Tuesday, August 18, 2009

H1N1, CIKGU DAN SEKOLAH

Semalam saya menerima surat daripada pentadbiran Pusat Pendidikan Hasanah, sekolah anak saya.

Surat berkenaan memberitahu tindakan dan langkah-langkah penjagaan yang dicadangkan Tadika Hasanah dalam menangani wabak selesema babi. Pihak tadika mencadangkan ibu bapa mengambil langkah pencegahan wabak ini seperti berikut:

1. Menggalakkan anak-anak memakai mask sewaktu ke tadika
2. Memastikan tahap kesihatan anak-anak dalam keadaan baik
3. Melarang anak-anak hadir ke tadika jika demam dan selesema atau batuk
4. Mengelakkan anak-anak ke tempat berisiko tinggi H1N1
5. Mengadakan solat hajat bersama-sama.

Di pihak Tadika Hasanah pula langkah pencegahan seperti berikut:

1. Memastikan keadaan persekitaran Tadika pada tahap sentiasa bersih
2. Semua guru akan lebih sensitif kepada kesihatan kanak-kanak
3. Memberi taklimat mencegah H1N1 pada kanak-kanak
4. Mempamerkan maklumat berkaitan H1N1 di tadika/taska
5. Mengadakan solat hajat bersama kanak-kanak.

Menurut surat itu, langkah penjagaan oleh Pusat Pendidikan Hasanah ini akan berterusan sehingga wabak ini beransur pulih dan lenyap.

Maka sejak semalam apabila pulang ke rumah, anak saya kerap mahu basuh tangan. Itulah penangan cikgu, suruhan cikgu mudah dilakukan. Jika ibu bapa yang suruh, macam dengar tak dengar saja akan suruhan itu.

Saya paling terharu apabila anak-anak di tadika ini sudah didedahkan dengan solat hajat. Bersolat bersama-sama cikgu. Doa mohon perlindungan dan kesejahteraan juga turut diajar. Jika di rumah, kalau diajak solat, acuh tak acuh sahaja lagaknya. Saya berterima kasih amat kepada cikgu sekaliannya.

Ertinya, amat perlu kanak-kanak seusia itu dipasakkan didikan tauhid seawal usia untuk memohon bantuan dan perlindungan daripada Allah SWT (kerana ujian hidup manusia tidak mengenal usia, waktu dan tempat).

Antara emak dan cikgu skilnya berlainan. Seorang cikgu mampu memberi didikan formal yang baik kepada muridnya. Seorang ibu dan bapa pada kebanyakan masa, tiada kebolehan itu … sebab itulah di dunia ini adanya intitusi yang bernama ‘sekolah’. Ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah untuk menerima didikan yang tidak mampu mereka berikan.

Apa pun, saya seru di sini, sama-samalah kita tunaikan solat hajat demi kesejahteraan manusia sejagat lebih-lebih lagi untuk diri dan keluarga kita. Bagi kita yang sudah dewasa, tidak perlulah menunggu ‘arahan cikgu’ atau menunggu seruan solat hajat di masjid. Lakukanlah apabila ada kelapangan!

No comments: