Thursday, May 28, 2009

ILMU TANAK NASI

(KHAS UNTUK ADIK-ADIK DAN ANAK-ANAK YANG MAHU BELAJAR MASAK NASI)

Jika diberi periuk nasi elektrik (rice cooker) dengan periuk biasa untuk tanak nasi, saya akan memilih periuk biasa sekiranya jumlah beras sekadar dua, tiga cawan. Saya lebih selesa dengannya.

Saya pandai memasak nasi menggunakan periuk biasa pada usia 15 tahun—sudah dikira agak lewat pandainya tu! Sebelum itu saya lebih mahir menggunakan periuk elektrik. Pada masa itu saya menyangka periuk elektriklah paling mudah. Kini bila sudah ada ilmu memasak nasi, rupa-rupanya periuk nasi biasa lebih mudah dan tidak kurang manfaatnya.

Ada tiga orang guru yang telah perturunkan ilmu menanak nasi mereka kepada saya.

Sukatan air
Orang pertama ialah ayah saya sewaktu percubaan pertama saya masak nasi menggunakan periuk nasi elektrik. Saya sudah lupa apa sebabnya ketika itu hingga memaksa saya masak nasi sendiri. Selalunya Emak yang masakkan. Ke mana perginya Emak waktu itu, tidaklah ada dalam ingatan saya. Apa yang saya ingat ialah Ayah ajar cara mengukur sukatan air beras yang hendak ditanak.

“Ukur guna ruas jari … ” kata Ayah.
“Aaaa … ruas jari? Mula dari mana?” soal saya sambil membawa periuk dan mengunjukkannya kepada Ayah.
“Macam ni?” soal saya sambil menusuk jari ke dalam beras hingga ke dasar periuk.
“Jari atas (permukaan) beras …. Ukur air sampai seruas jari …”

Itu berkenaan sukatan air untuk tanak nasi sama ada periuk biasa atau elektrik, kaedahnya sama saja. Setelah mahir, saya tidak lagi perlu mengukur dengan jari.

Periuk ‘manual’
Orang kedua ialah emak saudara saya Cikgu Roihana. Semasa usia 14 tahun pada cuti sekolah hujung tahun, Emak menyuruh saya tinggal bersamanya di Pengkalan Chepa. Tujuannya supaya saya tuisyen dengannya sebab saya malas belajar sendiri dan tiada disiplin (tahun berikutnya akan menduduki SRP).

Emak saudara saya itu bujang (hingga kini bujang), maka ‘kelengkapan makan’nya ala kadar. Dan saya pun tidak berkira bab lauk asalkan ada sardin, semuanya okey!

“Kalau nak nasi, masak sendiri,” kata Cik Ru (gelaran mesra kami padanya).
“Tak reti,” balas saya.
“Heh, kena belajar. Mari nak ajar …” ujar Cik Ru.

Itulah pengalaman pertama saya tanak nasi menggunakan periuk biasa. Kali pertama cuba, terus jadi. Oh, rupanya senang saja!

Caranya basuh beras seperti biasa. Kemudian masaklah di atas dapur. Apabila mendidih dan kering airnya (bubbling dah tiada), tudung periuk dan kecilkan api (sekecil yang dapat). Tak perlu dikacau pun nasi itu. Lebih kurang lima ke tujuh minit buka tudung periuk dan tengok nasinya. Jika sudah lekang dari dinding periuk, itu tandanya nasi sudah masak. Bolehlah makan!

Nasi peroi
Saya kurang gemar nasi lembik dan berketul. Jika ada pilihan, saya akan memilih nasi yang peroi. Orang ketiga yang mengajar saya tentang masak nasi ialah Emak!

Untuk mendapatkan nasi yang peroi bergantung pada jenis beras juga. Jika terkena beras tidak elok yang menghasilkan nasi lembik (biarpun sukatan airnya sedikit), tidaklah menjadi juga nasi peroi itu. Tapi ini jarang berlaku.

Untuk dapatkan nasi peroi, kata Emak, “Lepas nasi masak, tutup api. Biarkan lapan ke sepuluh minit. Jangan diusik. Lepas tu baru buka tudung periuk, gembur dan karih nasi.”

Oh…itu petuanya untuk ‘memeroikan’ nasi—periuk biasa atau elektrik, sama juga kaedahnya! Ini juga memudahkan kerja membasuh periuk kerana kanji nasi tidak melekat pada periuk.

Sebenarnya tidak susah memasak nasi bagi mereka yang mahu belajar dan suka makan nasi.

Periuk elektrik vs periuk manual
Antara periuk biasa dan periuk nasi elektrik, ada kelebihan dan kelemahan masing-masing.

