Monday, December 29, 2008

"Basuh kaki ajelah..."

“Isssy...ada lagilah cat kat kaki ni...” leter saya sebaik habis selesai berwuduk pada suatu ketika dahulu, sambil mengikis cat yang melekat di tapak kaki itu dengan kuku jari.
“Kena wuduk lagilah ni,” kata saya lagi.
“Basuh kaki ajelah, tak payah mula dari awal,” beritahu ayah. Rupa-rupanya dia menelinga bebel saya itu sambil membaca surat khabar.
Melihatkan saya terkebil-kebil, kurang menangkap apa yang dimaksudkan, ayah pun menjelaskan.
“Kalau kaki yang kena, basuh kaki aje. Anggota wuduk sebelumnya tak payah basuh. Kalau kena tangan. Basuh tangan dan anggota wuduk yang selepasnya. Anggota wuduk yang sebelumnya tak payah.”
Barulah saya faham. Begitu rupanya.
Terlalu banyak kejahilan yang menjadi amalan kita. Jika tiada yang menegur, maka sampai ke matilah kita dalam kejahilan.

Wednesday, December 24, 2008

SAYA DAN INTERNET

Apabila Aida Julia menegur tentang ‘perayauan’ saya di alam cyber dia berasa pelik, “Tak habis-habis dengan internet,” komennya.
Saya senyum… (senyum kambing)!
“Aku tak bolehlah, lama-lama dengan internet,” ujarnya lagi.
Saya diam!

Ya…mungkin bagi sesetengah orang, internet itu tidak penting baginya kerana kerja-kerjanya tidak membabitkan banyak hal dengan internet. Tetapi bagi saya dan hal ehwal kerja saya ‘memang sukar hidup tanpa internet’ apatah lagi pada era ini yang memerlukan kerja cepat siap.

Misalnya, ketika menyemak manuskrip siri Mari Meneroka Alam Haiwan…berkali-kali saya terpaksa melayari internet apabila artis telah tersalah lukis ilustrasi. Saya memadankan ilustrasi yang dilukis dengan fakta yang ditulis oleh penulis. Ternyata kedua-duanya bercanggah. Maka saya ‘masuk’ ke alam cyber untuk mencari gambar-gambar yang sesuai untuk rujukan artis.

Apabila menyunting, Ke Mana Wang Anda?, saya juga melayari internet untuk memastikan ejaan sebuah agensi kewangan kerana tulisan tangan penulis tidak jelas.

Sekarang saya sedang menyemak manuskrip Rindu Bau Pohon Tin; saya juga merujuk internet untuk memastikan ejaan ‘Yasser Arafat’ yang betul. Saya berasa musykil dan ragu dengan ejaan ‘Yaser’ yang dieja oleh penulis…yang nyata tidak tepat.

Apabila terdetik sahaja rasa ‘was-was’ atau ragu-ragu di hati ketika menyunting baik artikel ataupun manuskrip, maka seorang editor itu perlu segera mencari sumber rujukan dan mendapatkan fakta yang tepat. Percayalah rasa ‘was-was’ atau rasa ‘tak sedap’ di hati lazimnya merupakan indikasi bahawa fakta itu sebenar-benarnya memang tidak tepat (MESTI dibetulkan segera)!

Apa yang tiada di internet? Serba-serbi ada. Maklumat dapat diperolehi dengan segera, pantas. Hari ini, kita tidak perlu lagi menyorot mata dan meleret jari telunjuk di ‘spine’ pada barisan jilid ensiklopedia yang tebal-tebal untuk mendapatkan maklumat yang dikehendaki. Proses mencari informasi dari buku mengambil sekian banyak masa berbanding merujuk internet. Internet memudahkan segala-galanya!

Bukan suka-suka hati saya melayari internet, tetapi kerana sangat perlu! Maklumat dari internet hanya di hujung jari (tanpa perlu kita bangun dari kerusi)—KLIK AJE!

(Cuma sesekali apabila terasa penat mata dan minda dek kerana kerja berterusan…ada juga saya merayau masuk Harakahdaily dan pada awal bulan tentunya saya akan ke Maybank2u, juga sesekali mengemaskini blog dan menyemak e-mail yang masuk dalam jumlah ‘belasan’ dan ‘puluhan’ …tetapi 'pelayaran' saya untuk tujuan ini tidak lama, sekadar untuk meneutralkan stres saja…ehehhh!)

