Monday, October 17, 2011

LAIN YANG DITEMPAH, LAIN YANG DAPAT

Sejak Pn. Zie pencen daripada menerima tempahan jahitan baju, saya mengalami masalah besar hendak menempah baju.

Saya cuba-cuba juga hantar ke kedai yang menerima tempahan yang ada di sekitar pejabat ni, tapi semua perkhidmatannya tidak memuaskan hati.

Suatu ketika saya menghantar tempahan baju Melayu anak saya. Setelah siap, pinggang seluarnya sangat ketat. Maka terpaksalah saya menghantar semula kepada tukang jahit itu.

Pada hari dijanjikan siap, maka saya pun pergi ke kedainya untuk mengambil seluar tersebut. Tapi pak cik tukang jahit itu tidak ada, hanya pekerja Bangladeshnya saja yang ada dan tidak memahami pertanyaan kita.

"Boss not here. Come back tomorrow," katanya.

Esoknya saya pergi lagi, perkara sama berulang, "Boss not here, come back tomorrow."

"Itu aje agaknya yang dia tau cakap." Komen saya yang dah mula 'angin'.

Saya berulang alik ke kedai tukang jahit itu tidak kurang sebanyak enam kali baru berjaya menemui pak cik itu. Tapi malangnya ubah suai seluar anak saya tidak siap lagi. Kali ketujuh saya pergi barulah dapat seluar itu.

Saya mencari pula tempat lain. Kali ini untuk menjahit sepasang baju kurung sutera batik.

"Ikut sebijik macam baju contoh ni ya. Tak mahu span bahu. Poket tu jangan lupa sebelah kanan." Saya amat pantang baju kurung tanpa poket.

Pada hari Sabtu ketika saya hendak masuk ke kereta untuk menghadiri kenduri kahwin Adawiyah, staf pejabat, saya menerima SMS, "Baju dah siap."

Sepulang dari kenduri, saya singgah untuk mengambil baju saya.

Terkejut badak saya dibuatnya. "Lain yang aku tempah, lain yang aku dapat," saya mengomel. Daripada harga RM40 menjadi RM80.

Apa tidaknya. Ditambahnya manik dan labuci yang saya tidak suruh. Span bahu setebal setengah inci turut diletaknya. Tiba di rumah baru saya perasan, baju saya tiada poket.

Mentang-mentang kain jenis mahal, disangkanya saya mahukan manik-manik dan labuci. Hendak dibuka semuanya, akan merosakkan kain pula.

Sekarang baju itu tidaklah dapat saya campakkan ke dalam mesin basuh. Kalau hendak cuci terpaksalah basuh berasingan atau dihantar dobi untuk dry cleaning.

"Satu kerjalah pulak, kena tambah kos untuk 'maintainance'," bebel saya. Entah bila saya nak pakai baju sedemikian. Sudahlah tak ada poket. Bagi saya poket pada pakaian saya amat kritikal perlunya.

Mujur jugalah kain itu percuma, pemberian kakak ipar yang keluarganya merupakan pengusaha batik. Kalau hendak beli memang saya tak beli kain mahal-mahal.

Sekarang saya cuma hantar tempahan baju kurung kepada biras adik saya. Kualiti jahit setanding Pn. Zie, cuma masalahnya, lambat betul hendak siap. Kekadang hampir empat bulan. Tapi itu lebih baik daripada tersilap jahit.

Susah hendak cari tukang jahit secekap Pn. Zie. Dulu saya pernah menghantar pada Pn. Zie enam pasang sekali gus (baju saya, baju emak, baju kakak dan anak-anaknya). Lebih kurang dua minggu sudah siap tanpa sebarang komplen daripada kami.

Baju Melayu nikah adik dan abang saya semua Pn. Zie yang jahit. Baju kurung poket berzip Emak saya yang dipakai buat pergi umrah pun Pn. Zie juga yang jahit. Emak saya sekarang pun puas fikir nak hantar tempahan bajunya pada siapa. Kain pasang saya yang dihadiahkan orang penuh dua laci ... kat mana nak ditempah? Sebahagian besarnya pun telah saya hadiahkan kembali pada orang.

Sabar je laaaa ... .


OH MANIK OH LABUCI ... kuang kuang ...

3 comments:

Kamariah Kamarudin said...

cantik tu ada labuci dan manik hehe. memang benar, alangkah sukarnya nak dapatkan tukang jahit yang sepadan dan berkenan di hati. dulu, kedua-dua tukang jahit saya Melayu tapi akhir2 ini beralih kepada Cina bila tergoda dengan sahabat2 di kampus, fuh, upahnya tapi proses penghantaran dan pengambilan kain mudah sebab dia datang ke tempat kerja (jimat masa). entah bila pula saya akan dapat tukang jahit melayu dan berpatutan upahnya...eh, baju kurung ada kocek? wow, mengagumkan tu!

abunyer said...

Pn. Zie pasti terharu dan simpati, tapi apakan daya... hambatan masa dengan lambakan telekung yang menimbun, perlu disiapkan dalam jangka waktu terdekat. Lepas telekung musim haji, telekung umrah pulak. Kelopak mata pun dah mula sepet mengecik... ha ha ha....

SURAIYA PAUZI said...

K,
Poket tu sangat perlu utk letak kunci kereta. Baru ni kunci hilang gara-gara pakai baju tak ada poket. Poket tu macam baju sekolah punya laa.

Abunyer,
Uwaaaa ... huk2