Thursday, August 27, 2009

ALLAH POWER ...

Jam 10.15 malam tadi di rumah Mak Ayah ...

Saya sedang menuju ke kereta untuk memasukkan barang anak untuk pulang ke rumah selepas berbuka puasa di situ.

“Aaaaa … sejuk, bestnya,” spontan keluar dari mulut saya sambil menghirup udara nyaman malam itu sejurus selepas hujan renyai dan petir setelah sebelah siangnya agak panas.

“Aaaaa … sejuknya. Sedapnyaaaa …” ajuk anak saya yang mengekori dari belakang. “Aaaa … sejuknya, terima kasih Allah bagi sejuk,” katanya lagi.

Saya terkesima mendengarnya. Ucapan anak kecil itu lebih baik daripada ucapan emaknya. Dia mensyukuri nikmat Allah yang sering dilupakan oleh kita yang bergelar dewasa.

“Allah powerkan Mak?”
“A’a. Allah power sangat. Allah paling power sekali, tak benda lain lebih power daripada Allah.”

“Allah, tolong buat bunga,” pintanya. Saya ketawa.
“Eh … tu tengok dalam pasu bunga Atok, banyak bunga Allah dah buat,” jawab saya sambil menunjuk pasu bunga kertas emak (walaupun tidak nampak kerana kelam malam).

Di dalam kereta pula, “Terima kasih Allah, bagi hujan.” Syahdu hati mendengarnya.

“Kalau terima kasih pada Allah, cakap Alhamdulillah.”
Ahamilaaah,” jawabnya, masih pelat. Tidak mengapalah Ammar, sesungguhnya Allah tetap memahaminya walaupun lidahmu masih telor.

“Allah baikkan Mak?”
“Baik sangat-sangat.”


“Allah, datanglah sini ...”
“Allah dah ada kat sini. Allah power sangat, sebab tu kita tak nampak,” jawab saya ketandusan jawapan. Anak seusia itu mahukan segalanya hadir dalam bentuk fizikal. Bagaimana mahu menerangkannya?

“Kalau nak tengok Allah, kat akhirat nanti boleh jumpa. Tapi, kalau nak Allah bagi hadiah best, kena buat baik dulu. Allah sayang tau kalau kita buat baik. Cakap yang elok-elok, dengar cakap Mak, dengar cakap cikgu baru boleh masuk syurga, tempat paling banyak hadiah …” jelas saya entah dia faham atau tidak.

“Emm …” angguknya melayan kehadiran kantuk. Mujur juga … jika tidak, disoalnya nanti apa itu akhirat, apa itu syurga. Tergeliat lidah mahu menjawabnya.


Sepanjang perjalanan pulang malam tadi, topik saya dan anak berkisarkan Allah. Syukur saya panjatkan kepada-Nya, anak saya semakin bercambah ilmu tauhidnya. Dan menjadi tanggungjawab ibu bapa menyuburkannya.

No comments: