Kawan kepada adik ipar saya cukup berhati-hati apabila memilih teksi untuk dinaiki. Sebelum menaiki teksi dia pastikan pemandunya Islam/Melayu.
Pada suatu hari, kerana tergesa-gesa mengejar waktu hendak ke mesyuarat, dia tidak punya pilihan. Mana-mana teksi yang datang dulu, dia terpaksa naik.
Pun begitu, sikap waspadanya tetap ada.
Pemandunya seorang India. Diteliti nama dan segala maklumat pemandu teksi itu.
"Oh, itu nama saya sebelum Islam," jawab pemandu itu.
Dia cukup lega mendengarnya. Alhamdulillah, Islam rupanya.
Maka berlakulah sembang-sembang antara dia dengan si pemandu teksi.
Rupa-rupanya pemandu teksi itu seorang yang well educated. Memiliki ijazah sarjana dari Amerika Syarikat.
Biarpun memiliki ijazah tinggi, dia tidak betah bekerja di pejabat berhawa dingin. Tidak serasi duduk di bawah arahan orang, lantas dia memilih kerjaya sebagai pemandu teksi yang tidak terikat dengan sesiapa dan sebarang waktu.
"Alhamdulillah dalam sebulan pendapatan saya mencapai lima ribu," ujar si pemandu teksi. Malah jumlah itu melebihi pendapatan sesetengah orang yang bekerja di pejabat berhawa dingin.
Biarpun sekadar pemandu teksi, jika ada usaha gigih dan ada keyakinan, pasti rezeki ada di mana-mana.
Menyentuh pengislamannya, pemandu teksi itu memberitahu dia memeluk Islam sewaktu di Amerika.
"Kalau saya masuk Islam di Malaysia, barangkali saya sudah murtad," katanya.
Kenyataannya itu tidak mengejutkan kerana ujian seorang muallaf lebih tinggi di negara Islam seperti Malaysia (kononnya negara Islam!). Apa tidaknya, kebajikan saudara baru kadang-kadang tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada badan-badan berwajib mahupun daripada masyarakat sendiri. Berbanding jika seseorang itu memeluk Kristian, missionary yang menjalankan tugas cukup efisien dan sangat menjaga kebajikan orang yang memeluk agama mereka. Malah cuba pula mempengaruhi orang Islam masuk Kristian.
Sesuatu yang mengagumkan tentang si pemandu teksi ini, dia lebih suka mengambil penumpang bukan Islam. Mengapa?
"Saya boleh berdakwah kepada penumpang saya. Tunjukkan keindahan Islam," jelasnya.
Wah, rupa-rupanya dia bukan sembarangan pemandu teksi, dia juga seorang da'i.
Memikirkannya, mungkin kerana keikhlasannya berdakwah ini, di kala para pemandu teksi lain mengeluh tentang pendapatan hasil memandu teksi yang tidak seberapa, lelaki India ini pula stabil pendapatannya. Barangkali Allah melebihkan rezeki kepada hamba yang berusaha memartabatkan Islam di mata bukan Islam.
1 comment:
benar, Islam lebih gagah bukan di tanahair sendiri berbanding di sini menurut ramai muallaf, sahabat saya tidak terkecuali yang kini berada di Melbourne, katanya: "menjadi perantau memperkukuh keyakinannya pada Islam." alhamdulillah. kala dia mahu berkelana dulu saya sentiasa cuak, bimbang dia tersasar, pun lega kini apabila saban tahun dia tetap menyempurnakan puasa dan solat dengan sempurna. oh, tanahairku, oh sahabat2 muallaf...
Post a Comment