Thursday, July 7, 2011

YANG PENULIS PERLU FAHAM

"Apa khabar buku saya?"
"Bagaimana proposal buku yang saya e-mel tempoh hari?"
"Bila nak sign kontrak?
"Buku saya dah siap cetak ke?"
"Kenapa lama sangat nak siap?"

Itu antara soalan yang sering diterima editor.

"Buku tuan masih di tangan penyunting."
"Insya-Allah, buku tuan akan dinilai."
"Siap cetak nanti, kita akan panggil untuk tanda tangan kontrak."
"Cetak buku paling lama dua minggu baru siap."
"Harap dapat sabar, terbit buku tak semudah buat kuih!"

Itu pula antara jawapan balas editor, terpaksa melayan setiap soalan.

Lazimnya penulis-penulis baru tidak sabar menanti kelahiran buku mereka. Bermacam ragam. Ada yang mendesak disegerakan terbit, walhal proposalnya belum lagi dinilai. Ada pula yang menghantar proposal dengan harapan tinggi ia segera diterbitkan, walhal kualiti tidak mencapai standard yang ditetapkan penerbit dan terpaksa ditolak.

Hakikat yang perlu difahami setiap penulis ialah menerbit buku tidak semudah kita buat kuih seperti yang telah dinyatakan.

Umumnya, proses penerbitan sesebuah buku paling cepat pun sekitar satu bulan sehingga siap dicetak. Bagaimanapun jadualnya sering berubah-ubah dan terlajak apabila ada isu berbangkit seperti perlu pengubahsuaian saat akhir.

Mengapa sering ada ubah suai saat akhir? Tidak bolehkah diteruskan seperti yang direncanakan?

Antara faktornya:
  • Kadangkala, penulis sendiri banyak cerewetnya walaupun telah selesai di peringkat penerbit.
  • Penyunting pula sering minta dilanjutkan tempoh untuk menyunting manuskrip yang diberi.
  • Di pihak penerbit pula khasnya di peringkat editorial dan perekaan terkadang muncul idea-idea baru pada saat akhir untuk mengubahsuai dan memantapkan lagi gaya persembahan buku.
  • Terkadang ada kerja-kerja mustahak yang perlu disegerakan, maka penyiapan buku mahu tak mahu terpaksa ditunda seketika.
Maka itulah, jadual sering juga berubah.

Yang dinamakan 'buku' ialah apabila ia telah selesai dicetak. Selagi tidak dicetak, ia masih dalam keadaan mentah yang dinamakan 'manuskrip'. Memproses manuskrip ini tidaklah semudah kita memasak yang dalam tempoh sejam beberapa jenis menu sudah dapat disiapkan.

Proses penerbitan umumnya perlu melalui empat peringkat iaitu:
  1. Editorial
  2. Perekaan
  3. Percetakan
  4. Pemasaran/pengedaran
Apa yang berlaku di peringkat editorial:
  1. Editor menilai manuskrip yang dikirim sama ada sesuai atau tidak untuk diterbitkan. Manuskrip yang teruk akan dipulangkan kepada penulis untuk dibetulkan mengikut panduan yang diberi. Jika sampai tiga kali penulis membuat pembaikan dan kualitinya tidak mencapai standard yang diharapkan, maka ia ditolak dan dipulangkan semula kepada penulis. Penulis bebas menghantarnya kepada penerbit lain.
  2. Apabila diluluskan untuk penerbitan, manuskrip akan dihantar kepada penyunting naskhah (copy editor) untuk memperkemaskan lagi isi kandungan. Sebarang kemusykilan, penyunting akan bertanya terus kepada penulis. Proses ini juga perlukan masa untuk diselesaikan.
  3. Selesai penyuntingan naskhah, penyunting akan memulangkan hasil kerjanya kepada editor.
  4. Editor kemudian akan menghantarkan manuskrip yang telah siap disunting ke bahagian perekaan.
  5. Serentak dengan proses peringkat ini, perbincangan mengenai judul turut dilakukan. Jika judul tidak sesuai, penerbit akan mencari judul lain yang lebih komersial untuk didaftarkan bagi mendapat nombor ISBN seterusnya memohon PDP/CIP melalui Perpustakaan negara. Untuk mendapat ISBN dan PDP lazimnya mengambil 1-5 hari.
(Peringkat ini mengambil masa lebih kurang 7-15 hari dengan mengambil kira tempoh lanjutan yang sering dimohon penyunting untuk menyempurnakan kerjanya).

Apa yang berlaku di peringkat perekaan?

