Monday, August 4, 2008

MALAS YANG MELAMPAU (GENERASI ANAK DERHAKA)

“Dah tak tahu nak buat apa, pakaian dalam kotor bersepah-sepah. Patutnya ‘yang dalam-dalam’ tu urus sendiri, bukannya urusan ‘maid’. Itukan barang sangat peribadi, tak ada rasa malu langsung...” Begitu kata kakak ipar menceritakan perihal sikap anak gadis sahabatnya. Alamak...saya mendengarnya pun malu. Kalau remaja itu lelaki, masih boleh dimaafkan lagi...tapi ini perempuan...entah ke mana sudah hilangnya perasaan malu yang sepatutnya ada pada seorang perempuan?


Entah apa gerangan yang menghantui remaja hari ini...malasnya seolah-olah tiada penghujung. Menyaksikan kerenah dan gelagat remaja hari ini membuatkan saya berasa cuak. Bukan membenci mereka secara lahiriahnya, tetapi saya cukup meluat dengan sikap mereka yang amat-amat malas. Adoi...doi...


“Lampu, kipas...pun malas nak tutup. Aku dah tak reti nak tegur budak-budak ni...” ngomel seorang teman yang juga mempunyai seorang anak remaja perempuan. "Yang rajinnya ada, rajin tengok TV, rajin makan, rajin tidur, rajin layan internet..." sambungnya. Saya sekadar mendengar dan amat memahami.


t h e y a r e j u s t t o o l a z y !


c o m p l e t e l y l a z y !



Ya, kita semua pernah melalui zaman remaja. Dan setiap fasa dan zaman yang ditempuhi itu cuma sekali, maka mengapa mesti dipersiakannya? Sebagai remaja dahulu, ya saya akui diri ini pun malas juga, tetapi seingat akal saya yang masih waras ini, malas saya tidaklah seperti remaja hari ini hingga mengorbankan solat wajib lima waktu sehari. Semalas-malas saya juga tidak pernahlah membiarkan kain di ampaian tidak berangkat berminggu-minggu hingga menyusahkan orang lain pula hendak menjemur kain. Sebaik kering terus angkat, lipat dan simpan. Semalas-malas saya membasuh kain tidak juga hingga membiarkannya berhari-hari di dalam mesin basuh tidak berjemur hingga menyukarkan orang lain hendak membasuh pakaiannya. Semalas-malas saya membasuh pinggan yang digunakan untuk makan juga tidaklah hingga dibiarkan bersepahan di sana sini, habis makan terus bawa ke dapur dan basuh.

"Setiap waktu aku call tanya anak kat rumah dah sembahyang ke belum. Kalau depan aku pun liat nak buat, apatah lagi kalau aku tak da di rumah. Dia kata dah sembahyang, tapi aku rasa belum lagi...dah tu dah pandai simpan kuku panjang...pening akulah," luah kenalan saya itu.

Ini cuma sebahagian contoh malas beberapa orang remaja yang cukup saya kenali. Hanya Allah sahaja yang tahu gelodak hati apabila berdepan dengan kemalasan remaja. Berbuih mulut menegur, lelah memberi nasihat, langsung tidak nampak kemajuan perubahan sikap. Akhirnya orang tua yang diperhambakan untuk mengemas segala kotor dan sepah di dalam rumah. Sedangkan orang tua pulang ke rumah mahu juga merehatkan lesu tubuh kerana seharian bekerja mencari rezeki.

Anak remaja tidak sensitif dengan perasaan orang tua. Tidak ada hati langsung untuk tawar diri hulur tangan ringankan tulang mengurangkan beban orang tua. Tidak pula berasa malu untuk menjamah masakan orang tuanya biarpun penat masih sudi untuk menyediakan makanan untuk mereka...tetapi lain pula balasannya yang diterima orang tua. Inilah kederhakaan remaja hari ini terhadap orang tua...benarlah, generasi akhir zaman akan menjadi hamba kepada anak sendiri!

Yup! They are very very selfish. Only think about themselves. They just do not care what others feel. I blame the technologies for one!

Hampir sebahagian besar waktu dalam sehari dihabiskan depan komputer menghadap internet, atau TV untuk menonton DVD atau program hiburan. Apabila lapar, masuk dapur cari makan minum yang kemudiannya disumbat masuk ke mulut sambil menghadap TV atau komputer. Selesai menyantap, pinggan mangkuk dibiarkan sahaja. Paling ‘baik’ dibawa masuk ke dapur longgok di dalam singki. Jarang sekali nampak dibasuh dengan segera. Penat menghadap TV dan komputer, terbongkang tidur berjam-jam lamanya hingga bangun keesokannya dan melalui rutin yang sama setiap hari.

Apa pun, selain landaan gelombang teknologi, berani saya katakan sebahagian besar remaja hari ini menjadi begini kerana ibu bapa yang tidak mementingkan didikan agama sejak kecil. Malah ibu bapa sendiri jahil agama. Setelah meningkat remaja, hati anak-anak menjadi sekeras batu. Ibu bapa mementingkan kebendaan, kerjaya dan anak-anak yang kebanyakan masa dibiarkan membesar di tangan pembantu rumah. Dan anak-anak ini dilambakkan dengan material fizikal tanpa diimbangi material rohani. Maka tiadalah benteng agama ampuh terbina dalam diri dan jiwa seorang hamba Allah bergelar remaja.

Inilah realiti remaja hari ini yang sudah hilang sahsiah diri. Mudah saja minda mereka dijajah teknologi hingga menghancurkan peribadi luhur. Lalu tarbiah apakah yang perlu kita berikan? Setakat kudrat dan usaha yang terdaya dilakukan cumalah pendekatan nasihat (barangkali juga sudah bertukar rupa menjadi leteran dan bebelan dek kerana nasihat cara baik tidak diendahkan). Masuk telinga kiri keluar telinga kanan atau bagai mencurah air ke daun keladi dan pisang. Alangkah baik jika minda mereka umpama span yang mampu menyerap air!
Sabda Nabi SAW: Sesiapa antara kamu yang melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya. Jika tidak sanggup, ubahlah dengan perkataannya. Dan jika tidak sanggup maka ubahlah dengan hatinya, dan itulah yang paling lemah imannya. (HR Muslim)

Wahai Allah...musibah apakah ini? Masih adakah harapan untuk kami menyelamatkan remaja-remaja ini dan juga menyelamatkan kami sendiri yang semakin hari semakin tipis sabar dalam menghadapi mereka? Berilah kekuatan kepada kami untuk meneruskan perjuangan mendidik ini... inilah jihad kami janganlah Engkau biarkan kami tanpa petunjuk. Janganlah Engkau biarkan kami berputus asa.

Hanya doa yang mampu dilakukan, mudah-mudahan suatu hari mereka berubah. Moga Allah taala yang kaya dengan rahmat dan kasih sayang-Nya sudi membantu. Moga Allah memberi petunjuk dan hidayah dan tidak membiarkan kita semua terus-terusan dalam kemaksiatan.

Sulitnya hendak menegakkan yang haq dan mencegah nahi mungkar. Mudah-mudahan masih ada ruang di hati anak-anak remaja ini untuk disinari cahaya iman, biarpun ruang itu saiznya lebih kecil daripada sebutir zarah. Juga doakan kita semua menjadi hamba Allah yang sami’na wa ato’na dan akhir hayat kita dengan husnul khatimah.