Apa pun, gunalah kemudahan IT ini dengan berhemah! Jangan ketagih dan jangan disalah guna hingga mengganggu urusan kerja yang hakiki. Tepuk dada tanya diri dan iman!

Sunday, December 21, 2008

INSAFKAH AKU?

Sejak menyunting manuskrip tulisan Hajah Rohani tentang peri pentingnya mempunyai ilmu pengurusan kewangan, saya jadi insaf (entah berapa lama 'insaf' saya itu dapat bertahan). Saya duduk termenung mengenangkan betapa sudah banyak duit dibazirkan entah ke mana!
Lalu azam tahun baru Hijriah yang bakal tiba ini, saya akan berusaha untuk cuba lebih berhemat dalam perbelanjaan. Tiada apa yang dapat diwariskan kepada anak jika masih meneruskan tabiat lama...cuba mendisiplinkan diri. Memang susah hendak mendisiplinkan diri lebih-lebih lagi sejak syarikat tempat saya bekerja berpindah ke premis baru yang saya kira 'agak terpencil' dari bank. Maka duit gaji berada di tangan lebih lama daripada biasa...dalam tidak sedar senang sahaja mengalir deras bagai air terjun Niagara sepanjang berada di tangan sebaik di keluarkan dari ATM. Jika di pejabat lama, sebaik keluar dari ATM, sebahagian besar terus dimasukkan ke akaun bank simpanan yang 'selamat' di bank berdekatan.
Aduh... inilah cabaran! Moga Allah beri kekuatan kepada saya. Dalam pada itu saya sering bertanya pada diri sendiri, "Insafkah aku dengan sebenar-benar insaf?" I doubt it!

Wednesday, December 17, 2008

A PRISONER OF BIRTH

Sebuah ‘masterpiece’ terbaru daripada Jeffrey Archer. Menjadi bestseller di seluruh dunia. Di MPH, novel ini menjadi topseller kira-kira selama dua bulan. Sudah lama saya teringin membacanya. Berkali-kali saya membaca ulasannya di internet. Kesemua ulasan yang diutarakan memuji karya terbaru Archer ini. Ekoran daripada itulah satu entry saya sebelum ini menyentuh tentang kehebatan karya-karya Archer.
Akhirnya saya berjaya membacanya seusai kakak saya membaca entry saya itu. Rupa-rupanya dia lebih dahulu membacanya. Memang kami peminat karya Archer, malah kakak saya dulu lebih mengenali karya Archer. Kakak saya telah meminjamkan saya A PRISONER OF BIRTH dari Perpustakaan UM (hard cover, besar dan tebal).
Dek kerana saiznya yang sedemikian, maka agak lembap saya menghabiskannya kerana tidak dapat bertahan lama apabila memegang naskhah itu sambil berbaring sewaktu menidurkan anak...lenguh!

Apabila nama author lebih besar daripada judul buku, ertinya penulis itu sangat masyhur! Kalau tak percaya pergi tinjau buku-buku di kedai buku yang besar-besar.


Kemudian saya mendapat SMS daripada kakak saya mengatakan dia berada di MPH, bertanya mahu atau tidak dia tolong belikan novel A PRISONER OF BIRTH naskhah paperback. Saya menyuruhnya beli...(mental note, saya masih berhutang dengannya sebanyak RM36.90).
Naskhah paperback ini saya habis membaca dari awal ke akhir dalam masa tiga hari. Ini bererti komitmen terhadap ‘suasana’ di dalam rumah susut beberapa peratus. Kain tidak berlipat menimbun dua gunung. Sinki dapur penuh dengan perkakas dapur yang tidak berbasuh. Rumah tidak ubah umpama tongkang pecah kerana ralit dan asyik mahsyuk dengan A PRISONER OF BIRTH, lebih-lebih lagi pada klimaks cerita yang mengundang debar dan rasa ingin tahu yang meluap-luap apa yang akan terjadi seterusnya pada watak antagonis dan protagonis. Saya membacanya di dalam gelap (kerana tidak memasang lampu takut anak terjaga tidur) dengan menggunakan lampu suluh yang ada pada telefon selular saya.
MPH mengkategorikan A PRISONER OF BIRTH dalam genre fiksyen ‘crime & mystery’. Sungguh bijak Archer membina watak dan plot. Saya menyetujui pandangan peribadi kakak saya yang menyifatkan karya Archer seperti karya Hamka (kalau di Nusantara ini!). Bezanya cuma Archer bukanlah ulama unggul! Hamka sememangnya ulama hebat yang sukar dicari ganti!
79 bab dengan ketebalan 615 halaman...dibahagikan kepada book one (THE TRIAL), book two (PRISON), book three (FREEDOM), book four (REVENGE), book five (REDEMPTION) dan book six (JUDGEMENT)...pasti saya akan ‘mengunyah’ semula novel ini!

Monday, December 15, 2008

PAKSA DIRI

Lapan hari tidak masuk kerja (3 hari ke bengkel penulisan DBP, 1 hari cuti Idiladha, 1 hari cuti Keputeraan Sultan Selangor, dan 3 hari cuti rekod).
Hari ini baru masuk kerja semula. Pagi-pagi sampai di pejabat, di meja aku terletak manuskrip novel remaja yang Pak Ya minta tolong aku pruf.
Yang aku 'naik angin' pagi-pagi bukan sebab kena baca bahan yang aku kurang gemar, tapi pen merah aku entah siapa yang kebas. Pen merah tu aku guna untuk pruf dan edit (dalam disiplin penyuntingan dan pruf memang kena guna dakwat merah supaya pembetulan itu senang nampak. Warna hijau pula untuk kegunaan ketua editor sahaja).
Memanglah nampak macam remeh aje, tapi bila kerja terganggu dengan hal-hal remeh nilah yang buatkan 'mood' kita nak berkerja terjejas.
Maka aku paksa diri turun ke Dept. Pentadbiran ambil pen merah lain. Kalau ikutkan hati memang malas nak turun ke bawah...mengah nak daki balik naik ke tingkat dua!
Adus...memang aku paksa diri untuk menunaikan tugas ini. Novel Melayu, memang lemah aku nak abihkannya...ini novel kedua yang Pak Ya pass kat aku.
Yang pertama dulu aku paksa diri juga. Yang pertama tu Pak Ya minta tolong nilai (bukan pruf atau edit. Mujur habis juga aku baca)...apa nama judulnya aku dah lupa. Tentang kisah apa pun aku dah lupa...teruk betul aku ni...apa nak jadi dengan engkau ni Suraiya oi? Tapi demi tanggungjawab, aku kena paksa diri buat juga dan langsaikan amanah yang diberi.
Hari ini juga aku paksa diri menyusun semula buku-buku di rak yang telah beralih tempat. Ini kes Murali shooting drama kat pejabat ni. Setting/props drama ni menyebabkan barang-barang aku tidak berada di tempat sepatutnya. Termasuklah bakul sampah hijau kesayangan aku. Maka berpagi-pagian aku paksa diri lagi cari bakul sampah aku tu di merata tempat di pejabat ni. Hingga ke bilik DTP aku cari sebab dulu aku jumpa bakul sampah aku tu kat situ. Ada En. Abu je kat bilik DTP, bakul sampah aku tak nampak bayang langsung.
Akhirnya aku jumpa bakul sampah aku. Rupanya kat bawah meja Khairul...kat dept. aku je. Isk...
Hari ni aku bawa bekal lunch ke pejabat. Biasalah, kalau bawa bekal sendiri aku cepat lapar. Kalau makan di luar, boleh kenyang sampai balik rumah. Agak petang sedikit aku paksa diri sekali lagi turun ke bawah (walaupun malas) dan keluar ofis sekejap untuk beli pisang goreng RM3. Kongsi makan dengan kawan-kawan di dept. aku. Kalau beli RM10, boleh kongsi satu ofis...tapi bajet agak lari. Jadi, bajet makan tengah hari yang aku selamatkan kerana bawa bekal hari ni, aku korbankan juga.
Hidup ini penuh dengan 'paksa diri'. Kalau tidak, tak payahlah hidup kat dunia ni!

Saturday, December 13, 2008

SOLAT RAWAT PENYAKIT KRITIKAL

Petikan asal daripada Berita Harian Online Isnin,20 Oktober 2008

SEMBAHYANG JUGA BOLEH RAWAT PENYAKIT KRITIKAL

HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.

Berita Minggu mendapatkan pandangan setiap pengkaji mengenai hasil kajian masing-masing.


Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot

Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan.

Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.
“Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,” katanya.

Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh.
Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.

Ng Siew Chok - Isyarat Otak



Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.



“Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya.


Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

“Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,” katanya.

Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.
Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.
Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.


Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh

Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.
Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

“Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahIyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.
Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

“Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

“Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

“Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,” katanya.

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

“Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,” katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minitSelain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

“Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya.
Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.

Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.

Monday, December 8, 2008

BAHASA PINGUKAH?

1. Ta-teik ta-ti ta-ti
2. Ta-ti ta-ter ta-tu
3. U-la uf-fa
4. Tu ye ni-mot
5. to-yi
6. do-bot da-hat
7. tu-sying
8. ta-tai su-war
9. mak av-vah ta-ti
10. ti-not ni ti-not
11. a-tan u-te
12. jut ta-ya
13. u-tak
14. to-men
15. ti-yek
16. tei-ten

Sekali baca frasa-frasa di atas ini tidak membawa apa-apa makna kepada sang pembaca mahu pun sang pendengar kalau dituturkan.

Bahasa apakah ini? Adakah ia kod-kod rahsia yang memerlukan tafsiran dengan kaedah tertentu?

Hmm...bukan! Bukan kod rahsia.

Atau adakah ini bahasa Pingu yang sentiasa menghiburkan penontonnya? Mungkinkah? Bahasa Pingu sememangnya tidak membawa makna apa-apa, tetapi penonton di seluruh dunia boleh memahaminya dengan memerhati aksi Pingu yang nakal. Lantas terhibur dengannya.

Pun bukan juga.

Habis, bahasa apakah itu?

Itulah bahasa anak saya yang sudah berusia tiga setengah tahun tetapi masih telor dan pelat. Tahun depan akan memasuki tadika. Ketelorannya sedikit sebanyak merisaukan. Namun setelah merujuk kepada teman-teman yang berpengalaman, kata mereka, ‘Alah, biasalah tu. Anak aku pun sama. Anak laki lebih berat mulut dari anak perempuan.’

Yang lain pula berkata, ‘Budak-budak ni ada dua macam. Kalau dia lambat berjalan, selalunya dia cepat bercakap. Kalau dia cepat berjalan, bercakap dia lambat sikit. Cepat dua-dua jarang jumpa.’

‘Ooo, gitu. Padanlah,’ respons saya yang tiada pengalaman. Memang pun anak saya cepat berjalan. Maka lambatlah bercakap.

Awalnya saya juga tidak memahami ungkapan-ungkapan tersebut. Tetapi lama-kelamaan dengan pengalaman, akhirnya saya boleh memahami apa yang diucapkan anak (walaupun masih banyak yang saya tidak mengerti).

Banyak orang tidak boleh faham bahasanya. Sebagai ibu yang banyak menghabiskan masa bersamanya, saya boleh faham; kalaupun tidak banyak, sedikit.

‘Isk, bilalah budak ni nak boleh bercakap,’ ngomel saya suatu hari di hadapan ayah.

‘Dah bercakaplah tu. Itu bahasa dia,’ komen ayah.

Ya...sabar. Nanti tiba saat, akan ‘berbutir’lah bicaranya. Sesungguhnya hidup manusia di alam Tuhan ini memerlukan kesabaran yang tinggi. Tetapi banyak manusia seperti saya ini tidak mampu memanipulasi sabar sepenuhnya. Sedangkan sabar itu sebahagian iman dan satu keperluan.

Jika sang anak penuh tekun, penuh usaha dayanya mengulangi berkali-kali bait-bait tuturnya dengan sabar supaya difahami ibu ayah, mengapakah kita tidak boleh sabar seketika untuk mendengar dan untuk cuba memahami mesej yang hendak disampaikannya?

‘Belajar daripada sabar anak!’ saya mengingatkan diri sendiri.