  1. Konsep buku akan dibuat. Apakah ia perlu ilustrasi? Apakah ia perlu gambar? Adakah ia perlu diletakkan di halaman belakang atau di antara badan teks. Apakah ia perlu mengguna 'second colour' atau '4-colour'? Muka taip yang bagaimana yang sesuai? Berapakah saiz muka taip yang ideal? Semuanya ditentukan di sini.
  2. Rekaan kulit buku juga turut dibuat.
  3. Apabila rangka konsep siap divisualkan, maka artis grafik akan mereka letak dan merealisasikannya di komputer.
  4. Selesai direka letak oleh artis grafik, bahan tersebut akan dicetak dan diserahkan hasil kerjanya kepada editor untuk disemak. Bahan yang dicetak itu dinamakan galei.
  5. Editor akan membuat bacaan pruf pada galei berkenaan. Menanda sebarang 'typo' yang ada. Peringkat ini adalah untuk mencari kesalahan-kesalahan kecil seperti kesilapan ejaan, tanda baca, keselarasan reka letak dan sebagainya. Jikalaupun tidak semua typo error ini dijumpai, sekurang-kurangnya editor cuba meminimumkannya.
  6. Setelah editor selesai membuat bacaan pruf, galei itu akan dipulangkan kepada artis grafik untuk dibuat pembetulan.
  7. Selesai artis grafik membuat pembetulan seperti yang ditandakan oleh editor, galei kedua akan dikeluarkan untuk bacaan pruf kali kedua. Bacaan pruf kedua sebaiknya dilakukan orang lain, bukan editor (atau pembaca pruf pertama) kerana 'mata kedua' lebih 'segar' untuk mengesan kesilapan yang tercicir. Mata yang terlalu kerap membaca pruf pada bahan yang sama lebih mudah terlepas pandang kesilapan kecil. Jika tiada mata kedua untuk membantu bacaan pruf untuk kali kedua, seelok-eloknya editor atau pembaca pruf pertama memeram seketika galei kedua itu (tentunya pembaziran waktu berlaku setidak-tidaknya 2-3 hari, cara ini cuba dielakkan) bagi menyegarkan semula mata dan mindanya.
  8. Pada waktu yang sama, galei kedua ini turut diserahkan kepada penulis untuk turut sama membuat semakan dan bacaan pruf dan mengenal pasti jika terdapat isi kandungan yang perlu pindaan akhir. Bagaimanapun, pindaan besar tidak digalakkan pada peringkat ini melainkan jika ia benar-benar perlu dibuat bagi mengelakkan timbul masalah kemudian hari.
  9. Selesai bacaan pruf galei kedua ini oleh kedua-dua pihak (editorial & penulis), bahan ini diserahkan semula kepada artis grafik untuk pembetulan peringkat akhir.
  10. Harga buku juga sudah boleh ditentukan pada peringkat ini apabila jumlah muka surat sudah dapat dipastikan. Antara elemen yang menentukan harga buku adalah ketebalan buku, jenis kertas, jenis jilid dan kuantiti cetakan.
  11. Apabila selesai semua proses di peringkat perekaan, bahan berkaitan (setelah diformatkan mengikut keperluan percetakan) akan diserahkan pula kepada pencetak.
(Peringkat ini memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu untuk diselesaikan).


Apa berlaku di peringkat percetakan?
  1. Pencetak akan sediakan dami (dummy) buku untuk memastikan letakan muka surat betul.
  2. Sesetengah pencetak, akan membawa dami kepada penerbit untuk semakan akhir sebelum dimulakan proses mencetak.
  3. Pencetak akan mencetak buku mengikut spesifikasi yang dikehendaki penerbit.
  4. Selesai cetak, buku-buku akan dihantar kepada penerbit untuk diedar dan dipasarkan.

(Lebih kurang dua minggu diperlukan untuk buku siap dicetak).

Apa berlaku di peringkat pemasaran dan pengedaran?

  1. Penerbit sama ada memasarkan sendiri atau melantik ejen-ejen pengedar untuk memasarkan buku-buku terbitannya ke seluruh negara.
  2. Pemasaran buku kini mengalami evolusi dan inovasi. Pada zaman IT yang serba canggih, pemasaran buku kini lebih efisien dan lebih cepat berbanding sistem pemasaran konvensional. Kebanyakan penerbit menjual dan mempromosi buku masing-masing di Internet melalui website mereka. Buku yang dipesan oleh pembeli dihantar melalui pos.
  3. Penerbit hari ini (khasnya penerbit yang baru) perlu lebih cekap dan tangkas untuk menyaingi penerbit-penerbit lain.
  4. Gedung buku yang besar lagi ternama lazimnya sentiasa mengharapkan penerbit dapat membekalkan buku dalam tempoh yang mereka berikan. Maka penerbit perlu segera memenuhi kehendak itu.
(Keempat-empat proses penerbitan ini paling minimum mengambil tempoh sebulan).

