Tuesday, June 14, 2011

NAIK LORI

Tahun ini saya tidak 'khatam' bertugas di PBAKL 2011 pada April lalu. Ketika giliran kedua saya bertugas saya menerima panggilan kecemasan daripada kakak ipar di Tumpat memberitahu Abah (bapa mentua) semakin tenat.

Sebaik selesai bertugas pada hari itu, saya bergegas balik ke rumah, memandu dalam hujan lebat, petir dan ribut yang mencemaskan. Jalan raya pun tidak nampak kerana hujan yang amat lebat. Saya bertawakal agar selamat pulang ke rumah.

Alhamdulillah saya selamat sampai.

Setelah berbincang dengan suami, katanya saya tidak perlu pulang, biar dia sahaja yang pulang. Ini kerana dia baru sahaja menelefon ke kampung bertanyakan keadaan Abah. Khabarnya, Abah sudah sedar daripada koma. Saya disuruh habiskan bertugas di Pesta Buku.


Esoknya saya masuk kerja di pejabat kerana tidak terjadual bertugas di Pesta Buku untuk hari itu. Namun dalam kepala saya penuh ingatan kepada Abah. Entah mengapa ada satu dorongan kuat supaya saya ikut pulang ke Tumpat. Lalu saya SMS suami memberitahu saya mahu ikut balik menjenguk Abah.

Malamnya, khabar dari kampung kurang enak didengar. Abah kerap tidak sedarkan diri. Maka tiket Air Asia segera dibeli.

Kami tiba di Tumpat lewat petang Khamis. Abah kelihatan semakin uzur berbanding kali terakhir saya melihatnya pada cuti Raya Cina dulu.

Esoknya, ketika kaum lelaki sedang bersiap sedia hendak ke masjid menunaikan solat Jumaat, Ma (mak mentua) memanggil saya membaca Yasin kerana Abah 'lain macam' sahaja nampaknya.

"Tak boleh ni, kena ada orang lelaki tunggu Abah. Nafas Abah dah makin pendek," kata Ma yang juga sudah semakin uzur apatah lagi setelah sekian lama menjaga Abah sakit.

"Sembahyang tak boleh tinggal Ma," jelas cucu sulung Ma. Setelah berbincang, suami saya diminta tunggu dan menjaga Abah kerana dia masih dalam tempoh 'musafir' dan dalam keadaan darurat itu diharuskan tidak menunaikan solat Jumaat.

Abah muntah. Keluar cecair hitam. Kata Ma, itu ulser dalam perut Abah yang dah pecah.

Abah mencungap-cungap. Abah sudah nazak dan di ambang sakarat.

Anak cucu, cicit dan menantu perempuan Abah yang lain sudah tiba mengelilingi Abah.

Saya pegang kaki Abah, semakin sejuk. Mata Abah juga sudah lain hanya terfokus ke atas.

Syahadah diajarkan.

"Allah ... Allah ... Allah ..." itu sahaja yang kedengaran dari mulut Abah. Bagi saya, itu sudah memadai. Sebelumnya, Abah ada memanggil nama gemulah ibu dan ayahnya.

Suami saya memangku sedikit kepala ayahnya itu. Memohon
maaf buat kali terakhir.

Suasana pilu menguasai bilik itu. Abah tiba-tiba tersedak sekali, dan berakhirlah hayatnya diiringi air mata sekalian yang ada di situ.

"Innalillahi wa inna ilaihi rajiun," saya lafazkan kalimah itu dan mengucup dahi Abah sambil menyeka air mata.

Pada perkiraan saya, sakarat Abah tidak lama, tidak susah. Alhamdulillah Abah pergi dalam keadaan itu dan dalam kemuliaan hari Jumaat pula.

"Pukul berapa jam tu?" tanya Ma

"Dua, dua minit (2.02)," jawab anak perempuannya yang juga merupakan anak sulung Abah dan Ma.

Saya terus menelef
on Emak di KL memaklumkan kematian besannya, juga menghantar SMS kepada bos saya di pejabat memaklumkan kematian bapa mentua. Bertalu SMS takziah daripada rakan sekerja masuk ke inbox telefon bimbit.

"Kalau dapat dikebumikan sebelum Maghrib, sangat elok. Dapat fadilat Jumaat," pesan Mak. Maka saya memaklum kepada Ma hal itu. Sebaik kaum lelaki pulang dari solat Jumaat, urusan pengebumian Abah dibuat.

Bilal masjid yang menguruskan jenazah Abah sangat cekap dan cermat kerjanya. Daripada penyediaan kapan dan memandikan serta memakaikan kain kapan hingga kepada solat jenazah sangat teratur.



Menunggu van jenazah
Jenazah Abah sudah selesai semuanya. Cuma menunggu van jenazah sahaja yang belum tiba lagi, untuk membawa jenazah Abah ke masjid untuk disolatkan sekali lagi.

Hari merangkak senja. Van jenazah tidak kunjung tiba. Apabila dihubungi, pemandunya memberitahu, tidak berjumpa rumah yang hendak ditujui.

