Tuesday, May 5, 2009

Alahai BERCINTA SAMPAI KE SYURGA!


Dalam banyak-banyak manuskrip yang paling saya bimbang tiba ke meja saya untuk disemak ialah manuskrip BERCINTA SAMPAI KE SYURGA (ATN 2).
Bimbang saya itu kerana kesuntukan masa yang amat sangat untuk menyemaknya. Almaklum, manuskrip lengkap hanya tiba kira-kira dua minggu sebelum berlangsungnya KLIBF 2009. Manuskrip mentah itu tiba dalam keadaan semua editor di Jabatan Buku sedang giat bergelut dengan deadline pesta buku. Banyak buku perlu diselenggara dalam satu masa.

Bukan sahaja editor yang lintang-pukang, malah bahagian grafik juga. Masing-masing membawa pulang kerja dan berjaga malam kerana menyiap reka letak buku. Dari raut wajah, jelas nampak, ‘lesu’, ‘stres’ dan ‘mata merah’. (TERIMA KASIH SEKALIANNYA!)

Berbalik kepada buku BERCINTA SAMPAI KE SYURGA (ATN 2), dalam progres memprosesnya, saya tidak henti berdoa agar tidak berlaku kesilapan ketara kerana tidak sempat menyemaknya berulang kali dan secara mendalam memandangkan deadline Pesta Buku 2009 semakin hampir dan kritikal. Jika ada pun, biarlah kesilapan itu pada tahap yang minimum! Apatah lagi ia tulisan penulis bereputasi ‘best-seller’!

Apa pun, langit tidak selalu cerah. Tiba hari Pesta Buku, di PWTC, saudara Nasri datang berbisik, “Akak perasan tak buku Ustaz Hasrizal ada salah?”
“Hah … ATN 2 ke, ke Pohon Tin?”
“ATN 2 Bercinta Sampai Ke Syurga laa,” ujarnya, “muka surat 61, tergantung …”

Aduh! Apa yang saya khuatirkan selama ini menjadi kenyataan. Mata yang sudah sedia berpinau beberapa malam tak tidur kerana menyemak galei buku, bertambah berpinau jadinya. Apa boleh buat, benda dah nak jadi! (I can't forgive myself for what had happened!)

Sepanjang kerjaya saya menyemak manuskrip, rasanya inilah khilaf yang paling tidak menyenangkan hati. Rasa bersalah kepada penulis dan juga pembeli! Moga saya diampunkan mereka!

Sebaik Pesta Buku 2009 berakhir, saya terus menyelak rekod galei BERCINTA SAMPAI KE SYURGA. Ya, pembetulannya sudah saya lakukan pada muka surat 61. Arahan pembetulan bertulisan merah ada di situ. Barangkali apa yang berlaku, kertas kuning ‘stick on note’ penanda pada halaman 61 itu telah tercicir tanpa disedari. Maka artis grafik tidak menyedari halaman yang perlu diperbetulkan itu.

Apabila mendapat arahan supaya buku itu di‘PDF’kan untuk segera dihantar ke kilang cetak, maka tiada lagi ruang waktu untuk menyemak untuk kesekian kalinya.

Khabarnya juga, berlaku juga kesalahan mencetak semasa di kilang. Ada beberapa naskhah itu kosong halamannya. Alahai, bukan ayat sahaja yang hilang di muka surat 61, rupanya ada halaman-halaman kosong yang tidak bercetak.

Aduhai, dugaan sungguh! Kerana mengejar waktu, pencetak juga menjadi kelam-kabut, lantaran banyak judul buku perlu dicetak serentak!

Kepada Ustaz Hasrizal, andai membaca entry ini, saya mohon jutaan maaf bagi pihak warga kerja Galeri Ilmu (kali ini saya pula berhutang dengan Ustaz!). Saya pikul dan bertanggungjawab sepenuhnya akan kesalahan itu!

Ampun maaf juga kepada para pembeli yang terbeli naskhah halaman kosong! Barangkali boleh dipulangkan kepada penerbit untuk ditukar (cuma yang sudah bertanda autograf penulis ‘tak dapeklah nak nolong’!)

Apa pun, every cloud has a silver lining. Setiap kejadian itu ada hikmahnya.

Pengajarannya:
Jika anda pembeli, semak dulu sekali lalu helaian buku yang dibeli sebelum meninggalkan kedai! Boleh segera tukar jika buku tersebut ada cacat-cela (imperfect).
Jika anda penulis, hantar manuskrip awal (sekurang-kurangnya tiga bulan awal) agar dapat disemak dalam keadaan tenang.
Jika anda editor (sayalah itu), anda bertanggungjawab sepenuhnya terhadap buku yang dikendalikan. Jika mendapat arahan daripada superior anda supaya segera hantar bahan ke kilang cetak, bincang dan mohon daripadanya sedikit waktu agar dapat menyemak bahan itu untuk kali terakhir.

Hmmm…macam mana semua, agak-agak bolehkah kita sinergikan tindakan di atas?

6 comments:

SMM said...

Assalamualaikum Kak Suraiya,
Saya ingin mencadangkan supaya pihak Galeri Ilmu menyediakan fail dalam bentuk pdf bagi mukasurat-mukasurat/perenggan yang tertinggal cetak (dalam saiz yang sama dengan buku), dan diletak sama ada di laman web Galeri Ilmu atau blog Jabatan Buku, supaya pembeli boleh download dan cetak sendiri seterusnya selit/tampal dalam buku. Kos minimal. Terima kasih.

SURAIYA PAUZI said...

Salam Mynie;

Sila ke http://www.galeriilmu.com.my/blog untuk ralat BERCINTA SAMPAI KE SYURGA.

Sekian. T. Kasih!

Toko Buku Fatimah az-Zahra said...

Salam... Lemah rasa badan membaca komen2 di blog ustaz Hasrizal. Ramai juga tak boleh terima.. walhal kita manusia mana ada yang sempurna, kan? Kalaulah akak yang berada di tempat awak, tak tahulah nak kata... Tabahkan hati... yang penting, kita ambil pengajaran daripadanya...
Ini ujian ni, ujian besar gak.. sapa agak2nya dapat markah tinggi? Akak doa awak dapat markah tinggi Su!

~ aman shah ~ said...

"INI TIDAK PATUT, SAYA SEBAGAI PEMBELI RASA TERTIPU...~~"

hehehe...

akak...
gurau ajer ayat diatas tu...
hehe....
sekadar silap sedikit sahaja akak...
tidak mengapa....

don't judge a book by it cover....

jadikan ini sebagai pengajaran...

semoga lepas ini makin berjaya~~~

wasalam....

SURAIYA PAUZI said...

Kak Zu:
Terima kasih di atas sokongan yang diberi. Lepas ni harapnya editor tidak terdera dengan deadline yg sempit hingga menyukarkan kerja. Teringat cerita Puan Ainon PTS, pengalamannya blh dikongsi. Buku sudah dicetak beribu-ribu, kemudian baru perasan nama penulis di buku tersilap. Nama oorang lain yg tercetak bukan nama penulis. Kes cut & paste.

Aman Shah:
Yalah, kita manusia punya banyak kelemahan. Saya dulu pernah beli kamus Oxford. Sampai rumah baru perasan di dalamnya hampir separuh kamus itu muka suratnya berulang. Separuh lagi tak ada. Sabar je. Penerbit gergasi international pun boleh buat silap, apa lagi penerbit kecil seperti kami.

Anonymous said...

sabar. Jadikan pengajaran untuk buku yang akan datang:)