan yang saya dapati: Untuk menghasilkan novel yang hebat seseorang itu bukan setakat perlu menjadi penulis hebat tetapi juga mesti menjadi ‘pengkarya’ hebat dan ‘penglipurlara’ (story teller) yang hebat juga. Gabungan dua elemen inilah yang saya dapati kurang ada pada penulis-penulis kita era ini.

Apa sahaja genre daripada Archer baik saga, thriller atau cerpen, semuanya menepati citarasa saya. Di rumah, kami memiliki sebahagian besar koleksi karya Archer (sebahagian besar juga sudah hilang kerana pindah-randah).

Pernah dalam kelas sarjana di UM dulu, pensyarah membicarakan karya-karya Archer, alhamdulillah saya dapat menjawab soalan diajukan pensyarah dengan baik kerana terlalu meminati akan karyanya. Rakan-rakan lain seolah-olah tidak pernah dengar tentang author tersohor di seantero dunia ini. Ketika itu kami membincangkan novel Archer berjudul ‘The Fourth Estate’.

Selain Archer dan Sheldon, saya juga meminati novel-novel karya Dean Koontz, Dan Brown dan John Grisham.

Saya berdoa moga akan lahir juga karya-karya hebat tanah air (yang asli dan tidak terpengaruh dengan penulis antarabangsa lain). Pasti saya akan menjadi peminat setianya nanti, insya-Allah!

Perspektif saya ini sekadar pandangan peribadi, dan saya melihatnya dari sudut ‘saya sebagai pembaca’ bukan saya sebagai penulis novel kerana saya sendiri nyata tidak pandai menulis novel. Diharap tiada yang tersinggung. Saya juga tidak membandingkan kritikan saya ini dengan sasterawan negara kita kerana ternyata karya mereka hebat-hebat belaka dari sudut susasteranya, justeru sesuailah diangkat menjadi sasterawan negara. Apa pun, untuk buku-buku umum, saya tetap memilih buku bahasa Melayu kerana lebih menyenangi dan memahaminya!

----------------------

Sedikit info tentang Lord Jeffrey Archer dan karyanya:
- Buta IT (tidak pandai menaip), maka menulis tangan menggunakan pen dan kertas setiap patah perkataan.

- Selain novel, Archer juga menulis cerita pendek dan screen play.

- Sangat berdisiplin dengan waktu apabila menulis.

- Menulis tanpa meletakkan di kepalanya siapa pembaca sasarannya. Apa yang senang padanya, itulah yang ditulisnya baik saga, thriller mahupun cerita pendek.

- Tidak pernah merangka kesudahan cerita yang ditulisnya. Fokusnya hanya kepada empat atau lima bab pertama, dan 10 rangka berikutnya (pertengahan cerita). Semasa menulis beliau sendiri tertanya-tanya apa yang akan terjadi pada halaman berikutnya. Teori Archer ialah, jika beliau sendiri tertanya-tanya apa yang akan berlaku seterusnya, maka berkemungkinan besar, pembaca juga akan tertanya-tanya apa akan berlaku berikutnya. Formula inilah yang mengikat pembaca dengan novelnya hingga ke halaman terakhir.
- Akhir cerita dengan teknik ‘twist end’.

- Pernah dipenjarakan selama dua tahun kerana didapati bersalah bersumpah bohong dan putar belit.

- Merupakan bekas ahli politik Parti Conservative.

Ikuti wawancara Lord Jeffrey Archer di: http://www.telegraph.co.uk/news/yourview/1580464/Jeffrey-Archer-answers-your-questios.html

p.s: Alangkah bagus andai saya mampu mengkhatam dan menghadam kalamullah Al-Quran yang suci, mukjizat yang agung yang tiada tandingan sebagaimana saya mengkhatam dan menghadam novel J.A!

Tuesday, November 25, 2008

CERITA DI DALAM TANDAS


Dua kisah ini berdasarkan kisah benar yang diceritakan kepada saya oleh dua orang yang ada pertalian darah dengan saya; berlaku kepada dirinya atau orang tetapi dia ceritakan semula. Dan saya mengolahnya semula untuk paparan dan pengajaran buat semua.

Cerita 1
Kerana sudah tidak tahan sakit perut, Si A bergegas ke tandas. Aaah, lega rasanya! Segala yang mudarat dalam perut sudah dikeluarkan. Tatkala membuka kepala paip, “Alamak! Tak ada air,” rungut Si A. Kepalanya ligat mencari ikhtiar untuk membersih diri.

