Thursday, June 30, 2011

ADBLOCK

Saya hampir menutup akaun e-mel Hotmail saya yang sudah hampir 15 tahun saya gunakan untuk pelbagai tujuan. Ketika pengguna Internet lain sudah beralih ke Yahoo! dan Gmail, saya masih setia dengan keselesaan Hotmail.

Bagaimanapun sejak berbulan lepas keselesaan saya mula hilang apabila muncul iklan pop-up berstatus "SX" di tepi sebelah kanan laman e-mel saya. Puas ditutup, belum beberapa saat iklan yang memaparkan wanita muda separuh bogel muncul semula, membangkitkan rasa meluat yang tidak terkata. Ini menyebabkan saya segan apabila hendak menyemak e-mail di depan umum, nanti apa pula yang mereka kata.

Lantaran itu, saya berkira-kira mahu membuka akaun baru sama ada di Yahoo! atau Gmail dan menutup akaun Hotmail saya. Banyak kali saya berfikir risiko menutupnya kerana banyak material penting tersimpan di dalamnya. Sebahagiannya yang berkaitan kerja. Walaupun akaun e-mel syarikat turut saya gunakan, ia tidak seefisien akaun-akaun popular yang percuma itu. Bahan berkapasiti besar tidak boleh disimpan atau sulit apabila mahu dimuat angkat untuk dikirim kepada orang-orang tertentu khasnya penulis.

Banyak kali saya memikirkannya. Jika menutup akaun Hotmail, bermakna banyak kerja yang perlu dibuat, termasuk menyelamatkan atau memindahkannya ke akaun yang baru. RENYAH! Ini akan mengambil sekian banyak waktu saya.

Justeru, saya merayau ke lebuh raya Internet mencari solusinya, hinggalah saya bertemu ADBLOCK yang disediakan untuk Firefox secara percuma. Setelah pasti ia tidak berisiko, saya terus memuat turun dan oolalaa ... saya sukakannya. Semua iklan yang ter'pop-up' entah dari mana dengan serta-merta dapat saya blokkan. Tiada lagi iklan-iklan tidak senonoh muncul di sana-sani. Alhamdulillah. Terima kasih ADBLOCK.

Saya kira sudah ramai yang menggunakan ADBLOCK ini, cuma saya sahaja yang ketinggalan. Saya sememangnya sentiasa ketinggalan dalam banyak hal, justeru pengetahuan saya dalam IT banyak yang saya jahil.

Hanya ada satu perkara lagi yang memeningkan saya, dalam senarai contacts e-mel saya muncul alamat-alamat e-mail yang juga berstatus 'SX'. Puas sudah saya cuba membuangnya, tetapi apabila disemak di bahagian simpanan alamat e-mel, ia tiada di situ. Entah dari mana datangnya, tidaklah saya ketahui. Ia seakan sudah melekat dan sebati di situ dan di bahagian simpanan ia bersifat halimunan! Pelik saya.

Jika sesiapa yang tahu cara membuangnya, sudi-sudikanlah kongsikan caranya kepada saya! Terima kasih.

No comments: