Thursday, September 30, 2010

INDAHNYA HIDUP TANPA DERITA

Antara buku Galeri Ilmu Sdn. Bhd. kendalian saya pada tahun ini berjudul INDAHNYA HIDUP TANPA DERITA tulisan Nur Laila Aniza. Buku ini menjadi salah satu pilihan (favourite) saya.

INDAHNYA HIDUP TANPA DERITA (IHTD) ini dikategorikan dalam siri Tarbiah Rohani (motivasi).

Jika anda rasakan masalah yang anda hadapi cukup berat, maka bacalah buku ini. Pasti anda dapat rasakan bahawa masalah anda itu sebenarnya tidaklah seberat mana berbanding 40 kisah benar yang dipaparkan di dalam buku ini.

Kisah-kisah benar lagi ekstrem yang selama ini tidak terfikirkan oleh kita. Tidak terbayangkan dek akal kita. Sekali gus menjadikan kita bersyukur dengan kehidupan kita selama ini. Sesungguhnya, di luar sana ada orang lebih hebat diuji oleh Allah Taala.

Saya puji approach penulis menyelesaikan setiap masalah yang dibawa kepadanya. Penuh tip dan nasihat. Jalan penyelesaian yang penulis usulkan juga sangat Islamik.

Sewaktu membaca tulisan beliau, saya sangkakan penulis sudah berumur orangnya memandangkan cara beliau menangani setiap masalah itu seperti orang berumur yang sangat kaya dengan pengalaman hidup. Rupa-rupanya sangkaan saya meleset. Nur Laila Aniza masih muda orangnya. Lemah-lembut, mesra, sopan dan ayu pula tu. Orangnya belum lagi mencapai usia 30. Teringat kepada kata-kata Nawwarah yang menyambut tetamu di pejabat kami. Pada suatu hari penulis datang ke Galeri Ilmu untuk menandatangani kontrak penerbitan, sebaik penulis pulang, Nawwarah memberitahu saya, "Kak Su, akak tadi cantiklah, suka tengok ... ."

Berbalik kepada buku IHTD ... kulit buku ini berwarna hitam melambangkan pelbagai masalah dan dugaan hidup, burung merpati putih terbang keluar dari sangkarnya pula membawa maksud, setiap masalah ada penyelesaiannya, ada jalan keluarnya. Setiap daripada kita berhak untuk hidup bebas tanpa derita. Pokok pangkalnya berbalik kepada diri, andai kita berusaha, insya-Allah, bahagia itu akan menjadi milik kita.


Apa yang dipaparkan di dalam buku ini hanyalah sekelumit rencaman dugaan hidup. Kemelut hidup manusiawi yang sebenarnya tidak mampu kita telahi. Cukup sekadar dibukukan beberapa juzuk daripadanya untuk kita teladani sebagai bekalan survival dalam mencari redha Ilahi.

Kepada anda di luar sana, dapatkan buku ini di pasaran. Barangkali ada kisah-kisah yang mirip dengan masalah anda, maka dapatkan tip-tip daripada penulis yang terdapat di dalam IHTD.

Saya kategorikannya sebagai WAJIB BACA!

Tahniah kepada penulis saya ucapkan. Saya juga amat menyenangi berurusan dengannya, tidak cerewet. SMS yang diterima daripadanya sentiasa ceria dan sentiasa diiringi lambang smiley ... :)


Kepada penulis pula, seperti biasa saya mohon maaf jika masih ada typo-error dalam penerbitan IHTD ini lebih-lebih lagi saya mengambil alihnya pada saat ‘last minute’. Proses penerbitan tiba ke tangan saya ketika ia sudah separuh jalan!

NOTA untuk LAILA: Saya menanti karya anda seterusnya!

Tuesday, September 28, 2010

GERAM

Pagi semalam saya membawa anak ke Pusrawi Seksyen 14, Petaling Jaya untuk mendapat rawatan asthma. Kerana masih banyak petak letak kereta kosong pada awal pagi, tentulah saya memilih petak parkir yang terbaik iaitu betul-betul berdepan dengan pintu Pusrawi berkenaan.

Memandangkan masih tiada pesakit lain, dan anak saya merupakan pesakit pertama, maka cepatlah selesai urusan rawatan. Selepas mengambil ubat di kaunter, kami pun keluar.

