Monday, August 18, 2008

NISFU SYAABAN YANG SAYA AMAT KASIH

"Klu lapang, bc yasin mlm ni, mlm nisfu sya'ban" begitu SMS yang saya terima daripada adik menyampaikan pesanan ayah pada 16 Ogos lalu.

Malam Nisfu Syaaban -- saya sentiasa menunggunya saban tahun kerana ia menjadi acara tahunan keluarga kami sejak dulu. Namun pada malam Nisfu Syaaban yang baru lalu entah macam mana saya terlupa walaupun saya tetap menunggu kedatangannya. Barangkali dek kerana kalut dengan anak, saya terlupa (silap menghitung tarikh bulan Islam). Kalau saya mengingatinya, pasti awal-awal lagi saya akan bertandang ke rumah mak ayah untuk sama-sama membaca Yaasin dengan ahli keluarga.

Memang Nisfu Syaaban menjadi acara tahunan keluarga. Walaupun sesetengah anak yang sudah berkeluarga tinggal bertebaran, ayah tidak lupa mengingatkan kami.

Seingat saya, ayah tidak pernah tertinggal untuk mengajak dan mengumpul keluarga membaca Yaasin setiap kali tibanya Nisfu Syaaban.

"Klu pergi ke sna sekrg smpat lagi x bc yasin?" saya membalas SMS adik.

"Sempat lg. Kakak tengah mandi, Uncle Z tengah makan" balas adik.

'Kakak' ialah gelaran cucu sulung ayah, manakala 'Uncle Z' bapa saudara kami, adik kepada emak baru tiba dari Johor bersama keluarganya kerana menumpang bermalam untuk menghadiri majlis perkahwinan waris di Lembah Klang keesokan hari.

Saya bersyukur kerana jarak ke rumah emak ayah tidaklah jauh. Tanpa menukar pakaian saya mencapai tudung, beg duit yang tidak berduit kerana lesen memandu di dalamnya dan keperluan anak lalu terus memandu ke rumah mak ayah.

Sebaik tiba, ahli keluarga sedang membaca Yaasin hujung pusingan kedua. Alahai terlepas juga. Saya cuma sempat membaca Yaasin untuk pusingan ketiga. Sedih juga kerana saya mahu dedahkan kepada anak sendiri bagaimana ayah kami yakni 'Sidi'nya mendidik kami mengenali hal-hal keagamaan. 'Sidi' ialah gelaran mesra untuk ayah kami yang dipanggil oleh cucu-cucunya. Sebutan Arabnya 'Sayidi'. Kami adik-beradik juga menggelar Allahyarham datuk kami dengan gelaran 'Sidi'.

Pada malam itu 14 Syaaban 1429/16 Ogos 2008, buat pertama kalinya rumah ayah/emak bergema kuat dengan bacaan Yaasin kerana kebetulan bapa saudara saya itu yang kaya dengan anak lelaki turut memeriahkan bacaannya bersama anak-anak dan isteri beliau.

Biarpun abang sekeluarga di Desa Coalfield, juga adik sekeluarga di Kajang tidak dapat menyertainya, majlis bacaan Yaasin Nisfu Syaaban kali ini tetap meriah dan meninggal bekas di hati.

Memang seingat saya, walaupun ketika itu saya masih kecil dan hanya baru mengenali alif ba ta, ayah sudah mendidik kami adik-beradik membaca Yaasin pada malam Nisfu Syaaban. Biarpun sesetengah orang mengatakannya bidaah, ia tetap bidaah hasanah yang baik dan harus diamalkan.

Ketika saya kecil, sewaktu tinggal di Kota Bharu, saya cuma mendengar ahli keluarga lain membaca Yaasin, saya cuma 'menebeng' mendengarnya. Ketika itu juga saya tidak mengerti erti sebenar malam Nisfu Syaaban. Cuma memerhati, mendengar serta menadah tangan mengaminkan setiap doa yang ayah bacakan.

"Baca kali pertama niatkan umur kita panjang..." begitu kata ayah. Lalu masing-masing pun penuh khusyuk membaca Yaasin (maklum, siapa yang mahu mati cepat!) Lalu bergemalah, "Yaasin, wal Qur-aanil hakiim...innakala minal mursaliin..."

