Tuesday, June 5, 2012

NILAI SEBATANG GIGI

"Mak Ammar rasa dah tak tahan dah sakit gigi goyang ni. Susah nak makan," adu anak saya. Giginya sedikit pun tidak rongak. Sekadar bergoyang kerana gigi kacip kekal sudah mula tumbuh. Jadi gigi susu itu perlu dicabut bagi memberi ruang kepada gigi baru untuk tumbuh sempurna.

Dua batang perlu dicabut.

"Dah tak nak tunggu Papa balik ke?" Ayahnya sehingga ke hari ini (hampir sebulan) berkhidmat di Universiti Chulalongkorn.

"Tak nak. Dah sakit sangat."

Sebelum ini dia mahu ayahnya mengikut sekali.

"Mak tunggu Papa balik tau. Ammar takut sangat cabut gigi ni."

Dua minggu dia menunggu, ayahnya tunda tarikh balik menjadi tiga minggu kerana kerja belum siap. Dari tiga minggu dilanjut tarikh hingga sebulan, tak balik-balik menyebabkan jadual hidup dan kerja saya menjadi sedikit lintang-pukang kerana semua perkara perlu saya uruskan sendirian, khasnya soal anak.

Akhirnya Ammar sudah tidak tahan lagi dengan keadaan giginya.

Saya membawanya ke sebuah klinik gigi yang tidak jauh dari rumah Emak.

Melangkah masuk sahaja, sudah dapat diagak, tempatnya eksklusif.

"Selamat pagi," ucap penyambut tetamu.

Saya sekadar mengangguk dan senyum.

"Nak cabut gigi goyang anak saya. First timer."

"Lambat sikit ya puan. Sebab dah ada patient yang datang untuk appointment."

"Okey."

Lalu dia mengeluarkan senarai harga rawatan yang di'laminate' seperti senarai menu di restoran.

"Puan harga cabut sebatang gigi kanak-kanak antara enam puluh lima ringgit ke seratus dua puluh ringgit, ya."

Barangkali dia perlu menyebutnya agar saya tidak terkejut. Sebelumnya saya lihat ada pesakit bertanyakannya di mana ada ATM untuk dia mengeluarkan duit bagi membayar kos rawatan.

"Okey," jawab saya lagi. Tapi ini pula monolog saya dalam hati, 'Mak aiii, mahal gila. Itu gigi yang dah goyang, tak payah mana pun nak cabut. Gigi kacip aje pulak tu.'

Agaknya yang bernilai RM120 sebatang itu adalah gigi geraham!

Di bilik rawatan, Ammar meronta-ronta. Meraung-raung. Doktor pun diterajangnya.

'Ek eleh,' bisik hati saya. 'Hilang habis macho.'

"Okey, okey sikit saja. Doktor letak ubat saja, lepas tu boleh balik rumah," kata doktor Cina wanita yang merawat. Tangannya pantas mencabut gigi. Saya pun tidak sedar bila dia mencabutnya. Memang cekap.

"Mari sini, dekat sini," kata doktor lagi sebaik selesai mencabut gigi. Ammar masih menangis.

"Nah, doktor mau bagi hadiah. Tengok sini pilih mana satu suka." Anak saya tidak peduli kerana melayan tangisnya.

"Okey, doktor bagi Ironman la," kata doktor itu menghulurkan sticker Ironman. Dalam lacinya penuh dengan bermacam sticker bagi memujuk pesakit 'bermasalah' seperti anak saya.

Di kaunter bayaran, pembantu doktor keluar menghulurkan dua batang gigi yang dicabut untuk dibuat kenangan.

"Puan, cabut dua batang gigi, semunya seratus tiga puluh ringgit," kata penyambut tetamu tadi.

"Visa, boleh?"

"Visa boleh," jawabnya senyum.

Lalu saya hulurkan kad debit kepadanya.

Alahai, mahal sungguh rawatan gigi.

Dua orang anak saudara pernah mencabut gigi di tempat yang sama beberapa tahun sudah. Ketika itu nilai cabut sebatang gigi kanak-kanak RM50. Hari ni sudah naik RM15 menjadi RM65 sebatang.

Teringat saya sewaktu  melanjut pelajaran Sarjana di UM dahulu. Saya manfaatkan sungguh-sugguh rawatan gigi percuma bagi para pelajar. Saya tidak jemu mendapat rawatan di Fakulti Pergigian. Dari mencuci hinggalah menampal. Apabila saya mencongak kosnya jika dibuat di klinik swasta, nilai keseluruhannya mencecah empat angka.

Kepada pelajar-pelajar IPTA di luar sana, rugilah jika anda tidak mendapatkan rawatan gigi secara percuma yang disediakan pihak universiti. Rebutlah peluang yang ada sebelum anda melangkah ke alam pekerjaan yang serba-serbi mahal!

4 comments:

mynie said...

Salam kak Suraiya,
saya dengar, kalau cabut di klinik gigi kerajaan murah saja, RM1 kalau tak silap. Cuma mungkin waktu menunggu lebih lama..

Anak sulung saya baru 'hilang' gigi susu yang pertama. Memang betul-betul hilang sebab sedar-sedar dah tiada. Jangan-jangan ada dalam perut hehe ;p

SURAIYA PAUZI said...

Wa'alaikumussalam,

Betul, di klinik kerajaan murah saja. Tapi kita yang sentiasa berkejar dengan masa tak kuasa nak menunggu.

shyra shahira said...

salam kak. saya baru nak masuk UM bulan 9 ni. kalau nak buat braces free juga ke?

SURAIYA PAUZI said...

Wa'alaikumussalam

Saya sudah lama meninggalkan UM, jadi tidak pasti free atau tidak. Kalau bayar pun mungkin tidak semahal di luar. Utk rawatan biasa-biasa utk student free saja (cabut, tampal mainly)
Teringat anak kawan buat braces di Fakulti Pergigian UM, bayar tak banyak, tapi hendak menunggu utk dpt rawatan memanglah lama. Wallahu a'alam.