Tuesday, December 14, 2010

KEMUNCAK SAKIT TENGKUK ... SAYA MASIH MUDA RUPANYA!

"Sy ke klinik dlu, tgkuk skt sgt" demikian SMS saya hantar kepada bos memaklum kelewatan saya ke pejabat hari ini.

Ketika memandu pun, cermin sisi kereta, saya pandang dengan hujung mata, sakit hendak palingkan kepala.

Sudah lama saya sakit tengkuk dan bahu. Sejak bertahun dulu. Cuma saya tahankan aje. Sesekali apabila sakitnya sampai kemuncak seperti hari ini, barulah saya berjumpa doktor.

Kalau ke rumah emak, anak saudara sulung akan saya suruh picit dan urut. Hanya tangan dia saja yang sedap kalau mengurut.

Seusai menghantar anak ke tadika, saya terus ke klinik berdekatan. Poliklinik Yazmeen & Mahanum berdekatan pejabat lama dulu. Saya senang mendapat rawatan di situ kerana doktornya perempuan.

Namun saya perlu menunggu jam 9 untuk ia memulakan operasi.

Sementara menunggu, saya ke bank, ambil kesempatan itu kerana tidak mahu mengambil masa bekerja pada hari-hari lain untuk urusan bank.

Selesai urusan di bank, saya terus ke klinik. Apabila nama dipanggil, saya sedikit kaget kerana biasanya Doktor Mahanum yang merawat. Kali ini doktornya agak berumur sekitar 60-an agaknya (mujur perempuan). Mesra!

"Sakit apa?" soalnya sambil meneliti rekod sakit saya sebelum ini.

"Tengkuk, bahu semua dah keras. Sakit sangat."

"Eh, kerap ni," responsnya kerana rekod sebelum ini juga sakit yang sama. "Tau puncanya apa?"

"Tak tau ... ."

"Hmmm, tak bagus kalau selalu ambil pain killer. You are still young. Muda sangat lagi. Berapa umur?"

"Dah banyak ... empat dekad."

"Muda lagilah. You know, when I went to England for my sabbatical, I was forty then. You know what they said? They said, 'Hey, you are still a baby' " ujar doktor itu, bahasa Melayu dan Inggeris bercampur-aduk.

Saya cuma menyengih.

"Sakit tengkuk dan bahu banyak sebab. Ada salah tidur malam tadi?"

"Tak, sebab dah lama. Ke sebab menghadap komputer lama sangat?"

"Tak dalah, sebab kalau duduk depan komputer, tak ada benda yang tekan muscle kita. Banyak orang dok depan komputer tak sakit pun."

"Oh."

"Angkat benda berat ada?"

"Tak da."

"Beg tu ha ... beg pun boleh jadi punca sebab hari-hari tersangkut di bahu. Satu lagi ramai orang tak tau, bra strap, tali bra pun boleh menekan otot."

Saya menge'oooo' dalam hati ... tak tau pun, sekarang baru tahu.

"Ada makan supplement?"

"Kadang-kadang je."

"Orang perempuan elok ambil kalsium. I'll give you calcium just in case it is related to osteoporosis. Lepas tu I bagi you jel analgesic, Volteren untuk tahan sakit, then Norgesic same like Panadol but it relaxes your muscles while you sleep, makan ni satu kali sahaja masa nak tidur malam, sebab you akan rasa mengantuk."

"Kalau urut boleh hilang ke?" saya menyoal kerana sudah banyak orang sarankan saya mendapatkan khidmat urut (tak termasuk tangan anak saudara).

"Well, it helps, bolehlah kalau nak cuba ... tapi kalau luka, patah, jangan berani-berani urut, bahaya sebab ada pendarahan di dalam."

"Sepanjang hayat tak pernah pergi urut."

"I pun tak suka urut sebab it's addictive. Nanti you nak lagi, nak lagi. Tapi adik-beradik I suka berurut."

Panjang pula cerita doktor itu. Sehingga selesai, saya terlupa bertanyakan namanya.

Ketika memasuki kereta saya cuba fikir-fikirkan punca sakit ... barangkali benar berpunca daripada beg. Kerana bahagian paling sakit sebelah kiri - saya menyangkut beg di sebelah bahu kiri, bertahun-tahun kini semakin terasa sakitnya.

Beg saya agak besar dan berat tidak seperti beg tangan orang lain. Beg saya tiada alat mekap, sebaliknya segala macam benda ada. Duit syiling yang banyak, sebotol air dan makanan juga hampir sentiasa ada untuk bekalan anak dalam perjalanan. Waktu pulang dia sentiasa lapar dan haus, apalagi kalau tersangkut dalam sesak lalu lintas. Saya tidak suka meninggalkan bekalan itu di dalam kereta kerana bahang panas matahari merosakkan air dan makanan. Jadi saya lebih senang menyumbatnya di dalam beg dan membawanya ke mana sahaja.

Terkadang pakaian spare anak pun terbawa sekali kalau terlupa meninggalkannya di dalam kereta.

Ahh ... rupa-rupanya selama ini ada 'benda berat' tanpa sedar saya pikul setiap hari. Ketika doktor bertanya, saya tidak terfikirkannya, lalu dengan senang hati saya menjawab 'tak da'.

6 comments:

abunyer said...

Inilah yang dikatakan sakit yang (ber)'paling' sakit!

intankhalid said...

Assalamualaikum, Sue...

Bila baca cerita ko, aku sebetulnya ada pengalaman yg sama. Sbb tulah handbag aku cukup utk isi wallet + handphone aje. Apa barang2 lain, aku letak dlm beg lain yg selalunya aku bimbit. Sebulan sekali, aku akan cuci beg tu dan secara langsung membuang apa yang patut.
Ramai kawan2 perempuan tak sedar tentang keberatan handbag mereka yg adakala beratnya mencecah 2-3 kilo. Tak elok utk kesihatan...
So, take care ya!

SURAIYA PAUZI said...

Intan,

Masalahnya yg bimbit pun ada juga. segala mcm bahan kerja opis dibimbit. Manuskrip 2,3 bukan ringan, tebal2. Berkilo2. tu yg menambah sakit. bekal makan minum anak pun penting gak

Kamariah Kamarudin said...

salam. info yang membantu; sebab saya pun sekarang suami selalu kata:"wah, beg macam isi batu,", sebab macam2 saya sumbat, maklumlah kita ada anak kecil. pulak tu ke sana ke mari. nampaknya lepas ni saya akan pastikan beg sentiasa dikemaskini demi kesihatan untuk anak2 juga. untuk kak Su, moga cepat sembuh, jaga diri ya!

Tuan Juhaida said...

tq share coz i pun mengalami sakit yang sama.

azuankota said...

saya mengalami sakit belakang badan on/off.sakit datang dalam seminggu kemudian hilang.kesakitan yg sy alami sgt menganggu pkerjaan dan aktivit saya.ada masa sukar utk memandu kerana tidak boleh toleh.kemudian baru saya tahu yg sy menghidapi kerisauan terlampau anxiety disorder.sakit badan yg saya alami selama ini adalah simptom anxiety.

http://sakitanxietydisorder.com/anxiety-disorder-menyebabkan-sakit-otot/