Friday, August 29, 2008

Moving Out

Berpindah dari satu tempat ke satu tempat baru memang memenatkan. Apatah lagi pindah pejabat. Beratus-ratus kotak perlu diangkut. Meja-meja perlu dibuka satu per satu supaya ruang di dalam lori dapat digunakan semaksimum yang boleh. Memang renyah. Memang meletihkan. Kudrat dan keringat bukan sedikit ditumpahkan.

Apa pun perpindahan syarikat Galeri Ilmu Sdn. Bhd. berjalan dengan lancar dan jayanya kerana semangat setiakawan dan gotong-royong tetap padu. Bagi staf yang bercuti mahupun sibuk dengan tugas, ada pula rakan lain yang menyumbangkan tenaga mereka membantu memindahkan barang sahabat yang tiada di pejabat...







Sunday, August 24, 2008

House Warming GISB

Setelah sekian lama menanti, akhirnya pada Khamis lalu warga Galeri Ilmu Sdn. Bhd. menjejakkan kaki ke premis baru milik sendiri di Kota Damansara untuk sama-sama membaca Quran. Mudah-mudahan dengan terdengarnya kalimah-kalimah suci dari Kalam Allah Taala itu, akan ada berkat daripada-Nya.

Masing-masing membaca juzuk yang ditetapkan. Maka khatamlah seluruh isi al-Quran pada tika itu. Biarpun saya mendapat juz yang paling mudah dan ada yang iri hati (uhuh...!!) saya terkial-kial menyudahkan bacaannya kerana ada ulser di bawah lidah, amat menyeksakan, amat menyakitkan.

Inilah beberapa imej majlis ringkas baca Quran di pejabat baru GISB yang penuh ceria berwarna-warni persis Taman Asuhan Kanak-kanak.

Monday, August 18, 2008

NISFU SYAABAN YANG SAYA AMAT KASIH

"Klu lapang, bc yasin mlm ni, mlm nisfu sya'ban" begitu SMS yang saya terima daripada adik menyampaikan pesanan ayah pada 16 Ogos lalu.

Malam Nisfu Syaaban -- saya sentiasa menunggunya saban tahun kerana ia menjadi acara tahunan keluarga kami sejak dulu. Namun pada malam Nisfu Syaaban yang baru lalu entah macam mana saya terlupa walaupun saya tetap menunggu kedatangannya. Barangkali dek kerana kalut dengan anak, saya terlupa (silap menghitung tarikh bulan Islam). Kalau saya mengingatinya, pasti awal-awal lagi saya akan bertandang ke rumah mak ayah untuk sama-sama membaca Yaasin dengan ahli keluarga.

Memang Nisfu Syaaban menjadi acara tahunan keluarga. Walaupun sesetengah anak yang sudah berkeluarga tinggal bertebaran, ayah tidak lupa mengingatkan kami.

Seingat saya, ayah tidak pernah tertinggal untuk mengajak dan mengumpul keluarga membaca Yaasin setiap kali tibanya Nisfu Syaaban.

"Klu pergi ke sna sekrg smpat lagi x bc yasin?" saya membalas SMS adik.

"Sempat lg. Kakak tengah mandi, Uncle Z tengah makan" balas adik.

'Kakak' ialah gelaran cucu sulung ayah, manakala 'Uncle Z' bapa saudara kami, adik kepada emak baru tiba dari Johor bersama keluarganya kerana menumpang bermalam untuk menghadiri majlis perkahwinan waris di Lembah Klang keesokan hari.

Saya bersyukur kerana jarak ke rumah emak ayah tidaklah jauh. Tanpa menukar pakaian saya mencapai tudung, beg duit yang tidak berduit kerana lesen memandu di dalamnya dan keperluan anak lalu terus memandu ke rumah mak ayah.

