Thursday, February 26, 2009

EMOSI GERAM DI PAGI HARI

Minggu lalu, minggu yang benar-benar menguji sabar saya. Awal pagi yang sepatutnya dimulakan dengan keceriaan serta ucapan syukur kepada Allah telah bertukar menjadi pagi yang penuh keluhan emosi geram dan radang.

Waktu pagilah waktu yang penuh kelam-kabut bagi seorang ibu—mengejar masa yang pantas berdetik. Apatah lagi kalau ibu punya anak ramai. Dalam kes saya, anak hanya seorang, tapi sudah cukup membangkitkan emosi marah. Tak terbayangkan para ibu yang ramai anak, bagaimana agaknya anda menyabar diri?

Dua hari berturut-turut anak saya Ammar Hadi buat perangai. Kemudian selang sehari, diulangi perangai yang sama.

Isnin 16 Februari 2009
Kunci kereta sudah ada di tangan. Tunggu untuk masuk ke kereta sahaja.

“Ammar, nak kencing tak?”
“Tak nak.”
“Betul tak nak?”
“Betul.”
“Kalau tak nak, masuk kereta cepat,” arah saya sambil membuka pintu kereta, kemudian ke pintu pagar untuk membukanya. Kemudian kembali ke kereta. Anak saya masih tercegat di muka pintu kereta.

“Mak, Ammar kencing.”
“ALAAAAA… Mak tanya tadi kenapa kata tak nak?” kata saya, naik angin. “Tengok, habis baju sekolah. Mujur tak kencing dalam kereta.”

Panggg…sebiji penampar singgah di betisnya.

“Huaaaaa…waaaa…huaaa…eeee… Mak ni, ‘tasyik’ (sakit) Ammar.” Dia menangis. Air mata meleleh laju. Dia pun ikut jadi geram.

Saya melihat jam di tangan. Aduh! Dah lewat.

Mangga gril dan kunci pintu rumah terpaksa dibuka semula. Saya tergesa-gesa membawanya ke bilik air dan membersihkannya.

Dalam waktu yang semakin lewat, saya ligat mencari baju lain. Ammar membuntuti dari belakang. Saya membelek-belek pakaiannya yang berlonggok di atas sofa yang belum sempat dilipat. Dia cepat-cepat memilih baju sendiri—baju Ultraman berlengan kuning. Seluar juga kuning. Baju yang paling saya menyampah tengok, itulah pakaian kesayangannya. Sebahagian besar gambarnya berposing dengan baju inilah. Hinggakan banyak gambarnya seperti dirakam pada hari dan waktu yang sama.

“Nak ini,” katanya, menyeringai.
“Isk…tak da baju lain ke nak pakai? Tukar lain, dah buruk sangat, bulu-bulu dah ni.” Saya mencari-cari baju lain.
No…no… Mak, don’t,” protesnya…speaking pula. “Ammar nak yang iniiiii...iniii Mak,” kata Ammar sambil mengunjukkan baju kesukaannya.

Mau tak mau saya terpaksa mengikut kehendaknya memandangkan waktu sudah lewat.

Pulang dari kerja, saya terus basuh uniform itu dan terus gosok tanpa menyidainya terlebih dahulu.

Selasa, 17 Februari 2009
“Jom, Ammar…cepat sikit. Kencing dulu sebelum naik kereta. Nanti, kencing lagi dalam uniform. Kencing sekali lagi, Mak pukul macam semalam. Nak?”
“Tak nak.”

Saya menuju ke pintu rumah, membukanya untuk memasukkan barang ke dalam kereta. Aii, sepantas kilat dia meluru keluar rumah.

“Heh, nak gi mana tu? Masuk. Pergi toilet,” saya memberi arahan.
“Dah kencing, Mak…”
“Hah, dah kencing? Bila Ammar gi toilet. Seluar tak bukak pun?”
“Daaah …dah kencing.” Baru saya perasan, air kencing bergenang di lantai.
“Aduhhhhhhhhh …kenapa Ammar buat Mak macam ni?”

