Thursday, November 27, 2008

NOVEL MELAYU, NOVEL INGGERIS: Yang mana lebih menarik?

Beberapa kali saya cuba membaca, mengkhatam dan mengulati novel-novel Melayu. Kebanyakan pembacaan saya itu terbengkalai di tengah jalan. Kalau khatam pun, jangka masa yang saya ambil itu sangat lama, setahun, terkadang terlebih.


Jika diberi novel-novel Inggeris, saya boleh menghabiskannya dalam masa satu hari satu malam untuk novel setebal seinci. Dua hari untuk novel setebal dua inci yang kekadang saya sengaja lambatkan bacaan kerana takut cepat habis dan tiada stok baru untuk dibaca. (Ini saya lakukan semasa berstatus bujang, selepas kahwin, paling lama lima hari baru habis kerana ada komitmen lain).

Tiada niat walau sebesar kuman pun untuk merendah-rendahkan novel tempatan, atau mengagung-agungkan karya Barat – tidak, tidak sama sekali! Namun, saya belum mendapat ‘ummph’nya pada karya Melayu. Saya juga telah cuba membaca novel-novel popular Melayu yang disyorkan teman-teman, juga tidak berjaya menaikkan ‘ghairah’ saya untuk membacanya!

Antara genre fiksyen kegemaran saya ialah thriller dan suspens. Lalu saya cuba membaca karya Ramlee Awang Murshid. Tetap saya tidak temui kepuasan membacanya. Dua novelnya saya beli sudah hampir setahun, satu pun belum lagi saya mengkhatamnya, terhenti separuh jalan. Barangkali tiada keaslian dari segi idea... terpengaruh dengan penyampaian, gaya penulisan dan idea Sidney Sheldon. Saya sering juga membaca karya Sheldon, maka saya boleh membandingkannya.

Karya Sheldon lebih asli. Misalnya novel Rahsia Perindu karya Ramlee Awang Murshid (2005)(diulang cetak tiga kali) sangat mirip dengan novel karya Sheldon Tell Me Your Dreams (1998) dari segi ideanya. Maka saya dapat meneka rentak dan akhir Rahsia Perindu (baca lompat ke akhir, saya abaikan bahagian tengah...lompat kerana bosan dengan jalan ceritanya). Sedangkan Tell Me Your Dreams, berjaya menimbulkan suspens saya.

Apa pun, penulis yang tetap menjadi favourite saya ialah anak kelahiran Britain, Jeffrey Archer. Karyanya memang ada ‘kelas’ yang tersendiri.

Pertama kali saya membaca novel Jeffrey Archer, saya terus jatuh cinta pada karyanya. Terpukau dan terpaku. Menjadi ketagih untuk membacanya. Tidak sabar-sabar menunggu kelahiran karya terbarunya. Sementara menunggu kelahiran itu, saya mengulangi baca karya-karyanya yang terdahulu. Paling cepat lahirnya buah tangan Archer ialah dalam lingkungan dua tahun. Untuk research sahaja, beliau mengambil masa setahun. Barangkali itulah rahsianya. Research yang detail. Dan setahun pula untuk menulisnya.

Sumber imej: http://www.dailymail.co.uk/home/books/article-534029/What-book.html

Tempoh dua tahun itu merangkumi enam minggu untuk menyiapkan draf pertama. Kemudian berehat empat minggu, kemudian barulah melakukan draf kedua. Kemudian berehat empat minggu lagi. Berbelas-belas draf ditulis sebelum menjadi sebuah karya hebat.




Kane and Abel (Qabil dan Habil dalam Melayunya barangkali!), novel saga pertama Archer yang saya ulati berkali-kali. Pernah dijadikan mini series TV dilakonkan watak utamanya oleh Peter Strauss dan Sam Neill. Pernah ditayangkan di TV Malaysia, ketika itu saya masih remaja. Saya tidak melepaskan peluang menonton cerita yang pernah saya baca ini.



Sumber imej: http://enzo.drale.com/books/images/18136594.JPG

Setiap judul karya Archer, terjual dan diulang cetak berjuta-juta naskhah. Justeru, Lord Archer mendapat gelaran ‘self made millionaire’ hasil daripada tulisannya. Archer tergolong dalam penulis ‘mainstream’ sebaris dengan Jackie Collins, Mc Cullough dan James Michener. Mereka ini mempunyai daya imaginasi yang tinggi dalam berkarya.
Kesimpulan yang saya dapati: Untuk menghasilkan novel yang hebat seseorang itu bukan setakat perlu menjadi penulis hebat tetapi juga mesti menjadi ‘pengkarya’ hebat dan ‘penglipurlara’ (story teller) yang hebat juga. Gabungan dua elemen inilah yang saya dapati kurang ada pada penulis-penulis kita era ini.

Apa sahaja genre daripada Archer baik saga, thriller atau cerpen, semuanya menepati citarasa saya. Di rumah, kami memiliki sebahagian besar koleksi karya Archer (sebahagian besar juga sudah hilang kerana pindah-randah).

Pernah dalam kelas sarjana di UM dulu, pensyarah membicarakan karya-karya Archer, alhamdulillah saya dapat menjawab soalan diajukan pensyarah dengan baik kerana terlalu meminati akan karyanya. Rakan-rakan lain seolah-olah tidak pernah dengar tentang author tersohor di seantero dunia ini. Ketika itu kami membincangkan novel Archer berjudul ‘The Fourth Estate’.

Selain Archer dan Sheldon, saya juga meminati novel-novel karya Dean Koontz, Dan Brown dan John Grisham.

Saya berdoa moga akan lahir juga karya-karya hebat tanah air (yang asli dan tidak terpengaruh dengan penulis antarabangsa lain). Pasti saya akan menjadi peminat setianya nanti, insya-Allah!

