Tuesday, August 12, 2008

"MAK, BAS KENCING"




Pada suatu pagi nan tenang, saya memandu dalam perjalanan hendak ke pejabat bersama anak untuk dihantar ke taska. Ketika tiba di lampu isyarat 1 Utama, perjalanan terhenti dek kerana lampu isyarat bertukar merah. Di sebelah kiri kereta saya ialah sebuah bas awam menuju ke Mutiara Damansara. Anak saya teruja melihat bas besar di sebelah lorong kiri sama-sama berhenti menanti lampu hijau.

Tiba-tiba anak saya Ammar Hadi bersuara, "Mak, bas cencing." (cencing = kencing)

"Haah, bas kencing?" saya kurang percaya, tetapi pastinya seorang anak kecil belum pandai menipu.

Tuu...tuuu mak, bas cencing...tinot mak," katanya lagi beriya-iya. (Tinot = tengok)

Kerana saya duduk di sebelah pemandu, maka tidaklah dapat melihat apa yang sedang ditunjukkan oleh anak.

Lampu bertukar hijau...

Bas berkenaan bergerak ke depan dan saya ke kanan...semasa saya membelok nampaklah keseluruhan bas dan di belakangnya air mengalir turun ke jalan raya. Fahamlah saya 'bas kencing' yang dimaksudkan merujuk kepada air penyaman udara bas itu.


Pada suatu hari yang lain...saya mencekah manggis untuk anak. Manggis buah kegemarannya. Kedua tapak tangan saya berlumuran dengan warna kulit manggis.

"Dayah...tangan mak dayah..." (Dayah = darah)


"Ini bukan darah, ini warna kulit manggis. Darah warna merah, ini warna purple," saya jelaskan. Entah faham entah tidak.

Oooo...kesimpulannya...proses pembelajaran anak memang sesuatu yang menarik, yang terkadang mencabar keupayaan kita mencari kaedah terbaik untuk diaplikasikan kepadanya. Dan seorang anak mengasosiasikan apa yang dilihat dengan kehidupan manusia. Andai buruk akhlak kita di hadapannya, maka jangan hairan jika dia mengaplikasikan akhlak buruk itu di dalam hidupnya yang sudah pasti akan menyakitkan hati dan mata manusia di sekelilingnya nanti, lebih-lebih lagilah hati kita dan mata kita yang memandang. Jangan salahkan si anak, jangan salahkan sesiapa melainkan diri kita sendiri.

2 comments:

Kamariah Kamarudin said...

salam
wah! anakanda AMMAR dah bertambah usia, makin petah berkata-kata, mudah2an menjadi anak soleh yang budiman dan membahagiakan hati maknya!

suraiya said...

Amin amin ya rabbal 'alameen