Ya Allah, Engkau sabarkanlah aku.

“Kenapa tak dengar Mak cakap? Kan Mak kata kencing kat toilet,” suara saya mula meninggi. Tangan saya memulas lembut telinganya.

“Mak nak ambik gunting, nak gunting telinga Ammar ni sebab tak dengar Mak cakap.”
“Jangan, don’t. Jangan Mak. Cabut nanti telinga Ammar niii. Darah nanti …don’t…” dia mula menangis.

Saya tidak jadi marah, sebaliknya menahan gelak mendengar rayuannya yang menggelikan hati. Tapi bila bersuara, saya sengaja buat-buat marah.
“Tengok, lewat lagi. Nanti jalan nak gi office Mak jam,” kata saya sambil menariknya ke bilik air.
Belum sempat mengeringkannya, dia meluru ke bakul kain dan mengangkat baju Spiderman. Satu lagi bajunya yang saya cukup menyampah tengok.

“Nak ini …”

Oo, rupa-rupanya semalam dan hari ini dia sengaja tahan kencing supaya dapat kencing dalam uniform sekolah, jadi dapatlah dia tukar pakai baju kesukaannya.

“Eeeeeeeee….geramnyaaa,” kata saya mengetap gigi. “Lewat lagi hari ini.”
Dia pula, “Eeeee…geram Mak niii…tak lewat pong (pun).” Sempat pula dia mencubit pipi saya.
Huh, sudah pandai menjawab!
(Moralnya, jangan ikut cara saya yang tak betul ini, sebab anak akan tiru!)

Balik kerja…seperti semalamnya basuh dan gosok uniform tersebut.

Rabu, 18 Februari 2009
Hari ini, saya sudah lali dengan helah/taktik nakalnya. Jadi, tanpa apa-apa arahan saya menariknya ke bilik air dan menyuruhnya kencing dahulu sebelum masuk kereta.

Hari ini saya menang!

Khamis, 19 Februari 2009
Hari ini, hari pakai baju sukan. Hari bersenam di sekolah.

“MAK … MAK … AMMAR DAH KENCING…” tiba-tiba dia memekik dari bilik air. Bila masa dia masuk ke bilik air pun saya tidak perasan.

‘Bagus, dah retilah tu orang marah,’ bisik saya dalam hati. Senang hati saya, tidak lagi perlu jerit-jerit dan marah-marah.

“Haaa, tunggu situ. Nanti Mak datang basuh. Jangan gerak, jangan keluar” beritahu saya menuju ke bilik air.

“Laaa, kenapa kencing dalam seluar? Kenapa tak buka seluar dulu? Eeeeeee …”

Ada lagi helah rupanya! Takut kena marah kencing di luar, dia kencing dalam bilik air seperti yang disuruh semalam, tapi kencingnya tetap dalam seluar. Peliknya, waktu-waktu lain tak payah disuruh dan dipaksa pun. Sebaliknya waktu pagi yang kritikal pula buat perangai.

“Ammar nak pakai baju Batman blue …” katanya sambil berlari keluar dari bilik air sebaik dibersihkan … saya tidak sempat menahannya. Dia lebih pantas dan culas. Dia berlari naik ke atas, saya mengejar dari belakang.

Sampai di bilik dia sudah membuang bajunya dan bertelanjang bulat sambil membongkar laci pakaian mencari baju Ben 10 putih walaupun dia menyebutnya Batman blue (baginya sebutan Ben 10 ialah Batman). Pakaian berterabur di lantai. Dua tiga kali saya menarik nafas dan beristighfar menahan marah.

No Ammar…tak boleh pakai baju Ben 10. Pakai balik baju tadi. Seluar je ganti lain. Seluar sukan Ammar ada dua,” ujar saya cuba mengawal emosi. “Kalau tak nak pakai, Ammar dok sorang-sorang kat rumah. Nanti tak ada orang nak buat susu. Mak nak gi keja dah. Ammar tak payah ikut. Bye.” Saya mengacah dan berjalan menuju pintu.