‘WAHAI ORANG-ORANG BERIMAN, JADIKANLAH SABAR DAN SOLAT SEBAGAI PENOLONGMU. SESUNGGUHNYA ALLAH BERSAMA ORANG-ORANG YANG SABAR.’ (Al-Baqarah: 155)


Terjemahan tuturan anak saya di atas adalah seperti berikut:

1. Ta-teik ta-ti ta-ti (sakit kaki nanti)

2. Ta-ti ta-ter ta-tu (bagi uncle satu)

3. U-la uf-fa (bola besar)

4. tu ye ni-mot (itu dia remote)

5. to-yi (sorry)

6. do-bot da-hat (robot jahat)

7. tu-sying (kucing)

8. ta-tai su-war (pakai seluar)

9. mak av-vah ta-ti (mak marah nanti)

10. ti-not ni, ti-not (tengok ni, tengok)

11. a-tan u-te (padan muka)

12. jut ta-ya (terkejut saya)

13. u-tak (bukak)

14. to-men (ultraman)

15. ti-yek (shrek)

16. tei-ten (dragon)

Sebagaimana bahasa Pingu yang menghiburkan penonton, ‘bahasa’ anak kita dalam tempoh pelat dan telornya memang sebenarnya menghiburkan hati orang tua, bukan? Sesungguhnya ia perlu dihayati (dalam sabar) kerana tidak mungkin ‘kemerduan’ tutur bicara itu akan berulang lagi!

Hmm, rugi juga kalau anak cepat sangat petah bercakap tanpa telor, tidak dapat menikmati indahnya tutur kata anak kecil yang menggelikan hati!

Wednesday, December 3, 2008

Suatu tazkirah: LOCENG TU TAK PAYAHLAH!

“Beritahu menantu kita tu, jangan pakai gelang ada loceng,” ujar ayah kepada emak suatu ketika dahulu supaya menegur menantu barunya yang memakai gelang berloceng. Alhamdulillah, ipar saya itu tidak lagi memakai gelang berloceng.

Ayah juga pernah menegur cucunya yang memakai gelang kaki berloceng. Dan alhamdulillah juga, anak saudara saya itu tidak lagi memakainya. Sememangnya, ayah amat bertegas dalam hal ini.

Saya juga telah menegur adik-adik perempuan di pejabat yang memakai gelang loceng ini (no offence). Bukan suka-suka saya menegur, tetapi ini perintah daripada Rasul sendiri. Jika saya yang telah tahu hukumnya, maka berdosalah saya jika tidak menyampaikan ajaran baginda SAW. Saya tidak mahu menanggung dosa itu. Setelah menegur, terpulanglah kepada iman masing-masing.

Saya kira memang masih ramai perempuan yang jahil dan tidak mengambil berat dalam soal barang kemas berloceng ini. Atau ada juga sudah tahu hukumnya, tetapi sengaja bersikap acuh tak acuh? Wallahua’lam.

Dan saya sendiri, suami pernah menghadiahkan saya seutas gelang yang tiada loceng, tetapi mempunyai aksesori di sekelilingnya hingga menimbulkan bunyi bergerincing seperti loceng, saya terus mencari playar dan mencabut satu persatu aksesori itu (walaupun saya tidak memakainya). Sesungguhnya bunyi sedemikian akan menarik perhatian lelaki lain kalaupun tidak syaitan.

Kepada perempuan-perempuan di luar sana, buangkanlah loceng yang ada pada barang kemas anda itu jika anda benar-benar mahukan rahmat Allah! Sesungguhnya Rasul SAW sangat melarangnya!

Apa pun, saya mahu ingatkan kaum lelaki dalam hal ini, sebagai ketua keluarga prihatinlah apabila memilih dan menghadiahkan barang kemas kepada isteri atau anak-anak perempuan! Andainya ada loceng walaupun saiznya sekecil kacang hijau di sisi keluarga kita, akan terhalanglah malaikat rahmat daripada mendampingi kita sekeluarga. Wallahua’lam.

Petikan hukum di bawah ini saya petik dari laman web Jabatan Agama Islam Selangor:

Hukum memakai gelang kaki dan tangan berloceng

Soalan 11
Apakah hukumnya memakai dengan gelang kaki/tangan yang berloceng ?
Jawapan:
Merujuk kepada kitab Bahrul Mazi, (ringkasan Sahih al-Tarmizi), memakai loceng adalah ditegah oleh syarak kerana bunyi loceng itu menyebabkan tiada malaikat Rahmat mendekatinya. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang dikeluarkan oleh Abu 'Isa al-Tirmizi yang maksudnya:
"Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Tiada menyertai malaikat Rahmat bersama jamaah (kumpulan) yang ada di dalamnya anjing dan loceng."

Oleh yang demikian, elakkanlah dari memakaikan gelang kaki/tangan yang ada loceng pada anak perempuan.