Kelebihan periuk elektrik ialah pada praktikalnya. Jerang beras dan tinggalkan. Kita hendak ke mana pun tak mengapa, tidak perlu khuatir akan hangit. Untuk panaskan pun senang, petik suis saja.

Kelemahan periuk elektrik, jika terlupa tutup suis utama, nasi akan jadi garing kerana ia akan panas memanjang. Nasi juga lebih cepat basi berbanding nasi yang dimasak secara manual biasa. Apa pun, periuk ini sangat praktikal dan pelbagai guna untuk tujuan masakan lain jika terdesak. Mudah dibawa ke mana-mana, hatta ke hotel sekalipun jika pergi bercuti!

Periuk biasa pula, nasi lebih cepat masak. Masak menggunakan api dapur lebih jimat masa.

“Kalau masak nasi yang mana cepat masak, rice cooker atau periuk biasa?” soal Salbiah, kawan baik saya semasa di ITM dulu.
Rice cookerlah,” pantas saya menjawab.
“Periuk biasa laaa lebih cepat.”
“Ooo, ya ke?”
“Tak caya, cuba awak eksperimen.” Memang benar apa yang dikatakan oleh sahabat saya itu. Itu fakta!

Nasi yang dimasak secara manual juga lambat basi kerana ia kurang mengumpul wap semasa proses masak. Jika tidak dikacau semasa memasaknya, nasi lagi tahan lama kerana ia kurang mengeluarkan kanji. Cuma bagi yang pelupa, kenalah tunggu di depan dapur sehingga nasi masak. Kalau tidak, nanti nasi hangit dek ralit dengan aktiviti lain. Untuk perangat, letak satu atau dua camca besar air di bawah nasi. Tutup periuk dan guna api paling kecil hingga naik wap. Itu sahaja.

Kerana sudah selesa dengan periuk manual, periuk nasi elektrik telah saya simpan dalam kabinet. Dikeluarkan hanya apabila ada ramai tetamu bertandang!

Tip supaya nasi tidak cepat basi
“Basuh beras hingga airnya betul-betul jernih, baru lambat basi,” pesan Emak saya.

Ini juga tip daripada Emak, jika ada baki nasi dalam periuk pula, jangan dirapatkan tudungnya, biar sedikit renggang untuk pengaliran udara. Insya-Allah nasi boleh bertahan hingga esoknya untuk dibuat nasi goreng. Kekadang boleh tahan lebih 24 jam tanpa perlu disimpan dalam peti! Yang penting nasi yang dimasakkan itu peroi dan tidak lembik!
(Saya pernah berjaya masak nasi yang tahan hingga 48 jam tanpa diperangat dan tanpa disimpan dalam peti … ada kalanya pula tak sampai 24 jam dah basi sebab air tak cukup jernih).

Tip untuk pujuk anak makan nasi
“Emmm sedapnya nasi …” ini pula petua En. Abu kepada anak saya supaya makan nasi, heee…heee…!

9 comments:

Mynie said...

Ilmu dan tips praktical yang berguna. Terima kasih!

suraiya said...

MYNIE,
Ada satu lg petua lupa nak masukkan. Yg ni maha penting. Petua daripada Us.Abdullah Mahmood. Semasa basuh beras hendaklah selawat dgn niat supaya ahli keluarga kita lembut hati. Us.kata amat digalakkan bertawassul dgn selawat. "Ya Allah lembutkanlah hati keluargaku dgn selawat Nai SAW, sebagaimana lembutnya beras ini menjadi nasi." something like that lah.

antertusia said...

Tips yang bagus walaupun dah bertahun2 post ni. Ha part paling cepat tu memang betul manual lagi pantas, nak2 lak time bulan puasa ni. Saya pun terjumpa semasa pakai pakcik google :) terima kasih.

SURAIYA PAUZI said...

Alhamdulillah, ilmu itu untuk dikongsi, bukan untuk disimpan bawa ke kubur. Moga menjadi ilmu bermanfaat untuk bekalan saya di alam barzakh nanti. Aamiin.

Anonymous said...

Thanks yerr...bru ja mmsak nasi tuk kuarga bersahur,,tp malang nya x jdik...abeh2 tu truss buka mr. Google...alhamdulillah jmpa page nieyh....thnks again 4 the tips...

SURAIYA PAUZI said...

Sama2 Anon, moga bermanfaat.

Amira Liana said...

bagus tips ni.
terima kasih kongsikan ilmu.

Amira Liana said...

tips yang bagus.
terima kasih kongsikan ilmu.

SURAIYA PAUZI said...

Sama2 Amira. Ajarkan pula kepada sesiapa sahaja supaya anda juga dpt saham akhirat!