"Baca kali kedua, minta Allah jauhkan segala bala..." kata ayah. Maka bergema lagi Yaasin disusuli doa.

"Baca kali ketiga yang akhir minta Allah jadikan kita orang paling kaya daripada sekalian manusia, dan minta Allah teguhkan iman dan mati kita dalam iman," ujarnya dan selesai Yaasin, doa diaminkan untuk kesekian kalinya.

Apabila pandai membaca Muqaddam, saya merangkak-rangkak mengikut bacaan Yaasin ahli keluarga yang lebih tua. "Tak nak baca dengan ayah. Ayah baca laju. Nak baca dengan mak..." Masih jelas di ingatan butir tutur kata saya waktu itu.

Setiap kali saya meninggikan suara, "Mak, jangan cepat sangat..." maka emak pun mengurangkan kelajuan bacaannya. Tetapi ayah memang ekspres, abang dan kakak pula boleh tahan 'speed' mereka. Cuma saya sahaja yang terhegeh-hegeh. Selesai saya dan emak menghabiskan bacaan barulah ayah membaca doa.


Ya, ayah tidak pernah tertinggal menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan bacaan Yaasin bersama ahli keluarga. Cuma anak-anaknya apabila hidup bertebaran kerana melanjutkan pelajaran atau telah berkeluarga, terkadang tertinggal untuk bersama keluarga melaksanakannya. Tetapi ahli keluarga di rumah ayah tetap duduk bersama melakukannya. Dan ayah pula tidak lupa menyampaikan pesan kepada anak-anak yang tiada di hadapan matanya.

Saya pula ketika di kampus 'tiada di dalam memori' yang menunjukkan sama ada saya membaca Yaasin atau tidak pada malam Nisfu Syaaban, atau adakah saya mengikuti program membaca Yaasin anjuran kolej di kampus? Sungguh, saya tidak ingat. 'Ketidakingatan' itu barangkali besar menandakan saya tidak melakukannya. Kalau melakukannya pasti saya ingat, kerana membaca Yaasin pada malam Nisfu Syaaban sangat bermakna dalam hidup saya. Pada waktu itu pula manalah ada telefon bimbit yang memudahkan perhubungan untuk tujuan pesan-memesan.

"Mari kita ramai-ramai baca Yaasin di masjid. Malam ni Nisfu Syaaban," kata Ustaz Amaluddin mengajak kami (Cikgu Abu, En. Al, Bai, En. Li, Zul, Bad, saya dan Wisma) ke Masjidil Haram, sewaktu dalam rangka kembara kami membuat rakaman dokumentari Salam Timur Tengah a.k.a Salam Haramain di Tanah Arab. Ya, malam Nisfu Syaaban yang satu ini saya cukup ingat.

"Duduk jarak-jarak, jauh-jauh sikit, tak payah berkumpul sebab orang Arab tak amalkan baca Yaasin malam Nisfu Syaaban. Bidaah...nanti kena tangkap pula," pesan Ustaz Amal. Maka di aras ataslah pilihan kami di Masjidil Haram. Kerana aras itu tiada ramai jemaah. Maka itu juga pada Nisfu Syaaban 1421H, bacaan Yaasin cuma satu pusingan dan tanpa iringan doa. Sendiri-sendiri baca sambil menunggu azan Isyak dikumandangkan di masjid suci itu.

Biarpun ada pendapat mengatakan bacaan Yaasin pada malam Nisfu Syaaban sesuatu yang bidaah, tetapi bagi yang mengamalkannya dapat merasakan 'kelebihannya', dapat merasakan rahman dan rahim Allah sentiasa bersama. Paling tidak ia merapatkan ahli keluarga kami.

Terima kasih ayah!


SABDA NABI SAW:


"Sesungguhnya setiap sesuatu mempunyai jantung dan jantung al-Quran itu ialah Yaasin. Sesiapa membaca surah Yaasin, nescaya Allah menuliskan pahalanya seperti pahala membaca al-Quran sebanyak 10 kali."

No comments: