Dua hari lepas rakan sepejabat, Encik Mislan membawa banyak pucuk mengkudu yang ditanam di rumahnya dan diedarkan kepada kawan-kawan.
"Puan makan tak pucuk mengkudu?" soalnya.
"Apa rasanya?"
"Kelat lemak-lemak sikit macam pucuk betik," sampuk Encik Yusof.
"Celur buat ulam makan dengan sambal belacan," ujar Encik Mislan.
Saya dapat dalam enam tangkai pucuk mengkudu.
Belum pernah saya merasanya.
"Buat kerabu okey ke?"
"Haa, buat kerabu memang sedap, pahit-pahit lemak," balas Encik Yusof.
Ada pula mencadangkan pucuk mengkudu dimasak lemak. Tapi saya cuba mengelakkan masakan berlemak. Lagipun beberapa hari lepas sudah buat ayam masak lemak.
Maka, semalam saya 'kerabukan' pucuk mengkudu Encik Mislan. Saya bukan peminat sambal belacan. Malah hendak buat sambal belacan pun saya tak tahu.
Kerabulah jadinya.
Ooo ... memang sedap! Kerabu, salad orang Melayu memang mudah nak dibuat.
Bagi yang tak tau nak buat kerabu, boleh cuba resipi emak saya (kerabu stail Kelantan):
- Beberapa helai pucuk mengkudu (dicelur hingga lembut dan dihiris halus-halus)
- Seekor ikan kembung (dibakar tawar, diambil isinya dan ditumbuk)
- 10 biji lada hitam (ditumbuk halus)
- 3-4 ulas bawang merah kecil (ditumbuk lumat)
- Perahan jus limau nipis (secukup rasa)
- Garam & gula secukup rasa
- 3 sudu makan santan segar (lebihkan jika mahu kerabu yang lebih lembap - santan segar yang tidak melalui proses memasak, baik untuk kesihatan)
- Kerisik (secukup rasa)
- Optional: 2 biji cili api (lebihkan jika mahu pedas)
Gaul semuanya. Sesuaikan rasanya. Biarkan seketika hingga semua bahan mesra. Jika rasa 'terkurang' tambahlah mana-mana bahan yang perlu di atas. Sejukkan di dalam peti. Hidang hanya apabila hendak dimakan. Pucuk mengkudu dikatakan baik untuk mereka yang ada darah tinggi, wallahu a'lam! Moga dimurahkan rezeki Encik Mislan dan dikurniakan kesihatan yang baik.
Pucuk mengkudu boleh diganti dengan parutan timun (dibuang biji), kacang botor, pucuk paku, pucuk ubi dan seumpamanya.
No comments:
Post a Comment