Thursday, February 5, 2009

SEGALANYA AKAN 'EXPIRE' . . . !

Melihatkan situasi dunia sekarang membuatkan saya semakin berfikir tentang kematian, tentang kiamat. Betapa sangat-sangat hampirnya kita semua menuju ke situ.

Ya, mutakhir ini semakin nyata akan berlakunya akhir zaman, dan mutakhir ini jugalah saya sering memikirkan kematian.

Takut! Gentar!

Saya sering bertanya diri sendiri, mengapa diri ini masih belum bertaubat! Taubat yang sebenar-benarnya taubat . . . nasuha!

Mahu! Tapi tidak terdorong melakukannya.

Ya, diri ini mahu taubat daripada segala dosa kecil dan besar! Tetapi nafsu belum terdidik untuk ke arah itu. Nafsu masih galak . . . sulit untuk dijinakkan.

Mujahadah! Tidak berapa berjaya . . .

Dosa pada suami . . . tentu ada! Hendak taat 100 peratus, payah benar!

Dosa pada Emak dan Ayah . . . bertimbun. Kedua-dua insan mulia yang telah membesarkan diri ini.

Dosa pada anak dan keluarga . . . banyak sekali!

Aduhai diri!

Teringat secebis lirik nasyid Raihan, “ . . . pagi kuingat, petang kualpa . . .”

Begitulah diri saya.

Alpa dan alpa dan alpa lagi, tak sudah-sudah! Cuma saya bersyukur kerana Tuhan hadirkan dalam diri ini perasaan kurang senang kepada hal-hal ‘lagha’. Semakin diri menginjak tua, semakin saya membenci perkara yang melalaikan (walaupun terkadang ada juga turut ‘ter’lagha, namun tidak sehebat semasa saya remaja dulu). Kini saya semakin malas berbicara yang sia-sia. Namun, peningkatan dari segi ibadah hakiki belum tercapai.

Biarpun kita di ambang kiamat, kita masih leka dengan urusan dunia. Tidak bersiapa siaga mengumpul bekal menuju alam kekal.

Saya memetik sebahagian kuliah mingguan di pejabat yang disampaikan oleh Ustaz Shukri pada 29 Januari 2009 lalu. Beliau menerangkan tentang tanda-tanda kiamat yang semakin menghampiri kita semua.

Jelas Ustaz Shukri, “Ulama-ulama besar termasuk dari al-Azhar mengingatkan bahawa kiamat sangat hampir. Berhati-hatilah apabila muncul pemimpin yang tidak mempedulikan amar maaruf nahi mungkar—pemimpin ini disanjung oleh dunia, maka itu bermakna kiamat hampir berlaku.”

Ulama-ulama besar ini merujuk kepada Presiden Barrack Obama yang disanjung, bukan sahaja oleh masyarakat bukan Islam, tetapi juga umat Islam global menyanjungnya. Mereka mengharapkan Obama membawa titik perubahan kepada dunia. Walhal, dalam sejarah pelantikan Presiden Amerika Syarikat, tidak ada presiden yang tidak direstui Yahudi. Sejak presiden Amerika pertama dan kini, kesemuanya mendapat restu Yahudi. Kesemuanya didalangi Yahudi, semuanya dilobi Yahudi! Jadi, bolehkah diharapkan Obama untuk mengubah nasib Palestin secara khususnya atau Islam secara amnya?

Gambar-gambar ini sudah cukup membuktikan keakraban Obama dengan
Yahudi . . . jadi bagaimana? Adakah Obama memang boneka Yahudi (Israel)?

Kata Ustaz Shukri lagi, “Ulama juga memberitahu bahawa Dajjal dan gerombolannya sedang berusaha untuk keluar dan muncul di atas muka bumi. Maka berhati-hatilah dengan fitnah Dajjal (fitnah akhir zaman).

“Krisis ekonomi yang sedang melanda dunia juga merupakan satu lagi tanda kiamat. Krisis yang tidak pernah dijangka, tidak pernah berlaku seperti sekarang. Lebih teruk daripada sebelumnya.

“Apabila manusia sibuk dengan senjata, orang miskin bertambah ramai, maka kata ulama; kiamat hampir akan tiba.” Demikian jelas Ustaz Shukri.

Justeru, Ustaz berpesan supaya kita kena lebih banyak menghayati al-Quran. Allah beri kesusahan sekarang adalah sebagai persiapan untuk menyahut cabaran yang lebih besar pada masa hadapan.

Pesanan ini saya tujukan khas untuk diri saya sendiri dan juga saudara-saudari di luar sana. Mari kita teliti dan perhatikan barangan makanan dan minuman yang kita beli, jelas ditulis:

Best before:
Use by:
Expiry date:
Tarikh luput:
Baik sebelum:
Guna sebelum:

Demikian juga diri kita (roh dan jasad) dan Bumi yang kita diami ini ada:

Best before:
Use by:
Expiry date:
Tarikh luput:
Baik sebelum:
Guna sebelum:

Telah jelas maut itu pasti, ajal itu pasti, kiamat itu pasti.

Barangkali tarikh luput kita esok lusa atau petang ini! Segalanya serba mungkin.

Maka sebelum tarikh luput, gunalah diri kita ini sebaiknya sebelum mati. Jasad kita ini best before/baik sebelum tiba waktu sakit/waktu tua. Gunalah diri kita kita waktu sihat ini untuk membuat persiapan menuju ke alam baqa.

Kurangkan gelak ketawa, kurangkan bercakap yang sia-sia. Waktu yang ada semakin suntuk, sudah tidak ada masa untuk main-main. Usia dunia, usia umat Nabi SAW akan capai tarikh luputnya.

Sesungguhnya kita sudah TIADA masa!


“Ya Allah, janganlah Engkau golongkan aku ke dalam orang-orang yang
menangguh-nangguhkan taubat. Bantulah aku, jitukan dan padukan semangatku untuk bertaubat kepada-Mu! Jangan Engkau matikan aku dalam keadaan aku tidak bertaubat. Ameen!”

1 comment:

Anonymous said...

Ya. Terasa sangat kiamat semakin hampir.

"Ya Allah, berilah petunjuk kepada kami dan janganlah Engkau bolak-balikkan hati kami setelah Engkau beri petunjuk."