Perspektif saya ini sekadar pandangan peribadi, dan saya melihatnya dari sudut ‘saya sebagai pembaca’ bukan saya sebagai penulis novel kerana saya sendiri nyata tidak pandai menulis novel. Diharap tiada yang tersinggung. Saya juga tidak membandingkan kritikan saya ini dengan sasterawan negara kita kerana ternyata karya mereka hebat-hebat belaka dari sudut susasteranya, justeru sesuailah diangkat menjadi sasterawan negara. Apa pun, untuk buku-buku umum, saya tetap memilih buku bahasa Melayu kerana lebih menyenangi dan memahaminya!

----------------------

Sedikit info tentang Lord Jeffrey Archer dan karyanya:
- Buta IT (tidak pandai menaip), maka menulis tangan menggunakan pen dan kertas setiap patah perkataan.

- Selain novel, Archer juga menulis cerita pendek dan screen play.

- Sangat berdisiplin dengan waktu apabila menulis.

- Menulis tanpa meletakkan di kepalanya siapa pembaca sasarannya. Apa yang senang padanya, itulah yang ditulisnya baik saga, thriller mahupun cerita pendek.

- Tidak pernah merangka kesudahan cerita yang ditulisnya. Fokusnya hanya kepada empat atau lima bab pertama, dan 10 rangka berikutnya (pertengahan cerita). Semasa menulis beliau sendiri tertanya-tanya apa yang akan terjadi pada halaman berikutnya. Teori Archer ialah, jika beliau sendiri tertanya-tanya apa yang akan berlaku seterusnya, maka berkemungkinan besar, pembaca juga akan tertanya-tanya apa akan berlaku berikutnya. Formula inilah yang mengikat pembaca dengan novelnya hingga ke halaman terakhir.
- Akhir cerita dengan teknik ‘twist end’.

- Pernah dipenjarakan selama dua tahun kerana didapati bersalah bersumpah bohong dan putar belit.

- Merupakan bekas ahli politik Parti Conservative.

Ikuti wawancara Lord Jeffrey Archer di: http://www.telegraph.co.uk/news/yourview/1580464/Jeffrey-Archer-answers-your-questios.html

p.s: Alangkah bagus andai saya mampu mengkhatam dan menghadam kalamullah Al-Quran yang suci, mukjizat yang agung yang tiada tandingan sebagaimana saya mengkhatam dan menghadam novel J.A!

10 comments:

i-chimera said...

saya suka jugak karya Sidney Sheldon.. tapi tak baca sgt novel2 omputih sebab tak berapa paham... heheheh... faham ala kadar je. so, nak hayati jln cerita pun mcm tak berapa menjadi...

sama mcm baca Quran... sebab kita baca setakat baca tapi tak tahu apa yg di baca...

suraiya said...

Mmmm, tak palah shukri. Kalau semua org faham dan jadi minat nvl Inggeris, nanti tak laku plak nvl melayu.

Satu lg nak pesan, kalau petik apa2 bahan baik bhs inggeris atau dari mana2 utk masuk blog aau apa je, mesti letak sumbernya dari mana baik org yg kita kenal atau tidak. Biar kita jadi penulis yg beretika! Jgn main ambik je

i-chimera said...

ok... saya ingat pesan tu.. terima kasih...

Ummu Najah said...

Terjumpa blog Su ni. Menarik. Banyak ilmu dan pengalaman yang boleh dikutip. Datanglah melawat ke blog akak yang baru dibuat.

suraiya said...

Insya-Allah Kak Zu

Mynie said...

wah saya juga meminati pengarang-pengarang yang sama! jeffrey archer, dan brown, dean koontz. dan tambah sedikit lagi: michael crichton, james patterson, agatha christie. saya juga berperasaan yang sama, iaitu lebih banyak 'menjumpai' novel berbahasa Inggeris yang khusyuk dibaca. tapi Alhamdulillah baru-baru ini semakin banyak novel berbahasa melayu yang mantap, antara yang berjaya saya uliti dengan kekhusyukan yang sama ialah ayat-ayat cinta dan salju sakinah.

Fiel said...

Saya Fiel (Nama kat internet). Pernah jugak baca karya Sidney Sheldon, tiga novel je. Terkejut gak bila kawan cakap Sheldon ni lelaki! Ha...

Saya sekarang tengah tulis novel BI, jadi cari la dalam internet kalau ada yg minat menulis juga, dan ni la yg paling dekat.

Hm... Pertama kali melawat blog ni, tapi rasa bagus juga. Rasa bersemangat sikit nak teruskan.
Sekarang hampir setahun dah. Insyaallah boleh siap bulan ni.

Pasal Al-Quran... Sebagai ingatan, baca la setiap hari beserta tafsirnya. Salam.

suraiya said...

Fiel:
Nama yg bukan kat internet apa? Blh tau?

Memanglah Sheldon tu lelaki. Apa pun saya lebih suka karya Archer.

Kalau berminat, cubalah hantar manuskrip novel Islamik untuk remaja kepada kami. Kalau sesuai, insya-Allah blh diterbitkan.

Fiel said...

Nama? Hmm... dah dekat dgn nama anaknya Pn. Suraiya, nama yang diberi atas rasa hormat teramat sangat abah pada datuk.

Saya belum baca lagi karya Archer, lain kali ke library akan kucari (sekarang tgh bercuti Uni)

Novel islamik untuk remaja? Hmm, belum ada lagi, tapi saya ada nak tulis sesuatu pasal lebah, yg boleh dicontohi oleh para remaja sekarang.

suraiya said...

Fiel:

do i know you by any chance?