Monday, March 1, 2010

CERITA MIHUN

Isnin lalu kerana kesilapan Emak yang memesan kuantiti mihun goreng pada seseorang, maka saya dapat menjamu mihun kepada seluruh warga pejabat. Dari pagi hingga petang makan mihun.

Di rumah, Emak mengagih-agihkan lagi mihun itu kepada jiran-jiran sekeliling. Setelah selesai mengagihkannya itu, masih ada lagi bakinya dalam sebekas ‘tupperware’ besar. Yang ini Emak simpan dalam peti sejuk.

“Alhamdulillah, selesai soal sarapan anak-anak pagi ni,” ujar Emak meniru cakap jiran depan rumah ketika Emak menghulur mihun kepadanya.

Cerita tetamu
Sebelah petangnya (menghampiri senja), Ayah menerima tetamu dua beranak (ibu dan anak). Si anak mengadu masalah rumah tangganya -- mengadu suaminya tergila-gilakan seorang selebriti. Selebriti itu lahir daripada sebuah rancangan realiti TV.

Tidak banyak yang dapat dilakukan oleh Ayah melainkan memberi air tawar seperti biasa.

Apabila azan Maghrib berkumandang, Ayah mohon diri untuk ke masjid. Tinggallah wanita itu bersama ibunya di rumah sementara menunggu seseorang datang menjemput. Sementara menunggu itu, Emaklah yang melayan mereka.

Tidak lama kemudian, apabila kenderaan mereka sampai, tetamu itu mohon diri sambil menghulurkan duit kepada Emak. Sudah tentu Emak menolak seperti Ayah juga. Ayah tidak pernah meminta apa-apa bayaran apabila orang datang kepadanya meminta bantuan. Apa-apa yang Ayah beri semuanya lillahi taala.

Puas Emak menolak, wanita itu tetap meninggalkan duit itu di tangan Emak sebelum berangkat.

Sebaik kedua-dua wanita itu hilang daripada pandangan mata, Emak memberitahu, “Orang itu beri duit sama nilainya dengan jumlah yang Emak bayar untuk mihun yang banyak tu.” Ya tak ya, pagi tadi Emak sudah keluarkan sejumlah wang untuk bayar kos mihun goreng.

“Tuhan ganti balik apabila kita memberi pada orang,” komen Emak lagi.

Betullah kata orang ‘what you give, you get back’. Itu janji Tuhan. Apabila kita memberi Allah pasti akan ganti balik. Malah, kadang-kadang berlipat kali ganda.

Ayah pula pernah menyebut kita tidak jatuh papa dengan memberi orang makan. Walaupun tidak kaya, insya-Allah makan pakai kita sentiasa cukup. Jangan kedekut untuk beri orang makan.

Bukan sekali dua Emak mendapat pengalaman sebegini. Sebagai isteri kepada seorang ustaz, Emak juga dapat tempiasnya. Anak-anak murid Ayah kerap memberi hadiah. Antaranya kain pelekat. Emak pula akan dapat kain batik sarung. Kerana stok banyak, kain pelekat dan batik sarung ini Emak hadiahkan pula kepada orang lain. Elok sahaja kain-kain itu dihadiahkan kepada orang, tidak lama kemudian, stok kain itu pasti akan berganti, dihadiahkan baru oleh orang lain pula. ‘Top up’ stok kain sentiasa ada tanpa perlu membeli!

Semalam (Ahad) genap seminggu usia mihun yang Emak simpan dalam peti. Semalam Emak keluarkan dari peti untuk makan beramai-ramai bersama anak cucu yang datang bertandang dan bermalam. Banyak sungguh mihun itu sehingga ada lagi bakinya. Adik ipar saya membawa pulang untuk diberi pula kepada abangnya yang berjiran dengannya.

Cerita Mokhtar
Ini pula cerita Mokhtar rakan sepejabat saya. Katanya sudahlah siangnya makan mihun di pejabat, balik rumah, isterinya juga goreng mihun untuk makan malam. Katanya, “Nak pengsan makan mihun. Tapi makan jugalah ...” (sebab tak ada pilihan). Dia membayangkan balik rumah dapat makan nasi ... kesian Mokhtar!

Emak ketawa apabila saya menceritakan kisah Mokhtar.

Menurut si penggoreng mihun itu, kuantiti mihun yang Emak pesan itu menyamai seratus bungkus jika dijual seperti nasi lemak dengan harga seringgit sebungkus!

4 comments:

Mrs. Nurulazmi said...

I love this entry.
Memang betul, kak. Kalau kita baik n banyak buat sedekah kat orang lain, rezeki kita tak pernah berkurang malah tak putus2 dtg.
Sampaikan salam saya untuk ibu akak. :)

Yang benar,
Vivi Noryati Hj Ahmad

SURAIYA PAUZI said...

Vivi,

True3. Mcm moto saifulislam 'ERTI HIDUP PADA MEMBERI'.

Saya jwblah slm tu bg pihak emak sb baru sebentar td Mak & Ayah berangkat ke Tanah Suci to perform umrah.

Unknown said...

Sue, sesungguhnya mak aku pun begitu perangainya. Sentiasa memperingatkan anak2 tentang sifat memberi/ lebihkan bersedekah. Senyum sorang bila aku baca cerita mihun ni. Tentang kain pun camtu gak, bila mana mak atau abah dpt kain, mak akan simpan dulu dan bila2 ada org yg nak disedekah...terus aje abik dr almari dia. Insyallah, 'stok in and out' kain berlaku spjg tahun. Rezeki dari Allah SWT, Alhamdulillah.
Moga Umrah Mak & Ayah Sue...sentiasa dalam lindungan Allah supaya perjalanan selamat pergi dan balik, mendapat kesihatan yang baik sepanjang masa agar segala ibadah dapat ditunaikan dengan sempurna, semoga Allah SWT mudahkanlah segala urusan, berilah keselamatan, ketenangan dan kekusyuan dalam menjalankan ibadah dan seterusnya ibadah ini diterima Allah SWT.

SURAIYA PAUZI said...

Intan

Amin...amin...