"Siapa pulak block kereta aku nih ... " kata saya di dalam hati. Sebuah Camry hitam telah diletakkan di tepi kereta saya. Di hadapan saya sebuah Kancil merah yang masih ada pemandu di dalamnya. Di belakang ter'block', di hadapan ter'block' dan di sisi yang tidak sepatutnya ter'block' telah ter'block' dengan Camry berkenaan. Tiada pula pemandunya.

Beberapa kali saya membunyikan hon ...bunyi pendek, panjang semua ada sebagai tanda geram dan protes dengan harapan didengari pemandu.

Lama menunggu, tidak muncul juga si pemandu Camry. Hati saya mula menyumpah (maklumlah, puasa dah tamat, setan pun bebas suka mencucuk).

Tiba-tiba, pemandu Kancil di depan kereta saya menggerakkan keretanya sedikit ke depan hingga menghampiri kereta di hadapannya, kemudian dia keluar dari keretanya dan mendapatkan saya.

"Kak, cuba akak ke depan sikit dan cuba belokkan kereta akak, keluar ke belakang. Ada ruang sikit kat belakang ni. Saya tolong tengokkan ..."

"Nak keluar macam mana ... sipi sangat. Siapa punya kerjalah bodoh sangat parking kereta macam ni. Orang nak cepat ni, bukan tak ada tempat kosong, tu haaa, banyak lagi tu," bebel saya.

"Tadi saya nampak Cina yang bawa kereta ni ..." ujarnya.

Baru saja saya menghidupkan enjin, tiba-tiba datang si pemilik Camry berkenaan. Perempuan Cina, berkaca mata hitam bergegas menuju pintu keretanya sambil mengangkat tangan kepada saya sebagai isyarat minta maaf ... sorry aku tak maafkan engkau!

Cis...tak guna punya Cina. Saya masih tak faham dengan perangai manusia yang begini. Mentaliti orang Malaysia yang tak cerdik dan tak ada akal. Tak fikir susah orang lain, cuma fikir senang diri sendiri ... Cina, Melayu, India ke, sama je kalau bab memarkir kereta ... "HELO ... TAK SEKOLAH KE?"

Orang yang bersikap dan mentaliti rendah seperti ini sebenarnya tidak layak memandu kereta mewah begini. BAD ATTITUDE!

Wednesday, September 22, 2010

PENYAKIT MASYARAKAT

Adik saya suatu hari bercerita tentang sahabat baiknya yang telah berhenti kerja kerana mahu mengusahakan restoran.

Perniagaan restorannya semakin hari semakin maju dan pendapatannya juga menggalakkan. Malangnya tiba satu peringkat ketika perniagaan sedang naik, ujian Allah pun datang. Bukan persaingan dan bukannya kerana dengki peniaga lain.

Ujiannya, dia sering didatangi oleh 'pihak berkenaan' yang mengganggu perniagaannya -- ya rasuah! Kalau tidak diberikan sekian-sekian banyak wang, maka dia akan terima padahnya. Perniagaan restorannya boleh lingkup, kerusi meja pun barangkali akan disita atau diangkut naik lori!

Bukan sekali dua, tetapi banyak kali ugutan diterima.

Restoran-restoran lain seperti restoran bangsa lain tidak pula menerima nasib yang sama. Mereka peduli apa dengan hukum-hakam agama yang mengharamkan rasuah. Mereka bukan Islam pun. Maka, hukum haram memberi rasuah itu tidak terpakai untuk mereka yang kafir. Mereka peduli apa! Tetapi tangan yang menerima rasuah itu bukannya kafir. Dek kerana nafsu, mereka pun jadi sama kafir!

Saya teringat saya sewaktu syarikat di premis lama. Kerap juga kami melihat meja dan kerusi milik restoran Muslim diangkut naik lori, sedangkan restoran 'kafir' yang memenuhi ruang kaki lima, malah dibina tambahan restoran yang saya kira juga haram tanpa permit, langsung tidak dipedulikan oleh pihak berkenaan ini. Dibiarkan sahaja.

Menurut apa diceritakan oleh sahabat adik saya itu, pengusaha restoran bukan Muslim ini, mereka lebih 'powerful'. Pihak atasan di 'pihak berkenaan' mudah dibeli dan di bawah kawalan mereka. Apabila 'kabel' atas berjaya dipegang, mudahlah segala urusan, perniagaan pun berjalan lancarlah.

Berbalik kepada sahabat adik saya itu, dia meminta nasihat daripada ibunya sendiri. Ibunya yang merupakan seorang ustazah telah menasihatkan dia supaya menghentikan seketika hasratnya untuk berniaga itu.

Bagaimana hendak bayar gaji pekerja dan bayaran-bayaran lain kalau perniagaan dihentikan?

Maka sahabat adik saya itu tiada tempat lain hendak mengadu masalahnya melainkan Allah, Tempat sebaik-baik tempat mengadu.

Doanya, harapannya 100 peratus ditujukan kepada-Nya. Sesungguhnya Allah tidak mempersiakan doa hamba-Nya yang teraniaya. Doa orang teraniaya sememangnya telus, tiada hijab menghalang. Itu janji-Nya.

Tidak lama kemudian. Datang dua hamba Allah. Mereka mahu mengambil alih perniagaan itu dan membelinya dengan sejumlah nilai.

Itulah jawapan kepada doanya. Dengan wang itu dapatlah dia melunaskan apa-apa yang patut!

Maka tidak menjadi suatu kepelikan jika generasi muda kita hari ini rosak akhlaknya. Duduk depan cermin dan cerminlah diri ... wang rasuah yang diambil itu dilaburkan ke mana? Diberi kepada keluarga, makan pakai mereka ... mendarah daging di dalam tubuh mereka. Menyuap anak daripada sumber pendapatan yang haram samalah seperti menyuap daging babi ke mulut mereka. Yang haram tetap haram. Pemimpin keluarga yang korup, akan membinasakan umat!

'Kesan sampingan' daripada menerima rasuah itulah anak-anak hari ini sukar dididik dan tidak menjadi. Selain faktor-faktor lain yang merosakkan anak-anak muda, jangan ditolak faktor rasuah yang turut menyumbang sama!

Realitinya, penyakit rasuah masih berleluasa di negara kita. Rasuah atau makan suap ini merupakan penyakit yang sukar dibendung. Kisah benar yang saya paparkan ini hanyalah sekelumit kecil daripada apa yang ada di luar sana.

Rasuah umpama dadah. Sekali dibuat, akan ketagihlah. Ini jelas diterangkan oleh Nabi SAW. Oleh itu, jangan main-main dengan rasuah! Dekat pun jangan!


Daripada Muaz bin Jabal r.a. berkata, aku telah mendengar Rasulullah SAW
bersabda: “Ambillah pemberian itu selagi ia masih sebagai pemberian. Tetapi
apabila ia telah menjadi rasuah dalam pandangan agama, maka jangan kamu
mengambilnya. Namun kenyataannya kamu tidak akan dapat meninggalkan rasuah itu kerana kamu takut fakir dan kamu sangat berhajat untuk mengambilnya.
(Hadis riwayat Tabaraniy dan Abu Nu 'aim)

Saturday, September 18, 2010

MEMANG BERBALOI

Berada di kampung menyambut Syawal tahun ini memang berbaloi. Apa tidaknya, buah-buahan menjadi sungguh. Duku, dokong, duku langsat, rambutan tak luak dimakan, malah segar baru diturunkan dari pokok. Percuma pula tu.





Memang puas makan, dibekalkan pula untuk dibawa pulang ke KL. Alhamdulillah, rezeki daripada-Nya.








Bagi yang tidak kenal, inilah buah katak puru. Dinamakan katak puru kerana rupanya menggerutu seakan-akan katak puru. Rasanya masam manis.









Buah salak pun ada.























TAK FAHAM

Saya kononnya bercadang hendak mula berpuasa enam tiga hari lalu, tapi kerana tiga biji ulser yang besar-besar di dalam mulut, terpaksalah ditangguh dahulu kerana perlu berkumur dan perlu kerap menyapu ubat yang dibekalkan doktor.

Saya meneliti tulisan pada ubat kumur yang sebenarnya ubat kumur untuk sakit tekak, bunyinya begini:

Amaran: Jangan telan cecair ini. Jangan guna jika terdapat ulser mulut yang serius.

Aik! 'Jangan guna' kalau ada ulser ... isk tak faham aku. Doktor pula memberi arahan berlainan. Tapi apabila menggunakannya memang melegakan sakit.

Saya meneliti pula tulisan pada ubat sapu ... saya langsung tidak faham bahasa ubat-ubatan ini. Terlalu panjang untuk dimuatkan di sini. Tak bolehkah digunakan bahasa yang mudah agar difahami pesakit?



Thursday, September 16, 2010

A LITTLE ADVENTURE

Raya tahun ini saya bersama Ammar dan Emak balik kampung menaiki kereta api dek kerana kereta sudah penuh penumpang.Tiket pun 'last minute' beli, rezeki orang yang membatalkan tempahan.

