Monday, December 8, 2008

BAHASA PINGUKAH?

1. Ta-teik ta-ti ta-ti
2. Ta-ti ta-ter ta-tu
3. U-la uf-fa
4. Tu ye ni-mot
5. to-yi
6. do-bot da-hat
7. tu-sying
8. ta-tai su-war
9. mak av-vah ta-ti
10. ti-not ni ti-not
11. a-tan u-te
12. jut ta-ya
13. u-tak
14. to-men
15. ti-yek
16. tei-ten

Sekali baca frasa-frasa di atas ini tidak membawa apa-apa makna kepada sang pembaca mahu pun sang pendengar kalau dituturkan.

Bahasa apakah ini? Adakah ia kod-kod rahsia yang memerlukan tafsiran dengan kaedah tertentu?

Hmm...bukan! Bukan kod rahsia.

Atau adakah ini bahasa Pingu yang sentiasa menghiburkan penontonnya? Mungkinkah? Bahasa Pingu sememangnya tidak membawa makna apa-apa, tetapi penonton di seluruh dunia boleh memahaminya dengan memerhati aksi Pingu yang nakal. Lantas terhibur dengannya.

Pun bukan juga.

Habis, bahasa apakah itu?

Itulah bahasa anak saya yang sudah berusia tiga setengah tahun tetapi masih telor dan pelat. Tahun depan akan memasuki tadika. Ketelorannya sedikit sebanyak merisaukan. Namun setelah merujuk kepada teman-teman yang berpengalaman, kata mereka, ‘Alah, biasalah tu. Anak aku pun sama. Anak laki lebih berat mulut dari anak perempuan.’

Yang lain pula berkata, ‘Budak-budak ni ada dua macam. Kalau dia lambat berjalan, selalunya dia cepat bercakap. Kalau dia cepat berjalan, bercakap dia lambat sikit. Cepat dua-dua jarang jumpa.’

‘Ooo, gitu. Padanlah,’ respons saya yang tiada pengalaman. Memang pun anak saya cepat berjalan. Maka lambatlah bercakap.

Awalnya saya juga tidak memahami ungkapan-ungkapan tersebut. Tetapi lama-kelamaan dengan pengalaman, akhirnya saya boleh memahami apa yang diucapkan anak (walaupun masih banyak yang saya tidak mengerti).

Banyak orang tidak boleh faham bahasanya. Sebagai ibu yang banyak menghabiskan masa bersamanya, saya boleh faham; kalaupun tidak banyak, sedikit.

‘Isk, bilalah budak ni nak boleh bercakap,’ ngomel saya suatu hari di hadapan ayah.

‘Dah bercakaplah tu. Itu bahasa dia,’ komen ayah.

Ya...sabar. Nanti tiba saat, akan ‘berbutir’lah bicaranya. Sesungguhnya hidup manusia di alam Tuhan ini memerlukan kesabaran yang tinggi. Tetapi banyak manusia seperti saya ini tidak mampu memanipulasi sabar sepenuhnya. Sedangkan sabar itu sebahagian iman dan satu keperluan.

Jika sang anak penuh tekun, penuh usaha dayanya mengulangi berkali-kali bait-bait tuturnya dengan sabar supaya difahami ibu ayah, mengapakah kita tidak boleh sabar seketika untuk mendengar dan untuk cuba memahami mesej yang hendak disampaikannya?

‘Belajar daripada sabar anak!’ saya mengingatkan diri sendiri.


‘WAHAI ORANG-ORANG BERIMAN, JADIKANLAH SABAR DAN SOLAT SEBAGAI PENOLONGMU. SESUNGGUHNYA ALLAH BERSAMA ORANG-ORANG YANG SABAR.’ (Al-Baqarah: 155)


Terjemahan tuturan anak saya di atas adalah seperti berikut:

1. Ta-teik ta-ti ta-ti (sakit kaki nanti)

2. Ta-ti ta-ter ta-tu (bagi uncle satu)

3. U-la uf-fa (bola besar)

4. tu ye ni-mot (itu dia remote)

5. to-yi (sorry)

6. do-bot da-hat (robot jahat)

7. tu-sying (kucing)

8. ta-tai su-war (pakai seluar)

9. mak av-vah ta-ti (mak marah nanti)

10. ti-not ni, ti-not (tengok ni, tengok)

11. a-tan u-te (padan muka)

12. jut ta-ya (terkejut saya)

13. u-tak (bukak)

14. to-men (ultraman)

15. ti-yek (shrek)

16. tei-ten (dragon)

Sebagaimana bahasa Pingu yang menghiburkan penonton, ‘bahasa’ anak kita dalam tempoh pelat dan telornya memang sebenarnya menghiburkan hati orang tua, bukan? Sesungguhnya ia perlu dihayati (dalam sabar) kerana tidak mungkin ‘kemerduan’ tutur bicara itu akan berulang lagi!

Hmm, rugi juga kalau anak cepat sangat petah bercakap tanpa telor, tidak dapat menikmati indahnya tutur kata anak kecil yang menggelikan hati!

2 comments:

mommy life said...

My dear friend,

I am so depressed when my nearly 2 year old daughter doesn't want to even talk. She was hospitalised for jaundice since her 3rd day of life until 3rd week of life. I once questioned her paeds whether, jaundice might be the cause.

A few months later when she celebrated her second years of life, I was elated as she suddenly decided to start talking. Now, she will keep on talking once she opened her eyes and keep on talking and talking until we told her that we need her help to stop talking for at least a few minutes. Don't be discourage. Your only son will grow out fine. Trust me from a mother of one. ;-)

- yati yassin -

suraiya said...

Oooo...babies & toddlers...it's not that they don't want to talk. They talk alright. They have their own language which adults do not understand. 'Crying' itself for example is a language, a language spoken by a small child (a mode of speech that is!)

TQ 4 visiting!