Wednesday, October 27, 2010

ELOK PAKAI SELUAR DALAM AJE!

Saya baru selesai menguruskan penerbitan buku Ustaz Amal yang ketiga berjudul TUHAN ITU DEKAT. Satu daripada babnya bertajuk Siapa Yang Kena? Dan semalam saya benar-benar terkena.

Semalam, seharian saya di PPUM bagi memenuhi janjitemu anak saya di Klinik Paediatrik (Klinik Kawasaki). Lama menunggu kerana kami sengaja pergi awal bagi mendapatkan nombor giliran. Lambat dapat nombor, bermakna lebih lama menunggu.

Pelbagai bangsa datang membawa anak masing-masing untuk mendapat rawatan doktor.
Seorangnya tidak dapat saya kenal pasti bangsanya. Raut wajah wanita ini ala-ala dari Amerika Latin, tetapi anaknya yang saya kira berusia sekitar tiga tahun pula berambut keriting halus ala Afrika ... wallahualam. Anak saya pula berkawan tidak mengenal bangsa, semuanya menjadi sahabat, berkejar-kejaran di bilik permainan dengan kanak-kanak sebaya, Cina, India, Melayu, Afrika semuanya kawan.

Anak, saya biarkan leka di bilik itu, saya di luar bersama ibu bapa lain menunggu nombor dipanggil. Sesekali menjenguk menengok keselamatan anak.

Ketika menunggu inilah mata saya benar-benar terkena. Bagai yang disebut oleh Ustaz Amal di dalam bukunya. Sepasang suami isteri Cina, yang masih muda bersama bayi mereka di dalam kereta sorong duduk di hadapan saya.

Adoi, doi ... si isteri ... boleh saja saya katakan 'separuh bogel'. Apa tidaknya nak kata dia pakai seluar pendek, tidak juga kerana saiznya jauh lebih pendek dan sendat. Seluar warna hitam itu sekadar cukup menutup 'garisan bikini'.

Saya merungut sendirian, 'Elok pakai seluar dalam je!'

Dalam hal berpakaian, saya lebih menghormati wanita bangsa India. Pakaian mereka lebih sopan. Belum pernah berjumpa wanita India berpakaian tidak senonoh seperti itu.

Saya maklum, budaya Cina yang memang gemar mengenakan seluar pendek, baik perempuan mahupun lelaki. Tetapi ibu muda semalam telah 'melampaui' kependekan seluar pendek yang lazim dipakai. Lebih buruk lagi, di situ berkumpulnya pesakit-pesakit kanak-kanak yang merakamkan setiap apa yang dilihat di dalam peta minda mereka. Apa yang dilihat akan kekal dalam peti ingatan! Apatah lagi pada usia ini perkembangan otak sedang pesat!

Janjitemu berikutnya ialah pada tahun hadapan. Saya berharap tidak lagi bertembung di situ dengan pasangan ini mahupun wanita lain yang berpakaian separuh bogel!

Friday, October 8, 2010

SABOR JE

"Bau apa ni Mak, busuknya. Siapa kentut?" soal anak saya sebaik melangkah masuk ke kereta pagi tadi. Kami baru keluar 7-Eleven berdekatan rumah, membeli susu strawberi kotak untuk bekalannya ke tadika.

"Entah, bau longkang masuk kot," jawab saya memandangkan kereta saya parkirkan di tepi longkang.

"Busuklah, busuknya." Sepanjang ke tadika, hidungnya di tutup dengan susu kotak yang baru dibeli itu, sambil kakinya yang berselipar itu seperti biasa dilunjurkan ke dash board dan dihentak-hentak ... perlakuan yang sering mengundang marah saya. Laci dan dashboard sudah bercalar-balar dek perbuatan itu sejak dulu.

Memang semakin ketara baunya.

"Tayar kereta Mak terpenyek tahi kot ..."

"Tahi? Ye ke Mak?"

"Entah, ye kot."

Perjalanan diteruskan dengan bau yang sangat tidak menyenangkan.

"Cepat, cepat turun, Mak dah lambat nak pergi kerja ni." Saya mengarahkannya segera turun sebaik tiba di tadika.

"Tak nak tukar pakai kasut ke?"

"Tak yah."

Saya menghantarnya kepada cikgu yang sedang menunggu ketibaan anak-anak didiknya.

"Aiii, selipar tu letaklah kat tempat kasut," bebel saya apabila anak saya meluru masuk ke premis tadika. Tidak diendahnya, lalu saya mengambil selipar kuning-birunya itu dan meletakkannya di rak kasut.

Sebaik melangkah masuk ke kereta ...

"Ya Allah, makin kuat bau. Bau apa ni ... " saya meninjau tapak sandal kot-kot terpijak benda yang tak diingini -- bersih!

