Pagi semalam saya terjaga kira-kira sejam sebelum Subuh. Bersama 'keterjagaan' daripada tidur itu ada satu soalan yang berputar-putar di dalam kepala. Kerana masih mamai, saya tidak pasti ia terbit dalam mimpi atau terbit sejurus selepas saya terjaga itu. Saya juga tidak pasti ia berbentuk suara atau sekadar pintasan di dalam kepala.
Namun soalan itu telah menjentik diri ini untuk segera perbaiki dan perkemaskan amal ibadah, apatah lagi menjelang Ramadan.
Soalan itu sungguh mendebarkan: APA JAMINAN YANG KAMU AKAN SELAMAT DARIPADA SEKSA KUBUR?
Allah!
Saya terima ia sebagai peringatan untuk diri sendiri bahawa bila-bila masa sahaja nyawa boleh dicabut.
Taubatku entah di mana? Tahu diri banyak dosa, namun diri ini tidak bergerak ke arah taubat yang nasuha.
Berangan-rangan mahu masuk syurga, tapi tiket untuk masuk ke dalamnya belum ditempah.
Tahu diri tidak layak masuk syurga. Tapi susahnya mahu berbuat amal soleh pada tahap yang optimum, agar terhindar daripada seksaan kubur.
Justeru ya Allah, panjangkan usiaku agar dapat menempuh Ramadhan ini, dan bimbinglah diri ini untuk segera bertaubat kepada-Mu. Semoga alam barzakhku nanti lapang dan sejahtera. Semoga soalan tentang seksa kubur itu menjadi pendorong untukku menjadi hamba-Mu yang bertakwa. Amin!
No comments:
Post a Comment