Fikir punya fikir, Si A teringat sesuatu. Dalam situasi genting dan darurat sebegitu, segalanya mungkin. Si A menyelak dompet yang ada di dalam poket seluarnya. “Syukur, mujur ada banyak,” bisik Si A di dalam hati. “Boleh guna ni…”

Pada pendapat pembaca budiman, apa agaknya yang ada di dalam dompet Si A? Apa yang digunakan Si A untuk membersih dirinya? Tisu mungkin? Mmmm…kurang tepat!

“Jangan buang, simpan dalam wallet. Mana tau kalau kena macam aku, baru tau macam mana rasa…boleh guna buat istinjak,” nasihat Si A kepada kami semua yang mendengar kisahnya sambil tergelak besar.

Jawapan kepada soalan di atas saya percaya dalam kebanyakan dompet saudara-saudari semua tentu ada: Slip penyata ATM…! (Huwaaa…waaa…waaa….!)

MORALNYA: Pertamanya simpan slip penyata ATM anda! Yang kedua, sakit perut macam mana pun, sebelum duduk di mangkuk tandas, periksa dulu air di kepala paip.

Cerita 2
Si B kehairanan, mengapa orang memandangnya sehingga terbeliak mata, mentertawakannya pula. Malas hendak bertanya barangkali, Si B terus ke tempat duduk di pejabatnya.

Sepanjang tempoh bekerja hari itu, orang memandang dan tersengih sinis. Si B semakin hairan. Si B memang suka melawak, jadi sangkaan ramai ini salah satu ‘practical joke’ terbarunya.

“Pelik, aku tak buat lawak pun dia orang ketawa,” bisik Si B, masih malas bertanya kenapa dia diketawakan.

Beberapa jam berlalu, Si B ke tandas. Sebaik memandang cermin, alangkah terperanjat badaknya Si B?

“Malunya akuuuuuuuuuuu…padanlah orang pandang semacam dan gelakkan aku,” kata Si B. Merah padam mukanya.

Apa agaknya yang menyebabkan Si B malu besar? Mengapa dia jadi bahan ketawa orang?

Si B cuba mengingat kembali insiden (‘tragedi’ barangkali lebih tepat!) yang menyebabkan dia malu besar pada hari itu. Sebelum itu dia ada sekali masuk ke tandas. Ya, sakit perut! Kerana gesaan keterlaluan agaknya dia terus membuka seluar (luar dan dalam) tanpa tangguh-tangguh, tanpa fikir apa-apa lagi dan tanpa sedar Si B telah bertindak secara ‘sub-conscious’ (dorongan tanpa sedar). Yang penting bagi Si B ialah dapat segera duduk di mangkuk tandas.

Lama dia ‘memerut’.

Selesai ‘urusan peribadi’nya di mangkuk tandas, seluar pun disarung. Masih dalam ‘sub-conscious’ agaknya, Si B tidak sedar yang dia hanya menyarung seluar yang di luar? Di mana pula seluar dalam Si B? Cuba teka.

Oo-oh! Rupa-rupanya dalam keadaan lintang-pukang hendak buang air besar, Si B telah menyarungkan seluar dalamnya di kepala dan lupa hendak menyarung semula di tempat yang sepatutnya. Si B telah keluar dari tandas dengan keadaan kepalanya bersarung seluar dalam. Patutlah diketawakan orang. Kah! Kah!

Gamaknya, itulah peristiwa paling pahit dan memalukan dalam hidup Si B. Khabarnya, keesokan hari Si B ‘MC’. Mcnya berlanjutan hingga dua minggu kerana teramat malu.

MORALNYA: Sakit perut macam mana pun, apabila hendak keluar dari tandas, periksa dulu diri dari kepala ke kaki…apa yang kurang atau apa yang terlebih. Ada tidak yang abnormalnya?

Monday, November 17, 2008

JANGAN TEGUR SAYA!

“Jangan bercakap masa ambil wuduk,” ujar ayah lebih 30 tahun dahulu apabila mendengar saya menyanyi lagu ‘Rindu Bayangan’ dendangan Jay Jay kumpulan Carefree yang sememangnya tengah top waktu itu. Ke mana-mana pergi dan di corong-corong radio pun, lagu itulah yang kendengaran; penangan ‘Carefree mania’. Dan lagu ‘Rindu Bayangan’ menjadi juara carta lagu popular di radio selama 13 minggu berturut-turut. Digilai semua peringkat umur tak kira kecil besar, tua muda.
“Sahabat Nabi dulu bila ambil wuduk, menggeletar, takutkan Allah. Itu belum lagi angkat takbir untuk solat. Tak dapat pahala nanti…” tegur ayah lagi. Sejak saat itu saya tidak pernah bersuara sepatah pun apabila berwuduk. Saya menyifatkan teguran ayah itu lebih berupa arahan yang mesti dipatuhi.
Hari ini, walau ke mana saya pergi, saya tetap memegang teguran ayah itu. Di pejabat, apabila ada rakan-rakan yang bertanya itu ini sewaktu berwuduk, saya tidak akan menjawab. Paling tidak pun saya mengangguk atau menggeleng atau menggunakan bahasa-bahasa isyarat lain. Saya rimas apabila ditegur orang sewaktu ambil wuduk. Saya juga takut jika air yang digunakan untuk membasuh anggota wuduk itu tidak akan menghapuskan dosa-dosa saya sebagaimana yang sepatutnya.
Kepada teman-teman, saya mohon... tolong jangan tegur saya sewaktu saya berwuduk. Apa yang mahu disuarakan itu, tangguhlah dahulu sehingga selesai kewajipan kita terhadap Allah taala. Jangan ambil mudah soal wuduk. Jangan main-main, dan berilah tumpuan sungguh-sungguh.
Kepada ibu bapa pula, suka saya menyeru jika mahu menegur tingkah laku anak, tegurlah sewaktu mereka masih kanak-kanak, kerana pada fasa usia itulah teguran akan melekat dan insya-Allah akan dipatuhi hingga dewasa...zaman kanak-kanak ialah waktu jiwa seseorang hamba Allah itu masih suci dan mampu menyerap segala kebaikan yang dilemparkan. Wallahua’lam.

video



SESIAPA YANG BERWUDUK DENGAN SEBAIK-BAIKNYA, MAKA AKAN KELUARLAH (HILANGLAH) KESALAHAN-KESALAHANNYA (DOSANYA ATAU DOSA KECILNYA), TERMASUK YANG DARI BAWAH (DALAM) KUKU-KUKUNYA. (Riwayat Muslim)

Sunday, November 9, 2008

Biarpun Seorang Cuma...

Setiap kali menerima undangan majlis tertentu, saya berfikir berulang kali sama ada hendak menghadirinya atau tidak. Tiada niat untuk sengaja tidak menghadirkan diri, tetapi apabila mengenangkan keadaan anak yang ‘sukar dikawal’ dalam keadaan orang ramai, saya jadi serba salah.

Pernah juga disindir kawan, ‘Alah, anak engkau sorang je, takkan tak boleh datang.’ Ada pula kawan yang perli, ‘Anak aku lagi ramai. Semua lasak-lasak. Anak engkau baru sorang takkanlah tak boleh bawa.’

Biarlah apa pun persepsi orang, saya lebih mengenali anak sendiri daripada orang lain. Jawapan dan alasan saya cukup mudah, ‘Sebab anak saya seoranglah saya kena jaga betul-betul.’ Saya dah tak ada anak lain. Dialah satu-satunya darah daging saya.

Saya paling susah hati jika membawa anak ke majlis keramaian. Pasti anak saya akan berlari ke sana ke mari. Mencelah-celah di celah orang ramai sehingga hilang dari pandangan mata. Ya, anak orang lain pun berlari ke sana ke mari. Tapi anak orang lain akhirnya akan mencari ibu ayahnya. Tetapi anak saya akan berlari bebas, makin dikejar makin jauh perginya. Jika tidak dikejar lagi dia seronok, bebas berlari tanpa peduli apa yang ada di kiri kanan depan dan belakangnya.Mudah saja dibawa lari orang.

Untuk membawa ke kedai membeli barang pun saya tidak berani. Kerana pantang lepa, dia pasti memecut melarikan diri…dia bangga dapat bebas!

Paling mendebarkan tatkala memandu kereta bersamanya tanpa ditemani sesiapa untuk mengawasinya. Hanya dia dan saya. Pintu kereta belakang sudah di’childlock’kan. Tak cukup dengan itu, tingkap cermin pula dibukanya. Maka handle pemutar tingkap terpaksa pula saya ikatkan supaya dia tidak dapat membukanya. Sesiapa yang menjadi penumpang belakang kereta saya pasti menghadapi kesukaran untuk keluar dari kereta (kena tunggu pintu dibuka dari luar). Alangkah baiknya jika pintu hadapan direka dengan childlock juga khusus untuk tujuan ini!

Pada 27 Oktober 2008 (cuti Deepavali) lalu, ketika pulang dari rumah emak, seperti selalu saya mengambil laluan LDP untuk pulang ke rumah di SS2, seperti biasa anak saya duduk di hadapan. Baru sahaja melalui bawah flyover, saya terdengar seakan pintu terbuka…saya sangka saya tersalah dengar kerana selama ini pintu akan automatik terkunci apabila menekan brek. Mata saya terfokus pada pemanduan dan jalan. Tiba-tiba anak saya bersuara, “Mak, Ammar buka pintu.” Allahu akbar…bagai mahu gugur jantung. “JANGAN BUKA PINTUUUUUUU…BAHAYAAA…” belum pernah saya memekik sekuat itu hingga perit anak tekak.

Spontan tangan kiri saya menarik anak dan mencapai pintu di sebelahnya yang sudah hampir sekaki terbuka sambil sebelah tangan cuba mengawal stereng dan pedal di kaki…cuba kawal kelajuan kereta. Mata saya tidak terfokus ke jalan tetapi kepada anak dan pintu. Pasrah...minta Allah selamatkan. Dalam keadaan itu sukar hendak memutar stereng untuk ke tepi jalan dan memberhentikan kereta kerana saya berada di lorong tengah. Tak dapat dibayangkan jika pintu itu terbuka sepenuhnya…pasti saya tidak dapat mencapainya. Mungkin juga anak saya akan tergolek jatuh keluar. Mujur juga waktu malam jalan tidak sibuk.

Tiba di rumah saya menggigil. Degup jantung jelas kedengaran pantas.

Sebenarnya itu bukan kejadian pertama. Pertama kali insiden pintu kereta dibuka anak tak semena-mena ialah sewaktu umurnya hampir setahun. Ketika itu saya meribanya dan suami yang memandu. Kejadian berlaku di Kota Bharu. Lampu trafik baru sahaja bertukar hijau, kereta kami yang baru hendak maju ke depan tiba-tiba terbuka pintu di sebelah saya seluas-luasnya. Aduh, ya Allah, entah bila tangan kecilnya menarik pembuka pintu. Jika ada kenderaan laju dari sebelah kiri, tentu akan berlaku insiden yang tidak diingini.

Lantaran itu, saya takut menerima undangan yang melibatkan kehadiran ramai orang. Atau ke restoran mana pun saya tak mahu. Sudah serik. Saya juga tidak berani membawa anak ke rumah orang yang penuh dengan hiasan cantik-cantik. Terlalu berisiko. Di rumah emak saudaranya, dia pernah membaling batu-batu kristal seperti membaling bola.

Ketika memenuhi janji temu dengan doktor di hospital, doktor pun pernah menolong mengejarnya. Untuk scan ‘ECHO’ jantungnya, pernah diberi ubat tidur dua kali kerana dos pertama tidak berkesan. Pernah juga apabila keluar dari bilik doktor dia menerpa orang yang tidak dikenali dan membawa lari Twisties yang sedang dimakan orang tersebut…terpinga-pinga wanita itu…betul, saya malu dan berkejar ke kedai berdekatan untuk membeli Twisties lain sebagai ganti.

Saya sering mendengar, kawan-kawan bercerita tentang anak masing-masing, tentang nakal mereka…jika itu anak saya, saya amat bersyukur jika tahap lasak anak saya seperti anak mereka.

Sudah beberapa orang berkata, “Besar esok, habislah lasaknya tu. Insya-Allah, jadi anak baik, anak cerdik.” Lapang dada mendengar kata-kata itu. Saya mengaminkannya dengan penuh pengharapan agar kata-kata itu benar dan menjadi kenyataan. Bukan sekali dua air mata gugur dalam menghadapi pengalaman membesarkannya…(banyak kali).

Tatkala orang lain diuji kesabaran dengan kurniaan anak yang ramai, sesungguhnya saya diuji sabar dengan hanya seorang anak!

Thursday, November 6, 2008

SUATU KETIKA

“Dik, Mi Ibu dah habis ke?” soal saya kepada pembantu kedai Pasaraya Taman Tun pada suatu hari.
“Ha‘a, dah habis, kak,” jawabnya.

Jika 10 tahun dahulu, barangkali dialognya begini:

“Kak, Mi Ibu dah habis ke?”
“Ha‘a, dah habis, dik.”