“Nak…nak…Ammar nak ‘itot’ (ikut).”
“Kalau nak ikut, cepat pakai seluar…”
“ ‘Spender’ takyah,” katanya.
“ Payah. ‘Spender’ pun kena pakai jugak.”

Saya tidak pernah menyebut underwarenya sebagai ‘spender’. Tapi sejak masuk tadika, dia menyebutnya ‘spender’ kerana cikgu yang memandikannya sebelah petang menyebutnya ‘spender’. Spender pun spenderlah…janji mahu pakai.

Lalu dia menyarung seluarnya (dalam dan luar) tanpa banyak songel lagi.

Barangkali hari ini, kami seri! Tiada siapa menang, tiada siapa kalah!

Jumaat, 20 Februari 2009
Hari ini, hari pakai baju Melayu!

“Ya Allah, berkat mulia hari Jumaat ini, bantulah aku uruskan anak aku hari ini. Jangan Engkau biarkan aku marah-marah padanya…” Itu antara doa saya seusai solat Subuh.

Sebelum mengejutkannya dari tidur, saya berselawat tiga kali dan meniup ke ubun-ubunnya sambil memanjat doa di dalam hati, “Ya Allah, indahkanlah akhlak anakku sebagaimana indahnya akhlak Rasulullah SAW.” Saya teringat pesan Ustaz Abdullah Mahmood tentang ‘power’nya bertawassul dengan selawat Nabi.

“Mak, Ammar nak mandi sendiri,” katanya sebaik mencelik mata dan menghabiskan sebotol susu.

Pagi ini Ammar Hadi bangun tidur, terus ke bilik mandi dan kencing sebelum mandi. Tidak songel apabila menyarung baju Melayu, hadiah pemberian Dr. Kamariah Kamarudin!

6 comments:

SMM said...

kak suraiya,
terima kasih berkongsi cerita dan tips. saya tertarik dengan tips membacakan doa di ubun-ubun itu (memang selalu dengar sebelum ni tapi selalu terlupa amalkan) dan memahami 'sebab' anak 'terkencing' dalam seluar iaitu sebab nak pakai baju kegemarannya.. anak saya dah 3 tahun, tapi masih belum saya potty-train betul-betul sebab maknya ni agak malas nak basuh karpet bila 'eksiden'.. (huhu teruk betul)..

Kamariah Kamarudin said...

aduhai AMMAR HADI, benar-benar membikinkan suasana rumah jadi gamat dan meriah. macam ruang rumah saya yang sering berselerakan barang-barang permainan Kamila yang membuatkan diri kekdanag terpaksa meninggikan suara lantaran karenahnya yang "luar biasa". tapi percayalah bila anakanda tiada di sisi mengikut tokwan atau tokki pergi berjalan, rumah akan menjadi sunyi dan rindu kepadanya tidak dapat ditahan-tahan lagi.

buat mak Ammar, banyak-banyakkan bersabar untuk melihat seorang anak comel membesar menjadi "manusia" yang soleh walaupun emosi seringkali menguasai diri, harus tenang dan tenang sentiasa!

Anonymous said...

Salam,
Teringat masa bekerja di pejabat dulu, waktu pagi memang menyeksakan. Penatnya masih terasa hingga ke hari ini. Tapi percayalah... selepas kesusahan ada kemudahan.

SURAIYA PAUZI said...

Mynie:
Sy beli potty utk ank, tak guna sampai ke sudah. akhirnya pecah dia baling.

K:
Ooo...sy xda pula rs sunyi kalu ank xda kt rmh sbb byk keja dpt beres bila dia xda...dpt le legakan otot yg kejang ni. cuma kalau x da dpn mata kita risaulah sikit keselamatan dia.

SURAIYA PAUZI said...

Kak Zu:

Insya-allah. Kemenangan pd org yg sabar. Itu janji-Nya. Tapikan, nk sabar tu le yg payah sekali...huaa...huaaa...

Anonymous said...

Saya teruja baca catatan Kak Su, pengalaman yang mencabar. Berat menjadi seorang ibu, terbayang mak saya dengan karenah anaknya 11 orang.