Tuesday, September 13, 2011

KISAH DUA MAK CIK DI HARI RAYA

Kisah Mak Cik Yang Keseorangan

Anak saudara saya yang paling tua bercerita tentang kisah dia beraya di kampung ayahnya baru-baru ini. Anak saudara saya ini membahasakan dirinya 'Kakak'.

Kakak memberitahu, dia telah pergi beraya ke rumah seorang mak cik di kampung itu.

"Kesian mak cik tu, tak ada siapa yang datang beraya ke rumahnya. Dia raya sorang-sorang je," cerita Kakak.

"Habis tu, Kakak tak pergi ke?" kami yang mendengarnya menyampuk.

"Pergi, Kakak dengan Adik pergi tiap-tiap tahun."

"Dia tak ada anak ke?"

"Ada enam orang. Sorang pun tak pernah balik."

Rupa-rupanya mak cik itu sudah sekian lama beraya sendirian. Kesian sungguh kami mendengarnya.

"Tiap-tiap tahun mak cik tu masak nasi dagang. Sedap nasi dagang dia. Kita orang kalau pergi raya kat rumah dia buat macam rumah sendiri. Kalau nak air, pergi je ambil sendiri kat dapur dia," cerita anak saudara saya itu lagi.

"Kakak tanya mak cik tu, 'Anak mak cik tak balik ke?' Dia jawab 'tak'."

Malangnya nasib mak cik tu. Saban tahun sediakan juadah istimewa menanti anak-anak pulang. Mengapalah seorang pun tidak sudi menjenguk seorang ibu yang telah tua?

"Kakak sejak darjah tiga lagi pergi raya rumah dia, tapi sekali pun anak dia tak pernah balik," cerita Kakak yang kini sudah di tingkatan dua.

Aduhai, mengapa demikian?


Kisah Mak Cik Rock

Kakak menggelarkan wanita tua ini 'Mak Cik Rock'.

Pada hari raya lalu Mak Cik Rock telah datang ke rumah nenek Kakak (emak ayah Kakak yakni emak abang ipar saya).

Sambil bercerita, Kakak terkekek ketawa mengenangkan kisah Mak Cik Rock ini.

"Mak Cik Rock ni, kira macam dah nenek la, dah tua. Memang rock gila," Kakak memulakan ceritanya. Belum apa-apa lagi Kakak dah tergelak.

Kata Kakak, Mak Cik Rock datang naik motor dan merupakan seorang perokok yang tegar. Mak Cik Rock datang kerana hendak membaiki motosikal. Ini disebabkan adik kepada abang ipar saya itu pandai membaiki motosikal.

Ketika Kakak melihat ke dalam raga motosikal Mak Cik Rock, ternampaklah makanan anjing dalam tin.

"Musykil Kakak, macam mana boleh ada makanan anjing," kata Kakak. Ketawa lagi.

Lama Mak Cik Rock menunggu, tapi orang yang ditunggu untuk membaiki motosikal tidak pulang-pulang lagi. Pergi beraya agaknya. Maka dia pun meminta diri untuk pulang.

"Tak apalah, ambo balik dululah, nak bagi anjing makan, dah lapar tu," ujar Mak Cik Rock. Kakak tambah keliru. Atau Kakak tersalah dengar?

Selepas Mak Cik Rock balik, Kakak membontoti neneknya ke dapur untuk bertanya dan mendapat kepastian. Kakak memanggil neneknya 'Mek'.

"Mek, mak cik tu bela anjing ke?"

"Ada sepuluh ekor, buat jaga rumah kononnya," jawab Mek berbisik perlahan, barangkali dia tidak menyenangi wanita yang membela najis mughallazah itu.

Terkedu Kakak, buntang mata memikirkan ada orang Islam di kampung neneknya membela anjing! Barangkali Mak Cik Rock itu tidak pernah berusaha mendalami Islam.

Macam-macam ragam manusia kalau hendak diceritakan. Terkadang tidak terjangkau dek fikiran cetek kita, mengapa sebahagiannya berkelakuan begitu dan begini.

2 comments:

School Of Tots said...

1. Kesian mata memandang, kesian lagi hati menanggung. Anak2 balik kampung dgn raya agak sinonim secara tabii, namun ramai juga hidup diluar tabii. Jln Machang-K.Krai tetap jem saban tahun secara tabii tanpa jln penyelesaian kerana polis trafik sibuk beraya.
2. Makcik Rock tetap rock walaupun dikelilingi cahaya & rock itu mungkin penghalang pada hidayah Allah. Itulah pentingnya menuntut ilmu, kerana ilmu itu haq hamba drp Allah untuk dituntut. Jgn putus harap untuk menegur & membetul Makcik Rock.

SURAIYA PAUZI said...

SoT:

Saya amat maklum Jln KB-Machang-Krai-Machang-KB (saya tambah KB sbb ia berlanjutan sampai ke sana). Perjlnn kami ke Mchg dr KB ambil masa 2 jam utk ke majlis kahwin anak sepupu. kalau hari2 biasa cuma 40 minit kalau speed sederhana. Jika hendak ke Tumpat kampung sebelah suami pula dr KB pun sama sesak & mengular apabila nk menyeberang Sungai Kelantan melalui jambatan yg tak siap2 itu (projek mega kerajaan pusat yg amat menyusahkan rakyat jelata, dh bertahun2 tak juga siap).
Justeru, kami tidak lagi pulang ke kelantan melalui jln raya!