Rezeki pula dapat tiket katil yang di bawah, satu koc pula tu. Kalau katil tingkat atas, tentu kasihan Emak, tentu saya terpaksa batalkan niat hendak balik kampung.
Pengalaman baru bagi Ammar Hadi yang nyata teruja sekali. Jika sebelum ini pulang ke Kelantan menaiki kereta atau pesawat, kali ini pengalaman lebih adventure!
Saya juga sudah lama tidak menaiki kereta api, lebih dua puluh tahun. Kali terakhir menaiki tren British Railways dari Canterbury ke London untuk pulang ke tanah air.
Menaiki tren KTMB dari KL Sentral ke Kuala Krai, Kelantan mengambil masa 12 jam. Bertolak 8.30 malam dan tiba keesokan hari 8.30 pagi. Cuma kereta api kami lewat 10 minit tiba jam 8.40 pagi dek kerana tambahan koc yang panjangnya tidak sampai memandang, menjadikannya lebih berat untuk ditarik enjin. Tidak dapat dikira berapa koc yang ditambah. Yang pasti, kereta api memang tersangat panjang!
Dari KL Sentral, kereta api bergerak ke selatan dahulu hingga ke Gemas sebelum berpatah semula menuju Kelantan ke stesen terakhir di Tumpat.
Naik kereta api tidak meletihkan seperti menaiki kereta walaupun mengambil masa yang panjang untuk tiba ke destinasi. Badan dapat direhatkan dengan tidur sepanjang malam. Bangun apabila hendak menunaikan solat Subuh dan seterusnya menanti fajar menyingsing. Apabila matahari muncul, dapatlah menyaksikan pemandangan di luar tingkap dua jam terakhir perjalanan.
Cuma yang agak kurang menyenangkan ialah apabila perlu ke tandas, apatah lagi hendak berwuduk di dalamnya. Sukar mengimbangi badan. Tandasnya juga kurang menyelerakan ... bukan kerana kotor atau berbau busuk, tetapi fizikalnya yang sudah lapuk dan usang menjadi faktor menolak. KTMB perlu melabur dengan menyediakan WC yang baru bagi menjaga imejnya.
Apa pun, naik kereta api memang berbaloi untuk perjalanan jauh (dengan syarat ambil tiket untuk katil atau ambil kabin [lebih mahal]). Tidak penat badan. Risiko kemalangan juga jauh lebih rendah. Cuma bagi mereka yang banyak bagasi lebih-lebih lagi yang bersaiz besar, akan mengalami kesukaran mengangkat dan menempatkannya di dalam koc!

Bersembang dengan sepupu yang menjadi pemandu KTMB, saya bertanya mengapa ada masanya kereta api berhenti dan bergerak perlahan, katanya itu disebabkan relnya tak berapa elok, maka kenalah berhati-hati.

Apa pun, yang pasti untuk masa-masa akan datang, kami akan menaiki kereta api lagi ... lebih merehatkan! Emak juga seakan sudah malas hendak naik kereta pulang ke kampung. Mahu naik kereta api, tak penat katanya.

Friday, September 10, 2010

Catatan 1 Syawal 1431

Pagi 1 Syawal yang bening, hujan lebat mencurah. Menambah hiba di jiwa. Sayu!

Terlalu hiba hendak berpisah dengan Ramadhan, entahkan berpeluang lagi untuk bertemu. Ya Allah, panjangkan usiaku agar aku dapat mengecapi lagi nikmat rahmat Ramadhan yang Engkau kurnia pada tahun-tahun hadapan. Agar dapat aku perbaiki amal ibadahku yang serba kekurangan.

Ketika hiba menguasai diri, para durjana iblis dan syaitan tentunya meraikan 1 Syawal juga. Mereka bebas daripada belenggu ... berkeliaran semula membawa misi dan azam baru ... menyesatkan manusia, mendidik nafsu manusia yang sudah sedia jahat dengan harapan Ramadhan akan datang, manusia tetap melakukan dosa pada bulan mulia itu. Ya Allah, lindungilah diriku daripada kejahatan iblis dan syaitan.

