Friday, October 30, 2009

DIA KAWAN SAYA

Ayah saya tamat pengajiannya di UK pada tahun 1984 dan membawa kami pulang ke tanah air. Kami kemudiannya bermastautin di Shah Alam. Agak lama juga.

Saya meneruskan persekolahan di SM Shah Alam (yang kemudiannya dinamakan SM Sultan Abdul Aziz Shah) di Tingkatan 2P1.

Di sekolah ini, ada seorang pelajar yang cukup terkenal dan popular. Saya yang ketika itu berpangkat ‘budak baru’ lagi jahil, tidak mengetahui latar belakangnya. Teman-teman lain berasa pelik kerana saya tidak mengenalinya. Yalah, tinggal di perantauan, mana mungkin saya mengetahui perkembangan semasa di tanah air. Dulu-dulu, bukan ada Internet yang memudahkan maklumat tersebar.

Cuma saya kehairanan melihat pelajar ini sering menerima surat yang banyak dari seluruh negara. “Betullah famous mamat ini gamaknya,” komen saya.

Setiap hari apabila menunggu bas setelah tamat sekolah, saya lihat ayahnya datang menjemput dengan motosikal. Pelajar popular ini akan membonceng di belakang motosikal itu. “Oh, ayah dia polis,” detik hati saya tatkala melihat ayahnya beruniform polis.

Hanya subjek Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Agama Islam sahaja yang saya agak-agak boleh skor waktu itu. Maklumlah, antara silibus di UK dan di Malaysia jauh menyimpang. Saya terkial-kial mempelajari Sejarah, Sains, Geografi, Matematik, Perdagangan dan Perakaunan. Kerana susah hendak faham subjek-subjek ini, saya akhirnya jadi seorang yang agak pemalas! Pernah beberapa kali kad laporan saya bertanda merah untuk subjek-subjek ini khasnya Matematik (kwang3).

Maka pada tahun berikutnya apabila melangkah ke tingkatan tiga, saya turun kelas ke 3P2. Kali ini saya sekelas dengan pelajar popular itu. Ini memberi saya peluang untuk mengenalinya dengan lebih dekat. Barulah saya tahu siapa dia sebenarnya. Dan baru saya tahu mengapa apabila tiba konsert dan talent time sekolah, dia wajib membuat persembahan.

Saya juga pernah membelek-belek surat daripada peminatnya yang tiba di sekolah.

“Awak tengok surat ni. Tak ada alamat pun, ada nama awak seketul je, pun sampai gak ye ...” Saya takjub, cekap juga perkhidmatan pos Malaysia atau budak ini memang ‘famous’ betul dan semua orang mengenalinya!

Dia sekadar tersenyum, agaknya sudah biasa menerima surat-surat sedemikian.

Tiba 1 April (April Fool) ...

Saya tidak pernah ‘melayan’ tarikh ini dengan perbuatan yang mengarut. Tetapi pelajar-pelajar lain suka meraikannya dengan mengenakan ‘practical joke’ kepada cikgu dan rakan.

Pagi-pagi lagi sebelum kelas bermula, pelajar popular ini membawa sebotol ‘Liquid Paper’ ke hadapan kelas. Bersamanya ada beberapa batang kapur tulis berwarna-warni. Kemudian dia mengecat kesemua kapur itu dengan Liquid Paper. Wah, semua kapur warna bertukar jadi kapur putih.

Kelas pertama pagi itu ialah kelas Agama Islam. Ya, Ustaz ialah cikgu pertama yang tertipu dengan kapur-kapur itu. Ustaz rasa pelik semua kapur putih yang digunakan untuk menulis di papan hitam mengeluarkan warna merah, hijau, biru, kuning. Kami sekelas terkekek menahan tawa.

Tiba Ramadan ...

Kali ini ada pelajar-pelajar lelaki membawa mercun baling. Bahan larangan ini dibawa secara sorok-sorok. Antara yang turut serta memeriahkan acara membaling mercun ialah pelajar popular ini.

Akhirnya acara membaling mercun sampai ke pengetahuan Guru Disiplin. Waktu tertangkap, mercun masih ada di dalam kocek seluar. Bagaimanapun, pelajar popular ini sempat menyelamatkan diri. Rakan-rakan lain mendapat rotan.

“ ‘Cerdik’ betul, simpan mercun dalam poket. Kalau meletup macam mana? Kamu nak ‘anu’ kamu meletup sama?” herdik Cikgu Disiplin. Masing-masing menggeleng kepala.

Masa terus berlalu ...

Naik tingkatan empat, saya di aliran Sastera. Dia di aliran Sains.

Kemudian tingkatan lima ... SPM. Selepas keluar keputusan SPM, ada rakan-rakan berjaya ke IPTA dan ada yang meneruskan pengajian ke tingkatan enam bawah. Antara yang meneruskan pengajian ke tingkatan enam bawah ialah saya dan dia.

Kamilah ‘batch’ pertama tingkatan enam bawah. Sebelum ini sekolah ini hanya ada tingkatan lima sahaja.

Sekali lagi saya sekelas dengan pelajar popular ini. Tidak lama kemudian, ada beberapa lagi rakan yang mendapat tawaran ke tempat lain. Saya juga tidak habis pengajian di tingkatan enam bawah di sekolah itu. Ayah memindahkan saya ke Sekolah Menengah Sultan Abdul Samad di PJ. Ini disebabkan waktu itu kami telah berpindah rumah ke kuarters UM. Sekolah baru ini lebih hampir dengan rumah kami. Lima minit sebelum loceng berbunyi barulah saya keluar dari rumah untuk ke sekolah.

Jika sebelumnya di Shah Alam, pagi-pagi buta Ayah terpaksa menghantar saya ke sekolah dan kekadang lewat petang barulah datang menjemput.

Kawan-kawan lama di Shah Alam terpaksa saya tinggalkan. Kawan saya yang popular itu juga tidak tamat tingkatan enam bawah. Khabarnya dia mendapat tempat untuk berkhidmat di langit biru menjadi pramugara!

Agaknya jika hari ini kami bertemu, dia sudah tidak mengenali saya, lebih-lebih lagi dia kini semakin popular. Siapalah saya ... saya hanyalah kawan sekelasnya yang biasa-biasa saja. Tetapi jika disebut nama Mr. Danny, guru Bahasa Inggeris kami atau Pn. Bariah, guru Perdagangan dan Prinsip Akaun, dan peristiwa-peristiwa zaman persekolahan, barangkali dia masih mengingatinya.

Di sekolah, kami mengenalinya sebagai Shahrul (kami sebut ‘Sharol’), tetapi masyarakat umum mengenalinya sebagai penyanyi lelaki popular dan terbaik untuk beberapa tahun: ANUAR ZAIN (SHAHRUL ANUAR bin ZAIN).





sumber imej: www.anuarzain.com.my

2 comments:

adibah said...

salam.. suraiya... ada sorang teman blogger 'rekomen' saya baca entry ini.. :-)

owh.. jangan terkejut, mungkin salah satu surat itu datangnya dari saya.. hehe

beruntungnya sekelas dengan Anuar Zain... he is such a well mannered boy dulu2 kan..?

SURAIYA PAUZI said...

Salam

Adibah...well mannered hmmm! Public figure mahu tak mahu kena jaga santunannya jika tidak mahu jadi bualan masyarakat!