Di dalam kereta saya duduk termangu… “Dah tua dah aku ni…”

SUATU KETIKA dahulu, saya meng‘akak’kan dan meng‘abang’kan orang, mem‘pak cik’ dan me‘mak cik’kan orang, dan saya di‘adik’kan orang. Hari ini tiba giliran saya di‘akak’kan dan di‘mak cik’kan orang. Jika panjang umur, maka akan di’nenek’ atau di ‘atuk’kan pula.

Perubahan gelaran dan pangkat diri di samping uban yang mula muncul sehelai dua di kepala merupakan peringatan kepada saya supaya menggesa diri untuk mula giat mengumpul bekalan untuk ke ‘sana’. Persediaan saya untuk kembali kepada al-Khaliq sangat-sangat tidak memuaskan! Diandaikan gred pencapaian di sekolah agaknya saya hanya mendapat ‘D-’ (gagal) atau lebih teruk daripada itu. Allah…!

Wahai diriku yang sentiasa alpa,
bangunlah, bangkitlah…agungkanlah Tuhan dan Rasulmu!

Waktu yang silih berganti, dasawarsa yang datang dan pergi pasti akan mengubah status dan gelaran setiap diri. Pangkat yang diberi kepada kita secara automatik ini tanpa kita memintanya, mahu tidak mahu haruslah kita menerimanya dengan lapang dada dan senang hati.

SUATU KETIKA dahulu, mata kita terang, kulit tegang, rambut legam.
SUATU KETIKA akan tiba saatnya mata kita rabun, kulit kendur, rambut putih.
SUATU KETIKA pasti tiba detiknya, maut datang menjemput!

Anda, bagaimana?

Tuesday, November 4, 2008

KAKI AYAM PUNYA PASAL

Ahad lalu saya telah minta tolong emak untuk belikan sedozen kaki ayam kerana anak saya sangat suka kaki ayam. Sentiasa ada stok walaupun saya sendiri agak geli dengan kaki ayam. Tapi anak punya pasal, terpaksalah juga...

Maka emak pun membelikan RM2 kaki ayam. Mak tidak menyangka kaki ayam RM2 begitu banyak kuantitinya (penuh plastik beg). "Nak cancel, malulah pulak, beli ajelah," kata emak. "Lagipun murah sangat," katanya lagi. Demikianlah murahnya nilai 'sepasang' kaki ayam.

"Nak buat apa pun tak tau," beritahu emak pening memikirkan kaki ayam yang terlalu banyak. Akhirnya mak merebus kaki-kaki ayam itu supaya mudah disimpan dan tahan lama.

Bagi memecah kebuntuan emak, lalu saya tawar diri untuk memasaknya...resipi paling mudah dan cepat ialah tomyam, tambahan pula kaki ayam pun emak sudah rebus. Mudahlah sedikit kerjanya. "Tak palah mak, biar 'orang' jamu orang di pejabat esok," kata saya. Emak lega mendengarnya lalu pantas dia memetik daun limau purut dan mengambil serai yang ditanamnya.

Kalau diikutkan, saya ini dikategorikan orang yang malas memasak, tapi kerana kesiankan emak yang membelikan kaki ayam, maka saya paksa diri.

"Aik, tak luak pun kaki ayam. Engkau letak banyak mana?" tanya mak.

"Banyak dah. Banyak-banyak nanti takut orang geli nak makan," jawab saya.

Maka hari ini, rakan-rakan di pejabat dijamu dengan tomyam kaki ayam. Tak sangka pula mereka ini selamba saja makan kaki ayam (hingga ke sekecil-kecil sendi ayam pun licin!)...

Lebih menarik, jiran sebelah meja saya, Suriati pula membawa mi kari...saya cuma dapat mengecap 'seround' saja mi karinya. Untuk pusingan kedua, saya tidak berpeluang kerana kuahnya sudah habis...huaaaaaaaa...huaaaaaaaaa!

Sahabat lama, En. Abu pula membawa sebekas kuih tradisional bernama 'kalamai' (or is it kelemai, ejaannya?) Sedap, ala-ala kuih bulan enaknya. Menurut En. Abu penyediaannya hampir sama dengan menyediakan lemang...dimasak di dalam buluh, cuma tidak dimasukkan gulungan daun pisang sebagaimana lemang.

Sesuatu yang saya akui...orang-orang di Galeri Ilmu memang sejak dulu murah rezeki dengan makanan... itulah 'berkat' barangkali. Wallahua'lam...
P/S: Terima kasih Khairul, En. Yusof dan En. Zuraimi yang telah sudi menolong mengangkat naik dua belanga 'kaki ayam' saya.