Semakin bertambah usia ... tiada lagi keseronokan berhari raya. 1 Syawalku, sama seperti hari-hari yang dilalui saban hari. Sering juga bermonolog sendirian, "Adakah diri ini tercalon dalam senarai Allah untuk melangkah kaki ke syurga-Nya, sedang diri berlumuran dosa ...aduh, hanya Ramadhan yang dapat menyelamatkan, namun Ramadhan kali ini berlalu seperti tahun-tahun sudah, gagal dimanfaatkan sepenuhnya. Wahai Tuhan tidak sanggup dihumban ke neraka-Mu, maka bantulah aku menjadi hamba-Mu yang bertakwa. Hadiahkan Ramadhan-Mu lagi kerana belum puas aku mengecapinya. Amin.




1 Syawal 1431 = 10 September 2010

Sunday, September 5, 2010

BISKUT ARAB

Tahun ini saya mencatat sejarah kerana tidak membeli biskut raya ... nafsu tiada, alhamdulillah berjaya ditundukkan. Cuma saya membeli kerepek sepaket dua. Itu pun bukan untuk 'dirayakan', sebaliknya untuk 'dimorehkan'. Santapan selepas tarawih!

Kerana tidak membeli biskut raya, maka semalam, saya sekali lagi catat sejarah kerana membuatnya sendiri ... itu pun bukan untuk 'dirayakan' sangat, tetapi sekadar untuk melekakan anak (to keep him occupied and away from watching too much tv).



"Wah bestnya, macam plastersinlah," komen Ammar, sambil tangannya sibuk menggentel doh biskut arab. Ada leper, ada penyek, ada herot, ada besar, ada kecil. Tidak mengapa asal jadi dan halalan toyyiban. Untuk makan sendiri, bukan untuk dijual. Yang penting, dia memang sukakan biskut arab. Lagipun adunan biskut ini sangat mudah. Hanya perlukan tiga bahan sahaja--tepung, minyak sapi dan gula kastor.

Kalau ada lebih, bolehlah dibuat raya, tapi itu pun sudah tinggal separuh. Sebahagiannya pula telah diberikan pada atoknya.

RESIPI BISKUT ARAB
500 gm tepung serba guna
250 gm gula kastor
250 gm minyak sapi (cairkan dan sejukkan)
1. Gaulkan tepung dengan gula.
2. Masukkan minyak sapi sedikit demi sedikit.
3. Uli hingga sebati. Kemudian bolehlah digentel bulat-bulat.
4. Bakar selama 20 minit. Suhu antara 150-170 darjah Celcius.
PERINGATAN PENTING: Untuk minyak sapi, jangan beli brand QBB kerana Jakim telah menarik balik sijil halal sebab ada unsur babi (boleh lihat di web Jakim). Belilah Ghee Blend oleh Unilever.

Thursday, September 2, 2010

MEMANDU ATAU TIDUR?

Ahad 29 Ogos 2010, ketika mentari tegak di kepala, saya memandu ke Nilai untuk menghantar adik pulang ke kampus Usim. Emak, dan sudah pastinya Ammar Hadi juga ikut.
Sepanjang memandu itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa mata ini mengantuk. Saya kira sepanjang pemanduan itu, saya separuh tidur. Silau pancaran matahari juga menyumbang kepada mahu tertutupnya mata. Lensa photo gray cermin mata tidak banyak membantu.
Mujur selamat sampai ke Nilai.
Dalam perjalanan pulang pula, rasa mengantuk makin bertambah. Sepanjang perjalanan pulang saya rasakan separuh daripada perjalanan itu mata saya memang terpejam (tidur).
Saya tidak sedar ke arah mana arah, hanya menurut kata hati. Tiba-tiba ada suatu kuasa yang saya tidak tahu datang dari mana, menyuruh saya brek mengejut, menyebabkan Emak yang duduk di belakang terjaga daripada lenanya. Dan tentunya saya juga turut terjaga.
"Eh ... dah sampai sini," kata hati saya, menyedari jarak antara kereta saya dengan Toyota Vios di hadapan rupa-rupanya hanya sekaki dua. Saya membrek secara tiba-tiba itu apabila sampai di lampu isyarat berhadapan KWSP menghala ke PPUM. Mujur tidak tersondol kereta di hadapan ... ajaib! Kantuk saya hilang serta-merta memikirkan keajaiban itu. Allah menggerakkan, mengejutkan saya daripada tidur. Barangkali disebabkan ajal belum tiba.
Saya juga berasakan ia berkat dan rahmat Ramadhan mengiringi perjalanan saya kerana saya membawa bonda yang mulia, sentiasa bersedia menemani anak-anaknya ke mana sahaja biarpun dia sendiri tidak secergas dahulu.
Ya Allah, Engkau binalah mahligai paling indah untuk Emak di syurga-Mu nanti.