Monday, October 3, 2011

TAKZIAH & TAHNIAH

TAKZIAH

Takziah diucapkan kepada keluarga dan sanak-saudara terdekat sepupu saya, Allahyarham Farid yang meninggal dunia pada Isnin lalu. Semoga sabar menempuh dugaan dan sama-sama kita doakan rohnya ditempatkan bersama orang-orang beriman.

Allahyarham koma sekian lama ekoran pembedahan jantung 'by-pass' kali kedua. Sebelum ini Allahyarham pernah menjalani pembedahan serupa. Tapi sudah lama dulu!

Hanya adik saya pulang berziarah pada hari kematian.

Sepupu saya ini penyokong tegar PAS. Menurut cerita adik saya, beliau telah berwasiat andainya mati, beliau mahu Ustaz Pi, YB PAS Daerah Kemuning untuk mengimamkan solat jenazahnya. Ustaz Pi juga sepupu saya.

Cerita adik saya lagi, ketika hendak dikebumikan, kelihatan pula pemuda-pemuda UMNO turut membantu. Ini kerana isteri kepada Allahyarham adalah anak saudara kepada Tan Sri Anuar Musa.

Rumusan yang saya buat daripada cerita pemergian Allahyarham ini adalah kolaborasi antara PAS dan UMNO dapat dilaksanakan hanya pada sebuah kematian!


TAHNIAH!

Tahniah saya ucapkan kepada sepupu saya, Dr Nur Samihah binti Abdullah Sudin. Majlis perkahwinannya pada Sabtu baru lalu. Hanya Emak dan adik saya bersama isteri dan anaknya dapat pulang. Kami yang tidak dapat pulang hanya mengirimkan hadiah.

Khabarnya majlis perkahwinan itu cukup meriah. Sungguh ramai jemputan. Berbuah-buah bas datang membawa jemputan. Maklum sahaja ayahnya Dr Abdullah Sudin yang kami panggil 'Ayah Din' itu merupakan tokoh akademik yang tidak asing lagi dan cukup dikenali. Maka ramailah kenalan yang datang.

Khabarnya juga, emak saudara saya (ibu pengantin) sudah 'bertaubat' untuk mengadakan majlis besar-besaran sedemikian pada masa-masa akan datang kerana terlalu penat menguruskannya dan melayan tetamu. Itu belum dikira para doktor dari hospital rakan sekerja pengantin!
(Waduh hebat majlis awak Mihah!)

Sabar sahajalah ya, mudah-mudahan hayat perkahwinan berkekalan berkat kehadiran tetamu yang ramai hingga melimpah-ruah ke jalan raya (khabarnya).


TAHNIAH LAGI

Tahniah juga saya ucapkan kepada kakak saya Husna, yang pada hari ini merupakan hari bersejarah baginya kerana pada pagi ini bakal menerima skrol Ijazah Kedoktorannya dalam bidang Undang-undang dari Universiti Malaya.

Anak sulungnya sejak semalam lagi 'muncung' kerana terpaksa bangun pagi untuk menghadiri majlis graduasi itu dan perlu berada di DTC (Dewan Tunku Canselor) selama berjam-jam sepanjang tempoh majlis berlangsung.

Anak kedua juga tidak kurang muncung kerana badannya sakit-sakit ekoran bermain hoki di sekolah. Kata doktor ada tisu terkoyak, sebab itu tangan tak boleh diangkat.

"Macam manalah Adik nak duduk dalam dewan tu lama-lama," lebih kurang begitu komennya semalam.

Tak apalah Dik, telan ubat dulu sebelum pergi! Katanya doktor beri lima jenis ubat ... aduh banyak betul!

4 comments:

Anonymous said...

Ribuan terima kasih di atas doa dan sokongan semua ahli keluarga.
Saya antara graduan yang bertuah, kerana sewaktu menerima skrol, Tuan ku Canselor, Sultan Azlan Shah sempat bertanya : what's your thesis.

Lama agaknya Tuan ku menunggu giliran graduan fakulti undang-undang untuk naik ke pentas, kerana graduan fakulti undang-undang merupakan graduan fakulti terakhir dalam senarai buku konvokesyen. Umum tahu baginda sultan mempunyai pendidikan undang-undang dan pernah menjadi Ketua Hakim Negara suatu masa dahulu.

Akhir kalam, syukur alhamdulillah, istiadat konvokesyen bejalan lancar. Dan berbanyak-banyak syukur kehadrat Illahi kerana dengan rahmat dan kasih sayangNya dapat berada di tahap ini.

Wassalam.
HF

Anonymous said...

Takziah buat keluarga Allahyarham Farid..Semoga rohnya dicucuri rahmat..Tahniah buat pengantin baru kak Mihah & suami..Semoga Bahagia hingga ke akhir hayat..Tahniah buat C.una..Lepas ni kena belanja kami adik beradik mkn besar ye!!!:-)


-C.AuF-

Anonymous said...

InsyaAllah memang ada perancangan nak adakan jamuan makan adik beradik.

Cik Una.

School Of Tots said...

1.Takziah, semoga ruhnya dicucuri rahmat.
2.Tahniah, semoga berbahagia sokmo.
3.Tahniah, teruskan perjuangan menuju taqwa.