Di Galeri Ilmu,
kami menerima banyak manuskrip dan proposal dalam tiga kategori utama iaitu
pengetahuan Islam (agama), motivasi dan kreatif. Editor perolehan motivasi
kadangkala menerima juga penulisan karya umum/panduan (setakat ini buku
resipi).
Baik kategori
motivasi mahupun kreatif, penulisan hendaklah berasaskan ajaran Islam. Ertinya,
bukan sahaja teks yang perlu diteliti, tetapi juga ilustrasi atau foto yang
dimuatkan mestilah patuh syariat (shariah compliant) khasnya dari segi
penjagaan aurat. Malah dari segi pegangan akidah pula, tulisan hendaklah
berpegang kepada Ahlusunnah wal Jamaah. Penerbit seperti Galeri Ilmu tiada
kompromi dalam hal ini.
Bagaimanapun,
kebanyakan proposal ataupun manuskrip yang telah lengkap ditulis, akan ditolak oleh
editor kerana tulisannya bersifat ‘syok sendiri’. Hambar, pengisian yang tidak
mantap, penguasaan bahasa yang lemah dan nilai tarbiah yang lemah.
Meminjam moto
penulis skrip mantan majistret, Zabidi Mohamed, ‘Show, don’t tell’. Inilah yang
lompong dalam kebanyakan manuskrip yang kami terima. Kebanyakannya ‘berleter’, ‘bercakap,
bercakap dan bercakap’ tanpa ada unsur ‘mengajak’ serta tanpa ‘ditunjukkan’
caranya untuk seseorang mengamalkan ajaran yang baik.
Suka saya pesan
dan nasihat di sini, jika anda mahu menghantar manuskrip motivasi, pastikan ia
padat dengan TIP/PANDUAN dan disulami CERITA/KISAH teladan yang berkaitan. Juga
elok dimuatkan kisah study case. Inilah
yang mudah dicerna pembaca. Untuk menarik perhatian pembaca, tiga perenggan
pertama mestilah ‘catchy’ dan tidak membosankan.
Ketika meneliti
tulisan semasa bacaan pruf, nama orang/tokoh mahupun nama tempat juga perlu
diteliti. Jika tidak pasti ejaan tepat, rayaulah di Internet. ‘Google’lah,
semuanya ada di hujung jari dan di hadapan mata. Jika tidak pasti akan
tatabahasa Melayu, telefon dan rujuklah Dewan Bahasa untuk khidmat runding
bahasa. Mereka sentiasa bersedia dan memberi khidmat mesra dan percuma.
Sebelum
menghantar karya kepada editor/penerbit. Terlebih dahulu lakukan ‘self-editing’.
Buat semakan sendiri. Periksa ejaan, tatabahasa, ‘flow’/aliran keterbacaan,
jika masih tersangkut dan kurang sedap, baikilah ia. Akhir sekali serahkan dulu
karya anda itu kepada beberapa teman, rakan, kawan untuk atau sesiapa untuk membacanya.
Pilihlah orang yang pandai menilai karya. Dia bukan sahaja boleh menilai tetapi
boleh menganalisis dengan baik. Terimalah komennya dengan lapang dada dan fikiran
terbuka.
Ini sekali gus meringankan
kerja editor kerana seorang editor mempunyai banyak manuskrip orang lain untuk dinilai,
bukan karya anda seorang!
Bagi penulis
novel pula, suka saya ingatkan, akhirilah setiap bab dengan unsur debar ‘cliffhanger’.
Teknik inilah yang akan mengikat pembaca dari
awal hingga akhir.
Selain itu, kurangkan
penggunaan ayat bahasa Inggeris (lazimnya dalam dialog). Lebih elok lagi jika
tidak menggunakan langsung. Jika anda bukan pakar bahasa Inggeris, jangan
cuba-cuba menulis dalam bahasa Inggeris. Jika anda fasih berbahasa Inggeris,
belum tentu anda boleh menulis dengan baik dalam bahasa Inggeris. Bahkan jika
anda seorang guru bahasa Inggeris sekalipun, didapati penulisan bahasa Inggeris belum
lagi mencapai standard yang sepatutnya. Tidak menggunakan bahasa Inggeris tidak
bererti karya anda tidak menarik, malah mungkin ia terjadi sebaliknya jika
bahasa Inggeris diaplikasikan.
Telah berlaku
dalam karya-karya sebelum ini, bahasa Inggeris yang digunakan masih di tahap ‘Oh
My English!’ Jika buku yang ditulis itu menggunakan bahasa Malaysia standard/baku/tinggi,
maka bahasa Inggeris semestinya juga dalam tahap seperti itu.
Kebanyakan
penulis yang menulis dalam bahasa Inggeris, ketika menulisnya dia berfikir
dalam bahasa Melayu. Maka berlakulah ‘Manglish’ atau ‘Oh My English!’ Ada juga
manuskrip yang kami terima, ditulis bahasa Inggeris dalam kaedah harfiah yang
sangat janggal bunyinya. Jika dibaca oleh mereka yang faham, pasti mereka akan
menggeleng kepala.
Bagi seorang
editor dan penyunting naskhah/copy editor pula, tidak kiralah buku apa yang
diuruskan, banyakkanlah juga membaca buku bahasa Inggeris. Anda tidak perlu
menjadi pakar bahasa Inggeris, tetapi dengan banyak membaca buku bahasa
Inggeris, sekurang-kurangnya anda akan faham lenggok bahasa Inggeris yang baik
dan sesuai, justeru dapat mengesan bahasa Inggeris ‘kurang sedap’ di dalam
karya bahasa Melayu. Setelah dikenal pasti bahasa yang tidak sedap itu, serahkan kepada editor yang pakar bahasa Inggeris untuk membaiki apa-apa yang perlu.
4 comments:
Terima kasih di atas perkongsian yang amat berguna ini.
Alhamdulillah. Satu posting yang bermanfaat. Semoga Allah memberi hidayah kerana hidayah milik Allah.
Insya-Allah, terbaik. Saya sebagai penulis menerima dengan baik saranan ini.
Alhamdulillah.
Menarik! benda baru saya belajar hari ni.. terima kasih atas tips dan perkongsian.... huhu... tapi bila lah pula saya akan hasilkan karya saya sndiri ...doakan saya.. :)
Post a Comment