Saya pernah bercerita kepada Emak berkenaan seorang remaja yang beria-ia hendak bekerja pada cuti semesternya, namun orang tuanya tidak benarkan kerana kerja itu mengikut syif. Bermakna ada hari-harinya yang dia akan masuk kerja pada waktu malam.
Tempat kerjanya itu tidaklah jauh dari rumah. Cuma jalan kaki sahaja kira-kira 10 minit. Pun begitu, jika syif malam dia terpaksa berjalan seorangan di dalam gelap. Inilah yang dibimbangi orang tuanya. Zaman sekarang, apa-apa pun boleh berlaku. Apatah lagi anak dara sepertinya. Rupa pun boleh tahan cantik.
Biarpun tidak direstui orang tuanya, remaja ini nekad bekerja di tempat itu. Mahu cari pengalaman katanya.
Dan ini pandangan bernas Emak saya: "Budak seperti itu, redhakan saja dia bekerja selagi pekerjaannya itu halal. Kalau dilarang pun dia tetap akan degil. Jika orang tua tak redha, itulah nanti jadi perkara-perkara yang tak diingini. Sebagai orang tua, kita doakan saja dia selamat. Serahkan pada Tuhan untuk menjaganya."
Ya ... redhakan dan restukan saja!
No comments:
Post a Comment