Monday, May 18, 2009

SUARA YANG MENYELAMATKAN!

1970-an
“ALLAHUMMA HAWAA ’ALAINAA WALAA ’ALAINA …”
Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina … Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina…”

Terkumat-kamit mulut ayah mengulangi bacaan itu tanpa henti hinggakan lafaz itu membekas di benak kepala saya hingga ke hari ini. Saya tidak ingat berapakah umur saya waktu itu. Yang pasti saya masih belum bersekolah, kalau bersekolah pun baru di tadika. Barangkali dalam usia lima atau enam tahun.

“Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina … Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina…” masih terdengar mulut ayah menyebut ayat-ayat itu sehingga usia saya meningkat ke sekolah rendah.

Yang saya ingat, lafaz itu ayah ucapkan semasa memandu sama ada dari Kota Bharu hendak pulang ke kampung di Machang atau dalam perjalanan balik semula dari kampung ke rumah kami di Kota Bharu.

Ketika saya masih kecil, belum terlintas untuk bertanya ayah mengapa dia membaca kalimah itu dan untuk apa. Apabila di sekolah rendah barulah saya tergerak hati untuk bertanya kerana pada usia itu rasa ingin tahu terhadap sesuatu semakin meluap.

“Ayah baca apa?”
“Minta Tuhan jauhkan hujan …” jawab ayah.

Oh… barulah saya perasan, ayah menyebut kalimah itu pada setiap kali langit gelap hendak hujan semasa dalam perjalanan ke mana-mana.

Kemudian Ayah menyambung, “Minta Tuhan jauhkan hujan, biar turun di sekeliling kita, bukan timpa atas kita …baca sebelum hujan turun...”

Jawapan Ayah itu meresap terus ke hati dan kekal ingatan saya hingga kini (mujur waktu itu saya masih kecil akal fikiran masih suci/fresh maka mudahlah membekas ke jiwa. Jika sekarang otak sudah berkarat, hati pula sudah tidak suci lalu banyak perkara payah meresap ke sanubari).

Akhir tahun 2000
Kami (krew penggambaran dokumentari Salam Timur Tengah) sedang dalam perjalanan dari Makkah ke Abha di Wilayah Asir, sebuah kawasan pergunungan yang dibangunkan oleh Kerajaan Arab Saudi menjadi pusat peranginan. Duduknya 2,200 meter dari aras laut.

Abha, ibu negeri Asir ini merupakan pusat peranginan yang aktif beroperasi pada musim panas dan menjadi tumpuan para pelancong yang mahu lari dari panas mentari musim panas. Abha lazimnya menjadi tumpuan percutian warga Mediteranean yang mahukan bayu nyaman ketika tempat-tempat lain mengalami hawa yang kering lagi panas.

Ya, cukup indah dan nyaman kawasan ini, lebih indah daripada Cameron Highlands.

Namun, kembara kami berlangsung pada musim dingin. Suhu waktu itu mencecah 8oC, sejuknya sampai ke tulang. Jarak perjalanan dari kota Makkah ke Abha pula ialah 453.48km—satu perjalanan yang jauh dan memenatkan.

Saya leka merenung ke luar tingkap bas tajaan yang kami naiki—melayan perasaan sendiri! Rakan-rakan lain rancak berbual dan melawak sesama mereka, cuma Cikgu Abu (ketua krew @ MD Galeri Ilmu Sdn Bhd) yang kelihatan agak cemas.

Gunung-gunung batu mendindingi sepanjang perjalanan. Semakin lama semakin tinggi gunung-ganangnya. Gaung, lembah dan cerun curam pun ada.

Muhammad Mushtaq, warga Pakistan pemandu bas kami setia memandu mendaki perjalanan berliku ke tanah tinggi Asir itu. Tanpa kerenah, tanpa ada tanda-tanda penat. Terfikir juga saya jika berlaku apa-apa kepadanya siapa yang akan memandu kerana bas tajaan kami itu tiada ‘co-pilot’.

Saya masih melayan perasaan sendiri.

“Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina … Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina…Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina … Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina…”
satu suara tiba-tiba terngiang-ngiang di gegendang telinga saya.

Semakin lama semakin kuat suara itu, semakin lama semakin jelas…suara yang cukup saya kenali.

“Eh, suara Ayah …” saya bermonolog sendiri. “Aku ni mimpi ke?”

“Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina …”

“Ya…ya…suara Ayah. Tak mungkin. Ayah beribu batu nun jauh di tanah air!”

Saya memerhati teman-teman di dalam kenderaan kami, semua nampak normal. Tapi suara Ayah berlegar dalam kepala saya seolah-olah Ayah ada di sebelah, bersama saya …”

Saya merenung keluar tingkap, merenung langit … hitam!

“Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina … Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina…” hati saya mula mengikut rentak suara Ayah yang masih berlegar dalam kepala.

Gerimis hujan mula menitik perlahan kemudiannya renyai …”

Kemudian bibir saya pula turut melafazkan kalimat itu tanpa henti hinggalah kami selamat sampai ke destinasi yang ditujui awal pagi (menghampiri jam satu pagi!)

Esoknya, Mushtaq memberitahu, bas yang kami naiki sebenarnya tidak sesuai untuk ke tanah tinggi seperti Asir, ia hanyalah bas pelancongan yang lazim digunakan di jalan rata biasa. Manakala pegawai dari Kementerian Penerangan Arab Saudi yang mengiringi perjalanan kami ke Abha memberitahu, selalunya orang ke Abha menaiki GMC atau pacuan empat roda lain.

Ya Tuhan, sepanjang perjalanan naik ke tanah tinggi Asir, kami rupa-rupanya menempuh (mungkin juga ‘menempah’) bahaya lebih-lebih lagi pada musim sejuk yang hujan lebatnya sentiasa turun, jalan licin di cerun dan curam!

Apakah ada telepathy antara saya dan Ayah waktu itu? Atau adakah ia satu ‘contact hati’ antara saya dan Ayah? Atau ia suatu amaran daripada Tuhan supaya saya memohon perlindungan-Nya pada saat getir, pada saat orang lain tidak menyedarinya? Atau adakah ia sekadar satu mainan perasaan?
Pada hari kami turun dari Wilayah Asir untuk kembali ke Makkah, entah dari mana ada beberapa kenderaan polis menahan bas kami. Mereka musykil ada pelancong mengunjungi Abha pada musim sejuk begini.
Pasport diperiksa. Setelah berbicara dengan pegawai dari Kementerian Penerangan dari Jeddah yang bersama kami sepanjang kembara ini, masalah dapat diselesaikan tanpa banyak soal. Sebaliknya perjalanan kami diiringi bagaikan VIP. Barangkali rezeki sebagai musafir dan tetamu Allah di bumi barakah ini! Apabila ditanya Syeikh Fawzi, pegawai Kementerian Penerangan katanya, "Saya memberitahu mereka, kamu ini tetamu penting Raja Fahd ..."
"Subhanallah..." itu saja yang mampu kami ucapkan sambil ketawa.


Hari ini …

“Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina … Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina…Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina …” mulut saya secara automatik melafazkan doa itu tatkala melihat langit mula menghitam sewaktu memandu bersama anak… “Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina …”

Kini (berpuluh tahun kemudian) saya mengerti, doa itu bukan sahaja untuk elak hujan menimpa kita secara lahiriahnya, tetapi lebih kepada untuk mengelakkan ‘bahaya’ yang mungkin terbit daripada hujan itu sendiri!

TERIMA KASIH AYAH!
Dijamu nasi talam berlaukkan seekor kambing oleh pihak muzium sebaik tiba di Abha. Sehari suntuk mereka setia menunggu ketibaan kami biar pun melewati tengah malam.
Kami tiba hampir jam 1 pagi.
Inilah laluan naik ke Abha, tanah tinggi Asir, Arab Saudi. Lebih 400 km dari kota Makkah
(sumber imej: Travel-Images.com)

No comments: