Hari raya kedua baru-baru ini saya telah mengikut rombongan pernikahan anak saudara sebelah suami ke Terengganu. Ia suatu pengalaman yang menyerikkan bagi kami khasnya suami saya yang terpaksa memandu. Ini kerana kesesakan trafik yang melampau di Kelantan.
Masuk ke sempadan Terengganu, jalan raya boleh dikatakan lapang. Barangkali tidak ramai anak Terengganu yang merantau mencari rezeki di negeri orang. Ini amat berbeza dengan anak Kelantan. Mereka bertebaran di mana-mana. Justeru, tiket pengangkutan awam yang paling banyak dan paling laris
dijual dan terjual saban tahun adalah yang menghala ke Negeri Serambi
Makkah itu. Itu belum dikira warga Kelantan yang memandu sendiri untuk pulang ke kampung. Justeru, apabila pulang ke tanah kelahiran untuk menyambut Idilfitri, kesesakan trafik tidak dapat menampung pergerakan kenderaan di jalan raya.
"Lepas ni siapa buat majlis kahwin musim raya, minta maaflah, tak nak pergi dah, walaupun anak sendiri. Serik," rungut suami saya. Apatah lagi, kereta milik ibunya yang dipandu itu, turut membawa tuannya yang sudah uzur. Kasihan mentua saya itu menempuh perjalanan yang amat meletihkan. Apatah lagi dia mengalami bermacam masalah kesihatan. Hampir setiap setengah jam suami saya perlu berhenti di stesen minyak untuk membolehkan emaknya ke bilik air.
Mujurlah penginapan homestay yang menempatkan kami untuk keluarga berkumpul, letaknya di tepi pantai yang sangat bersih dan cantik. Tidak seperti kebanyakan pantai lain yang sampah-sarap bertaburan, pemandangan pantai ini menyamankan. Redalah juga 'panas hati' setelah menempuh perjalanan yang menyesakkan dada dan menguji iman, apatah lagi syaitan laknatullah serta nafsu sudah bebas selepas sebulan terbelenggu, mula meliar semula.
Anak-anak yang dibawa, termasuk anak saya tentunya riang ria dapat bermain pantai di pesisiran pantai Terengganu. Namun, panas hati kembali apabila esoknya sekali lagi terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas untuk pulang semula ke Kota Bharu. Perjalanan dua jam menjadi lima jam!
Ya, kebanyakan masyarakat kita begitulah, mahu tunggu semua adik-beradik dan kaum kerabat berkumpul barulah majlis kahwin akan diadakan. Dan waktu rayalah waktu paling baik untuk mengadakannya kerana semua keluarga berkumpul pulang bercuti menyambut raya. Waktu ini dimanfaatkan untuk tujuan walimah.
Jika tidak dibuat begitu, nanti ada pula adik-beradik dan ahli keluarga lain muncung dan bermasam muka. Dan dalam waktu yang sama, kerana mahu menjaga hati mereka ini, kita tidak sedar tetamu lain juga mengata-ngata di belakang, merungut akan kepayahan menempuh kesesakan trafik, khasnya bagi yang memandu, mereka yang uzur, mereka yang tua dan mereka yang mempunyai anak-anak kecil yang cepat rimas di dalam kereta. Kalau yang tua pun rimas apatah lagi yang kecil.
Begitu fahaman kebanyakan kita tanpa memikirkan soal kepayahan majoriti tetamu yang hendak menghadirinya.
Keluarga di sebelah saya pula, seingat saya apabila hendak mengadakan majlis perkahwinan, tidak pernah mengadakannya pada musim raya kerana faktor-faktor sedemikian. Kami lebih memikirkan kemudahan tetamu yang jauh, memudahkan mereka datang. Jika mengambil kira kemudahan tetamu, biarpun bukan tarikh raya, insya-Allah, mereka akan datang dalam keadaan tenang tanpa mengungkit-ungkit masalah jalan raya sesak yang menyerabutkan kepala.
Kalau ada adik-beradik yang tidak dapat bersama pun, tidak mengapalah. Namun, hingga kini tidak ada adik-beradik dan keluarga terdekat yang tidak dapat hadir walaupun bukan musim raya.
Jika ada di kalangan anda yang bercadang mengadakan majlis perkahwinan ketika cuti raya, fikir-fikirkanlah!
No comments:
Post a Comment