Sebaik tiba, ahli keluarga sedang membaca Yaasin hujung pusingan kedua. Alahai terlepas juga. Saya cuma sempat membaca Yaasin untuk pusingan ketiga. Sedih juga kerana saya mahu dedahkan kepada anak sendiri bagaimana ayah kami yakni 'Sidi'nya mendidik kami mengenali hal-hal keagamaan. 'Sidi' ialah gelaran mesra untuk ayah kami yang dipanggil oleh cucu-cucunya. Sebutan Arabnya 'Sayidi'. Kami adik-beradik juga menggelar Allahyarham datuk kami dengan gelaran 'Sidi'.

Pada malam itu 14 Syaaban 1429/16 Ogos 2008, buat pertama kalinya rumah ayah/emak bergema kuat dengan bacaan Yaasin kerana kebetulan bapa saudara saya itu yang kaya dengan anak lelaki turut memeriahkan bacaannya bersama anak-anak dan isteri beliau.

Biarpun abang sekeluarga di Desa Coalfield, juga adik sekeluarga di Kajang tidak dapat menyertainya, majlis bacaan Yaasin Nisfu Syaaban kali ini tetap meriah dan meninggal bekas di hati.

Memang seingat saya, walaupun ketika itu saya masih kecil dan hanya baru mengenali alif ba ta, ayah sudah mendidik kami adik-beradik membaca Yaasin pada malam Nisfu Syaaban. Biarpun sesetengah orang mengatakannya bidaah, ia tetap bidaah hasanah yang baik dan harus diamalkan.

Ketika saya kecil, sewaktu tinggal di Kota Bharu, saya cuma mendengar ahli keluarga lain membaca Yaasin, saya cuma 'menebeng' mendengarnya. Ketika itu juga saya tidak mengerti erti sebenar malam Nisfu Syaaban. Cuma memerhati, mendengar serta menadah tangan mengaminkan setiap doa yang ayah bacakan.

"Baca kali pertama niatkan umur kita panjang..." begitu kata ayah. Lalu masing-masing pun penuh khusyuk membaca Yaasin (maklum, siapa yang mahu mati cepat!) Lalu bergemalah, "Yaasin, wal Qur-aanil hakiim...innakala minal mursaliin..."

"Baca kali kedua, minta Allah jauhkan segala bala..." kata ayah. Maka bergema lagi Yaasin disusuli doa.

"Baca kali ketiga yang akhir minta Allah jadikan kita orang paling kaya daripada sekalian manusia, dan minta Allah teguhkan iman dan mati kita dalam iman," ujarnya dan selesai Yaasin, doa diaminkan untuk kesekian kalinya.

Apabila pandai membaca Muqaddam, saya merangkak-rangkak mengikut bacaan Yaasin ahli keluarga yang lebih tua. "Tak nak baca dengan ayah. Ayah baca laju. Nak baca dengan mak..." Masih jelas di ingatan butir tutur kata saya waktu itu.

Setiap kali saya meninggikan suara, "Mak, jangan cepat sangat..." maka emak pun mengurangkan kelajuan bacaannya. Tetapi ayah memang ekspres, abang dan kakak pula boleh tahan 'speed' mereka. Cuma saya sahaja yang terhegeh-hegeh. Selesai saya dan emak menghabiskan bacaan barulah ayah membaca doa.


Ya, ayah tidak pernah tertinggal menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan bacaan Yaasin bersama ahli keluarga. Cuma anak-anaknya apabila hidup bertebaran kerana melanjutkan pelajaran atau telah berkeluarga, terkadang tertinggal untuk bersama keluarga melaksanakannya. Tetapi ahli keluarga di rumah ayah tetap duduk bersama melakukannya. Dan ayah pula tidak lupa menyampaikan pesan kepada anak-anak yang tiada di hadapan matanya.

Saya pula ketika di kampus 'tiada di dalam memori' yang menunjukkan sama ada saya membaca Yaasin atau tidak pada malam Nisfu Syaaban, atau adakah saya mengikuti program membaca Yaasin anjuran kolej di kampus? Sungguh, saya tidak ingat. 'Ketidakingatan' itu barangkali besar menandakan saya tidak melakukannya. Kalau melakukannya pasti saya ingat, kerana membaca Yaasin pada malam Nisfu Syaaban sangat bermakna dalam hidup saya. Pada waktu itu pula manalah ada telefon bimbit yang memudahkan perhubungan untuk tujuan pesan-memesan.