FAKTOR-FAKTOR LAIN YANG MELEWATKAN PROSES PENERBITAN

Apa yang penulis perlu faham lagi:
  • Semakin berat isi kandungan buku yang ditulisnya, semakin banyak masa diambil untuk menilai, menyunting dan idea perlu dicari di peringkat perekaan bagi mencari konsep untuk meringankan persembahan buku bagi mengimbangi isinya yang berat.
  • Buku yang memerlukan ilustrasi juga memerlukan masa yang lebih untuk disiapkan. Artis kadangkalanya memerlukan masa yang cukup untuk menyiapkan ilustrasi yang diperlukan.
  • Semakin tebal buku, semakin lama untuk direka letak dan semakin lama untuk dibuat bacaan pruf dan semakin berisiko mempunyai typo error kerana pembaca pruf pastinya mengalami keletihan mata dan minda. Buku tebal juga lebih lama untuk siap dicetak.
  • Buku-buku yang mengandungi petikan ayat al-Quran, lafaz hadis atau perkataan/frasa jawi atau Arab turut menuntut lebih masa kerana ada yang perlu ditaip, atau disalin dari mana-mana sumber. Kemudian perlu masukkan ke dalam teks. Buku sebegini juga perlu disemak berulang kali oleh pembaca pruf dan mereka yang arif agar tidak berlaku kesalahan.
  • Buku berwarna juga lebih lama untuk dicetak.
Apabila memahami proses ini, diharapkan penulis dapat bersabar menanti kelahiran bukunya. Bagaimanapun, penerbit (khasnya di bahagian editorial dan perekaan) sedapat mungkin cuba memenuhi jadual yang ditetapkan agar tidak jauh terlajak. Implikasinya amat besar di pihak penerbit apabila buku lambat siap bagi memenuhi tuntutan kedai buku yang ternama. Sebab itulah juga mengapa editor sering mendesak penulis dan penyunting agar dapat memenuhi tarikh siap yang ditetapkannya. Maka jangan rimas jika editor menghantar e-mel, sms atau menelefon meminta penulis/penyunting mendesak supaya segera disiapkan tugasnya.

Selain itu, penulis juga perlu faham, apabila bukunya telah diluluskan untuk terbitan, ia tidak bermakna bukunya itu siap dalam tempoh sebulan dari tarikh ia diluluskan. Walaupun telah diluluskan, tempoh itu merujuk kepada saat manuskripnya dipilih dan disenaraikan untuk terbit pada sekian-sekian bulan. Dalam erti kata lain, manuskripnya terlebih dahulu perlu masuk ke senarai menunggu. Lantaran itu, ada manuskrip mengambil masa lebih setahun untuk diterbitkan.

Penulis perlu juga faham, di hadapannya telah ada manuskrip yang tiba lebih awal sedang melalui proses penerbitan. Setiap editor menangani bukan satu dua judul buku dalam satu-satu masa, malah lebih kurang 10 judul. Begitulah yang berlaku di kebanyakan penerbit, bukan sahaja di Malaysia, bahkan di peringkat antarabangsa pun. Beginilah situasinya di 'publishing house' yang sederhana besar dengan kapisiti tenaga yang terhad.

Analoginya seperti kita membuat janji temu untuk membuat check up kesihatan di hospital kerajaan. Janji temu telah dibuat setahun sebelumnya, tiba hari yang ditentukan, barulah kita pergi ke hospital. Kemudian perlu pula mengambil nombor giliran dan menunggu seharian sebelum nama kita dipanggil.

Pun demikian, semua pihak sama ada penerbit mahupun penulis, perlulah bersyukur kerana kita kini berada di zaman IT yang serba canggih. Bayangkan pada masa dahulu, penulis perlu mengepos manuskrip. Kini ia hanya perlu die-mel. Tidak sampai dua saat, manuskrip sudah tiba ke tangan penerbit. Seabad dulu, pencetak perlu mengatur huruf (demikian istilah atur huruf wujud dan diguna pakai hingga hari ini) satu persatu untuk setiap helai halaman buku yang hendak dicetak. Kaedah pisah warna (colour-sep) di peringkat pracetak juga sudah tidak diamalkan. Malah sudah banyak kerja-kerja remeh dalam proses penerbitan yang sudah pupus. Semuanya kini sudah berkomputer!

Nasihat saya kepada penulis: SABARLAH!

1 comment:

SMM said...

Maklumat yang bermanfaat dan menarik. Terima kasih atas perkongsian!