Awal penulisan saya di blog adalah untuk syok sendiri. Namun, lama-kelamaan, post saya dengan sendirinya menjadi lebih formal dan serius. Lebih berfokus untuk memberi teladan kepada pembaca biarpun masih dalam kategori 'syok sendiri'.
Saya tidak kisah sama ada ada orang membacanya atau tidak. Dan saya juga tidak pasti setakat mana isi penulisan saya mampu mengubah orang lain. Walau bagaimanapun, apa yang disampaikan oleh adik saya tempoh hari, meyakinkan saya apa yang kita titipkan dalam penulisan dengan niat membawa orang lain ke arah kebaikan, akan ada pahalanya.
Biarlah tulisan kita tidak sehebat penulis termasyhur, biarlah tulisan kita tidak ramai yang membacanya, biarlah tulisan kita tidak setanding dengan tulisan blogger-blogger selebriti asalkan kita menulis dengan niat menyampaikan dakwah dan fikrah Islam. Yakinlah impak kepada masyarakat memang ada walaupun lebih kecil daripada saiz atom.
Adik saya pernah didatangi oleh rakan sepejabat. Rakan tersebut mengadu tentang masalah hidupnya, masalah rumah tangga, masalah anak yang entah bagaimana dimasukkan ke lokap. Adik saya sekadar mendengar. Hendak memberi nasihat dia bukanlah pakar motivasi.
Saya pernah menulis tentang Rahsia 40 di blog saya yang tidak seberapa ini. Yang kerap membaca blog ini adalah adik-beradik. Adik saya teringatkan artikel saya itu, lalu menyarankan rakan sekerjanya itu melakukan apa yang saya tulis dalam artikel berkenaan, iaitu menunaikan solat Subuh di masjid selama 40 hari berturut-turut tanpa tertinggal satu pun takbir pertama.
Pada mulanya rakannya itu agak skeptikal malah sinikal tentang saranan adik saya itu. Tidak yakin solat sedemikian mampu mengubah hidup seseorang. Kemudian rakannya itu dicabar oleh isteri sendiri. Isterinya mencabarnya dengan kata-kata, "Orang perempuan mengandung sembilan bulan lagikan boleh, inikan pula hanya empat puluh hari."
Tercabar dengan kata-kata isterinya, dia pun melakukannya, iaitu bersolat Subuh berjemaah di masjid selama 40 hari berturut-turut.
Kesannya memang ada. Dia dulu seorang perokok, kini sudah berhenti merokok, tiada lagi nafsu dan ketagih rokok. Rumah tangga bertambah baik. Anak-anak sudah mahu menjaga solat, tidak susah-susah nak ditegur lagi. Walaupun perubahan itu tidak berlaku mendadak, ia jelas nampak datang bertahap-tahap. Itu sudah cukup untuk membuktikan kekuasaan Allah. Selangkah kita mendekati-Nya, Dia pasti tidak mensia-siakan kita.
Kini rakan adik saya itu yakin akan hikmah rahsia 40. Malah kini dia sudah istiqamah solat berjemaah di masjid kerana yakin bantuan Allah disalurkan melalui solat Subuh itu.
Rahsia 40 ini saya peroleh daripada kuliah agama Ayah. Saya sampaikan pula dengan menjadikannya tulisan artikel di blog ini untuk dibaca oleh sesiapa sahaja dan untuk dijadikan teladan.
Ilmu agama saya memang cetek, akademik saya juga tidak berlatar belakangkan agama, maka saya tidak layak menjadi da'i gred A ... gred D mungkin. Cuma saya dibesarkan dalam keluarga yang memberatkan agama dan bersandarkan Ayah yang merupakan seorang ustaz. Itu sahaja! Selebihnya saya kutip melalui pembacaan dan menghadiri serta mendengar kuliah-kuliah agama dari mana-mana.
Jika ada kebaikan daripada penulisan saya ini, moga Dia catatkan pahalanya dan dirahmati kepada empunya sumber yang saya ambil dan juga mereka yang menyampaikannya daripada apa yang saya tulis. Itu saja yang termampu saya lakukan.
Seruan saya kepada pemilik blog, tulislah sesuatu yang boleh mengubah manusia daripada kita merapu tak ketahuan!
No comments:
Post a Comment