Monday, August 15, 2011

ANTARA PUASA DAN SOLAT

Saya tidak memaksa anak saya yang berumur enam tahun berpuasa. Saya dulu pun pada usia sembilan tahun masih berpuasa setengah hari!

Namun, jika dia berkata mahu berpuasa, alhamdulillah, walaupun puasanya tanpa bangun sahur, atau kekadang sahurnya selepas waktu subuh. Apa-apa perincian tentang puasa akan diajar dan dipraktiskan secara beransur-ansur seiring dengan peningkatan usia.

Saya tidak mahu berkeras.

Pada peringkat usia ini, apa yang penting adalah saya mahu mantapkan solatnya dahulu. Ini kerana, solat adalah tiang agama.

Jika mahu dibandingkan dengan puasa, apabila telah dewasa, ibadah puasa lebih mudah ditunaikan berbanding ibadah solat. Ini dapat kita lihat, apabila tiba sahaja Ramadan, rata-rata orang yang tidak pernah solat sepanjang hayat pun, dia akan berpuasa. Orang yang kekadang solat, kekadang tidak solat pun dia cukup rajin berpuasa Ramadan. Baginya, puasa lebih penting berbanding solat. Ajaran daripada mana yang dia dapat, saya tidak pasti!

Cukup susah hendak solat, jangankan anak kecil, orang yang dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan agama pun sentiasa bermujahadah untuk menunaikan solat. Apatah lagi anak kecil. Jika tidak dimantapkan dari sekarang, apabila besar sukar untuk dilenturkan.

Justeru, pada bulan Ramadan ini saya biarkan dulu bab puasa ini. Namun tetap berdoa agar kesedaran berpuasa dan kepentingan Ramadan itu tetap ada pada diri anak saya.

Bagi ibu bapa yang berkeras mahukan anaknya berpuasa pada usia kecil, saya tiada hak untuk membantah kerana itu anak mereka. Namun suka saya ingatkan, jika seseorang anak kecil itu berpuasa, awasi keadaan dirinya. Awasi tanda-tanda dehydration atau gastrik. Jika ada tanda-tanda itu biarpun waktu berbuka puasa hanya beberapa minit lagi, janganlah dipaksa anak itu berpuasa. Izinkan anak berbuka puasa, kerana jika berlaku perkara yang tidak diingini kepada anak, ibu bapalah yang bertanggungjawab!

2 comments:

Mohd Hisham Mohd Sharif said...

Masyaallah, benar sekali telahan Kak Suraiya! Cuba rujuk statistik dibawah ini...

Anak muda Islam Malaysia

28.7 % bersolat 5 waktu sehari semalam
64.2 % berpuasa penuh di bulan Ramadhan

24.3 % berhasrat menjadi top entrepreneur
18.8 % berhasrat menjadi ibu-bapa yang baik
14.9 % berhasrat menjadi hartawan
.....
.....
1.9 % bercita-cita menjadi artis
0.8 % berhasrat menjadi ahli politik (lowest)


Survey : 1060 anak muda berumur antara 15-25 tahun

sumber :

http://thestar.com.my/news/story.asp?file=%2F2011%2F7%2F31%2Fnation%2F9211011&sec=nation

SURAIYA PAUZI said...

Itulah realitinya!