Allah ... di mana vannya? Nanti terlepas pula jenazah Abah hendak disemadikan sebelum Maghrib dan terlepas pula fadilat Jumaatnya.

"Tak payah bawa ke masjidlah, terus bawa ke kubur. Jumaat dah nak habis ni," pesan Ma kepada Bilal.

Pemandu van itu sekali lagi dihubungi. Astaghfirullah, rupanya dia telah tersalah rumah dan tersalah hantar jenazah orang lain ke kubur yang kebetulan mati pada hari yang sama dan di mukim yang sama.

Tiba-tiba seorang saudara keluarga Abah masuk memberitahu, dia berjaya menahan sebuah lori yang kebetulan lalu di jalan itu, pemandunya sanggup membawa jenazah Abah ke kubur.

Alhamdulillah ada insan yang mulia bermurah hati menumpangkan jenazah Abah ke persemadiannya.

Lori itu segera dibersihkan untuk menempatkan jenazah Abah.

Saya dan kaum keluarga tidak mengikut ke kubur. Tinggal di rumah sahaja menyambut tetamu yang datang mengucapkan takziah.

Isteri pemandu lori itu, turun dan duduk sementara di rumah kakak ipar saya menanti suaminya pulang menjemputnya.

Menurut ceritanya, mereka adalah 'pencari' besi buruk. Patutlah sebelum jenazah Abah dinaikkan ke lori, saya nampak sebuah mesin basuh buruk diturunkan dari lori mereka.

"Kebetulan hari ni tak dapat banyak besi buruk. Apa salahnya tolong hantar jenazah ..." ujarnya sambil tersenyum.


Banyak pengajaran saya dapat daripada kematian Abah!



Jenazah Abah naik lori







  1. Tuhan gerakkan hati saya untuk mengikut suami pulang ke kampung. Rupa-rupanya supaya dapat melihat Abah untuk kali terakhir, biarpun saya terpaksa tinggalkan PBAKL dan anak saya pula terpaksa meninggalkan Temasya Sukan tadikanya yang terakhir.
  2. Sakaratulmaut Abah saya lihat tidak terlalu sukar biarpun saya kira Abah bukanlah seorang yang kuat agamanya. Cuma yang saya perhatikan sepanjang tujuh tahun saya mengenali Abah, Abah selalu menunaikan solat di masjid setiap kali masuk waktu.

  3. Abah juga seorang yang tidak banyak cakap, justeru dosa hasil ucapan mulut tidak terpalit pada diri Abah. Abah hanya banyak bercakap apabila saya suka melayannya menceritakan pengalaman hidupnya yang lampau. Maka barulah Abah banyak bercerita.

  4. Saya juga menjangkakan, hati Abah murni dan tidak berkesumat.

  5. Barangkali juga sakarat Abah tidak berat kerana penyakit-penyakit yang Abah deritai menjadi kafarah kepada segala dosanya. Lalu Allah merelakan Abah pulang ke sisi-Nya dengan mudah.
Itulah kali pertama saya melihat orang yang nazak, di ambang maut dan sedang sakarat. Bagaimana agaknya jika kita dapat menyaksikan Izrail melaksanakan tugasnya ketika itu? Izrail ada di samping kita saat itu, dekat sekali cuma kita tidak dapat melihatnya. Sesungguhnya Izrail juga setiap hari datang menjenguk dan menziarahi kita beberapa kali. Akan ada nanti antara ziarahnya itu merupakan janji temu kita dengannya yang sebenar-benarnya. Kita ini hanya menunggu masa dijemput Izrail!

Masih terlalu banyak kesumat di hati saya, hakikatnya belum bersedia untuk mati biarpun mati itu boleh datang bila-bila masa sahaja. Diri ini kotor dan comot berlumur dosa! Andai ada peluntur kotoran seperti Clorox alangkah mudah! Namun hidup kita tidak demikian, ego kita melangit, entahkah bila mahu bertaubat ... taubat nasuha.

Kumohon pada-Mu ya Allah, jangan engkau matikan aku sebelum aku sempat bertaubat! Matikan aku dalam husnul khatimah! Amin.

4 comments:

intankhalid said...

Assalam Sue,

Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang mukmin.

Bergenang airmata aku bila baca post kau kali ni. Aku sdn, sepanjang tahun ini, melalui dua (2) kematian orang-orang tersayang ie bapa saudara, ibu mertua.

Masyallah. Aku juga selalu memohon dan berdoa pada Allah, supaya tidak mematikan aku sebelum aku sempat bertaubat!

Sama macam doa kau...moga kematian kita dalam husnul khatimah!

Amin.

SURAIYA PAUZI said...

Amin!

Mynie said...

Al-Fatihah buat arwah bapa mentua kak Suraiya.

Doa saya juga sama, semoga mati nanti dalam keadaaan mendapat redha dan keampunan Allah.

Teringat gemulah bonda yang pulang ke Rahmatullah genap setahun yang lepas. Sayu dan rindu. Moga Allah ampunkan dosa-dosanya dan tempatkan dia di syurga..

SURAIYA PAUZI said...

Amin. T.kasih Mynie.