Thursday, August 11, 2011

TELEFON BIMBIT LAHIRKAN GENERASI BIADAB TERHADAP ALLAH

"Sesiapa yang ada handphone, sila matikan kerana kita sekarang berada dalam majlis ilmu Allah. Sebarang gangguan, akan menghilangkan berkatnya," ujar ayah sebaik memulakan kuliah agamanya. Maka, semua hadirin mematikan telefon bimbit masing-masing. Bukan 'silent mode', tapi memang dimatikan.

"Tiada panggilan yang lebih penting selain daripada panggilan Allah," demikian bunyi pesanan yang ditampal di dinding bersama gambar isyarat supaya dimatikan telefon bimbit tatkala melangkah masuk ke rumah Allah, sama ada musolla, surau atau masjid. Mendalam mesejnya, tetapi berapa ramai yang mematuhinya?

Ayah saya mengkategorikan orang yang sentiasa berkepit dengan telefon bimbit yang tidak dimatikan di tempat-tempat sedemikian sebagai orang yang sangat biadab kepada Allah. Tidak menghormati majlis dan tempat-tempat mulia sedemikian.

Merenung kembali kata-katanya itu, benarlah apa dimaksudkannya itu.

Inilah sebabnya mengapa kebanyakan kita susah menerima ilmu yang disampaikan, biarlah beribu kuliah agama pun yang kita hadir dan dengar, perangai dan akhlak kita tetap begitu juga. Tiada peningkatan.

Apa tidaknya, dalam halaqah ilmu yang kita duduk itu, sesekali kedengaran bunyi deringan telefon bimbit. Beraneka nada dering kedengaran, yang kekadang mengundang sindiran halus daripada ustaz-ustaz yang sedang menyampaikan kuliahnya.

Bukan fokus si pemilik telefon itu saja yang terganggu dek deringan itu, bahkan seluruh hadirin hilang khusyuknya terhadap ilmu yang disampaikan. Deringan itu berbunyi hanya beberapa saat, namun ia telah memutuskan talian berkat!

Panggilan dan SMS menjadi teman akrab walau di mana manusia hari ini berada. Malang sungguh! Bagi golongan muda yang sedang mabuk bercinta, berbalas-balas SMS menjadi perkara lumrah dan terbawa-bawa hingga ke majlis ilmu. Sungguh cuak melihatnya. Majlis semulia itu dicemari dengan jari-iemari menekan-nekan pad kekunci telefon bimbit. Itu belum lagi diambil kira 'melayan laman sosial' di telefon.

Tidak perlu melihat jauh, di tempat saya bekerja ini pun (maaf, ini kisah membuka pekung), sebelum mula kerja, staf akan berkumpul untuk bacaan doa. Bacaan doa tidak sampai pun dua minit. Tapi ada juga yang sanggup menjawab panggilan telefon lantaran telefon tidak dimatikan. Cacat sudah majlis doa!

Tidak bolehkah ditumpukah seketika untuk menghayati bait-bait doa yang dipanjatkan? Bukan lama pun, cuma beberapa saat. Walhal, doa dalam kehidupan seorang Muslim amatlah penting, bahkan menjadi senjata dan pelindung orang Mukmin! Penting sangatkah panggilan itu berbanding munajat kita kepada Yang Maha Kuasa?

Itu baru majlis bacaan doa. Belum disingkap surau wanita yang rakan sekerja menggelarkan surau wanita ini 'pasar ikan'. Surau itu rumah Allah, tapi sentiasa dicemari dengan pelbagai bunyi daripada telefon bimbit dan dilatari pula suara sumbang dan gelak ketawa.

Teringat saya kepada kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Amaluddin semasa di pejabat lama dahulu, apabila ada orang sedang solat, maka orang lain yang berada di situ hendaklah diam.

Sebarang bunyi tentu akan mengganggu khusyuk orang yang sedang bersolat. Pun begitu, tidak semua surau wanita bising. Ketika saya berkunjung ke beberapa negara Arab, bahagian jemaah wanita di masjid tidaklah bising biarpun jemaahnya ramai. Mereka amat menghormati rumah Allah tanpa membuat bising. Maka kesimpulan yang saya dapat, akhlak wanita Islam Malaysia (orang Melayu khasnya) apabila memasuki rumah Allah sangatlah rendah! Sungguh biadab.

Allahu akbar!

Saya percaya 95 peratus SMS dan panggilan yang diterima saban hari terdiri daripada hal-hal yang remeh-temeh, bukan mustahak. Maka berusahalah untuk tidak melayan seketika telefon itu.

Setidak-tidaknya apabila berada di rumah Allah, atau di majlis-majlis ilmu silent modekan telefon anda. Jika mendapat panggilan atau SMS, beritahulah pemanggil atau penghantar SMS, "Saya akan hubungi kembali selepas selesai majlis ilmu ini."

Alasan 'lupa nak offkan' atau 'lupa nak silentkan' sudah lapuk dan klise.

Teringat kepada seorang pemanggil di Sinar Pagi, beliau meluahkan rasa tidak puas hati dan kecewa apabila terdengar deringan telefon jemaah ketika khutbah Jumaat sedang disampaikan. Komen Abang Jem (Salih Yaakob), "Matikanlah telefon tu, lepas tu tanam."

Tika orang lain menjadikan telefon masing-masing bagaikan nyawa, saya tidak menjadikan telefon bimbit sebagai benda penting dalam hidup saya. Lantaran itu, saya kerap meninggalkan telefon saya di merata tempat. Maka apabila hilang atau terlupa bawa, saya tidak berasa gelisah sangat. Malah ketika anak-anak muda berlumba-lumba membeli telefon canggih model terkini, saya masih menggunakan telefon bimbit basic. Lampu skrinnya pun masih berwarna kuning. Lima, enam tahun sudah usianya.

Ketahuilah, telefon bimbit anda itu, turut akan dipanggil menjadi saksi di mahkamah Allah nanti.

1 comment:

intankhalid said...

Allahuakhbar!
Sue,
Sememangnya majoriti org2 keliling aku khususnya di pejabat ni, amat mementingkan telefon bimbut mrk. Waktu ceramah tadi pun, kaum wanita ni, saya perhati ada yg sibuk menjawab sms ketika ustaz didepan berceramah.

Polisi aku dgn telefon bimbit boleh dikatakan lebih kurang cam kau. Apalah yg penting sangat nak menjawap serta-semerta sms2/ email2 tu? Tak boleh tunggu ke penghantar sms/ email utk menerima maklumbalas kita? Adakah kecepatan/ kelambatan menjawab sms/ email utk mendtgkan impak besar kpd produktiviti sykt/ kehidupan sdn? Soalan2 ni selalu aku timbang2 seblm mengambil tindakan.

Di waktu majlis ibadah/ ilmu, aku lebih rela meninggalkan telefon bimbit/ blackberry pemberian sykt samada di workstation ataupun didlm tas tangan bila di rumah.

Boss aku rasa tertekan bangat, bila dia hantar sms/ email kat aku peh tu aku buat ambil masa nak jawap bila di rumah. Nasib ler, sbbnya polisi telefon bimbit/ blackberry aku dgn dia dan ramai org, tak serupa.

Anyway, terima kasih sbb menyedarkan peranan telefon menjadi saksi di akhirat esok. Aduhai! Takutnya :(