"Mari kita ramai-ramai baca Yaasin di masjid. Malam ni Nisfu Syaaban," kata Ustaz Amaluddin mengajak kami (Cikgu Abu, En. Al, Bai, En. Li, Zul, Bad, saya dan Wisma) ke Masjidil Haram, sewaktu dalam rangka kembara kami membuat rakaman dokumentari Salam Timur Tengah a.k.a Salam Haramain di Tanah Arab. Ya, malam Nisfu Syaaban yang satu ini saya cukup ingat.

"Duduk jarak-jarak, jauh-jauh sikit, tak payah berkumpul sebab orang Arab tak amalkan baca Yaasin malam Nisfu Syaaban. Bidaah...nanti kena tangkap pula," pesan Ustaz Amal. Maka di aras ataslah pilihan kami di Masjidil Haram. Kerana aras itu tiada ramai jemaah. Maka itu juga pada Nisfu Syaaban 1421H, bacaan Yaasin cuma satu pusingan dan tanpa iringan doa. Sendiri-sendiri baca sambil menunggu azan Isyak dikumandangkan di masjid suci itu.

Biarpun ada pendapat mengatakan bacaan Yaasin pada malam Nisfu Syaaban sesuatu yang bidaah, tetapi bagi yang mengamalkannya dapat merasakan 'kelebihannya', dapat merasakan rahman dan rahim Allah sentiasa bersama. Paling tidak ia merapatkan ahli keluarga kami.

Terima kasih ayah!


SABDA NABI SAW:


"Sesungguhnya setiap sesuatu mempunyai jantung dan jantung al-Quran itu ialah Yaasin. Sesiapa membaca surah Yaasin, nescaya Allah menuliskan pahalanya seperti pahala membaca al-Quran sebanyak 10 kali."

Wednesday, August 13, 2008

Antara 'Connect' dan 'Konek'

CONNECT ialah perkataan Inggeris yang membawa maksud 'hubung' atau 'rangkai' atau 'sambung'.

KONEK ialah bahasa kasar Melayu untuk menyebut alat kelamin lelaki yang mana anak saya menyebutnya tonet.

CONNECT ialah 'kata kerja'/'perbuatan' manakala KONEK pula 'kata nama'.

Antara CONNECT dan KONEK membawa maksud yang sangat berbeza dan juga dalam bahasa yang berbeza. Tapi antara keduanya ada persamaan yang saya percaya ramai di kalangan kita barangkali tidak perasan. Mari sama-sama kita lihat persamaannya.

Cuba sebut CONNECT. Sebutlah...sebut...sebut kuat-kuat.

Sekarang cuba sebut pula KONEK...sebutlah sebut, juga kuat-kuat...tak payah malu-malu.

Tentu sebilangan besar daripada anda menyebut 'CONNECT' sebagai 'KONEK', kan?

Haah...kan ke sama tu? Persamaannya pada bunyi sebutan.

Mujur saya diberi rezeki pernah tinggal di negara orang putih, jika tidak kebarangkalian besar saya juga akan menyebut CONNECT sebagai KONEK...tapi apabila telah tahu sebutan yang betul, terasa janggal di telinga apabila mendengar orang menyebut CONNECT sebagai KONEK. Maka, saya tidak sekali-kali menyebut CONNECT dengan sebutan KONEK.

Bagi perkataan Inggeris lain yang pangkalnya juga bermula dengan 'CO...' saya tidaklah kisah dan tak ambil pusing pun bila orang kita menyebutnya walaupun sebutannya salah. Cuma perkataan CONNECT yang disebut KONEK sahaja yang saya agak sensitif...kerana bunyi sebutan menyamai KONEK. Lainlah kalau disebut 'TONET' sebagaimana anak saya yang berusia 3 tahun itu menyebutnya.

