Thursday, September 2, 2010

MEMANDU ATAU TIDUR?

Ahad 29 Ogos 2010, ketika mentari tegak di kepala, saya memandu ke Nilai untuk menghantar adik pulang ke kampus Usim. Emak, dan sudah pastinya Ammar Hadi juga ikut.
Sepanjang memandu itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa mata ini mengantuk. Saya kira sepanjang pemanduan itu, saya separuh tidur. Silau pancaran matahari juga menyumbang kepada mahu tertutupnya mata. Lensa photo gray cermin mata tidak banyak membantu.
Mujur selamat sampai ke Nilai.
Dalam perjalanan pulang pula, rasa mengantuk makin bertambah. Sepanjang perjalanan pulang saya rasakan separuh daripada perjalanan itu mata saya memang terpejam (tidur).
Saya tidak sedar ke arah mana arah, hanya menurut kata hati. Tiba-tiba ada suatu kuasa yang saya tidak tahu datang dari mana, menyuruh saya brek mengejut, menyebabkan Emak yang duduk di belakang terjaga daripada lenanya. Dan tentunya saya juga turut terjaga.
"Eh ... dah sampai sini," kata hati saya, menyedari jarak antara kereta saya dengan Toyota Vios di hadapan rupa-rupanya hanya sekaki dua. Saya membrek secara tiba-tiba itu apabila sampai di lampu isyarat berhadapan KWSP menghala ke PPUM. Mujur tidak tersondol kereta di hadapan ... ajaib! Kantuk saya hilang serta-merta memikirkan keajaiban itu. Allah menggerakkan, mengejutkan saya daripada tidur. Barangkali disebabkan ajal belum tiba.
Saya juga berasakan ia berkat dan rahmat Ramadhan mengiringi perjalanan saya kerana saya membawa bonda yang mulia, sentiasa bersedia menemani anak-anaknya ke mana sahaja biarpun dia sendiri tidak secergas dahulu.
Ya Allah, Engkau binalah mahligai paling indah untuk Emak di syurga-Mu nanti.

3 comments:

Kamariah Kamarudin said...

ya, emak adalah manusia yang paling mulia di hati anak-anak yang tahu menghargai pengorbanannya mengasuh kita. jadi, doa emak juga adalah mustajab untuk anak-anaknya yang sering bersamanya. dan jika kita sentiasa memuliakan emak, pasti hidup kita juga sentiasa dalam pengawasan-Nya. entri ini mengingatkan hubungan saya dengan emak saya; pertalian kami yang utuh dan akrab itulah senjata saya sejahtera mengharungi hidup yang sarat cabaran kini. sampaikan salam takzim saya buat bonda Puan Suraiya!
p/s: oho, lain kali jangan mengantuk waktu memandu ya!

Anonymous said...

Alhamdulillah Su...Allah bersamamu dan keluarga.

rosnani said...

Alhamdulillah, Allah melindungi dan keluarga.