Ketika tiba di lampu merah trafic light, saya memerhati sekitar dalam kereta, maka terpandanglah ... .

Huwaaaa ... waaaa ...

Pada dashboard dan laci ... bertepek-tepek dengan tahi ... (sama ada tahi kucing atau anjing tak dapat dipastikan).

Menjerit saya sejenak...

Aduh anakku, tahi apa yang kau pijak?

Kalau tahi kucing tidak mengapa. Kalau kepunyaan anjing ...!?!!!

Kebarangkalian besar najis mughallazah kerana perumahan kami di SS2 majoritinya Cina yang suka membela anjing ... .

Tiba di pejabat, saya membersihkannya dengan wet tissue.

Petang nanti perlu singgah di rumah Mak Ayah, korek tanah untuk menyamak.

Sabor jer .... huk huk!

Tuesday, October 5, 2010

MAHU MERCEDES

"Mak, balik nanti beli Vitagen, KFC dengan kereta Mercedes tau," pesan anak saya semasa dalam perjalanan menghantarnya ke tadika pada suatu hari.


Saya menelan air liur sahaja. Dua barang dapat saya penuhi. Item ketiga, mati hidup balik lima kali pun saya rasa tidak mampu untuk memenuhinya.


Seiring dengan peningkatan usia, nafsu materialistik anak mula menonjol -- yang saya percaya menyebabkan setiap ibu dan ayah pening kepala.

"Fuyyo ... hebat betul," itu reaksinya setiap kali melewati Mercedes sewaktu dalam perjalanan pergi dan pulang dari tadika. Semakin up to date model Mercedes, semakin kuat 'Fuyyo'nya. Akhir-akhir ini, apabila masuk ke kedai dia minta belikan majalah berkaitan Automobil.

Perkembangan ini amat membimbangkan, dan saya berdoa agar anak saya tidak menjadi individu yang materialistik.

"Janji, tau Mak beli kereta Mercedes."

"Tak boleh. Tak boleh janji. Kalau Mak tak dapat beli, nanti Mak dosa. Kalau dosa, masuk neraka. Tak nak, tak nak, tak nak ..." balas saya.

Riak wajahnya jelas tidak puas hati.

Ketika pulang dari kerja dan tiba di tadika untuk menjemputnya pulang, "Mak beli apa?" Itu soalan pertama setiap kali dia masuk kereta.


"Mak beli Vitagen dan KFClah." Saya tidak menyebut kereta Mercedes dengan harapan dia lupa barang ketiga yang dikirimnya.

"Mana ... mana ..." kereta diselongkar. "Kereta Mercedes mana?"

Aduh! Ingat juga!

"Kalau Mak beli Mercedes pun, macam mana nak bawa, besar sangat. Tak muat kereta ni ... ." Sebelum itu saya cuba juga mencari Mercedes mainan. Tapi tidak berjumpa.

"Biar Ammar je yang bawa ... ."

"Ammar kecik lagi, mana boleh bawa kereta. Nanti polis tangkap."

"Alah ... tak takut pun."

Saya hampir tumpas bicara.

"Boleh. Mak boleh beli Mercedes, tapi Mak kena jual Ammar dulu kat orang lain. Nanti dapat duit banyak baru boleh beli Mercedes. Ammar nak ke Mak jual Ammar pada orang lain. Pastu, Ammar kena jadi anak orang lain, duduk dengan orang lain. Biar orang lain jadi mak Ammar. Ammar dah tak boleh jumpa Mak lagi."

"Tak nak ... tak nak ... Ammar nak Mak Ammar. Ammar sayang Mak. Ammar tak nak dah Mercedes."

Alhamdulillah. Dia sudah memahami erti ikatan 'kasih sayang ibu-anak' tidak bisa diputuskan dengan material. Kasih sayang lebih dihargai. Harapan dan doa saya, biarlah keadaan ini berkekalan sampai bila-bila ... hingga ke akhir hayat.

Esok, episod yang sama berulang. Dan jawapan sama saya berikan, jawapan yang pasti melemahkan 'nafsu material'nya.

"Ammar nak kereta Mercedes, boleh. Tunggu besar dulu, kerja rajin-rajin dapat duit banyak bolehlah beli Mercedes. Sekarang kena doa dulu, minta Allah beri kereta Mercedes bila Ammar besar nanti. Tapi kereta paling best, lebih hebat daripada Mercedes pun ada. Ammar nak tak?"

"Nak ... nak. Mananya?"

"Ada kat syurga. Tapi nak dapat kereta ni, kena jadi anak baik. Sembahyang sekali pun tak boleh tinggal, baru Allah beri kereta ni."

"Ya lah, ya lah ... ," ada nada bosan dalam reaksi jawapannya.

Sumber foto: www.automotive.com