SEBUTAN BETUL (jika dieja dan disebut dalam Melayu) ialah KE-NEKT. Bunyi dan sebutan 'CO...' sama sebagaimana kita menyebut awal perkataan melayu 'KE-adaan' atau 'KE-malangan'.

Memang banyak juga perkataan Inggeris yang berpangkalkan 'CO...' disebut 'KE..' seperti 'KEm-plit' untuk COMPLETE (bukan disebut KOm-plit), 'KEn-fius' untuk CONFUSE (bukan disebut KON-fius)...tapi tidak mengapalah kerana tiada perkataan Melayu yang boleh diasosiasikan dengannya. Hingga menjadikannya double meaning bagi mereka yang peka.

Cuma CONNECT sahaja yang agak melucukan, barangkali juga agak 'XXX'. Hmm...Sesekali mempelajari sebutan 'vowels' dan 'dipthongs' memang menarik.

Sama-sama kita fikirkan...masih nak sebut 'KONEK' atau 'KENEKT'?
Tidak menjadi hal jika anda benar-benar merujuk kepada 'KONEK' dan bukannya 'CONNECT'.

Suka juga saya menyentuh sebutan perkataan FLOUR... tapi mungkin pada masa akan datang.

Tuesday, August 12, 2008

"MAK, BAS KENCING"




Pada suatu pagi nan tenang, saya memandu dalam perjalanan hendak ke pejabat bersama anak untuk dihantar ke taska. Ketika tiba di lampu isyarat 1 Utama, perjalanan terhenti dek kerana lampu isyarat bertukar merah. Di sebelah kiri kereta saya ialah sebuah bas awam menuju ke Mutiara Damansara. Anak saya teruja melihat bas besar di sebelah lorong kiri sama-sama berhenti menanti lampu hijau.

Tiba-tiba anak saya Ammar Hadi bersuara, "Mak, bas cencing." (cencing = kencing)

"Haah, bas kencing?" saya kurang percaya, tetapi pastinya seorang anak kecil belum pandai menipu.

Tuu...tuuu mak, bas cencing...tinot mak," katanya lagi beriya-iya. (Tinot = tengok)

Kerana saya duduk di sebelah pemandu, maka tidaklah dapat melihat apa yang sedang ditunjukkan oleh anak.

Lampu bertukar hijau...

Bas berkenaan bergerak ke depan dan saya ke kanan...semasa saya membelok nampaklah keseluruhan bas dan di belakangnya air mengalir turun ke jalan raya. Fahamlah saya 'bas kencing' yang dimaksudkan merujuk kepada air penyaman udara bas itu.


Pada suatu hari yang lain...saya mencekah manggis untuk anak. Manggis buah kegemarannya. Kedua tapak tangan saya berlumuran dengan warna kulit manggis.

"Dayah...tangan mak dayah..." (Dayah = darah)


"Ini bukan darah, ini warna kulit manggis. Darah warna merah, ini warna purple," saya jelaskan. Entah faham entah tidak.

Oooo...kesimpulannya...proses pembelajaran anak memang sesuatu yang menarik, yang terkadang mencabar keupayaan kita mencari kaedah terbaik untuk diaplikasikan kepadanya. Dan seorang anak mengasosiasikan apa yang dilihat dengan kehidupan manusia. Andai buruk akhlak kita di hadapannya, maka jangan hairan jika dia mengaplikasikan akhlak buruk itu di dalam hidupnya yang sudah pasti akan menyakitkan hati dan mata manusia di sekelilingnya nanti, lebih-lebih lagilah hati kita dan mata kita yang memandang. Jangan salahkan si anak, jangan salahkan sesiapa melainkan diri kita sendiri.

Thursday, August 7, 2008

Aku Tak Faham Bahasa IT

Ini pengakuan ikhlas...aku ni jahil bahasa IT...bahasa komputer. Aku kena edit buku yang ada kaitan dengan bidang ni. Banyak benda yang aku tak reti...aku dok pikir macam mana nak edit buku ini kalu aku ni buta bahasa IT. Setakat guna komputer sesikit & nak akses internet tu tahu gak ler ala kadar. Masa nak construct dan set up blog aku ni pun terkial-kial. Apalagi yang tinggi dari tu.

Itu baru Bab 1 buku tu...kira baru intro lah. Bab-bab seterusnya entahlah tak tau aku! Adusss...terasa benar kelemahan diri bila kena explore benda yang di luar bidang ilmu aku yang amatlah ciput nih. Itu pun aku rasa penulis buku tu dah guna bahasa yang paling mudah dan ringkas, tapi aku masih slow nak tangkap.

Uwaaaaaaaa... uwaaaaaa... huuuuu...huuuu.........

Monday, August 4, 2008

MALAS YANG MELAMPAU (GENERASI ANAK DERHAKA)

“Dah tak tahu nak buat apa, pakaian dalam kotor bersepah-sepah. Patutnya ‘yang dalam-dalam’ tu urus sendiri, bukannya urusan ‘maid’. Itukan barang sangat peribadi, tak ada rasa malu langsung...” Begitu kata kakak ipar menceritakan perihal sikap anak gadis sahabatnya. Alamak...saya mendengarnya pun malu. Kalau remaja itu lelaki, masih boleh dimaafkan lagi...tapi ini perempuan...entah ke mana sudah hilangnya perasaan malu yang sepatutnya ada pada seorang perempuan?


Entah apa gerangan yang menghantui remaja hari ini...malasnya seolah-olah tiada penghujung. Menyaksikan kerenah dan gelagat remaja hari ini membuatkan saya berasa cuak. Bukan membenci mereka secara lahiriahnya, tetapi saya cukup meluat dengan sikap mereka yang amat-amat malas. Adoi...doi...


“Lampu, kipas...pun malas nak tutup. Aku dah tak reti nak tegur budak-budak ni...” ngomel seorang teman yang juga mempunyai seorang anak remaja perempuan. "Yang rajinnya ada, rajin tengok TV, rajin makan, rajin tidur, rajin layan internet..." sambungnya. Saya sekadar mendengar dan amat memahami.


t h e y a r e j u s t t o o l a z y !


c o m p l e t e l y l a z y !



Ya, kita semua pernah melalui zaman remaja. Dan setiap fasa dan zaman yang ditempuhi itu cuma sekali, maka mengapa mesti dipersiakannya? Sebagai remaja dahulu, ya saya akui diri ini pun malas juga, tetapi seingat akal saya yang masih waras ini, malas saya tidaklah seperti remaja hari ini hingga mengorbankan solat wajib lima waktu sehari. Semalas-malas saya juga tidak pernahlah membiarkan kain di ampaian tidak berangkat berminggu-minggu hingga menyusahkan orang lain pula hendak menjemur kain. Sebaik kering terus angkat, lipat dan simpan. Semalas-malas saya membasuh kain tidak juga hingga membiarkannya berhari-hari di dalam mesin basuh tidak berjemur hingga menyukarkan orang lain hendak membasuh pakaiannya. Semalas-malas saya membasuh pinggan yang digunakan untuk makan juga tidaklah hingga dibiarkan bersepahan di sana sini, habis makan terus bawa ke dapur dan basuh.

"Setiap waktu aku call tanya anak kat rumah dah sembahyang ke belum. Kalau depan aku pun liat nak buat, apatah lagi kalau aku tak da di rumah. Dia kata dah sembahyang, tapi aku rasa belum lagi...dah tu dah pandai simpan kuku panjang...pening akulah," luah kenalan saya itu.

Ini cuma sebahagian contoh malas beberapa orang remaja yang cukup saya kenali. Hanya Allah sahaja yang tahu gelodak hati apabila berdepan dengan kemalasan remaja. Berbuih mulut menegur, lelah memberi nasihat, langsung tidak nampak kemajuan perubahan sikap. Akhirnya orang tua yang diperhambakan untuk mengemas segala kotor dan sepah di dalam rumah. Sedangkan orang tua pulang ke rumah mahu juga merehatkan lesu tubuh kerana seharian bekerja mencari rezeki.

Anak remaja tidak sensitif dengan perasaan orang tua. Tidak ada hati langsung untuk tawar diri hulur tangan ringankan tulang mengurangkan beban orang tua. Tidak pula berasa malu untuk menjamah masakan orang tuanya biarpun penat masih sudi untuk menyediakan makanan untuk mereka...tetapi lain pula balasannya yang diterima orang tua. Inilah kederhakaan remaja hari ini terhadap orang tua...benarlah, generasi akhir zaman akan menjadi hamba kepada anak sendiri!

Yup! They are very very selfish. Only think about themselves. They just do not care what others feel. I blame the technologies for one!

Hampir sebahagian besar waktu dalam sehari dihabiskan depan komputer menghadap internet, atau TV untuk menonton DVD atau program hiburan. Apabila lapar, masuk dapur cari makan minum yang kemudiannya disumbat masuk ke mulut sambil menghadap TV atau komputer. Selesai menyantap, pinggan mangkuk dibiarkan sahaja. Paling ‘baik’ dibawa masuk ke dapur longgok di dalam singki. Jarang sekali nampak dibasuh dengan segera. Penat menghadap TV dan komputer, terbongkang tidur berjam-jam lamanya hingga bangun keesokannya dan melalui rutin yang sama setiap hari.

Apa pun, selain landaan gelombang teknologi, berani saya katakan sebahagian besar remaja hari ini menjadi begini kerana ibu bapa yang tidak mementingkan didikan agama sejak kecil. Malah ibu bapa sendiri jahil agama. Setelah meningkat remaja, hati anak-anak menjadi sekeras batu. Ibu bapa mementingkan kebendaan, kerjaya dan anak-anak yang kebanyakan masa dibiarkan membesar di tangan pembantu rumah. Dan anak-anak ini dilambakkan dengan material fizikal tanpa diimbangi material rohani. Maka tiadalah benteng agama ampuh terbina dalam diri dan jiwa seorang hamba Allah bergelar remaja.

Inilah realiti remaja hari ini yang sudah hilang sahsiah diri. Mudah saja minda mereka dijajah teknologi hingga menghancurkan peribadi luhur. Lalu tarbiah apakah yang perlu kita berikan? Setakat kudrat dan usaha yang terdaya dilakukan cumalah pendekatan nasihat (barangkali juga sudah bertukar rupa menjadi leteran dan bebelan dek kerana nasihat cara baik tidak diendahkan). Masuk telinga kiri keluar telinga kanan atau bagai mencurah air ke daun keladi dan pisang. Alangkah baik jika minda mereka umpama span yang mampu menyerap air!
Sabda Nabi SAW: Sesiapa antara kamu yang melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya. Jika tidak sanggup, ubahlah dengan perkataannya. Dan jika tidak sanggup maka ubahlah dengan hatinya, dan itulah yang paling lemah imannya. (HR Muslim)

Wahai Allah...musibah apakah ini? Masih adakah harapan untuk kami menyelamatkan remaja-remaja ini dan juga menyelamatkan kami sendiri yang semakin hari semakin tipis sabar dalam menghadapi mereka? Berilah kekuatan kepada kami untuk meneruskan perjuangan mendidik ini... inilah jihad kami janganlah Engkau biarkan kami tanpa petunjuk. Janganlah Engkau biarkan kami berputus asa.

Hanya doa yang mampu dilakukan, mudah-mudahan suatu hari mereka berubah. Moga Allah taala yang kaya dengan rahmat dan kasih sayang-Nya sudi membantu. Moga Allah memberi petunjuk dan hidayah dan tidak membiarkan kita semua terus-terusan dalam kemaksiatan.

Sulitnya hendak menegakkan yang haq dan mencegah nahi mungkar. Mudah-mudahan masih ada ruang di hati anak-anak remaja ini untuk disinari cahaya iman, biarpun ruang itu saiznya lebih kecil daripada sebutir zarah. Juga doakan kita semua menjadi hamba Allah yang sami’na wa ato’na dan akhir hayat kita dengan husnul khatimah.